Buat diri-diri yang masih sendiri



Buat diri-diri yang masih sendiri 
Dan mencari-cari

Bersabarlah, yakinlah 
Di sebalik keseorangan itu
Punya hikmah yang hanya 
Allah sahaja yang mengetahui

Meski waktu terus berlalu 
Tapi tak ada orang meminang
Namun tidak bermakna 
Penantian itu adalah sia-sia

Saat perjalanan dalam kehidupan ini
Adalah pencarian hakikat diri
Justeru itu gunakan waktu itu 
Sebaik-baiknya

Muhasabahlah diri kita
Tarbiyahlah diri kita dan perbaikilah diri kita
Moga, ada sinar telus 
Yang menanti di akhir sinar itu

Besabar dan berdoalahlah 
Agar kita diperteguhkan iman 
Sehingga sampai 
Saat kita itu dipinang 

Dan sesungguhnya kita tidak sendiri 
Kerana Dia sentiasa di sisi kita
Yakinlah Allah sentisa bersama dengan kita
Dengan ganjaran Allah di sana nanti

Kerana hanya Dia yang Maha Mengetahui 
Apa yang terbaik untuk kita 
:)

Read more ...

"1 Family Day_akhawat "


Bismillah..

Alhamdulillah.. telah berlangsungnya satu program jalinan ukhuwah KI_akhawat pada petang tadi. Bertempat di padang tengah KTF, 3 jenis sukaneka telah diadakan. Gabungan MT (majlis tertinggi) Kelab Iqra' dan juga RE setiap jabatan amat memeriahkan suasana dan juga keadaan. 

Diucapkan jazakumullah khairan kasira kepada team MT dan juga RE serta mantan2 akhawat yang sanggup turun padang bagi memeriahkan lagi serta merapatkan ukhuwah antara akhawat. 

Moga dengan sukaneka yang baru sahaja berlangsung petang tadi ini dapat menaikkan lagi semangat kerjasama dan juga jalinan hati antara kita, para akhawat sekalian..

Jazakumullah khairan kasira fi marratan ukhra~~

=]
Read more ...

MASAB 2010

Pada 28 Julai 2010 bersamaan 16 Syaaban 1431, Kelab Iqra’ UTM Skudai telah menganjurkan Majlis Sambutan Ahli Baru (MASAB) Kelab Iqra’ dengan membawa tema ‘Ke Arah Pembangunan Fikrah Mahasiswa Muslim’ di Dewan Kuliah 9 bangunan N24 . Majlis ini diadakan bagi meraikan kedatangan ahli-ahli baru Kelab Iqra’ UTM dan bagi mewujudkan ukhuwah antara mereka dengan ahli Kelab Iqra’ yang masih setia sehingga sekarang. Majlis yang telah di adakan pada hari Rabu malam Khamis ini, telah menerima tetamu seramai 21 orang siswa dan 33 orang siswi yang merupakan ahli baru Kelab Iqra’. Manakala lebih 25 orang tetamu pula terdiri daripada ahli lama Kelab Iqra’ UTM telah hadir bersama bagi memeriahkan majlis ini.

Tetamu yang terdiri daripada ahli-ahli baru dan ahli-ahli lama Kelab Iqra’ telah mula berkumpul di luar Dewan Kuliah 9, N24 pada jam 6.30 petang. Semua jemputan kemudiannya bersiap sedia untuk menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di dalam surau bangunan N24. Setelah selesai solat Maghrib berjemaah, tetamu yang hadir dijemput menikmati hidangan makan malam yang telah disediakan. Bagi membina ukhuwah sesama ahli baru dan ahli lama Kelab Iqra’, makanan di hidangkan di dalam dulang. Jesteru itu, ahli lama dan ahli baru Kelab Iqra’ dapat bertaaruf dan beramah mesra antara mereka. Setelah itu,semua tetamu masuk ke dalam dewan kuliah 9 di N24 untuk memulakan majlis. Pada jam 8.45 malam, majlis dimulakan dengan bacaan doa dan bacaan tilawah beserta terjemahannya. Seterusnya, majlis ini disusuli degan montaj pengenalan Kelab Iqra’ dan di susuli montaj pengenalan kepada saf kepimpinan Kelab Iqra’ sesi 2010.
Read more ...

