Jika ada sebarang pertanyaan, masalah, aduan, cadangan, dan apa-apa sahaja yang perlu mendapatkan maklumat, kefahaman, tindakan atau apa-apa yang lanjut berkaitan dengan kami, bolehlah menghubungi kami secara terus di:

iqra[titik]utm[di]gmail[titik]com

Pihak kami akan mencuba membalas dengan sesegera mungkin. Segala kerjasama dan bantuan dari pihak anda amatlah kami hargai!

jadi pengikut blog KI

Thursday, October 22, 2009

This blog is under renovation

Maaf, ada sedikit gangguan... Mungkin anda hanya akan nampak template putih sahaja sebagai kesannya.
Teruskan membaca...

Saturday, October 17, 2009

Gambaran Umum KI


Assalamu’alaykum warahmatuLlah wabarakatuh!

AlhamduliLlah kita bersyukur kepada Allah SWT, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar kita, nabi Muhammad yang merupakan penghulu sekalian ambiya’ dan juga penutup para Rasul. Juga kepada kaum keluarga baginda, sahabat-sahabatnya serta barangsiapa yang mengikuti mereka dengan ihsan sehingga hari kiamat.

Sebelum memulakan bicara, saya ingin membacakan sepotong ayat dari al-Qur’an:


"Kamu telah dijadikan sebaik-baik ummah yang telah dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran, dan kamu beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, maka yang demikian itu lebih baik bagi mereka. Dari kalangan mereka ada yang beriman dan kebanyakan dari mereka adalah orang-orang fasiq"
(Aali ‘Imran, 3:110)

Saya juga berasa senang untuk membawakan sebuah hadith nabi SAW kepada ikhwah dan akhawat sekalian:

عن عبد الله بن عمر - رضي الله عنهما - أن رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول:
"كلكم راعٍ وكلكم مسؤول عن رعيته. الإمام راعٍ ومسؤول عن رعيته، والرجل راعٍ في أهله وهو مسؤول عن رعيته، والمرأة راعية في بيت زوجها ومسؤولة عن رعيتها، والخادم راعٍ في مال سيده ومسؤول عن رعيته."
"Setiap dari kamu adalah pemimpin dan setiap dari kamu bertanggunjawab atas kepimpinannya. Seorang imam (Ketua Negara) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang suami (bapa) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Orang gaji adalah pemimpin kepada harta benda yang diamanahkan kepadanya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu."
(Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ahmad)

‘Amma ba’du!

AlhamduliLlah kita bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan keizinannya kita dapat sampai ke akhir tahun 2009 ini. Dan sampainya kita ke sini setelah kita melalui pelbagai mehnah dan tribulasi sepanjang tahun tersebut. Adakalanya Allah memberikan kepada kesenangan dan kemudahan ketika melakukan tugas, dan ada pula masa-masa yang kita lalui memerlukan kita untuk banyak bersabar dan bersabar. Tetapi akhirnya segala tugas yang dilakukan adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah, sama ada ianya berat atau ringan.

Saya telah membacakan kepada ikhwah dan akhawat sekalian sepotong ayat yang sangat releven buat kita sepanjang masa. Iaitu sepotong ayat yang meyebut bahawa: “Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran, dan kamu juga beriman dengan Allah.” Ayat ini menggambarkan satu tasawur yang cukup jelas bagi kita, bahkan sekiranya kita mengambil ia dalam konteksnya yang penuh (yakni dengan mengambil maksud dari ayat 102 hingga 110), kita akan melihat dari perspektif yang cukup jelas tentang tujuan kita, apa yang harus kita lakukan dan bagaimana untuk kita sampai ke tujuan kita. Kejelasannya umpama melihat bulan purnama pada malam yang gelap geilta dan tiada awan.

Allah telah mengingatkan kepada kita bahawa tujuan hidup kita adalah untuk menjadi seorang hamba yang bertaqwa kepadaNya, dan Dia juga telah meletakkan satu piawai ketaqwaan di dalam hal ini; dengan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Hal ini jelas disebutkan di dalam ayat:


“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan muslim (sepenuhnya menyerah diri kepada Allah tanpa menyimpankan walau sedikitpun untuk diri sendiri)”
(Aali ‘Imran, 3:102)

Tetapi masalahnya, adakah boleh mencapai darjat ketaqwaan tersebut dengan begitu sahaja? Dari tidak mempunyai apa-apa, tiba-tiba terus mendapat sesuatu yang sangat besar? Tanpa melalui jalannya yang betul? Tidak sama sekali! Segala matlamat yang benar wajib diperoleh atau dicapai melalui jalannya yang betul. Jadi, untuk memastikan kita dapat mencapai dan bergerak ke arah darjat ketaqwaan tersebut, Allah telah menyatakan bahawa; “hendaklah ada dari kalangan kamu yang mengajak kepada kebaikan…” (3:104). Hal ini diingatkan sekali lagi (3:110) dengan menyatakan pula bahawa kita adalah ummah yang terbaik sekiranya kita melakukan tiga perkara ini; (1) menyuruh kepada ma’ruf, (2) mencegah kemungkaran dan (3) beriman kepada Allah.

Malangnya, ramai dari kalangan manusia hanya melihat hal “menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada memungkaran” dari perspektif yang sempit. Sedangkan kita, harus melihatnya dari perspektif yang sangat luas. Apa yang saya cuba maksudkan di sini ialah kita harus mengetahui apakah ma’ruf yang paling besar dan apakah kemungkaran yang paling besar. Kemudian yang keduanya ialah kita harus mengetahui jalannya pula untuk melaksanakan kedua-dua perkara tersebut.

Apakah ma’ruf yang paling besar? Ia adalah menanamkan kalimah Allah agar ia menjadi yang tertinggi di dalam hati manusia. Dan apakah pula kemungkaran yang paling besar? Ia adalah perbuatan mensyirikkan Allah. Kita mengetahui bahawa syirik ialah mempersekutukan Allah dalam apa-apa hal sekalipun, sama ada dalam hal yang jelas lagi nyata seperti menyembah makhluk lain, dan juga dalam hal yang tersembunyi, mempercayai tentang khurafat dan yang seumpama dengannya. Dari definisi ini, kita dapat katakana bahawa perbuatan mencegah daripada kemungkaran yang terbesar ialah usaha untuk membuang dan menghancurkan segala syirik yang wujud, di dalam hati mahupun yang zahir.

Persoalannya, bagaimana kita ingin melakukan kesemua hal yang telah saya sebut tadi? Tidak boleh tidak ianya harus melalui satu proses pembentukan yang rapi.

Ikhwah dan akhawat yang ana kasihi!

Program apakah yang dengannya kita dapat melakukan proses pembentukan yang rapi tersebut? Ia adalah dengan melalui segala program tarbiyah dengan penuh bersungguh-sungguh dan berusaha juga untuk mentarbiyah orang lain. Dalam konteks ini, Kelab Iqra’ telah menjadikan tarbiyah sebagai jalan utama kita.

Tarbiyah ialah satu proses pembentukan keperibadian muslim sehingga mecapai sepuluh cirinya. Ia adalah memperbaiki (islah) diri sendiri sehingga seseorang itu memiliki aqidah yang sejahtera, ibadah yang betul, akhlak yang mantap, kuat tubuh badan, mampu berdikari, mampu bermujahadah melawan nafsu, keluasan fikrah, teratur dalam urusan, sangat menjaga waktu dan bermanfaat buat yang lainnya. Inilah sepuluh ciri yang kita harapkan dapat dibentuk dalam setiap ahli Kelab Iqra’.

Dalam hal ini, Kelab Iqra’ telah menjadikan usrah atau halaqah al-Qur’an sebagai tunjang tarbiyah. Tanpa mengikuti usrah, kita meyakini bahawa segala usaha-usaha yang lain akan menjadi sia-sia, atau setidak-tidaknya dikhuatiri amal-amal Islami yang dilaksanakan tidak mampu untuk dijadikan sebagai amal yang konsisten.

Walaubagaimanapun, hanya mengikut usrah sahaja adalah sangat-sangat tidak mencukupi. Ia umpama sebuah rumah yang hanya ada kerangkanya sahaja tanpa ada dinding atau atau atapnya. Bagi melengkapkannya, dinding harus dibuat dan atap harus dibina. Seandainya tiada kedua-dua elemen ini, maka tidak lengkaplah rumahnya. Begitu juga tarbiyah, usrah sahaja tidak mencukupi kita memerlukan kepada program-program sokongan yang lain untuk memenuhi keperluan tarbiyah. Tanpa program-program sokongan yang lain tersebut tarbiah tidak akan sempurna.

Maka atas dasar ini, Kelab Iqra’ telah menganjurkan banyak program pada tahun 2009 untuk menampung keperluan yang mendesak ini. Antaranya ialah, program Kem Semayam Ukhuwah Mahasiswa (KESUMA), Kem X-REK (Ekspidisi Mahasiswa Kental), Kursus Pemantapan Fasilitator (KPF), Bengkel Pengurusan Organisasi (BPO), Kem Generasi al-Qur’an (GenQ) dan lain-lain.

Kita juga menunjukkan komitmen untuk tidak mengorbankan aspek tarbiyah di dalam kerja-kerja dan tindakan-tindakan Kelab Iqra’. Seandainya ada perkara-perkara yang mendatang secara tiba-tiba yang memerlukan tindakan daripada Kelab Iqra’, maka aspek program tarbawi Kelab Iqra’ lah perkara pertama yang akan dilihat dan dinilai.

Namun demikian, hanya mengikuti program sahaja masih tidak mencukupi. Ia umpama pepetah arab yang mengatakan; ilmu tanpa amal umpama pokok tanpa buah. Ilmu yang apabila tidak diamalkan dengannya, ia umpama sepohon pokok yang diharapkan buahnya tetapi ia tidak berbuah. Akhirnya semua orang yang mengikuti usrah dan program-program sokongan yang lain perlu turut bekerjasama di dalam menjayakannya; sebagai seorang penggerak yang aktif. Bagaimana mungkin kalimah Allah ditegakkan di muka bumi tanpa ada usaha yang dibuat? Maka benarlah kata-kata RasuluLlah SAW yang diriwayatkan oleh ad-Daylami:
“Bukanlah al-Iman itu dengan angan-angan dan bukanlah juga dengan perhiasan. Tetapi ia adalah apa yang diqrarkan di dalam hati dan dibenarkan dengan amal”

Akhirya, apa yang diharapkan ialah supaya kita sama-sama berganding bahu untuk terus menerus beristiqamah dengan jalan amal ini. Saya ingatkan kembali bahawa kita perlu jelas dengan matlamat kita untuk mengejar darjat ketaqwaan. Kemudian jalan yang harus ditempuhi ialah jalan yang melakukan amar ma’ruf nahi mungar. Bagaimana untuk melaksanakannya ialah melalui program-program tarbiyah, yang mana tunjangnya adalah usrah. Tetapi medan cakap tidak sama dengan medan amal, maka semua ahli dituntut untuk bekerja apabila sudah sampai masanya untuk dia bekerja. Kita harus bekerja dengan ikhlas, kerana pada akhirnya Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman akan melihat amalan kita pada hari akhirat kelak.


“Dan Katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.”
(Surah at-Tawbah, 9:105)

Sekian dari saya. Aqulu qawli haza astaghfiruLlah li walakum.

Assaalamu’alaykum warahmatuLlahi wabarakatuh!

Presiden Kelab Iqra’ 2009
Kelab Iqra’ UTM
(Ucapan Dasar Presiden Ketika AGM KI)
Teruskan membaca...

Friday, October 16, 2009

Laylu Iqra' '09

Pada tanggal 9 Oktober 2009, Jabatan Kebajikan dan Tugas-Tugas Khas, Kelab Iqra’, Universiti Teknologi Malaysia telah menganjurkan majlis malam gemilang untuk semua ahli Kelab Iqra iaitu Majlis Laylu Iqra’ 09. Majlis yang diadakan pada setiap tahun ini, bertujuan untuk mengeratkan silaturahim di antara ahli kelab lama dan yang baru. Selain itu juga, majlis ini diadakan untuk meraikan serta memberi penghargaan kepada ahli-ahli kelab yang telah banyak menabur budi kepada kelab. Pada tahun ini, Dewan Merdeka Kolej Rahman Putra telah dipilih sebagai tempat untuk majlis ini dilangsungkan.

Seawal pukul 3 petang semua ahli jawatankuasa program telah berkumpul di Dewan Merdeka, untuk menjalankan rehearsal sebelum program bermula. Ini bertujuan untuk memastikan program berjalan dengan lancar. Selain itu juga, ahli jawatankuasa yang lain berpeluang untuk menyelesaikan segala kerja yang belum sempurna seperti hiasan dewan, latar belakang pentas dan gimik perasmian majlis.

Majlis bermula seawal pukul 8.00 malam. Pada waktu itu, peserta telah mula mendaftarkan diri dan setiap peserta dikenakan yuran sebanyak RM5.00. Lebih kurang seramai 124 peserta telah hadir untuk bersama-sama memeriahkan majlis ini. Peserta juga terdiri daripada bukan ahli Kelab Iqra’. Majlis turut dihadiri oleh tetamu kehormat, Kelab Iqra’ iaitu En. Baharin bin Mesir, Dr. Faizul Amri bin Adnan dan Ustazah Farahwahidah binti Yusof.

