Alhamdulillah, pada 1 Muharram 1431 (Jumaat) bersamaan 18 Disember 2009, akhawat Kelab Iqra’ (KI) telah mengadakan rehlah di Tasik UTM yang bertemakan budaya jepun. Rehlah ini dianjurkan bagi menemukan semula dan mengeratkan kembali ukhuwah antara akhawat KI setelah pulang daripada cuti semester. Di samping itu menambah kemahiran memasak dengan belajar membuat rolling sushi.

Pada awalnya, wujud kebimbangan sama ada program ini dapat dijalankan seperti yang dirancang memandangkan hujan turun agak lebat sejak waktu subuh. Namun Alhamdulillah, atas kehendak Allah, hujan agak reda setelah jam 8 pagi dan seterusnya cuaca cerah dan nyaman. Seperti yang dimaklumkan kepada semua yang dapat hadir, waktu berkumpul di Tasik UTM adalah pada jam 8.30 pagi. Ada yang hadir dengan berkenderaan, berjalan kaki dan tidak kurang juga ada yang berjoging. Sementara menanti kehadiran yang lain, akhawat yang telah sampai melepaskan rindu masing-masing dengan bertanya khabar dan ada yang membuat persediaan untuk melancarkan program pada pagi itu.

Pada jam 9.15 pagi, program ini bermula dengan sesi ta’aruf di antara akhawat yang hadir dengan dimulakan dengan bacaan ummul kitab. Dengan membuat satu bulatan yang besar, masing-masing perlu memperkenalkan nama, kursus yang diambil, kolej kediaman dan trademark. Setelah sesi ta’aruf selesai, seterusnya acara memanaskan badan dilakukan dengan diketuai oleh ukhti Akmar.


Sesi Ta'aruf



Bersenam dulu

Lebih kurang jam 9.40 pagi, diadakan penyampaian tazkirah yang disampaikan oleh ukhti Izyani yang menyentuh tentang peristiwa Maal Hijrah. Antara yang disentuh adalah pengorbanan yang dilakukan oleh para sahabat Rasulullah dalam peristiwa penghijrahan Rasulullah dari kota Makkah ke kota Madinah. Di samping itu turut diselitkan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada 10 Muharram.


Sesi tazkirah

Pada jam 10 pagi program diteruskan dengan pembahagian kumpulan yang dikendalikan oleh ukhti Hasyidah. Akhawat yang hadir telah dibahagikan kepada 4 kumpulan yang keahliannya antara enam hingga tujuh orang setiap kumpulan. Setelah itu, mereka dikehendaki menutup mata dan dibawa fikiran mereka membayangkan bahawa mereka sekarang sedang berada dalam bahtera masing-masing dan sedang belayar di lautan luas. Seterusnya mereka ditanya ke mana arah tuju mereka semua, dan sudah pasti jawapan mereka, Jepun!

Setelah pemilihan nakhoda dan pembantu dibuat, setiap kapal dikehendaki berlabuh untuk mencari
Zati Sensei (ukhti Zati Amni) dan mempelajari sesuatu untuk menyelesaikan misi yang bakal mereka lakukan. Tugas ini dilaksanakan oleh nakhoda dan pembantunya. Bagi awak-awak kapal (ahli kumpulan lain) yang tidak terlibat, mereka dikehendaki tinggal di dalam ‘kapal’ dan melakukan tugas-tugas pengurusan ‘kapal’ termasuk kerja pembersihan.


Tunjuk ajar ku Sensei!

Setelah selesai sesi belajar bersama
Zati Sensei, nakhoda dan pembantunya diminta mengambil bahan-bahan yang telah disediakan untuk membuat rolling sushi termasuk roti kosong sebagai makanan sampingan dan bergerak kembali ke ‘kapal’ masing-masing. Seterusnya mengajar kepada awak-awak kapal cara-cara membuat rolling sushi. Setiap kumpulan diberi kebebasan untuk menyediakan rolling sushi mengikut kreativiti masing-masing dengan syarat menggunakan semua bahan yang telah disediakan. Mereka diberi masa satu jam untuk menyediakannya.


Semua mendengar dengan khusyuk apa yang disampaikan



"Step seterusnya macam ni yer"

Pada jam 11.45 pagi, semua kumpulan dikehendaki bergerak ke pelantar yang terletak di tengah tasik dengan membawa bersama hasil kerja kumpulan iaitu rolling sushi yang telah disediakan untuk diadili oleh hakim-hakim jemputan khas. Setelah semua dikumpulkan, seterusnya sesi pengadilan dijalankan untuk memilih kumpulan mana yang berjaya menarik perhatian pengadil dengan menyediakan rolling sushi yang sedap dan menarik. Kumpulan yang membina menara sandwich dan sushi berjaya menarik perhatian pengadil dengan rasa yang sedap manakala untuk hiasan yang menarik, dimenangi oleh kumpulan roti smiley.


