Bismillah,
Dewasa ini, kita digemparkan dengan banyak isu-isu menarik di peringkat antarabangsa. Antara perkara yang mungkin banyak menangkap perhatian kita adalah 'the arab spring' yang berlaku di timur tengah. Kita sendiri lihat bagaimana rakyat yang setelah sekian lama tertindas dibawah regime kuku besi yang zalim, bangkit untuk pertahankan hak mereka dan menuntut agar keadilan dikembalikan kepada mereka.
Siapa sangka seorang hamba Allah di Sidi Bouzid, Tunisia, yang juga seorang peniaga sayur-sayuran marhaen, boleh menjadi asbab kepada sebuah revolusi yang melanda sebahagian besar tanah arab. Sekali pun natijahnya, peniaga sayuran yang bernama Mohamed Bouazizi itu mati dijilat api, tapi hasrat dan keinginan beliau untuk menuntut keadilan yang diambil oleh pihak berkuasa terus menyerap ke dalam jiwa para pemuda rantau arab.
Kesannya, kita dapat lihat satu demi satu regime diktator tumbang, bermula dengan Ben Ali di Tunisia, di ikuti dengan Mubarak di Mesir, Gadafi di Libya, Ali Abdullah Saleh di Yemen dan terkini dan masih berlanjutan adalah Bashr Al-Assad di Syria.
Antara revolusi yang tercetus di negara arab lain, yang paling dahsyat dan teruk sekali revolusi yang berlaku adalah di Syria. Di mana cengkaman pimpinan tertinggi negara, Bashr Al-Assad, masih lagi kukuh dan tidak mahu melepaskan tangan. Tambahan lagi, Bashr Al-Assad mengambil tindakan yang lebih dahsyat dengan membunuh terus mereka-mereka yang menentang beliau.
Laporan terkini daripada U.N, lebih daripada 7,000 nyawa rakyat Syria telah terkorban demi menuntut keadilan daripada Bashr Al-Assad. Bahkan sebenarnya, angka itu terus bertambah selagi mana regime ini berkuasa.
Di pihak U.N dan negara-negara yang bersekutu dengannya, hingga kini resolusi-resolusi yang dikeluarkan masih tidak mampu memberi apa-apa impak. Bahkan, negara Russia dan China yang menjadi salah satu kuasa veto U.N, tidak bersetuju dengan campur tangan kuasa asing dalam 'kemelut dalaman politik negara'. Mungkin mereka mahu menjaga kepentingan mereka dengan Syria seperti mana U.S bersungguh-sungguh mempertahankan Israel.
Apa pun, itu adalah isu yang kedua. Yang utama dan mesti di ambil perhatian terhadap apa yang berlaku di Syria adalah KITA. Ya! KITA wajib untuk buat sesuatu. KITA wajib untuk pastikan keselamatan saudara-saudara kita di Syria. Mereka bukan orang asing yang tidak perlu kita hiraukan kacau-bilau rumah tangganya tapi mereka adalah akh dan saudara kita. Mereka adalah sebahagian daripada anggota jasad kita seperti mana Ar-Rasul SAW pernah bersabda:
"Orang beriman itu dengan orang beriman yang lain seperti jasad yang satu. Kiranya salah satu anggota mengalami kesakitan, maka seluruh anggota akan akan turut berjaga malam, merasa panas dan gusar." [HR Bukhari & Muslim]
Sabda Nabi di hadith yang lain:
"Barangsiapa yang tidak mempedulikan urusan kaum yang lain, maka ia bukanlah termasuk dari kalangan mereka." [HR Abu Daud]
Allah juga berfirman, dalam surah Al-Hujurrat ayat 10:
"Sebenarnya orang-orang mukmin itu bersaudara..."
Maka apa alasan kita untuk tidak mengambil tahu tentang apa yang berlaku terhadap saudara-saudara kita di Syria?
Untuk pergi ke Syria dan membantu saudara-saudara kita di sana mungkin satu perkara yang mustahil untuk kita lakukan. Namun, kemampuan kita tidak terbatas dengan limitasi ruang dan waktu. Kita mampu untuk lakukan sesuatu walau pun kita di sini, walau pun juga kita tidak berkonfrontasi secara terus dengan regime Syria. Mungkin perkara dibawah boleh menjadi panduan untuk kita supaya kita berusaha juga untuk membantu saudara-saudara kita di sana.
1. Baca dan update perkembangan terkini yang berlaku di Syria melalui google news, yahoo news, akhbar-akhbar antarabangsa, akhbar-akhbar tempatan, facebook 'like for Syria' dan mana-mana media massa yang ada untuk apa yang berlaku di sana.
2. Sebarkan artikel-artikel, lukisan-lukisan, video, isu-isu berkait dengan Syria dalam ruang-ruang yang ada supaya lebih ramai yang cakna tentang tragedi yang berlaku di Syria.
3. Kiranya ada tabung-tabung yang dilancarkan oleh badan-badan yang dipercayai, maka sumbanglah untuk support kedhaifan keluarga mangsa-mangsa yang kena bunuh dek regime Bashr Al-Assad.
4. Kalau mampu, lancarkan kempen-kempen kesedaran, flash mob dan apa-apa yang mampu, berkait apa yang berlaku di Syria. Kalau mampu juga lakukan demonstrasi besar-besaran, teruskan.
5. Dan yang terakhir sekali, tindakan paling kerdil boleh kita lakukan adalah dengan doa. Selitkan doa-doa memohon pertolongan daripada Allah di setiap akhir solat lima waktu kita.
Perbuatan-perbuatan ini dalam pandangan mata kasar, mungkin tidak memadai dan tidak mampu memberi kesan terhadap regime Bashr Al-Assad tapi percayalah, sokongan moral yang kita berikan secara batiniah serta permohonan doa yang tulus daripada seorang saudara kepada saudaranya yang tertindas pasti akan Allah dengar dan kabulkan, insya Allah.
Maka usahakanlah untuk mainkan peranan walau sekecil doa sekali pun kerana kita adalah manusia yang perihatin. Kita perihatin terhadap saudara kita yang tertindas dek regime yang zalim.
Semoga Allah memberi kekuatan kepada saudara-saudara kita di sana untuk terus bertahan hingga regime zalim itu tumbang dan mengurniakan harapan secerah mentari buat saudara-saudara kita di Syria.
Wallahu'alam.
Kelab Iqra' UTM,
2012.
IQRAteam - administrator
Jika ada sebarang pertanyaan, masalah, aduan, cadangan, dan apa-apa sahaja yang perlu mendapatkan maklumat, kefahaman, tindakan atau apa-apa yang lanjut berkaitan dengan kami, bolehlah menghubungi kami. Temui kami juga di
Facebook dan juga
Tumblr.
sama2 baca qunut nazilah lepas solat..
ReplyDelete