Rehlah Akhawat: Rolling Sushi

Alhamdulillah, pada 1 Muharram 1431 (Jumaat) bersamaan 18 Disember 2009, akhawat Kelab Iqra’ (KI) telah mengadakan rehlah di Tasik UTM yang bertemakan budaya jepun. Rehlah ini dianjurkan bagi menemukan semula dan mengeratkan kembali ukhuwah antara akhawat KI setelah pulang daripada cuti semester. Di samping itu menambah kemahiran memasak dengan belajar membuat rolling sushi.

Pada awalnya, wujud kebimbangan sama ada program ini dapat dijalankan seperti yang dirancang memandangkan hujan turun agak lebat sejak waktu subuh. Namun Alhamdulillah, atas kehendak Allah, hujan agak reda setelah jam 8 pagi dan seterusnya cuaca cerah dan nyaman. Seperti yang dimaklumkan kepada semua yang dapat hadir, waktu berkumpul di Tasik UTM adalah pada jam 8.30 pagi. Ada yang hadir dengan berkenderaan, berjalan kaki dan tidak kurang juga ada yang berjoging. Sementara menanti kehadiran yang lain, akhawat yang telah sampai melepaskan rindu masing-masing dengan bertanya khabar dan ada yang membuat persediaan untuk melancarkan program pada pagi itu.

Pada jam 9.15 pagi, program ini bermula dengan sesi ta’aruf di antara akhawat yang hadir dengan dimulakan dengan bacaan ummul kitab. Dengan membuat satu bulatan yang besar, masing-masing perlu memperkenalkan nama, kursus yang diambil, kolej kediaman dan trademark. Setelah sesi ta’aruf selesai, seterusnya acara memanaskan badan dilakukan dengan diketuai oleh ukhti Akmar.


Sesi Ta'aruf



Bersenam dulu

Lebih kurang jam 9.40 pagi, diadakan penyampaian tazkirah yang disampaikan oleh ukhti Izyani yang menyentuh tentang peristiwa Maal Hijrah. Antara yang disentuh adalah pengorbanan yang dilakukan oleh para sahabat Rasulullah dalam peristiwa penghijrahan Rasulullah dari kota Makkah ke kota Madinah. Di samping itu turut diselitkan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada 10 Muharram.


Sesi tazkirah

Pada jam 10 pagi program diteruskan dengan pembahagian kumpulan yang dikendalikan oleh ukhti Hasyidah. Akhawat yang hadir telah dibahagikan kepada 4 kumpulan yang keahliannya antara enam hingga tujuh orang setiap kumpulan. Setelah itu, mereka dikehendaki menutup mata dan dibawa fikiran mereka membayangkan bahawa mereka sekarang sedang berada dalam bahtera masing-masing dan sedang belayar di lautan luas. Seterusnya mereka ditanya ke mana arah tuju mereka semua, dan sudah pasti jawapan mereka, Jepun!

Setelah pemilihan nakhoda dan pembantu dibuat, setiap kapal dikehendaki berlabuh untuk mencari
Zati Sensei (ukhti Zati Amni) dan mempelajari sesuatu untuk menyelesaikan misi yang bakal mereka lakukan. Tugas ini dilaksanakan oleh nakhoda dan pembantunya. Bagi awak-awak kapal (ahli kumpulan lain) yang tidak terlibat, mereka dikehendaki tinggal di dalam ‘kapal’ dan melakukan tugas-tugas pengurusan ‘kapal’ termasuk kerja pembersihan.


Tunjuk ajar ku Sensei!

Setelah selesai sesi belajar bersama
Zati Sensei, nakhoda dan pembantunya diminta mengambil bahan-bahan yang telah disediakan untuk membuat rolling sushi termasuk roti kosong sebagai makanan sampingan dan bergerak kembali ke ‘kapal’ masing-masing. Seterusnya mengajar kepada awak-awak kapal cara-cara membuat rolling sushi. Setiap kumpulan diberi kebebasan untuk menyediakan rolling sushi mengikut kreativiti masing-masing dengan syarat menggunakan semua bahan yang telah disediakan. Mereka diberi masa satu jam untuk menyediakannya.