Ketika majlis ini dijalankan, ‘Asim Abdullah bin Ainollutfi dan Ahmad Adnin Syazwan bin Ahmad Sukarno, telah diberi mandat mengendalikan pengacaraan sepanjang program berlangsung. Majlis dimulai dengan bacaan doa oleh Ahmad bin Mustafa Din. Seterusnya, majlis diserikan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Mohd Kamal bin Othman dan penterjemahnya ialah Khairul Nizam bin Md Husin.

Majlis dirasmikan oleh En Baharin bin Mesir iaitu salah seorang badan perunding Kelab Iqra’. Pada malam itu juga majlis dimeriahkan dengan persembahan deklamasi sajak oleh saudara Izzat bin Hassan dan juga persembahan nasyid oleh kumpulan Voice of Man. Kumpulan Voice of Man telah mendendangkan 2 buah lagu yang bertajuk Anugerah Terindah dan sebuah lagu raya.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan agenda utama iaitu penyampaian anugerah kepada ahli-ahli kelab yang telah banyak memberi sumbangan kepada kelab. Anugerah Akademik Terbaik, adalah anugerah yang disampaikan kepada ahli kelab iqra’ yang telah banyak menjalankan program bersama-sama kelab namun masih dapat mengekalkan prestasi akdemik yang baik. Bagi anugerah akademik terbaik bagi lelaki, diberikan kepada saudara Mohamad Amir Imran bin Hasli. Manakala bagi perempuan pula diberikan kepada saudari Nurul Iman bin Haji Abdul Jalil. Seterusnya, bagi anugerah Program Terbaik disandang oleh program X-REK (Ekspedisi Remaja Kental) yang diarahkan oleh saudara Ahmad bin Mustafa Din. Bagi anugerah Keringat Emas (KRIMAS) diberikan kepada saudara Mohemed Seroleh bin Ohman. Manakala anugerah SRIKANDI, deiberikan kepada saudari Noor Diyana binti Kamaruddin.

Majlis tamat pada pukul, 11.30 malam. Kemudian diteruskan dengan majlis bergambar untuk semua peserta yang hadir. Kesimpulannya, secara keseluruhan majlis ini dapat mencapai objektifnya, di mana ahli-ahli kelab yang baru dapat mengenali ahli-ahli kelab yang lama dan mengeratkan silaturrhim yang terbina.

(NURUL FATIHA QALBI BINTI KAMARUDIN)







Teruskan membaca...

Sunday, October 11, 2009

Majlis Tertinggi Tahun 2010

Setelah berlalu AGM (Mesyuarat Agung Tahunan), barisan majlis tertinggi yang baru telah dilantik. Semoga saff yang baru yang bakal memimpin Kelab Iqra' untuk tahun 2010 berjaya dalam menjalankan amanah dengan cemerlang. Bak kata tema program pada tahun ini; Generasi al-Qur'an, Kepimpinan Harapan, Pemacu Masa Hadapan. Moga kita dapat memastikan al-istimrariyatul 'amal dalam medan da'wah ini. Insya Allah!

Majlis tertinggi tahun 2009, kini menjadi para mantan.

Barisan Majlis Tertinggi yang baru untuk tahun 2010.

Presiden:
Ahmad bin Mustafa Din

Timbalan:
Mohamad Amir Imran bin Mohd Hasli
Nur Izyani binti Dzulkipli

Setiausaha:
Azizi bin Johari
Izzah Atiqah binti Norkhair

Bendahari:
Mohd Hafiz bin Mohd Noor
Tasneem binti Nasharudin

Yang lain-lain belum ditentukan lagi. Bakal ditentukan di dalam perjumpaan barisan MT yang baru. Moga da'wah di bumi UTM semakin rancak dipergiatkan..!
Teruskan membaca...

Saturday, October 10, 2009

Kita, Kepimpinan dan Umat

Oleh: Siti Hajar Bt Arbain(2SSM) & Tasneem Bt Nasharudin(2SSM)

Firman Allah yang bermaksud, “Iaitu mereka (umat Islam) Yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara Yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan Segala urusan”. Al-Hajj, ayat 41.

Alhamdulillah, marilah bersama-sama kita melafazkan kesyukuran kita ke hadrat Allah SWT di atas kurniaan terbesar dariNya yakni nikmat iman dan Islam yang masih kita rasakan sehingga ke saat ini. Tidak dapat diperkatakan melalui lisan mahupun tulisan, betapa besarnya nikmat ini jika ingin dibandingkan dengan nikmat-nikmat yang lain, yang sememangnya tidak semua insan dapat merasai kemanisan dan keindahan dua nikmat ini. Setelah berlalunya sebulan Ramadhan, bulan untuk kita sebagai umat Islam “bermesra” serta berkasih-sayang dengan Allah SWT dengan ibadat-ibadat puasa, terawih dan amalan-amalan sunat yang lain, kita dipertemukan pula dengan bulan silaturrahim yang penuh tersirat dengan rahmat dan kebesaran Allah SWT yakni bulan Syawal.

Begitulah kehidupan kita ini berulang dengan setiap saat kerdipan mata kita meneruskan kehidupan ini adalah merupakan satu rahmat yang kadang-kala tidak kita sedari. Siapa sangka, di kalangan kita yang masih berpeluang meneruskan perjuangan meniti jambatan panjang kehidupan ini, masih ada segolongan manusia yang kadang-kadang menyinggah sebentar di tepian sekadar berehat-rehat melihat keindahan tasik. Lebih malang lagi apabila segolongan mereka ini tidak mahu meneruskan perjalanan, bahkan terus asyik menikmati keindahan tasik-tasik serta pemandangan sekeliling sehingga melupakan destinasi sebenar yang ingin dituju di penghujung jambatan tersebut. Begitulah realitinya, kita sendiri mungkin kadang-kadang termasuk dalam golongan yang menyinggah di tepian itu, sehingga kadang-kadang terlupa bahawa destinasi kita sebenar masih belum ditemui. Kerana lemahnya iman, diri kita kadang kala menjadi mangsa terhadap tipu daya keindahan tasik-tasik di tepian itu yang disama ertikan dengan keindahan dunia ini sedangkan hakikatnya, penghujung jambatan yakni kematian merupakan destinasi kita di dunia ini. Kemudian, selepas tamatnya jambatan itu yakni setelah menemui kematian, maka bermulalah perjalanan sebenar kita di alam yang lain pula.

Ustaz Pahrol Mohd Juoi, seorang penulis yang pernah mengendalikan sebuah ceramah di UTM suatu ketika dahulu, pernah mengingatkan dalam ceramahnya, “pentingnya hidup di dunia ini adalah kerana adanya kehidupan akhirat”. Di sinilah tergambar kepada kita, betapa pentingnya setiap saat kehidupan di dunia ini untuk kita tanam benih-benih ibadat yang akan kita tuai ketika di alam akhirat nanti. Namun, persoalan yang timbul di sini, apakah kita ingin melihat rakan-rakan kita terus dibuai mimpi termenung melihat dan menikmati keindahan dunia semata-mata? membiarkan hanya kita sahaja meneruskan perjuangan? Tidakkah kita menginginkan sahabat-sahabat yang kita kenali tatkala di dunia ini, untuk kita dipertemukan semula untuk kedua kalinya di syurga kelak, setelah kematian memisahkan kita?

Firman Allah SWT yang bermaksud, “dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". Al-Baqarah, ayat 30.

Di sinilah, konsep kita dan kepimpinan perlu hadir dalam setiap individu yang merasakan dirinya masih bernafas dan berkemampuan untuk saling mengajak serta mengingatkan sahabat-sahabat di sekeliling kita. Firman Allah SWT dalam surah Al 'Asr ayat tiga yang bermaksud, “Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”.

Kepimpinan bukanlah hanya tertumpu kepada sebuah organisasi semata-mata, bukan juga hanya tertumpu kepada kepimpinan negara semata-mata, malah diri kita dan kepimpinan juga haruslah sentiasa digabungkan. Dari Abdullah bin Umar r.a. memberitakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “ setiap orang adalah pengembala (penjaga, pemimpin) dan setiap dari kamu akan ditanya (bertanggungjawab) terhadap pengembalannnya (urusan)”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis ini, Rasulullah SAW menegaskan bahawa setiap dari kita ini tidak kira sesiapa pun kita, adalah seorang pemimpin, baik dalam memimpin sebuah negara mahupun hanya memimpin diri sendiri. Walaupun dalam kelompok yang kecil, kepimpinan merupakan aspek terpenting, malah Rasulullah SAW juga pernah mengingatkan walaupun hanya tiga orang dari sahabat baginda sedang melalui suatu perjalanan bersama, maka lantiklah jua seorang ketua yakni pemimpin di kalangan mereka. Namun, dalam pembentukkan masyarakat Islam yang ingin benar-benar memahami Islam sepenuhnya, yang bangkit dari kejahilan ilmu dan iman, proses kepimpinan penting untuk diterajui dalam gabungan suatu kelompok individu. Di mana ia telah menerapkan kepimpinan dalam dirinya terlebih dahulu, untuk memacu suatu perjuangan yang lebih besar cabarannya. Kepimpinan merupakan suatu “seni” yang mengarah kepada suatu proses untuk menggerakkan sekumpulan manusia menuju ke suatu tujuan yang telah ditetapkan dengan mendorong mereka bertindak dengan cara yang tidak memaksa kerana mereka mahu melakukannya. Kepimpinan yang baik menggerakkan manusia ke arah jangka panjang yang merupakan kepentingan mereka yang terbaik. Fenomena umat Islam kini yang semakin hari semakin ditindas, semakin merosot jati diri Islamnya dan makin ditundukkan, amat memerlukan sebuah kepimpinan yang dapat membawa suatu perubahan jangka panjang seperti suatu ketika dahulu yang mana pernah bangkit malah pernah maju.

Kita sebagai seorang mahasiswa muslim, seharusnya menjadi tunggak utama sebuah perubahan ke arah zaman pemerintahan khalifah mashyur terdahulu seperti Umar al-khatab, Abdul Malik bin Marwan, Harun Ar-Rashid, Salahuddin Al-ayubi dan lain-lain. Lihatlah sekarang, Andalusia telah terhapus daripada lembaran Islam. Sedihnya melihat Aljazair, Tunisia, Bosnia Herzegovina, Kurdi dan Iraq. Di manakah penyambung warisan khilafah yang disebut dan dibanggakan itu? Pastinya, tiada yang mampu menjawab persoalan ini jika bukan kita, sebagai penyambung dalam menegakkan panji-panji kepimpinan Islam yang mahsyur untuk kembali menegakkan keadilan bagi umat seluruh dunia. Kerana itu, wahai roh-roh yang rindukan zaman kegemilangan itu, sematkanlah kepimpinan Islam yang sebenar, bermula dari dirimu untuk sama-sama bergerak dalam kelompok yang ikhlas untuk memimpin umat ke arah kepimpinan Islam. Fikirkanlah, pernahkah Rasulullah SAW menggunakan kekuasaannya demi mencari kesenangan dunia? Apakah orang-orang yang telah meninggalkan nama baik seperti Umar al-Khatab, tamak akan dunia yang fana? Kejayaan umat terdahulu adalah kerana keikhlasan pemimpin yang sentiasa rela berkorban demi menolong agama dan mengangkat darjat kaum muslim tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Seorang pemimpin yang baik bukanlah mereka yang hanya memimpin mengikut acuan sendiri tanpa melalui proses syura dan musyawarah. Pemimpin yang benar adalah mereka yang sedia menerima teguran mahupun kritikan dalam sebarang tindak tanduknya menjalankan proses kepimpinan. Lihatlah bagaimana sifat Saidina Umar al-Khatab yang suatu ketika pernah bertanya kepada umat Islam ketika itu, apakah yang akan dilakukan oleh mereka sekiranya beliau melanggar prinsip-prinsip Islam? Kemudian seorang lelaki muncul memberitahu akan meluruskannya dengan sebilah pedang. Lantas Saidina Umar mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana masih ada orang di lingkungan umat itu yang ingin memperbetulkan kesalahannya. Khalifah Malik bin Marwan juga pernah berpendapat, “semulia-mulia manusia adalah orang yang mempunyai adab yang merendah diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalasnya, dan bersikap adil ketika kuat”. Pemimpin sebeginilah yang kita harapkan untuk merintis kebangkitan Islam sebenar. Dalam Islam, kisah nabi dan rasul dibentangkan di dalam lembaran al-Quran untuk dijadikan contoh dan ikutan. Kejayaan mereka tidak diukur dari aspek ramainya pengikut, tercapainya matlamat atau banyaknya pembangunan yang dilaksanakan, bahkan ianya dinilai menerusi kegigihan dan keikhlasan serta ketegasan mereka menyampaikan risalah tauhid. Kejayaan mereka diukur daripada penunaian amanah sebagai pembawa risalah tauhid, untuk memenuhi tugas sebagai hamba Allah dan khalifahNya dimuka bumi. Wallahu’ alam..
Teruskan membaca...

Wednesday, October 7, 2009

LAYLU IQRA' '09


Laylu Iqra' datang lagi.. Majlis Penghargaan & Sambutan Hari Raya Kelab Iqra datang lagi tahun ni... Cepat sahkan penyertaan anda dengan sms nama ke nombor ajk diatas..Bayaran hanya RM5 sahaja.. Cepat2, tempat terhad..
Teruskan membaca...