Menara Sushi & Sandwich


Roti Smiley :)


Sushi Melayu (tambah serunding)


Sushi + Sandwich + Nasi Kepal

Lebih kurang jam 12.15 program diteruskan dengan acara screaming sushi (makan). Memang saat yang dinantikan oleh semua untuk merasai hasil air tangan masing-masing. Namun
Zati Sensei meletakkan syarat bahawa tidak boleh seorang pun menyuap diri sendiri, tetapi perlu menyuap orang lain dengan menggunakan chopstick yang dibekalkan. Dengan lafaz Bismillah dan doa makan, acara screaming sushi pun bermula. Dengan suasana yang tenang di tengah-tengah tasik, angin sepoi-sepoi bahasa bertiup, terasa begitu nikmat menikmati makanan yang disediakan. Di samping itu, pihak penganjur turut menyediakan bihun goreng sebagai makanan tambahan kepada semua yang hadir. Di penghujung sesi ini, pihak penganjur turut membekalkan beberapa keping roti kepada setiap kumpulan untuk diberi pada ikan-ikan di tasik. Acara ini dipanggil Feeding Frenzy. Alhamdulillah acara screaming sushi telah berjaya dijalankan dengan jayanya dengan melihat setiap talam telah licin bersih. Begitu juga acara Feeding Frenzy.


Screaming sushi time!!


Sayangi makhluk yang lain....

Pada jam 12.45, acara penutup dijalankan. Sesi ini dikendalikan oleh ukhti Tasneem dengan recall semula perjalanan program yang telah bermula sejak awal pagi sehingga jam tersebut. Seterusnya muhasabah program dilakukan sebagai peringatan buat yang hadir. Antara yang dapat disimpulkan ialah:

1. Hijrah: Melalui penghijrahan yang dilakukan contohnya seperti simulasi yang dilakukan dengan belayar ke negara Jepun, dapat mempelajari bahasa dan budaya masyarakat Jepun seperti makanan mereka. Seterusnya dapat membentuk diri ibarat seperti jika dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke tanah menjadi gunung.

2. Syura: Dengan merujuk surah as-Syura, ayat 38, dapat dilihat betapa pentingnya syura itu dalam kehidupan seharian. Selain dapat membina kerjasama di antara ahli kumpulan, ia juga memberi peluang kepada semua yang terlibat untuk memberi pandangan dalam satu-satu keputusan dan seterusnya memutuskan sesuatu keputusan secara berjemaah.

3. Peka/peduli: Tidak hanya memikirkan diri sendiri, tetapi peka dan peduli dengan sekeliling bahawa ada saudara kita dan makhluk lain juga yang perlu kita bantu. Contohnya acara feeding frenzy yang dijalankan. Begitu juga halnya kita dengan saudara seIslam kita yang berada di seluruh dunia yang memerlukan bantuan. Tidak hanya memikirkan keperluan diri sendiri, tetapi turut memikirkan keperluan mereka yang lebih memerlukan.

Sebelum berpisah, majlis ditutup dengan bacaan doa Rabitah seterusnya tasbih Kafarah dan surah al-‘Asr. Semoga program pada hari itu diberkati Allah, InsyaALLAH. Setelah sesi bersalaman antara akhawat yang hadir, masing-masing pulang ke kolej kediaman dengan perasaan gembira dengan kemanisan ukhuwah yang terbina ditambah pula nikmat pengisian hati dan perut.

Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar (dalam menegakkan kebenaran). Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami.

(As-Sajdah, 32:24)

Alhamdulillah, pada 13 hingga 15 November 2009 yang lalu, Kelab Iqra’ UTM telah menganjurkan Kem Kepimpinan Kelab Iqra’ (3KI ’09). Kem ini dianjurkan sebagai persediaan kepada barisan pimpinan Kelab Iqra’ sesi yang baru iaitu sesi 2010 serta rakan exco-rakan exco setiap jabatan dalam meneruskan usaha melaksanakan misi dan mencapai visi Kelab Iqra’ UTM.



Panorama dan pemandangan yang sangat cantik dapat dilihat dari Balai Cerap yang telah menjadi tempat utama berlangsungnya kem ini. Ini terbukti dengan keterujaan para peserta menikmati pemandangan kejadian alam di sepanjang kem sambil tidak lepas mengambil gambar sebagai foto kenangan.

SubhanaLlah..pemandangan yang cantik di atas bangunan balai cerap

Kem 3KI '09 dimulakan pada petang hari Jumaat 13 November dengan sesi taaruf di mana setiap peserta diminta memperkenalkan diri masing-masing. Bagi peserta akhawat,mereka dikehendaki menjawab 10 soalan yang berkaitan diri peserta dan fasilitator kem dalam masa yang singkat. Suasana gamat dan ceria yang berlaku adalah permulaan terbaik dalam pembinaan ukhuwah sesama peserta dan fasilitator di dalam kem ini..