Semua mendengar dengan khusyuk apa yang disampaikan



"Step seterusnya macam ni yer"

Pada jam 11.45 pagi, semua kumpulan dikehendaki bergerak ke pelantar yang terletak di tengah tasik dengan membawa bersama hasil kerja kumpulan iaitu rolling sushi yang telah disediakan untuk diadili oleh hakim-hakim jemputan khas. Setelah semua dikumpulkan, seterusnya sesi pengadilan dijalankan untuk memilih kumpulan mana yang berjaya menarik perhatian pengadil dengan menyediakan rolling sushi yang sedap dan menarik. Kumpulan yang membina menara sandwich dan sushi berjaya menarik perhatian pengadil dengan rasa yang sedap manakala untuk hiasan yang menarik, dimenangi oleh kumpulan roti smiley.


Menara Sushi & Sandwich


Roti Smiley :)


Sushi Melayu (tambah serunding)


Sushi + Sandwich + Nasi Kepal

Lebih kurang jam 12.15 program diteruskan dengan acara screaming sushi (makan). Memang saat yang dinantikan oleh semua untuk merasai hasil air tangan masing-masing. Namun
Zati Sensei meletakkan syarat bahawa tidak boleh seorang pun menyuap diri sendiri, tetapi perlu menyuap orang lain dengan menggunakan chopstick yang dibekalkan. Dengan lafaz Bismillah dan doa makan, acara screaming sushi pun bermula. Dengan suasana yang tenang di tengah-tengah tasik, angin sepoi-sepoi bahasa bertiup, terasa begitu nikmat menikmati makanan yang disediakan. Di samping itu, pihak penganjur turut menyediakan bihun goreng sebagai makanan tambahan kepada semua yang hadir. Di penghujung sesi ini, pihak penganjur turut membekalkan beberapa keping roti kepada setiap kumpulan untuk diberi pada ikan-ikan di tasik. Acara ini dipanggil Feeding Frenzy. Alhamdulillah acara screaming sushi telah berjaya dijalankan dengan jayanya dengan melihat setiap talam telah licin bersih. Begitu juga acara Feeding Frenzy.


Screaming sushi time!!


Sayangi makhluk yang lain....

Pada jam 12.45, acara penutup dijalankan. Sesi ini dikendalikan oleh ukhti Tasneem dengan recall semula perjalanan program yang telah bermula sejak awal pagi sehingga jam tersebut. Seterusnya muhasabah program dilakukan sebagai peringatan buat yang hadir. Antara yang dapat disimpulkan ialah:

1. Hijrah: Melalui penghijrahan yang dilakukan contohnya seperti simulasi yang dilakukan dengan belayar ke negara Jepun, dapat mempelajari bahasa dan budaya masyarakat Jepun seperti makanan mereka. Seterusnya dapat membentuk diri ibarat seperti jika dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke tanah menjadi gunung.

2. Syura: Dengan merujuk surah as-Syura, ayat 38, dapat dilihat betapa pentingnya syura itu dalam kehidupan seharian. Selain dapat membina kerjasama di antara ahli kumpulan, ia juga memberi peluang kepada semua yang terlibat untuk memberi pandangan dalam satu-satu keputusan dan seterusnya memutuskan sesuatu keputusan secara berjemaah.

3. Peka/peduli: Tidak hanya memikirkan diri sendiri, tetapi peka dan peduli dengan sekeliling bahawa ada saudara kita dan makhluk lain juga yang perlu kita bantu. Contohnya acara feeding frenzy yang dijalankan. Begitu juga halnya kita dengan saudara seIslam kita yang berada di seluruh dunia yang memerlukan bantuan. Tidak hanya memikirkan keperluan diri sendiri, tetapi turut memikirkan keperluan mereka yang lebih memerlukan.

Sebelum berpisah, majlis ditutup dengan bacaan doa Rabitah seterusnya tasbih Kafarah dan surah al-‘Asr. Semoga program pada hari itu diberkati Allah, InsyaALLAH. Setelah sesi bersalaman antara akhawat yang hadir, masing-masing pulang ke kolej kediaman dengan perasaan gembira dengan kemanisan ukhuwah yang terbina ditambah pula nikmat pengisian hati dan perut.
Read more ...

Kem Kepimpinan Kelab Iqra' UTM

Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar (dalam menegakkan kebenaran). Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami.