Tuesday, October 6, 2009

mesyuarat agung tahunan ke-15


(). (). Teruskan membaca...

Thursday, September 17, 2009

Saki-baki Ramadhan

Masih ada dua hari setengah lagi sebelum masuk ke bulan baru. Sejauh manakah kita telah mencapai tujuan Ramadhan; Taqwa? Sejauh mana kita merasai perasaan iman dan keinsafan sepanjang 27 hari yang lalu? Sehingga akhirnya Allah memberikan keampunan ke...pada kita?

Umar pernah berkata: Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab!

Kelab Iqra' mengucapkan selamat menghidupkan saki baki Ramadhan yang ada. Mudah-mudahan mendapat keampunan dan rahmat Allah... Teruskan membaca...

Saturday, September 12, 2009

Malam Laylatul Qadar

(1)Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan. (2)Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? (3)Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. (4)Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. (5)Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. (al-Qadr, 97:1-5)

Dalam suatu riwayat dikemukakan bahwa Nabi (SAW) bermimpi melihat Bani Umayyah menduduki dan menguasai mimbarnya setelah beliau wafat. Beliau merasa tidak senang kerananya. Maka turunlah (108:1) dan (97:1-5) untuk membesarkan hati beliau.
(Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan al-Hakim dan Ibnu Jarir yang bersumber dari al-Hasan bin Ali)

Keterangan:
Al-Qasim al-Hirani menyatakan bahawa kerajaan Bani Umayyah itu ternyata berlangsung tidak lebih dan tidak kurang dari 1000 bulan. Menurut at-Tirmidzi, riwayat ini Gharib sedang al-Muzani dan Ibnu Katsir menyebutnya sangat munkar.

Dalam suatu riwayat dikemukakan bahawa Rasulullah (SAW) pernah menyebut-nyebut seorang Bani Israil yang berjuang fii sabilillah menggunakan senjatanya selama seribu bulan terus menerus. Kaum muslimin mengagumi perjuangan orang tersebut. Maka Allah menurunkan ayat (97:1-3), bahawa satu malam laylatul qadr lebih baik daripada perjuangan Bani Israil selama 1000 bulan.
(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan al-Wahidi yang bersumber dari Mujahid)

Dalam riwayat lain dikemukakan bahwa di zaman Bani Israil terdapat seorang laki-laki yang beribadah malam hari hingga pagi dan berjuang memerangi musuh pada siang harinya. Perbuatan itu dilakukan selama seribu bulan. Maka Allah menurunkan ayat (97:1-3) yang menegaskan bahwa satu malam laylatul qadr lebih baik daripada amal 1000 bulan Bani Isra'il tersebut.
(Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir yang bersumber dari Mujahid)

Sumber: Materi Tarbiyah Digital.
Teruskan membaca...

Keikhlasan Yang Dicari


Oleh: Nurul Iman Binti Abdul Jalil (SHY)

Assalamu’alaikum…

Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT dengan rahmat serta kasih sayangNya dan selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Rasulullah SAW, keluarga Baginda dan juga para sahabat. Alhamdulillah sekali lagi kerana kita masih lagi diberi kesempatan untuk menjalani ibadah puasa di bulan yang penuh keberkatan ini. Masa pantas berlalu dan sedar tak sedar kita sudah melepasi fasa kedua Ramadhan iaitu maghfirah atau keampunan dan kita baru sahaja memasuki fasa terakhir iaitu dijauhkan dari api neraka. Di mana pada fasa ini, beruntunglah kepada sesiapa yang dapat mengejar Lailatul Qadar yang penuh dengan keberkatan dan kebaikan. Beramal pada malam tersebut adalah 1000 kali lebih baik daripada malam yang lain.

Dalam memburu Lailatul Qadar ini, marilah kita bersama-sama muhasabah kembali adakah segala amalan yang telah kita lakukan pada bulan Ramadhan dan pada bulan sebelumnya dilakukan ikhlas kerana Allah SWT atau tidak. Ikhlas ini akan terbit jika dimulakan dengan niat yang hanya kerana Allah SWT. Keikhlasan bererti memenuhi perintah Allah tanpa mempertimbangkan keuntungan peribadi atau balasan apa pun. Seseorang yang ikhlas akan berpaling kepada Allah dengan hatinya dan hanya ingin mendapatkan redhaNya atas setiap perbuatan, langkah, kata-kata dan doanya. Jadi, ia benar-benar yakin kepada Allah dan mencari kebajikan semata. Allah berfirman yang bermaksud,
"... Sesungguhnya, orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.
(Surah al-Hujurat:13)

Ikhlas ini merupakan sesuatu yang amat penting dalam kita melakukan segala aktiviti seharian kerana ia merupakan syarat diterimanya amalan kita yang berlandaskan sunnah Rasulullah SAW dan Allah juga sentiasa memerintahkan kita untuk selalu ikhlas dalam beramal. Ini kerana ikhlas kerana Allah adalah syarat diterimanya amalan kita. Selain itu,ikhlas adalah parameter keberhasilan setiap langkah amal, bukti kecintaan, bukti kualiti diri seorang hamba dihadapan Khaliqnya (penciptanya). Jika kita melakukan suatu amalan, walaupun berdarajat amalan soleh, apabila ia tidak dilakukan dengan penuh keikhlasan, maka kita tidak akan mendapat balasan pahala dari Allah SWT.

Saudara-saudara seislamku, sudah menjadi lumrah seroang mukmin sentiasa menjadi sasaran iblis untuk disesatkan. Namun jika segala amal yang dilakukan dengan penuh keikhlasan mampu menyelamatkan setiap mukmin dari tipu daya iblis laknatullah, seperti firman Allah yang bermaksud,
“(Iblis) menjawab, “Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka (manusia) semuanya. Kecuali hamba-hambaMu yang mukhlis (orang yang ikhlas) di antara mereka”.
(Surah Sod:82-83)

Namun, ternyata jalan menuju keikhlasan tidaklah semudah yang disangkakan, kerana terdapat sangat banyak onak dan duri yang bertebaran dijalannya. Sungguh amat banyak tipu muslihat yang boleh menggelincirkan setiap kita dari beramal ikhlas, dari mulai takjub pada kelebihan diri sendiri, riya’ dan segala penyakit hati sehingga sampai ke tahap menyombongkan diri di hadapan Allah. Na’uzubillahi min zalik.

Jika kita dapat melalui onak duri ini, kita mampu untuk membentuk peribadi muslim yang mulia, yang soleh dan mampu mensolehkan orang disekeliling seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW melalui peribadinya yang mulia mampu menarik perhatian orang disekeliling Baginda dan sehinggalah sekarang. Salah satu ciri yang paling penting yang ada pada diri mukmin yang sejati dan ikhlas adalah bahawa ia dengan tulus ingin dan berusaha untuk menyucikan dirinya dari segala jenis tingkah laku dan akhlak yang dilarang oleh al-Quran demi memperoleh keredhaan Allah. Sememangnya manusia sering melakukan kesilapan, namun ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang yang mana InsyaAllah, Allah akan mengampuni dosa hamba-hambaNya selagi tidak syirik kepadaNya. Sesungguhnya Allah berfirman yang bermaksud,
"Tuhanmu telah meletakkan sifat kasih sayang pada diriNya, (iaitu) barang siapa berbuat kejahatan di antara kamu kerana kebodohan, kemudian di bertaubat setalah itu dan memperbaiki diri, maka Dia Maha Pengampum, Maha Penyayang".
(Surah al-An'am:54)

Untuk mendapatkan keikhlasan sejati, pertamanya harus memahami mengapa keikhlasan itu penting. Ia harus memiliki keinginan untuk mendapatkan tingkat keikhlasan tersebut. Hal ini kerana siapa pun yang gagal memahami keikhlasan, ia seterusnya akan mencari kekuatan dan kekuasaan dengan hal-hal yang bersifat keduniawian. Seharusnya seseorang yang selalu melakukan sesuatu dengan keikhlasan, dia bukan hanya akan berjaya dan menikmati kedamaian di dunia ini sahaja, malah mendapatkan balasan yang besar di hari akhirat. Hal ini kerana orang yang demikian tidak bergantung pada harta duniawi, kekuasaan, pemilikan kekayaan, dan kehormatan sosial semata-mata. Antara cara lain untuk memilki serta mengekalkan keihkhlasan dalam diri kita ialah:
1) Menumbuhkan rasa takut kepada Allah
2)Tidak takut kepada siapa pun kecuali Allah
3)Berjuang sekuat-kuatnya demi keredhaan Allah
4)Mengharapkan balasan hanya dari Allah
5)Memahami bahwa kehidupan dunia ini adalah sementara
6)Memikirkan kematian dan hari pembalasan

Bagaimana pula ikhlas ini dapat dikaitkan dengan kehidupan kita sebagai seorang mahasiswa? Bagi kita yang sedang menuntut ilmu ini, kita hendaklah sentiasa memperbaharui niat kita setiap kali kita ingin atau sedang belajar. Ikhlaskan niat setiap hari dengan menanamkannya dalam jiwa bahawa kita menuntut ilmu adalah kerana Allah dan ingin meningkatkan lagi martabat agama kita yang tercinta. Selain itu, janganlah kita bersifat iri hati dan sombong terhadap sahabat-sahabat, pensayarah-pensyarah dan orang lain. Janganlah kita kikir atau kedekut dalam berkongsi ilmu dengan sahabat handai. Kita tidak akan rugi dari segi ilmu serta masa kerana apabila kita berkongsi, kita akan lebih memahami dan mengingati apa yang dipelajari.

Akhir bicara, sebelum Ramadhan, sang tamu agung pergi meninggalkan kita, sangatlah layak kalau kita berguru padanya tentang sebuah makna keikhlasan. Di mana dalamnya kita dapat melatih keikhlasan kita dalam berpuasa, berqiamullail (berjaga malam), bersedekah dan lain-lain yang mana ia dilakukan semata-mata kerana Allah tanpa peduli dengan pujian atau sanjungan orang lain. Tidak mustahil untuk kita menjadi insan yang sentiasa melakukan amalan dengan keikhlasan jika kita berusaha untuk mencapainya. Tepuk dada, tanya iman kita.

Wallahu’alam..


Teruskan membaca...

Wednesday, September 9, 2009

Nilai Kemerdekaan Di Sisi Kita

Oleh: Abd Azim Abd Razak (4SZL)

Salam kemerdekaan dan ramadhan buat semua warga muslim UTM. Beruntung kita rakyat Malaysia kali ini kerana dapat menyambut kemerdekaan di samping diiringi Ramadhan al-mubarak, bulan kemenangan dan bulan tarbiyyah umat Islam. Di dalam bulan ini, sejarah merakamkan pelbagai detik perjuangan yang harus kita jadikan iktibar dan contoh, bahkan hari-hari yang kita lalui di dalam bulan ini, menuntut pengorbanan yang tidak sedikit banyaknya. Tidakkah semua ini mengingatkan kita kepada hakikat pengorbanan yang harus dinikmati dan disyukuri?

52 tahun kita merdeka, terlalu muda usia tanah air ini menikamati kemerdekaan jika dibandingkan dengan tempoh ngara kita dijajah, dikaut segala hasil mahsulnya, diperkudakan pemimpin dan rakyatnya, sehingga tatkala kita berfikir, di manakah Allah akan menyelamatkan maruah bangsa ini, maka Allah mengurniakan kita pejuang kemerdekaan yang berusaha sedaya upaya untuk membebeaskan negara ini dari penjajahan kolonial serta berusaha keras melakukan sesuatu ke arah mencapai kemerdekaan sekaligus menanamkan harga diri dan semangat kemerdekaan dalam jiwa anak bangsa pada generasi seterusnya. Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah semata untuk melihat generasi penyambung yakni kita, hidup tidak lagi bertuankan penjajah serta bebas diatas tanah air sendiri seperti bangsa lain. Katakanlah, kita turut merasakan bersama mereka diatas jalan perjuangan ini, perjuangan yang amat dituntut bagi memerdekan sesebuah tanah air, firman Allah:
"Mereka berkata: Sesungguhnya jika kita kembali ke Madinah (kembali dari perang Bani Mustalik), pastilah orang-orang kuat akan mengusir orang-orang lemah dari sana Padahal kekuatan itu hanya pada Allah,rasul-Nya dan bagi orang-orang munafiq itu tidak mengetahui"
(al-Munafiqun, 63:8)

Inilah hakikat kemerdekaan, yakni kebebasan di atas tanah air sendiri dari cengkaman penjajah. Justeru dengan Ramadhan yang mendatang ini, marilah kita sama-sama berfikir, apakah makna kebebebasan dan merdeka dalam konteks yang lebih luas dan besar maknanya di sisi Islam. Tarbiyyah Ramadhan mengajak kita memerdekakan belenggu diri dari nafsu yang sentiasa mengajak kepada kejahatan dan kemalasan beribadat. Tidak hairanlah mengapa walaupun di dalam bulan kemenangan umat Islam ini, walaupun di dalam bulan penuh kerahmatan ini, manusia masih melakukan maksiat tanpa rasa bersalah, tanpa segan silu, dan tanpa rasa berdosa. Hakikatnya kita masih lagi dijajah oleh komunis-komunis jahiliyyah, kita masih lagi dibelenggu dengan penipuan dunia sehinggakan semangat jihad yang sepatutnya membuak-buak dalam dada pemuda seperti kita terus lesu dan padam dek kerana disajikan dengan jahiliyyah yang pelbagai, dipadam dengan hiburan-hiburan yang berleluasa, dan dibentangkan dengan maksiat di mana-mana. Ya, negara kita telah merdeka, tetapi jiwa kita masih lagi dijajah. Di manakah letaknya sayang kita kepada Islam? Adakah kita menggelarkan diri kita sebagai muslim sedangkan apa yang diajar Islam, kita tidak ikut sepenuhnya, kita menerima sebahagian, kita menolak sebahagian lagi. Bahkan yang lebih teruk lagi, kita tidak mahu berusaha mencari kebenaran ajaran Islam itu walaupun peluang terbentang di depan mata. Kita tidak mahu meluangkan masa untuk majlis-majlis ilmu, kita tidak mahu menerima teguran dari sahabat-sahabat kita, dan kita tidak mahu melihat makna ayat-ayat Al Quran yang terkandung suatu keajaiban hakiki yang diturunkan oleh Tuhan yang Maha sempurna. Masa-masa kita dibazirkan dengan menonton movie, drama-drama, anime, dan banyak lagi perkara jahiliyyah yang kita isi dengan masa kita. Alangkah ruginya manusia. Masa berharga di dalam bulan Ramadhan berlalu begitu sahaja. Sedarlah, tanya diri kita, apa yang kita buat untuk Islam? Apakah kelayakan kita untuk masuk syurga Allah?