Ukhuwah fiLlah..abadan abada. Akhawat 3KI '09

Pada malamnya pula, para peserta telah disedarkan minda, dikejutkan dari lena dengan penerangan tentang konsep ar-Rijal yang harus diserapkan dalam setiap diri masing-masing. Semangat ar-Rijal mesti diperolehi setiap manusia yang juga bergelar pemimpin yang bakal menegakkan syariah di muka bumi ini serta bertanggungjawab dalam menyingkir karat-karat jahiliyah yang telah berkampung dalam jiwa masyarakat. Pemimpin yang dicari bukanlah hanya mengarah tetapi memimpin dalam menghembus kefahaman tauhid dan aqidah ke dalam jiwa pengikut-pengikutnya di samping mengetuai mereka dalam mencegah kemungkaran dan menyeru pada kebaikan.

Slot yang dinamakan Expect the Unexpected ini membawa para peserta akan kepentingan mereka sebagai ar-Rijal dan mementingkan aspek tarbiyah melalui sistem usrah yang teratur untuk membawa perubahan ke arah mencapai mencapai Ustazi'atul alam (berdasarkan 7 maratib amal).

Pada keesokan paginya, para peserta diberi penerangan tentang syura dalam slot yang disampaikan oleh bekas presiden Kelab Iqra' sesi 2009. Slot yang bersandarkan pengertian dari petikan surah As-Syura ayat 38 ini menekankan betapa pentingnya syura dalam sesuatu organisasi terutama dalam melaksanakan sesuatu berkaitan pembaikan ummah. Pendekatan syura ini penting untuk meningkatkan keupayaan ahli-ahli syura menyelesaikan masalah dan memecahkan permasalahan yang berlaku.

Selepas makan tengah hari dan solat Zohor, slot Halatuju yang dikendalikan oleh En. Baharin pula menyusul. Slot yang banyak melibatkan perbincangan ini menekankan 5 KRA (Key Result Area) yang penting dalam mengukuhkan perlaksanaan program dalam Kelab Iqra’ iaitu Tarbiyyah dan Pembangunan Sumber Manusia, Pemantapan Organisasi, Hubungan Luar, Dana dan Ekonomi, dan Kebajikan.

Slot seterusnya berlangsung di malam hari iaitu slot Amal Jami’ie yang telah disampaikan oleh PM Dr Zaharuddin Mohamed. Slot ini pada permulaannya menekankan kewajipan melaksanakan dakwah dan keperluan beramal untuk Islam yang bersandarkan dari petikan surah Al-Baqarah ayat 159. Amal jamai’ie yang ditakrifkan sebagai amal yang diputuskan oleh tanzim berdasarkan manhaj tertentu untuk mencapai matlamat tertentu, mengetengahkan bahawa ia menjadi satu keperluan bagi meningkatkan kefahaman para peserta tentang beramal secara individu dan berjemaah di mana dari sudut syari’e berdakwah adalah satu kewajipan individu, manakala dari sudut perlaksanaannya ia menjadi tanggungjawab secara kolektif (berjemaah). Slot ini diakhiri dengan aktiviti LDK di mana peserta dikehendaki memberi pendapat berkaitan dengan amal jamaie berdasarkan video-video yang ditayangkan.

Pada hari ketiga, slot Ikhtilat telah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Kilani. Slot pengisian yang terakhir ini menjelaskan batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan yang berpandukan pengertian dari petikan surah At-Taubah ayat 71 hingga 72 yang menunjukkan persamaan lelaki dan perempuan dalam melaksanakan tuntutan Allah SWT. Yang membezakan antara mereka adalah dari segi perbatasan, di mana kaum wanita lebih banyak yang perlu dijaga apabila bergaul dengan kaum lelaki. Slot ini penting dalam meningkatkan kefahaman peserta tentang batas pergaulan yang perlu dijaga terutama apabila melaksanakan sesuatu urusan aktivisme yang sememangnya banyak melibatkan pertemuan dan perbincangan antara ikhwah dan akhawat.

Slot terakhir sebelum peserta mengemas beg untuk pulang adalah slot aktiviti yang melibatkan aplikasi dari semua slot yang telah disampaikan kepada peserta-peserta 3KI '09. Slot yang mempunyai 5 checkpoint ini banyak menggunakan kekuatan minda daripada fizikal. Keupayaan peserta dalam mengaplikasi apa yang difahami dari setiap slot yang telah didengari menjadi objektif utama slot ini

Antara tugasan yang dijalankan di sepanjang slot Aktiviti

Di check point sarang labah-labah

Secara keseluruhannya, kem 3KI '09 ini sememangnya penting dianjurkan kepada penggerak-penggerak Kelab Iqra’ bagi meningkatkan kefahaman mereka mengenai kepimpinan dan keupayaan menyelesaikan masalah dalam jamaah apabila melaksanakan sesuatu program. Semoga kem kepimpinan ini dapat melahirkan lebih ramai saff ar-Rijal yang bakal menegakkan kembali syiar Islam yang menjadi misi dakwah para tabi’in semenjak kejatuhan Islam yang suatu ketika dahulu pernah gemilang. Wallahu a’lam.

Nukilan: Zati Amni @ Farhana binti Ismahadi
Timbalan Ketua Jabatan Penerangan dan Penerbitan (JPDP)
KI '09 sesi 2010


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kelab Iqra' UTM on Facebook