(As-Sajdah, 32:24)

Alhamdulillah, pada 13 hingga 15 November 2009 yang lalu, Kelab Iqra’ UTM telah menganjurkan Kem Kepimpinan Kelab Iqra’ (3KI ’09). Kem ini dianjurkan sebagai persediaan kepada barisan pimpinan Kelab Iqra’ sesi yang baru iaitu sesi 2010 serta rakan exco-rakan exco setiap jabatan dalam meneruskan usaha melaksanakan misi dan mencapai visi Kelab Iqra’ UTM.



Panorama dan pemandangan yang sangat cantik dapat dilihat dari Balai Cerap yang telah menjadi tempat utama berlangsungnya kem ini. Ini terbukti dengan keterujaan para peserta menikmati pemandangan kejadian alam di sepanjang kem sambil tidak lepas mengambil gambar sebagai foto kenangan.

SubhanaLlah..pemandangan yang cantik di atas bangunan balai cerap

Kem 3KI '09 dimulakan pada petang hari Jumaat 13 November dengan sesi taaruf di mana setiap peserta diminta memperkenalkan diri masing-masing. Bagi peserta akhawat,mereka dikehendaki menjawab 10 soalan yang berkaitan diri peserta dan fasilitator kem dalam masa yang singkat. Suasana gamat dan ceria yang berlaku adalah permulaan terbaik dalam pembinaan ukhuwah sesama peserta dan fasilitator di dalam kem ini..



Ukhuwah fiLlah..abadan abada. Akhawat 3KI '09

Pada malamnya pula, para peserta telah disedarkan minda, dikejutkan dari lena dengan penerangan tentang konsep ar-Rijal yang harus diserapkan dalam setiap diri masing-masing. Semangat ar-Rijal mesti diperolehi setiap manusia yang juga bergelar pemimpin yang bakal menegakkan syariah di muka bumi ini serta bertanggungjawab dalam menyingkir karat-karat jahiliyah yang telah berkampung dalam jiwa masyarakat. Pemimpin yang dicari bukanlah hanya mengarah tetapi memimpin dalam menghembus kefahaman tauhid dan aqidah ke dalam jiwa pengikut-pengikutnya di samping mengetuai mereka dalam mencegah kemungkaran dan menyeru pada kebaikan.

Slot yang dinamakan Expect the Unexpected ini membawa para peserta akan kepentingan mereka sebagai ar-Rijal dan mementingkan aspek tarbiyah melalui sistem usrah yang teratur untuk membawa perubahan ke arah mencapai mencapai Ustazi'atul alam (berdasarkan 7 maratib amal).

Pada keesokan paginya, para peserta diberi penerangan tentang syura dalam slot yang disampaikan oleh bekas presiden Kelab Iqra' sesi 2009. Slot yang bersandarkan pengertian dari petikan surah As-Syura ayat 38 ini menekankan betapa pentingnya syura dalam sesuatu organisasi terutama dalam melaksanakan sesuatu berkaitan pembaikan ummah. Pendekatan syura ini penting untuk meningkatkan keupayaan ahli-ahli syura menyelesaikan masalah dan memecahkan permasalahan yang berlaku.

Selepas makan tengah hari dan solat Zohor, slot Halatuju yang dikendalikan oleh En. Baharin pula menyusul. Slot yang banyak melibatkan perbincangan ini menekankan 5 KRA (Key Result Area) yang penting dalam mengukuhkan perlaksanaan program dalam Kelab Iqra’ iaitu Tarbiyyah dan Pembangunan Sumber Manusia, Pemantapan Organisasi, Hubungan Luar, Dana dan Ekonomi, dan Kebajikan.

Slot seterusnya berlangsung di malam hari iaitu slot Amal Jami’ie yang telah disampaikan oleh PM Dr Zaharuddin Mohamed. Slot ini pada permulaannya menekankan kewajipan melaksanakan dakwah dan keperluan beramal untuk Islam yang bersandarkan dari petikan surah Al-Baqarah ayat 159. Amal jamai’ie yang ditakrifkan sebagai amal yang diputuskan oleh tanzim berdasarkan manhaj tertentu untuk mencapai matlamat tertentu, mengetengahkan bahawa ia menjadi satu keperluan bagi meningkatkan kefahaman para peserta tentang beramal secara individu dan berjemaah di mana dari sudut syari’e berdakwah adalah satu kewajipan individu, manakala dari sudut perlaksanaannya ia menjadi tanggungjawab secara kolektif (berjemaah). Slot ini diakhiri dengan aktiviti LDK di mana peserta dikehendaki memberi pendapat berkaitan dengan amal jamaie berdasarkan video-video yang ditayangkan.