Kita menahan diri dari lapar dan dahaga di siang hari, mendirikan tarawikh di malam hari, memperbanyakkan bacaan al-Qur'an, menghidupkan malam untuk mengejar laylatul qadr. Semua itu tidak lain tidak bukan adalah peluang yang disediakan Allah untuk kita menjadi insan yang berjuang dari dikuasi nafsu semata-mata. Lihatlah betapa hina mereka yang hidupnya bertuankan nafsu semata. Merekalah yang dijanjikan Allah kemurkaan dan azab yang perit di akhirat sana.

Jika patriotisme yang dimaksudkan ialah cintakan tanah air, rasa kasih dan rindu, atau seumpamanya, perasaan ini sedia tertanam dalam fitrah manusia sejak azali lagi. Dilihat dari sirah nabi (buku Raheeq Makhtum), Aishah R.A menceritakan "tatkala Rasullah S.A.W sampai ke Madinah, Abu Bakar dan Bilal jatuh sakit, lalu aku datang mengunjungi mereka 'Duhai bapaku, bagaimana keadaanmu? Hai Bilal bagaimana keadaanmu?' " Jawab Abu Bakar yang sedang demam, "Semua orang berpagi-pagi disisi keluarganya, sedangkan kematian itu lebih dekat dari tali kasutnya". Bilal yang telah mengorbankan segala-galanya demi akidah dan agamanya, mengungkapkan sehingga bait rangkap syair yang amat indah ini disusunnya lantaran rasa rindunya terhadap Makkah:
"Alangkah indahnya jika aku dapat bermalam
Disebuah lembah dikelilngi oleh rumput rampai dan tumbuhan
Dapatkah suatu hari nanti aku akan merasai kembali air kolam Majannah
Dapatkah aku kembali menyaksikan gunung Shammah dan tufail"
Kemudian Aisyah menceritakan kepada baginda Rasullulah, aku mendengar ar-Rasul berdoa "Ya Allah, jadikanlah kami mencintai Madinah sebagaimana kami cinta kepada Makkah atau lebih lagi". Diriwayatkan juga tatkala nabi mendengar Usail mengungkapkan keindahan Makkah, air mata baginda mengalir lantaran rindu yang teramat mendalam pada tanah airnya. Baginda berkata: "Usail, biarkanlah hati-hati ini tenang".

Maka di atas pundak ini terpikul satu amanah yang besar dan jelas mengenai beberapa persoalan kualiti kemerdekaan yang harus ada pada diri kita. Antara persoalan yang akan timbul jika kecintaan pada negara ini selari dengan Islam yang kita anuti dan praktika ialah, pertama, terfikirkah kita dengan nikmat kemerdekaan ini ke mana hala tuju negara ini akan dipacu, adakah diatas nama kemajuaan kita menumpukan kepada aspek kebendaan semata, seperti yang terjadi di barat? Jika inilah yang menjadi agenda keutamaan kita pasca merdeka ini, maka tidak hairanlah kita akan melahirkan mereka yang kecut hatinya untuk berjuang dalam memastikan kemerdekaan ini kekal. Lantaran apa? Lantaran hati-hati mereka yang telah diikat dengan kecintaan dunia ditambah pula takut pada kematian! Justeru, menjadi tanggungjawab kita dalam membangkitkan hemah generasi masa kini agar mereka mencontohi kehebatan generasi silam di zaman kegemilangan ar-Rasul dan islam itu sendiri ini. Rasulullah S.A.W bersabda:
"Manusia itu umpama logam. Sebaik-baik mereka ketika Jahiliyyah adalah sebaik-baik mereka ketika Islam, jika mereka faham (tentang deen)"
(HR. Bukhari)
Kedua, adakah kita sebagai muslim meletakan kecintaan pada tanah air kita sahaja yakni negara yang dibatasi sempadan geografi? Tidak. Sepatutnya dan bahkan lagi ia melangkaui sehingga sempadan akidah! Jika atas dasar prinsip ini yang kita imani dan yakini, sedarkah kita bagaimana nasib saudara kita yang masih dijajah setiap inci tanah nenek moyang mereka, lihat sahaja saudara kita di Palestin, mereka berjuang menggunakan semua kudrat yang terdaya, semata-mata untuk mencapai nikmat kemerdekaan dari yahudi laknatullah. Kita selaku saudara, semestinya harus merasa perit penderitaan ini, bagaimana esak tangisan ibu-ibu yang kehilangan anak di medan jihad, teriakan anak kecil yang hanya mampu melihat ayah mereka ditahan zionis, bahkan hidup mereka penuh dengan elemen perjuangan yang didik seawal usia lagi!

Jika persoalan di atas berkaitan dengan kualiti kemerdekaan ada pada setiap di kalangan kita, sekali lagi ramadhan tampil untuk mentarbiyah diri kita dalam konteks perjuangan kita dimedan amal harian, perjuangan menentang hawa nafsu yang dididik syaitan sebelum ini, serta perjuangan dalam memastikan kualiti puasa yang kita lakukan bertepatan dengan apa yang disebutkan di dalam Al Quran yakni supaya kita bertaqwa. Rasulullah SAW bersabda:
"Berapa ramai orang yang berpuasa, ia tidak memperoleh apa-apa ganjaran kecuali lapar dan dahaga"
(HR. an-Nasa’i)

Sahabat yang dikasihi,

Ramadhan juga mengajar kita erti keinsafan mengenai nasib mereka yang kurang dari kita. Inilah keadaan yang ditempuhi oleh saudara kita yang miskin diluar sana, lapar mereka, dahaga mereka, hanya akan kita rasai apabila kita sendiri melalui keadaan tersebut. Rasa inilah yang menibulkan keinsafan dan sikap kebersamaan di dalam masyarakat. Tidakkah sesutu masyarakat dilihat dalam rumpun yang harmoni apabila mereka yang kaya menolong golongan yang miskin, dan mereka yang miskin mendoakan golongan kaya?

Islam sebagai agama yang syumul juga tidak menolak perpaduan di antara pelbagai bangsa dan kaum di negara kita. Meletakkan Islam ditempat yang tertinggi menjamin keharmonian antara semua anggota masyarakat selagimana kita saling bekerjasama demi kebaikan bersama. Bahkan kita akan berpecah dengan pandangan jumud mengenai hakikat ketuanan bangsa semata diatas bumi Malaysia ini. Adalah merugikan jika semangat cintakan negara ini ialah berbangga dengan bangsa sendiri dan merendahkan bangsa lain demi memartabatkan bangsa sendiri. Tindakan ini merupakan sesuatu yang tidak hakiki bahkan langsung tidak mendatangkan kebaikan pada sesiapa pun.

Dengan kehadiran bulan ramadhan, semoga ia disambut dan diraikan penuh dengan rasa rendah diri dan hakikat ketakwaan.sesungguhnya tiada yang lebih mulia disisi Allah melainkan ukuran ketakwaan kita kepadaNya. Bahkan dengan menjadikan takwa sebagai KPI yang mesti dipenuhi untuk Ramadhan ini, pasti ia menghasilkan Ramadhan yang penuh bermakna pada kita. Apa lagi nikmat yang mahu dicari oleh seorang hamba,melainkan kemerdekaan yang hakiki yang diberi oleh Yang Maha Pencipta, yakni bebas dari api neraka dan nikmat syurga yang kekal abadi disana, inilah janji Allah kepada mereka yang menghidupkan bulan Ramadhan dengan penuh keimanan.

Wallahu’alam.
Teruskan membaca...

Wednesday, September 2, 2009

Majlis Ilmu dan Iftar

Siapakah Ustaz Pahrol Juoi?

Mari kita melihat sedikit biodata beliau...

Pahrol Mohamad Juoi dilahirkan di Ipoh, Perak pada 20 hb. Mei 1961. Memulakan pengajian di sekolah kebangsaan Sungai Rokam, Ipoh dan kemudian ke sekolah Menengah Sultan Abdul Halim Jitra, Kedah. Walaupun berkelulusan dalam bidang Teknologi Makanan UiTM, namun sejak 1985 lagi beliau telah bergiat dalam bidang penulisan khususnya dalam bidang dakwah dan pendidikan Islam. Ini dibuktikan dengan komitmennya sebagai wartawan, pengarang dan akhirnya Ketua Pengarang kepada beberapa buah majalah bercorak Islam sejak tahun 1986 hingga 1995.

Pernah menjadi Ko-kaunselor Yayasan Nurul Yaqeen pada tahun 1997/98, namun minat sebenarnya tetap dengan bidang penulisan. Sejak itu hingga kini, komitmennya dalam penulisan diteruskan dengan menjadi kolumnis kepada beberapa buah majalah seperti Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Dewan Falsafah, Minda, majalah I dan Anis.

Selain itu juga beliau aktif menulis lirik-lirik nasyid bagi kumpulan nasyid Tanah Air seperti Hijjaz, Rabbani, Raihan, Inteam, UNIC, Saujana, Mestica, Firdaus, Saffone, Nowseeheart dan lain-lain. Antara lirik nasyidnya yang popular ialah Sumayyah, Suci Sekeping Hati, Mendamba Kasih, Siti Khadijah, Cinta Zainab, Setanggi Kasih, Zinnirah, Umar Al Khattab, Salehuddin Al Ayubi, Ratu Syahadah dan lain-lain lagi. Beliau juga menghasilkan skrip bagi rancangan TV antaranya Raudhah (ASTRO). Menjadi Pengacara dalam rancangan Islam di RTM.

Kini beliau adalah Pengarah dan Penyelidikan Modul merangkap Pengurus besar Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. sebuah syarikat perunding dan latihan yang terlibat dalam program latihan bagi agensi-agensi kerajaan, badan-badan korporat dan syarikat-syarikat swasta. Pengalamannya menjelajah negara-negara ASEAN, Uzbekistan, Pakistan, Turki, Jepun, China, Jordan dan Mesir menambah kematangannya dalam bidang penulisan dan latihan.

Hingga kini beliau telah menulis beberapa buah buku dari pelbagai genre penulisan. Antaranya: Melawan Arus (antologi cerpen), Jendela Hati (antologi Sajak), Turki: Iktibar Sebuah Empayar (kembara), Ideologi Kamal Ataturk dan kesannya terhadap Turki (politik), Tentang Cinta (remaja), Dua hati Satu Rasa, Untukmu yang Tersayang, Dilema Melayu-Islam: Kurang Fikir atau Kurang Zikir. Terkini, beliau juga adalah ketua editor majalah SOLUSI keluaran Telaga Biru Sdn. Bhd.

Sumber: Genta-rasa.com

Download ceramah beliau:
  1. Link 1
  2. Link 2 (dari Saudara Abdul Azim)
Teruskan membaca...

Sunday, August 30, 2009

Kem Generasi al-Quran (Gen-Q '09)


Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan rahmat-Nya, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Kelab Iqra’ sesi 2009 telah berjaya menganjurkan program Kem Generasi Al-Quran ‘09 (GEN-Q ‘09) pada 7-9 Ogos 2009. Pelbagai ujian dan rintangan terpaksa dihadapi oleh penggerak Gen-Q ’09 dalam urusan teknikal namun alhamdulillah, dengan takdir Allah, dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh setiap penggerak, program ini berjaya juga dilaksanakan walaupun ditunda seminggu.

Gen-Q ’09 disertai oleh ahli-ahli Kelab Iqra’ seramai 65 orang peserta dan 28 fasilitator dan telah berjaya mencapai objektifnya untuk memberi kesedaran kepada peserta akan matlamat sebenar kejadian hidup manusia serta memberi pendedahan kepada peserta supaya bangkit mencari dan memulakan usaha mengembalikan kegemilangan islam yang telah lama menjadi sejarah.

Peserta mula bertolak ke tempat program iaitu di Suara’s Chalet, Kg. Tenglu Laut, Mersing pada hari jumaat, 7 Ogos. Sebuah bas bertolak pada jam 6 petang manakala dua buah lagi bertolak pada jam 11 malam. Dalam perjalanan ke tempat program, hati masing-masing melonjak untuk menyelami dan melalui Gen-Q dengan jayanya. Namun disebabkan suasana yang aman di dalam bus dan perjalanan panjang, lonjakan terhenti seketika dengan lena tidur para peserta.

saudara Hanafi sebagai kem komanden dalam briefing sebelum program bermula

Keesokkan harinya, bermulalah perjalanan peserta melalui Gen-Q. Slot yang pertama dikendalikan oleh saudara Muhamad Afzamiman bin Aripin. Penyampai dengan gaya bersahaja menyentuh tentang kelebihan manusia yang mempunyai IQ, EQ, badan yang sihat dan suara yang lunak. Dalam slot ini juga penyampai menekankan bahawa setiap kurniaan Allah merupakan ujian kepada kita yang perlu digunakan pada jalan Allah. Terdapat 2 hadis yang dibincangkan dimana kedua-dua hadis ini memperihalkan kefahaman tentang Islam. Pengajaran daripada hadis-hadis ini ialah sebagai manusia kita perlulah menggunakan kefahaman dan kebolehan yang ada ke arah kebaikan. Membina dan menerapkan kefahaman adalah lebih penting berbanding pengetahuan semata. Kefahaman yang ditekankan ialah kefahaman terhadap ad-Deen yang meliputi aspek iman, Islam dan ihsan.

Saudara Iman menyampaikan slotnya...

Slot yang ke-2 diteruskan selepas solat jama’ zohor dan asar berjemaah dan makan tengah hari. Slot ini disampaikan oleh saudara Uwais Al-Qarani bin Azland Zulfizazzuddin. Beliau menerangkan tentang sejarah Islam pada zaman kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Peserta didedahkan dengan kejayaan awal dakwah Rasulullah SAW iaitu walaupun hanya 3% daripada keseluruhan penduduk Makkah memeluk Islam, namun baginda berjaya membina pati-pati pejuang islam yang unggul, yang tinggi jihad dan teguh imannya.

Peserta akhawat sebelum bermulanya permainan
Pemandangan di tempat riadah

Slot petang diteruskan dengan aktiviti riadah. Peserta akhawat telah bermain dua permainan. Permainan pertama ialah membawa cawan penuh berisi air di atas sehelai akhbar ke satu check point. Kemudian peserta perlu mengeluarkan bola pingpong daripada botol mineral kosong menggunakan cawan dan air dari kolam berhampiran. Permainan yang dibuat di kawasan pantai yang nyaman membuatkan peserta begitu bersungguh menjayakan tugas yang diberi. Kegembiraan dan keceriaan yang terpancar membibitkan rasa sayang dan ukhuwah di antara satu sama lain.

Rasional daripada dua permainan ini ialah memupuk semangat kerjasama antara ahli kumpulan, menjana kreativiti dan strategi, serta menjalin erat ukhuwah yang baru dibina. Peserta ikhwah pula bermain bola sepak pantai. Walaupun dalam keadaan pantai yang berselut, masing-masing ikhwah bermain dengan riang gembira. Biarpun pakaian kotor, namun mereka puas dapat menunjukkan skil dan gaya bermain masing-masing. Aktiviti riadah tamat sebelum maghrib dan sebelum khidmat diri, peserta dijamu dengan keropok lekor garing dan air teh yang sedap.

Slot yang ke-2 diteruskan selepas solat jama’ maghrib dan isyak berjemaah. Antara pengisian untuk slot kali ini ialah penyampai menerangkan secara kaedah graf tentang kegemilangan Islam pada zaman kerasulan dan pemerintahan khulafa’ar-rasyidin. Penyampai menerangkan secara terperinci sejarah awal kebangkitan umat Islam sehinggalah kejatuhan semula Islam. Islam mencapai zaman kegemilangan apabila berjaya menguasai 2 per 3 dunia serta menjadi rujukan oleh masyarakat manusia dari seluruh pelosok dunia dalam pelbagai bidang ilmu.

Keesokan paginya selepas sarapan pagi, program diteruskan dengan slot yang ke-3. Slot ini dikendalikan oleh saudara Muhammad Harmizzi bin Abdul Rahman. Pada slot kali ini, beliau menekankan tanggungjawab kita untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan Islam yang pernah dicapai satu ketika dahulu. Sepanjang slot ini peserta dipertontonkan dengan video-video berkaitan dengan zaman kegemilangan Islam. Selain itu peserta turut menonton video lakonan semula berkaitan dengan pengorbanan para sahabat mempertahankan akidah mereka dalam mempertahankan agama Allah. Video tersebut juga berjaya menyuntik semangat izzah para peserta terhadap islam yang syumul.

Slot terakhir disampaikan oleh saudara ‘Ammar Taqiyuddin bin Ainullotfi. Dalam slot ini beliau membuat konklusi keseluruhan tentang modul Kem Generasi al-Qur'an. Beliau telah menekankan tanggugjawab kita dalam usaha mengembalikan identiti Islam yang sebenar. Selain itu beliau meminta para peserta menilai diri masing-masing dan menyatakan di zaman manakah kita berada sebenarnya, adakah dizaman jahiliah atau zaman pemerintahan para sahabat. Pada akhirnya, peserta disedarkan akan kepentingan dan usaha mengembalikan kegemilangan islam sepertimana zaman dakwah Rasulullah SAW di Makkah. Sesungguhnya dalam membina ustaziatul alam , perlu bermula dengan bawah iaitu pembinaan individu muslim. Dan caranya? Ialah bermula dengan usrah.

Semoga kefahaman dan semangat yang dicetuskan dari modul Gen-Q ’09 menjadi bekalan kepada para peserta untuk komited memperbaiki diri menjadi muslim yang soleh dan solehah. Moga ukhuwah dan kasih sayang yang terjalin sepanjang program ini menjadi pengikat hati bersama dan pengalaman yang dikutip menjadi kenangan terindah kepada semua...
Teruskan membaca...

Friday, August 28, 2009

Ramadhan Bulan Tarbiah

Nurul Sa’adah BT Yusof (4SMM)

Assalamu`alaikum...

Alhamdulillah, dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT dapat kita bertemu semula dengan bulan yang penuh keberkatan dengan limpah kurnia dan nikmatNya yang tidak terhingga. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Rasulullah SAW, keluarga Baginda dan juga para sahabat. Alhamdulillah, dengan izinNya kita telah melalui seminggu berpuasa di dalam bulan Ramadhan. Beruntunglah bagi hamba-hambaNya yang memanfaatkan peluang yang ada.

Dengan berlalunya tempoh seminggu di dalam mulia ini, mari kita refleksi semula diri sama ada kita menghargai dan mengambil peluang yang ada untuk kita melakukan amal ibadat dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan kerana Allah SWT atau membiarkan masa itu berlalu tanpa mengejar janjiNya? Adakah selama tempoh itu juga, kita hanya merasa lapar dan dahaga tanpa merasai kemanisan bulan mulia ini?

Ramadhan adalah merupakan waktu untuk kita mencerminkan diri kita yang sebenar sebagai hambaNya. Di mana, sepanjang bulan ramadhan syaitan telah dibelenggu seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud,
“Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan”.
(Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi)

Jadi yang tinggal dalam diri ini hanya nafsu. Perlu diingatkan yang syaitan telah berusaha mendidik nafsu kita mengikuti jalannya yang membawa kepada kehancuran dan kebinasaan selama 11 bulan.

Kehadiran Ramadhan bukan bererti melemahkan umat Islam kerana terpaksa berpuasa sebaliknya ia menyemarakkan lagi semangat jihad dalam melawan musuh dalam diri iaitu nafsu dan musuh zahir. Kita yang hidup dalam keadaan aman sepatutnya bersyukur kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan ibadat bukannya bertambah liat apatah lagi terus bergelumang dengan dosa dan maksiat. Renungilah nasib yang sedang dihadapi oleh kebanyakan saudara kita yang lain terutama di Palestin, Iraq dan sebagainya di mana mereka bukan setakat melawan nafsu tetapi turut berhadapan dengan musuh kuffar. Bilakah penderitaan saudara seagama kita ini akan berakhir? Jawapannya terletak di atas bahu setiap diri umat Islam di mana adakah kita sudah mahu kembali kepada Islam yang menyeluruh atau terus mahu berpecah mengikut ideologi ciptaan kuffar.

Jadi di sini kita perlu melihat kembali niat yang kita lafazkan sebagai rukun berpuasa. Adakah kita faham dengan lafaz niat itu sekadar untuk sahkan puasa kita atau pun memang kerana keikhlasan di hati kerana Allah SWT? Jika kefahaman tentang niat tersebut ke arah untuk menjadi insan yang bertakwa, InsyaAllah ibadat puasa yang kita lakukan ini dapat melemahkan hawa nafsu sehingga lebih mudah untuk mengerjakan ibadat serta menjauhi maksiat. Dari sinilah kita cuba menanam kebiasaan mengawasi diri sendiri dan menumbuhkan akhlak kesabaran dalam jiwa dengan menjauhi larangan Allah SWT.

Makna berpuasa itu bukan hanya bertumpu kepada menahan lapar dan dahaga malah merujuk juga berpuasa dengan anggota badan seperti mata, telinga dan mulut, luaran seperti penampilan dan peribadi dan sebagainya. Berpuasa dengan anggota badan seperti mata adalah dengan menahan pandangan dari perkara yang terlarang. Manakala telinga pula dengan menjauhi mendengar perkara-perkara yang tidak bermanafaat dan mulut pula tidak bercakap kotor dan menyakitkan hati orang lain. Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud,
“Puasa adalah pelindung daripada neraka, Sekiranya seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, maka janganlah bercakap kotor dan janganlah menengking. Jika seseorang mencela atau ingin bergaduh dengannya, katakanlah: ‘Sesungguhnya aku berpuasa’.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berpuasa melalui penampilan dan peribadi dapat dilihat dengan memaparkan peribadi seorang muslim. Contohnya dari segi pemakaian dengan menutup aurat seperti yang telah disyariatkan. Namun dalam skop menutup aurat bukan sekadar menutup fizikal luaran sahaja tetapi merangkumi tingkah laku, budi pekerti, sikap dan niat seseorang. Di samping itu mendisiplinkan diri dengan masa dengan tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh menjejaskan amalan berpuasa. Janganlah dipenuhi ruang waktu yang ada dengan hanya tidur kononnya kerana keletihan sebab berpuasa, namun kita disunatkan untuk qailullah (tidur sekejap) sama ada sebelum waktu Zohor atau selepasnya supaya mendapat kekuatan untuk qiamulail pada malamnya. Hindari diri daripada membuang masa dengan menonton cerita, bermain vidoe game dan sebagainya yang membawa kita kepada kerugian masa waktu lapang. Pada bulan inilah kita digalakkan untuk memperbanyakkan amal ibadat dengan tilawah al-Quran, bertadarus, berzikir dan di samping melaksanakan serta menyelesaikan tugasan-tugasan sebagai seorang pelajar yang mana jika betul niatnya, InsyaAllah ia termasuk ibadat juga.

Ibnu al-Qayyim menyebut dalam Zad al-Ma’ad,
“Seseorang yang berpuasa tidak melakukan tetapi meninggalkan kerana memperhambakan diri. Ia meninggalkan kerana memperhambakan diri. Ia meninggalkan kesukaan nafsu dan kelazatannya kerana mengutamakan kasih Allah dan keredhaanNya! Puasa memelihara kesihatan hati dan anggota badan, serta mengembalikan kepadanya segala yang telah dirampas oleh nafsu syahwat.”


Imam al-Ghazali membahagikan orang yang berpuasa kepada tiga darjat:

1. Puasa orang awam, ialah sebagaimana yang difahami dari hukum fekah iaitu menahan perut dan kemaluan daripada nafsu dan syahwat.

2. Puasa khusus, iaitu menahan anggota badan daripada melakukan dosa.

3. Puasa khusus al-khusus, iaitu puasa hati daripada segala yang lain dari Allah, redha kepada Allah dengan sepenuhnya serta menjadikan cinta-Nya mengatasi cinta yang lain.

Jadi dimanakah darjat kedudukan puasa kita setakat seminggu ini? Tepuk dada, tanyalah iman.

Masih tidak terlambat lagi untuk kita membetulkan niat berpuasa yang sebenar dan cuba membaiki segala kekurangan dalam mengerjakan ibadat puasa dengan di tambah amalan-amalan sunat yang digalakkan seperti tilawah al-Quran, berzikir, bersedeqah, menunaikan solat-solat sunat dan sebagainya. Dengan wujudnya tarbiah Ramadhan dalam diri kita, InsyaAllah ia dapat memelihara kesihatan hati dan anggota badan lain serta mengembalikan hak yang telah dirampas oleh runtutan nafsu sekaligus melatih diri ke arah menjadi umat yang lebih baik. Ia sesungguhnya sebesar-besar pertolongan kepada menjana ketakwaan seperti firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud, “
Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”.
(Surah al-Baqarah, 2:183)

Jangan biarkan puasa kita sekadar merasa lapar dan dahaga dan akhirnya segala pahala amalan yang dilakukan ibarat debu-debu yang berterbangan. Ingatlah bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud,
“Barang siapa berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu.”
(Riwayat Bukhari)

Adakah kita mahu melepaskan peluang tersebut?

Wallahu’alam...
Teruskan membaca...

Tuesday, August 25, 2009

Madani Florist

Assalamu'alaykum....

Madani Florist..? Nama tersebut telah bertukar kepada Gerai Bunga Kelab Iqra'...

Pada Konvokasi yang baru saja berlangsung, Kelab Iqra' telah mengambil bahagian dalam penjualan bunga di Tapak Aggora. Tahniah dan syabas kepada semua yang terpilih mengambil peluang untuk mencari pengalaman menguruskan penjualan bunga.

Pictures Are Worth A Thousand Words

Akhawat menggubah bunga plastik dan bear.

Teddy bear yang comel² untuk para graduan.

Cantik


Inilah gerai bunga kita...

Tauke gerai bunga sedang bermesyuarat.

Para akhawat mendengar dengan khusyu'.

Penerangan sebelum hari jualan...ikhwah yang semangat...

Semasa jualan....di kaunter jualan.

Beraneka jenisnya...

Antara bunga yang dijual...

Pada awalnya mereka malu nak jual, maklumlah tak pernah menjadi penjual. Apatah lagi menjual bunga. Bila dah dapat rentak, semua orang mereka nak kejar. Seronok berjualan, berbual dengan ibu-bapa yang membeli, sambil jadi promoter. Alhamdulillah bagi yang berjaya mengambil mengalaman ini sebagai 'value added' bagi diri sendiri dan dakwah.

Semua orang harus memahami bahawa, bukan duit semata yang dikejar. Semua aspek tarbiyah yang dipelajari harus diterapkan. Contohnya ukhuwwah, ikhtilat terutamanya, ithar dan berlapang dada. Kerana inilah medan praktikal. Dalam masa menjual bunga, ada juga yang sempat menyampaikan tarbiyyah. Alhamdulillah, pandai pula mencari peluang.

Semoga amal kita yang sedikit ini diterima oleh Allah. Setiap orang yang beriman itu tidak akan merasakan sia-sia setiap amalnya jika semuanya diniatkan kerana Allah, walau hanya menjual bunga...
Teruskan membaca...

Monday, August 24, 2009

Pesta HEBOH!

Di kala umat akhir zaman, dalam keadaan jahiliyah berleluasa, kehancuran menjadi nyata akibat perbuatan manusia sendiri. Ramai dari mereka yang telah menzahirkan kehancuran dan kerosakan mereka. Dengan rasa 'izzah tanpa ada sebarang rasa bersalah di dalam hati. Fitrah hati mereka telah diubah kepada ketidak-fitrahan lantaran kekotoran jiwa dan kekerasan hati mereka. Mereka tidak lagi peka dengan fitrah yang telah difitrahkan ke atas mereka.

Lalu berlakulah wabak sosial. Dalam wabak sosial tersebut, mereka sangka mereka sedang bergembira, tetapi satu azab yang sangat pedih sedang mengintai-intai tidak jauh dari situ. Menunggu-nunggu sahaja masa kedatangannya, dengan arahan dari Allah SWT. DikataNya sahaja "JADI!" maka hancur binasalah satu kaum, tidak tersisa lagilah walau seorangpun. Namun Dia menangguhkannya.

Keadaan yang begitu teruk itu terlalu berleluasa, sehingga ramai menyangka bahawa "inilah arus utama!". Barangsiapa yang tidak mengikut arus utama ini, pasti akan ditinggalkan oleh dunia. Pasti mereka akan dianggap "kolot" oleh golongan-golongan "terkini". Mana-mana manusia yang berpegang kepada Islam juga diannggap kolot, lalu mereka menjadi golongan minoriti; pada sangkaan orang ramai.

Tetapi sebenarnya, sangkaan mereka telah tersilap! Jauh sekali dari kebenaran yang nyata. Keadaan yang sebaliknya berlaku sepanjang masa:

"Apakah selain dari deen Allah yang mereka cari, sedangkan bagiNya telah menyerah (aslama) segala apa yang ada di langit dan di bumi? Sama ada dalam keadaan taat atau terpaksa, dan hanya kepadaNyalah mereka kembali"
(Aali 'Imran, 3:83)

Segala-galanya telah tunduk dan patuh. Segala-galanya telah islam. Yang tinggal hanya manusia dan jin, dengan persoalan "Adakah mereka juga ingin menyertai jamaah yang terbesar ini?" Lalu merekalah yang membuat keputusan sendiri.

Segala sesuatu yang selain dari jin dan manusia bersujud menghadapkan wajah mereka kepada Allah:

"Dan bagi Allahlah bersujudnya apa yang ada di langit dan bumi, dalam keadaan taat atau terpaksa, juga bayang-bayang mereka, pada waktu pagi dan petang"
(ar-Ra'd, 13:15)

"Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian penghuninya sentiasa bertasbih kepada Allah dan tiada satu kejadianpun melainkan seluruhnya bertasbih kepada Allah"
(al-Isra', 17:44)

Bertasbihnya mereka umpama berada mereka di dalam satu pesta yang agung. Satu pesta yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana pesta yang lain. Walau sebesar mana keHEBOHan pesta tersebut yang dianjurkan oleh manusia, pesta ini jauh lebih besar. Walaupun manusia berbondong-bondong datang ke pesta-pesta HEBOH, dengan angka yang berpuluh-puluh ribu atau lebih, dengan anak dan bini, pesta HEBOH manusia tidak dapat mendekati langsung (dari segi bilangan) pesta yang Agung ini.

Ia adalah PESTA IBADAH yang disertai oleh seluruh makhluk, sama ada yang berada di langit atau di bumi, atau yang ada di antara keduanya. Kesemuanya telah menyertai Pesta Ibadah ini. Para malaikat dengan jumlahnya yang berjuta-juta mentasbihkanNya sepanjang masa. Ada yang rukuk, ada yang sujud, dan ada pula yang bertawaf mengelilingi 'arasy Allah 'Azza wa Jalla. Burung-burung berkicauan pada pagi hari dan petang hari tanda bertasbihnya mereka kepada Allah. Pokok-pokok berdiri tegak, megah di dalam hutan rimba. Bayang-bayangnya menyejukkan bumi. Harimau dan singa mengaum pada siang hari, kesemuanya mentasbihkan Allah, dalam bahasa yang tidak difahami oleh manusia. Kelompok manusia yang dianggap kecil tadi telah, dengan tiba-tiba, menjadi kelompok terbesar.

Lalu Allah wujudkan Ramadhan, untuk menjadi pemangkin kepada manusia untuk menyertai Pesta Agung ini. Di dalamnya ada bermacam-macam nikmat dan rahmat. Yang diketahui dan tersembunyi, dari perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (qurrata a'yun) bagi orang-orang yang bertaqwa.

Marilah kita menyertai Pesta yang terbesar ini.
Marilah kita bersama-sama di dalam PESTA IBADAH...

Semarakkan RamadhanMU..!

-"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keinsafan, diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu" (HR. Bukhari dll)-
Teruskan membaca...

Friday, August 21, 2009

Hari Remembrance of al-Quds (ROQ)

Hari al-Aqsa 21 Ogos 1969
(Remembrance of al-Quds)

Hari al-Aqsa disambut secara rasmi oleh kerajaan Malaysia pada 21 Ogos setiap tahun. Apakah latarbelakang atau peristiwa yang melatari 21 Ogos sehingga tarikh itu dipilih sebagai hari al-Aqsa? Rencana ini akan melihat secara retrospek apakah signifikannya 21 Ogos yang pernah diraikan secara rasmi oleh kerajaan dan rakyat Malaysia terutama pada tahun-tahun 70’an dan awal 80’an.

Sebagaimana yang kita sedia maklum Malaysia adalah antara negara yang sangat vokal di dalam menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin semenjak berlakunya pengusiran penduduk Palestin dari tanah air mereka pada tahun 1948 dengan berdirinya negara haram Israel dan pencerobohan ke atas Masjid al-Aqsa serta penaklukan Baitul-Maqdis dan Tebing Barat pada tahun 1967 oleh regim Zionis Israel. Malah sebelum dan sejurus mencapai kemerdekaan lagi negara Malaysia telah mempamirkan rekod keprihatinan yang amat membanggakan di dalam perjuangan membela rakyat Palestin meski tanah air sendiri masih lagi bergelut dengan pelbagai masalah dalaman dan luaran, termasuklah gugatan Malayan Union, ancaman Komunis, dan kebangkitan untuk mencapai kemerdekaan dari penjajahan British. Sejarah telah membuktikan bahawa seorang tokoh pejuang kemerdekaan yang tersohor iaitu Ustaz Abu Bakar al Baqir telah menggerakkan satu inisiatif yang diberi nama MATA (Majlis Agama Tinggi) pada tahun 1947 yang antara lain turut memberi tumpuan kepada isu-isu antarabangsa umat Islam khususnya pejuangan rakyat Palestin dan Pattani yang tertindas. Di samping itu perbahasan dalam Dewan Rakyat juga telah merakamkan penegasan prinsip yang digariskan oleh Profesor Zulkifli Muhammad di dalam menentukan sikap terhadap pengiktirafan entiti zionis Israel. Prof Zulkifli Mohamed mempersoal asas Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu ketika itu yang mengiktiraf negara Israel atas alasan ianya lahir dari ketetapan PBB 181 yang diterima pada tahun 1947 dengan sempadan yang terbentuk oleh The Rhodes Armistice pada tahun 1949. Walaupun kerajaan Perikatan memberi justifikasi pengiktirafan itu tidak bermakna Persekutuan Tanah Melayu akan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel, pengiktirafan itu sendiri sudah cukup untuk memberi dokongan moral kepada entiti haram Israel. Tidak bermakna PBB mengakui negara Israel maka kita tidak punya pilihan dan terpaksa turut mengiktiraf sebuah negara yang didirikan dengan menafikan hak rakyat asal Palestin, meskipun proses pengiktirafan itu dibuat melalui badan dunia tersebut.

Untuk mengukuhkan hujah-hujahnya, Profesor Zulkifli Muhammad meletakkan persoalan asas berdirinya negara Israel itu. Apakah ia mempunyai hak untuk menubuhkan negara ‘Zionis’ di atas wilayah Palestin. Meskipun ia sudah tertubuh dan diakui oleh PBB, itu tidak menjawab soalan samada ia mempunyai hak atau sebaliknya. Bagaimana mungkin satu bangsa mengambil alih sebuah negara dari penduduk asalnya dan mendakwa ia berhak untuk mendirikan negara Israel di sana. Oleh itu, hujah beliau “…dengan tidak adanya hak asasi yang kuat (untuk penubuhan negara Israel), maka tidaklah adanya keadaan (de facto) itu membolehkan kita dengan sendirinya menganggap negara itu sah.”

Pada persidangan PBB pada tahun 1964, Malaysia melalui inisiatif sendiri telah mengemukakan deraf resolusi (A SPC/L.116) yang menggesa supaya suatu wakil rasmi (custodian) dilantik bagi pengurus hartanah pelarian di bumi Palestin yang terjajah. Wakil Malaysia berhujah bahawa tuntutan ini adalah selari dengan hak asasi di mana tidak ada sebab kenapa rakyat Palestin yang terusir tidak punya hak untuk menguruskan hartanah (samada rumah dan tanah) yang mana mereka dipaksa keluar oleh penjajah Israel. Menafikan hak rakyat Palestin dalam hal ini adalah merupakan satu diskrimasi agama dan kaum yang bertentangan dengan Piagam PBB dan prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa. Sebagaimana yang diduga deraf ini ditentang oleh Israel. Dalam mempertahankan tuntutan tersebut, wakil Malaysia menegaskan bahawa ’persoalan kedaulatan Israel wajib dilihat dalam konteks prinsip-prinsip antarabangsa dan tanggungjawab yang diletakkan di atas entiti tersebut ketika ianya dilahirkan oleh resolusi PBB. Jika Israel enggan untuk melaksanakan tuntutan ini maka adalah menjadi tanggungjawab Persidangan Agung PBB memaksa Israel melakukannya.’

Pada bulan April 1969, atas inisiatif Kuala Lumpur, 23 buah negara Islam bertemu di ibu negara di dalam Konferens Islam Antarabangsa. Konferens ini meluluskan beberapa resolusi iaitu (1) mengutuk Israel kerana merampas wilayah Arab dan Palestin termasuk Baitul Maqdis Timur dalam pencerobohan pada tahun 1967, dan (2) menggesa negara-negara Islam mengadakan sidang kemuncak bagi menangangi keadaan yang amat genting natijah dari pencerobohan Israel dan kesannya ke atas Baitul Maqdis dari pelbagai aspek. Inisiatif yang dimulakan oleh Kuala Lumpur ini boleh dianggap sebagai langkah awal ke arah penubuhan OIC (Organisation of Islamic Conference).

Kemudian satu peristiwa yang amat mengguris hati umat Islam di seluruh dunia berlaku pada 21 Ogos 1969 apabila seorang pelampau Yahudi telah membakar Masjid al Aqsa. Kesan dari pembakaran ini menyebabkan kemusnahan yang besar dan kerugian yang tidak dapat ditaksir dengan wang ringgit. Selain dari beberapa peninggalan sejarah yang tidak ternilai musnah dijilat api seperti mimbar yang telah digunakan oleh Salahuddin al-Ayyubi sejak 700 tahun yang lalu, lebih penting lagi umat Islam merasa tercabar kerana Masjid ketiga paling suci dalam akidah umat Islam cuba dimusnahkan oleh tangan-tangan jahat zionis yang telah lama menyusun strategi untuk merobohkan Masjid al-Aqsa dan merampas tapak masjid untuk mendirikan rumah ibadat mereka (Haikal Sulaiman). Perbuatan pelampau Yahudi yang bernama Michael Dennis Rohan berbangsa Australia ini bukanlah satu perbuatan persendirian yang terpencil. Malah ia merupakan satu konspirasi yang dirancang sebegitu rapi oleh ketua-ketua agama Yahudi yang fanatik dan pendatang Yahudi yang bersekongkol dengan regim zionis untuk mengancam dan memusnahkan Masjid al Aqsa. Konspirasi ini amat jelas apabila penduduk Arab yang berada berhampiran masjid dibiarkan untuk memadamkan api yang sedang marak dengan menimba air dan memadamkan sendiri kebakaran dengan bantuan dari perkhidmatan bomba Jordan dari Ramallah, al-Khalil dan Nablus tanpa sebarang bantuan dari pehak berkuasa Israel. Michael Dennis dibicarakan atas percubaan membakar al Aqsa, tetapi diputuskan oleh mahkamah sebagai tidak siuman. Kejadian ini mengingatkan kita kepada pembunuhan yang berlaku di masjid Ibrahimi (Hebron) beberapa tahun lalu. Pelampau zionis ini juga dibicarakan dan mahkamah Israel memutuskan beliau juga tidak siuman. Samada Michael Dennis siuman atau tidak yang pasti satu laporan rasmi yang diterbitkan dalam akhbar Yediot Aharanot bahawa kuil Yahudi akan didirikan di tapak Masjid al-Aqsa pada 21 Ogos 1969 dan laporan itu terbit pada 18 Ogos, tiga hari sebelum berlakunya kejadian pembakaran ke atas Masjid al Aqsa.

Tindakan jahat ini telah mencetuskan satu inisiatif yang digerakkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj (mantan Perdana Menteri Malaysia), Raja Faisal Arab Saudi dan Raja Hassan II Maghribi untuk mengadakan sidang kemuncak negara Islam di Rabat dari 22 hingga 25 September 1969. Sidang kemuncak ini memutuskan resolusi untuk menyatukan seluruh negara-negara Islam ke arah memastikan pengunduran Israel dari wilayah Palestin yang diduduki natijah dari perang 1967. Satu resolusi juga menegaskan bahawa sebarang penyelesaian Palestin yang tidak menjamin kedudukan Baitul-Maqdis sebagai ibu negara Palestin sebagaimana statusnya sebelum tahun 1967 akan ditolak oleh negara-negara Islam. Sehubungan dengan itu sebuah sekretariat ditubuhkan di Jeddah dan Setiausaha Agung (Sekretary General) yang pertama diberi kepercayaan dan penghormatan ialah YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Dengan ini rasmilah penubuhan OIC seperti yang diketahui pada hari ini.

Sebaik selesai sahaja sidang kemuncak di Rabat, YTM Tunku Abdul Rahman bergegas ke Persidangan Agung PBB pada 7 Oktober 1969 sebagai mewakili ketua-ketua negara Islam bagi menegaskan semula kedudukan isu Palestin. Persoalan Palestin yang telah dikeluarkan dari agenda Persidangan PBB sejak tahun 1952 telah kembali diiktiraf oleh PBB hasil dari desakan dan aspirasi ketua-ketua negara Islam yang diungkapkan dengan penuh meyakinkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman di dalam persidangan PBB sesi yang ke 23 tersebut Persidangan Agung PBB kemudiannya merubah perspektif mereka terhadap isu Palestin dengan mengiktiraf rakyat Palestin sebagai penduduk yang mempunyai hak di bawah Piagam PBB. Kedudukan rakyat Palestin yang terusir dari tanah air mereka dan hak mereka yang tidak boleh diganggu gugat ini terjamin di bawah Resolusi PBB 2535B (XXIV) yang diterima oleh Persidangan Agung PBB pada 10 Disember 1969. Sumbangan dari YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj wajar dirakamkan sebagai batu tanda yang penting dalam perjuangan umat Islam di persada antarabangsa dalam isu pembelaan ke atas rakyat Palestin.

Ikrar dan tekad yang disuarakan sejak sidang kemuncak Rabat pada tahun 1969 terus dihayati oleh kerajaan Malaysia dan rakyatnya sejak 21 Ogos 1969 sebagai Hari al-Aqsa ataupun kini dikenali dengan lebih populor sebagai ROQ (Remembrance of al Quds). Demi memperbaharui komitmen Malaysia terhadap hari al-Aqsa maka setem-setem memperingati tarikh penting ini telah dikeluarkan pada tahun 21 Ogos 1978 dan sekali lagi pada tarikh yang sama pada tahun 1982. Berdasarkan kepada rekod sokongan dan solidariti rakyat Malaysia yang amat membanggakan ini maka adalah wajar bagi kerajaan Malaysia menghidupkan kembali hari al-Aqsa pada hari ini. Pengistiharan melalui pengumuman di dalam media massa cetak dan elektronik adalah suatu yang boleh menyemarakkan semula hari al-Quds. Dengan cara ini maka kesedaran rakyat Malaysia untuk membantu rakyat Palestin yang terus terjajah dan tertindas terutama dengan kepungan dan serangan biadap yang berlaku ke atas Gaza awal tahun ini akan terus bersemarak. Ia juga akan membangkitkan kesedaran dan dhamir umat Islam untuk membantu saudara-saudaranya di Palestin terutama dengan kehadiran bulan Ramadhan al-Mubarak yang penuh keberkatan yang kebetulan jatuhnya pada tarikh yang sama pada tahun ini.

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE
(Palestine Centre of Excellence - Pusat Kecemerlangan Palestin)
Menjelang 21 Ogos 2009
Teruskan membaca...

Tuesday, August 18, 2009

Karnival Wanita 2009 (KAWAN '09)

Dengan nama Allah yang Maha pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, pada 7-9 haribulan ogos 2009 bersamaan dengan 16 – 18 Sya’ban 1430H telah berlangsungnya Karnival Wanita 2009(KAWAN’09) anjuran bersama HEWI PMI, Kelab Iqra’ dan biro kerohanian kolej-kolej. Program yang berlangsung selama tiga hari itu terkandung pelbagai aktiviti menarik, antaranya program derma darah, pameran kesihatan dari Jabatan Kesihatan Johor, pelbagai bengkel-bengkel yang dapat mengasah minat-minat seorang yang bernama wanita, slot kerjaya, slot Anda Bijak Jauhi Zina, persembahan nasyid dan sebagainya. Walupun program ini program wanita, tetapi ia terbuka untuk semua, ini terbukti kerana segala aktiviti karnival ini tidak khusus kepada wanita semata-mata, ini juga terbukti kerana ajk sendiri terdiri daripada muslimin.

Pada hari jumaat malam, perasmian program telah berlangsung, program KAWAN ’09 ini dirasmikan oleh VIP jemputan. Pada malam tersebut, penonton disajikan dengan persembahan gimik dari SUKSIS, montaj program dan pelbagai lagi. Pada malam tersebut, semua ajk KAWAN’09 termasuk Kelab Iqra’ turun ke pusat kokurikulum untuk bersama-sama menjayakan malam perasmian tersebut.

Hari kedua karnival, pelbagai bengkel dijalankan,
di sebelah pagi(9-11.30am) slot Kerjaya dan Anda dijalankan, kemudian bengkel seterusnya di sebelah petang(2-4.30) iaitu slot kemahiran .Pada masa yang sama, bermula jam 9.30 am berlangsung program derma darah di café L50, program derma darah ini diuruskan oleh ajk dari Kelab Iqra’ dengan kerjasama Hospital Sultanah Aminah, Di awal pagi, program derma darah kurang mendapat sambutan. Namun ia tidak mematahkan semangat kami, kami usahakan seboleh mungkin dengan promote program derma darah ini di Karnival Kerjaya (sebelah MSI), center point dan Arked Meranti. Alhamdulillah sambutan mula bertambah,para penderma mula datang pada waktu tengah hari. Ramai yang hadir, tetapi tidak ramai yang dapat menderma kerana tidak mencapai syarat-syarat penderma. Seramai 20 orang yang berjaya menderma, walaupun tidak ramai tetapi ada juga wakil seorang ikhwah dan akhwat kita yang dapat menderma, juga di antara yang berjaya menderma adalah presiden MPP dan Timbalan Presiden PMI. Jam 3.00petang, apabila sudah tiada orang lagi yang inggin menderma, pihak HSA berkemas pulang. Di saat pihak HSA berkemas, semakin ramai pula yang hadir, namun hajat mereka untuk menderma terpaksa ditolak kerana pihak HSA terpaksa pulang kerana inggin menjaga kualiti darah. Sebelum pulang, pihak HSA diberi cenderahati dari KAWAN. Kami berterima kasih kepada pihak HSA atas kerjasama dan layanan yang baik, walaupun pada awal sebelum program berlangsung, mereka tidak dapat terima jemputan kami kerana mereka juga ada program di luar yang berlangsung pada hari yang sama. Kami seronok dapat berjumpa dan bekerjasama dengan pihak HSA, kemesraan dengan makcik-makcik nurse dan doctor, membuatkan kami bertambah semangat untuk bekerja, penat di dalam badan seperti hilang terasa.

Kenangan bersama kakitangan HSA

Pada hari kedua itu juga, di sebelah malam, karnival KA
WAN dimeriahkan dengan persembahan nasyid dari Ikhwanul Muslimin.

Pada keesokkan paginya, bersamaan hari ketiga Karnival wan
ita, slot yang berlangsung adalah slot Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ). Slot tersebut anjuran Kelab Iqra’ dengan kerjasama sketeriat ABJZ, JIM Johor. Slot ini bermula dari pukul 9.00am hingga 1.00pm, dan peserta dikenakan bayaran RM5 untuk cenderahati berupa badges dan buku, tetapi 100peserta yang terawal diberikan percuma. Alhamdulillah peserta yang hadir hampir melebihi daripada 100 orang.

Seperti yang dimaklumkan kepada peserta slot ABJZ sepatutnya slot tersebut dilakukan di DK1, L50. Namun tempat ditukar ke pusat ko-Q kerana ingin
menceriakan serta mewujudkan suasana di tapak kokurikulum dan menampakkan bahawa program KAWAN’09 sedang berjalan. Kami cuba berbincang dengan penceramah, kerana kami sudah buat perjanjian dengan pihak ABJZ dan takut ia akan mengganggu modul dan flow slot tersebut jika beralih tempat. Selepas berbincang, penceramah bersetuju untuk menukar tempat. Pada permulaan penukaran tempat, segala gerak kerja agak kelam-kabut, kerana penukaran tersebut dilakukan pada saat akhir dan peserta sudah mula datang. Namun alhamdulillah, masaalah dapat diselesaikan, masing-masing saling tolong- menolong termasuk peserta dan ajk KAWAN.

Slot bermula tepat pada jam 9.00 pagi, sepanjang slot berlangsung, slot dikawal oleh sketeriat sendiri. Di dalam slot tersebut banyak yang kami dap
at, suatu kupasan dan pendedahan yang menarik. Sketeriat ABJZ mendedahkan kepada peserta tentang media massa zaman sekarang (internet, telefon bimbit, youtube, facebook dan sebagainya) yang boleh menjerumus ke penzinaan, walaupun bermula dengan message(sms) yang tidak sengaja, lama kelamaan boleh terjadinya zina. Apabila zina terjadi, yang menjadi mangsa adalah wanita, Allah menjadikan wanita untuk menghiasi bumi dan menjadi taman kepada lelaki, bukan sebagai tempat untuk melepaskan hawa nafsu, martabat seorang wanita, terletak pada maruahnya. Slot ABJZ ini adalah satu program untuk generasi muda bagi membina jati diri seterusnya boleh dijadikan panduan bagi remaja untuk membentengi dir daripada terlibat dengan gejala sosial. Di samping memupuk sikap sayangkan diri sendiri melalui gaya hidup sihat.

Sepanjang slot berlangsung, alhamdulillah ia berjalan dengan lancar. Namun di waktu pertengahan slot, khemah yang diduduki peserta bocor, kerana hujan turun pada sebelah tengahari. Walaupun hujan turun dengan lebat, ia tidak mematahkan semangat dan mengganggu slot, kerana bahan serta cara penceramah itu sendiri membuatkan peserta tidak banggun dari tempat duduk, mana tidaknya, yang menyampaikan slot tersebut adalah orang yang sudah banyak pengalaman,paklong dan saudara Umair Saiful Rahman. Di akhir slot, penceramah dan seketeriat ABJZ menerima cenderahati serta makanan ringan.


Kenangan bersama Seketriat ABJZ dan AJK KAWAN '09

Selepas waktu zohor, pada pukul 2-4.30 petang, Karnival Wanita diteruskan dengan slot Keselamatan & Anda "Wanita & Jalan Raya". Di dalam slot tersebut, peserta dikenalkan dan di ajar bagaimana menguruskan kenderaan, di samping mengetahui kadar kemalangan masakini dan cara mengelak berlakunya kemalangan.

Pada sebelah malam pula, berlangsungnya Majlis Penutup Program KAWAN ini, Selepas ucapan daripada jemputan VIP dan pengarah, penonton disajikan dengan pesembahan nasyid dan pementasan dari keluarga Sakinah. Suatu pementasan yang amat menarik hati penonton, pementasan tersebut mengisahkan kehidupan seseorang bermula dari zaman perkhawinan, menimang cahaya mata, sehingga anak tersebut mencapai akal baligh. Pementasan tersebut bukanlah hanya suatu lakonan semata-mata, tetapi ia terisi dengan pelbagai pengajaran dan perkara yang seharunya kita lakukan dan elak untuk lakukan apabila melalui zaman tersebut mengikut panduan Al-Quran dan sunnah Nabi.

Alhamdulillah, program yang dirancang sejak dari semester lepas, telah berjalan dengan jayanya, walaupun banyak masalah yang dihadapi sepanjang menguruskan program KAWAN, namun masalah dapat diatasi kerana kita semua saling bantu membantu, apabila ada yang bermasalah, pasti ada yang dapat menopup kembali, tidak wujud di antara kami, masalah perbezaan Kelab atau Kolej yang berbeza-beza, masing-masing bekerja dan melaksanakan tugas atas nama seorang Muslim.

Dari ajk Kelab Iqra’ pula, kami berterima kasih yang tidak terhingga kepada HEWI PMI serta Biro kerohanian Kolej-kolej atas kerjasama ini. Walaupun bilangan ajk kami yang tidak ramai, tetapi mampu menguruskan slot dengan jayanya kerana komitmen yang diberikan oleh setiap ajk meniupkan semangat membuatkan ajk-ajk bersungguh-sungguh untuk melakukan kerja. InsyAllah semoga program seperti ini diteruskan lagi dan ukhuwah di antara kita semua semakin erat.
Teruskan membaca...

Sunday, August 16, 2009

Kecilnya Dunia Buat Du'at

Dugaan-dugaan dunia yang kecil, tidak mampu menjatuhkan seorang da'ie agung. Permulaan kisahnya bermula sedang dunia di sekelilingnya penuh dengan kegelapan jahiliyah. Lalu datang pula kepadanya cahaya harapan, sinaran keimanan dan wahyu kebenaran yang menggoncangkan hatinya lalu mententeramkan jiwanya. Rabbul A'la telah menurunkan wahyunya yang pertama, yang melantiknya menjadi seorang saksi buat seluruh manusia terhadap kebenaran deen ini.

Sungguh! Dugaan-dugaan dunia yang kecil tidak bermakna apa-apa kepada sang da'ie agung. Ketika kaumnya menentangnya dengan sekeras-keras tentangan, dan ketika tahun kehilangan dua orang yang tersayang (Khadijah dan Abu Talib), da'ie ini menamakan tahun tersebut sebagai tahun kesedihan. Tetapi nama kesedihan tidak terbit dari rasa sayang kehilangan dua orang tersayang, ianya terbit dari sebab tidak berkembangnya da'wah dalam tempoh tersebut.

Mulianya jiwa ini, sedih bukan kerana sebab dunia. Tetapi sedih kerana tiada manusia yang menerima kalimah yang mulia ini, serta risalah yang dibawa.

Lalu sang da'ie agung diperintahkan untuk keluar disekitar Makkah. Berjumpalah dia dengan penduduk Ta'if, membawa risalah yang suci, buat kaum yang baru. Namun mereka menolak seruan yang mulia ini, dengan lemparan batu-batu yang banyak, sehingga luka-luka tubuh peribadi agung ini. Malaikat bukit menawarkan diterbalikkan gunung ke atas mereka yang menzalimi baginda, tetapi dugaan dunia tidak menyempitkan perasaan dan cita-cita mulia baginda, lalu dijawab: "Bahkan aku mengharap agar lahir dari mereka, generasi yang mentauhidkan Allah".

Kemudiannya dibacanya sebuah doa yang masyhur, yang mengadu kepada Rabbul 'Alamin, tentang perasaannya terhadap da'wah yang dibawa:
"Ya Allah, wahai Tuhanku! Kepada engkau aku mengadu hal keletihan tenagaku, kekurangan helahku, kehinaanku di hadapan manusia... Wahai Yang Maha Penyayang Lagi Maha Belas Kasihan! Engkaulah Tuhan golongan yang lemah dan dhaif, engkaulah Tuhanku, kepada siapa lagi yang hendakku menyerah? Apakah kepada orang yang jauh membenciku? Atau kepada seteru yang telah Engkau berikan kuasa mengatasi aku? Kiranya tiada kemurkaanMu ke atasku, tidaklah aku peduli. Namun afiat dariMu lebih luas bagiku, aku berlindung dengan cahayaMu. Engkaulah yang menerangi kegelapan, dengannya urusan di dunia dan di akhirat menjadi baik. Aku berlindung denganMu dari terturunnya ke atasku kemurmkaanMu, atau terturunnya kemarahanMu, bagiMu jua tempat kembalinya (segala sesuatu) hingga tercapai keredhaanMu, tiada daya dan upaya kecuali denganMu, wahai Tuhan..!"
Seorang da'ie tidak lemah dihambat dunia, tetapi risaunya adalah pada da'wahnya. Baginya, dunia adalah kecil dan remeh... Tetapi akhirat jualah yang besar disisinya. Dengan itu, dalam tiap kejatuhan masih ada harapan lagi, melainkan kejatuhan pada hari kebangkitan.

Seorang da'ie bebas hatinya dari dunia dan kesedihannya.

Kerana akhirat adalah wawasan dan cita-citanya.

Jangan engkau sedih wahai para du'at!
Teruskan membaca...

Wednesday, August 12, 2009

Syura Di Dalam Amal Jama'i

Di dalam kisah Uhud yang telah saya bawakan sebelum ini, saya telah menceritakan tentang kisah-kisah yang berlaku sebelum terjadinya perang Uhud. Di dalam kisah tersebut, termasuk sebuah kisah bagaimana sesebuah keputusan itu dibuat, terutamanya di dalam konteks amal jama'i (amal berpasukan).

Sebelum peperangan Uhud, bahkan sebelum RasuluLlah SAW berhijrah ke Makkah lagi, ayat ini telah diturunkan:

Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan shalat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarat antara mereka; dan mereka menafkahkan sebagian dari rezki yang Kami berikan kepada mereka.
(Syura, 42:38)

Al-Ustadz Sayyid Qutb di dalam menghuraikan ayat ini telah berkata:
"Ayat ini menunjukkan bahawa bersyura itu adalah satu sifat yang penting bagi seorang mu'min. Mereka dianggap telah menerima seruan Allah dengan melaksanakan solat dan zakat yang merupakan perintah-perintah dalam Islam. Tujuan ayat ini akan tercapai apabila musyawarah telah dilakukan, gambaran yang diberikan di sini seolah-olah kesempurnaan iman tidak dapat dicapai tanpa syura" (Fi Dzilalil Qur'an).

Tidak hairanlah mengapa ayat dari surah as-Syura itu telah diturunkan ketika fasa Makkah lagi; "...seolah-olah kesempurnaan iman tidak dapat dicapai tanpa syura". Dan kita mengetahui bahawa pada fasa Makkiyah, tarbiyah ditekankan pada aspek aqidah dan keimanan.

Pada saat-saat hampir bermulanya peperangan pula RasuluLlah SAW telah membuat musyawarah bersama para sahabatnya. Nabi yang mulia telah memberikan pandangannya dan menyatakan keberatannya untuk mempertahankan Madinah dari dalam. Lagi-lagi baginda sendiri telah bermimpi tentang berita buruk yang bakal berlaku. Namun akhirnya, keputusan telah dibuat agar tentera Muslimin menghadapi tentera Musyrikin di luar Madinah.

Ar-Rasul telah mendapat gambaran awal tentang kesudahan perang Uhud, dan atas sebab itu baginda telah memberikan cadangannya ketika bermesyuarat bersama sahabat-sahabat. Walaupun baginda seorang Rasul yang mulia, yang mana pandangan serta pendapatnya adalah ma'sum dari dosa, namun baginda tetap memilih keputusan yang telah disyurakan secara bersama. Boleh sahaja autoriti yang ada pada baginda, digunakan untuk membatalkan keputusan-keputusan hasil dari pandangan manusia biasa (sahabat). Tetapi baginda tidak melakukannya.

Setelah berlangsungnya peperangan Uhud, Allah telah menurunkan ayat ini:

"Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepadaNya"
(Aali 'Imran, 3:159)

"Kejadian-kejadian yang berlaku di Uhud kemudiannya menunjukkan bahawa pendapat RasuluLlah SAW adalah lebih tepat dan benar. Walaupun demikian, selepas Uhud, Allah memerintah RasuluLah SAW memohon ampun bagi sahabat-sahabatnya, dan bermesyuwarah dengan mereka dalam urusan mereka." (Fi dzilalil Qur'an)

Ketika menghuraikan bahagian: "...Kerana itu maafkanlah mereka, mintalah keampunan buat mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam segala urusan...", as-Syahid Sayyid Qutub mengatakan di dalam tafsir Fi Dzilalnya:
"RasuluLLah SAW memang berhak membatlkan keputusan syura itu, tetapi baginda teruskan juga keputusan itu walaupun beliau mengetahui wujudnya penderitaan-penderitaan, kerugian-kerugian dan pengorbanan-pengorbanan di sebaliknya, kerana menegakkan dasar syura dan mengajar jama'ah Muslimin dan mendidik umat Muslimin adalah lebih penting dari kerugian-kerugian yang bersifat sementara."

Beliau telah menyambung huraian ayat tersebut:
"Dengan ungkapan yang tegas 'Bermesyuaratlah dengan mereka dalam segala urusan' ini, Islam menetapkan dasar ini di dalam sistem pemerintahan walaupun Nabi Muhammad SAW sendiri yang mengendalikan teraju pemerintahan itu. Ini adalah satu nas yang tegas yang tidak memberi sebarang keraguan kepada umat Muslimin bahawa syura itu merupakan dasar asasi (pemerintahan Islam). Ia tidak boleh ditegakkan di atas dasar yang lain darinya."

"...Dan apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah kasihkan orang-orang yang bertawakkal."
(Aali 'Imran, 3:159)

"Tugas syura ialah memeriksa pendapat-pendapat dan pandangan-pandangan, dan memilih salah satu dari pandangan-pandangan yang dikemukan itu. Apabila sampai ke tahap ini, maka berakhirlah peranan syura dan tiba pula peranan pelaksanaan, iaitu melaksanakan keputusan syura dengan tegas dan penuh azam serta bertawakkal kepada Allah. Di sini ia menghubungkan urusan itu dengan takdir Allah dan menyerahkan kepada kehendak Allah mengatur akibat-akibatnya mengikut bagaimana yang dikehendaki olehNya." (Fi Dzilalil Qur'an)

Memperoleh keputusan tidaklah sepenting proses mendapatkan keputusan. Lagi-lagi di dalam konteks amal jama'i. Di dalamnya ada keberkatan, ada rahmah, ada perasaaan tanggunjawab meluas, dan ada petunjuk dari Allah. Hal ini telah ditunjukkan oleh RasuluLlah dengan satu contoh yang sangat baik ketika peperangan Uhud. Bahkan itu hanya satu contoh sahaja di dalam banyak contoh yang boleh diambil dari sirah RasuluLlah SAW, seorang sahabat telah berkata: "Aku tidak pernah melihat orang yang paling sering bermesyuwarah dengan sahabatnya selain RasuluLlah (SAW)" (HR. Ahmad).

Sayyidina 'Umar telah mengeluarkan satu kata-kata yang cukup cantik:
"Tidak ada kebaikan bagi setiap keputusan yang tidak melalui mekanisma syura"
Bagaimana mungkin ketika kita mahu beramal jama'i dalam melaksanakan da'wah, tetapi kita tidak mengikuti sunnah baginda di dalam proses mendapatkan keputusan? Janganlah kita menjadi orang-orang yang tertipu dengan jawatan dan autoriti sehingga mengabaikan sunnah yang agung ini. Tidak lain, ia hanya membawa kepada ketidak-berkatan dalam amal, merosakkan jama'ah, dan menjadi punca pecah-belah serta perbalahan.

Sudahkah kita mengamalkannya?

Artikel asal: Blog 'Ammar Taqiyuddin.
Teruskan membaca...

Kelab Iqra' UTM

Kami ingin melakukan islah di kalangan ummah kami, untuk kami bebaskan (merdekakan) mereka, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.

Maka tidak lain dan tidak bukan kami hanya ingin menyatakan sesuatu sepertimana yang dikata oleh Nabi Syu'aib ketika berhadapan dengan mad'unya dari kalangan kaumnya: "Aku hanya bermaksud (mendatangkan) pembaikan selama aku masih mampu. Dan petunjuk yang aku ikuti hanya dari Allah. KepadaNya aku bertawakkal dan kepadaNya (pula) aku kembali" (11:88).

Juga tidak lain dan tidak bukan kerana kami ingin melihat ummah ini kembali gemilang dan memerintah dunia sesuai dengan firman Allah SWT: "...sehingga tidak lagi berlaku fitnah, dan terjadinya deen itu kesemuanya bagi Allah..." (8:39).

Jika ada sebarang aduan, cadangan atau apa-apa sahaja yang ingin dimaklumkan kepada kami, sila hantar email kepada iqra[dot]utm[at]gmail[dot]com
http://kelab-iqra.blogspot.com