Pada hari ketiga, slot Ikhtilat telah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Kilani. Slot pengisian yang terakhir ini menjelaskan batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan yang berpandukan pengertian dari petikan surah At-Taubah ayat 71 hingga 72 yang menunjukkan persamaan lelaki dan perempuan dalam melaksanakan tuntutan Allah SWT. Yang membezakan antara mereka adalah dari segi perbatasan, di mana kaum wanita lebih banyak yang perlu dijaga apabila bergaul dengan kaum lelaki. Slot ini penting dalam meningkatkan kefahaman peserta tentang batas pergaulan yang perlu dijaga terutama apabila melaksanakan sesuatu urusan aktivisme yang sememangnya banyak melibatkan pertemuan dan perbincangan antara ikhwah dan akhawat.

Slot terakhir sebelum peserta mengemas beg untuk pulang adalah slot aktiviti yang melibatkan aplikasi dari semua slot yang telah disampaikan kepada peserta-peserta 3KI '09. Slot yang mempunyai 5 checkpoint ini banyak menggunakan kekuatan minda daripada fizikal. Keupayaan peserta dalam mengaplikasi apa yang difahami dari setiap slot yang telah didengari menjadi objektif utama slot ini

Antara tugasan yang dijalankan di sepanjang slot Aktiviti

Di check point sarang labah-labah

Secara keseluruhannya, kem 3KI '09 ini sememangnya penting dianjurkan kepada penggerak-penggerak Kelab Iqra’ bagi meningkatkan kefahaman mereka mengenai kepimpinan dan keupayaan menyelesaikan masalah dalam jamaah apabila melaksanakan sesuatu program. Semoga kem kepimpinan ini dapat melahirkan lebih ramai saff ar-Rijal yang bakal menegakkan kembali syiar Islam yang menjadi misi dakwah para tabi’in semenjak kejatuhan Islam yang suatu ketika dahulu pernah gemilang. Wallahu a’lam.

Nukilan: Zati Amni @ Farhana binti Ismahadi
Timbalan Ketua Jabatan Penerangan dan Penerbitan (JPDP)
KI '09 sesi 2010


Read more ...

Karnival Wanita 2009 (KAWAN '09)

Dengan nama Allah yang Maha pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, pada 7-9 haribulan ogos 2009 bersamaan dengan 16 – 18 Sya’ban 1430H telah berlangsungnya Karnival Wanita 2009(KAWAN’09) anjuran bersama HEWI PMI, Kelab Iqra’ dan biro kerohanian kolej-kolej. Program yang berlangsung selama tiga hari itu terkandung pelbagai aktiviti menarik, antaranya program derma darah, pameran kesihatan dari Jabatan Kesihatan Johor, pelbagai bengkel-bengkel yang dapat mengasah minat-minat seorang yang bernama wanita, slot kerjaya, slot Anda Bijak Jauhi Zina, persembahan nasyid dan sebagainya. Walupun program ini program wanita, tetapi ia terbuka untuk semua, ini terbukti kerana segala aktiviti karnival ini tidak khusus kepada wanita semata-mata, ini juga terbukti kerana ajk sendiri terdiri daripada muslimin.

Pada hari jumaat malam, perasmian program telah berlangsung, program KAWAN ’09 ini dirasmikan oleh VIP jemputan. Pada malam tersebut, penonton disajikan dengan persembahan gimik dari SUKSIS, montaj program dan pelbagai lagi. Pada malam tersebut, semua ajk KAWAN’09 termasuk Kelab Iqra’ turun ke pusat kokurikulum untuk bersama-sama menjayakan malam perasmian tersebut.

Hari kedua karnival, pelbagai bengkel dijalankan,
di sebelah pagi(9-11.30am) slot Kerjaya dan Anda dijalankan, kemudian bengkel seterusnya di sebelah petang(2-4.30) iaitu slot kemahiran .Pada masa yang sama, bermula jam 9.30 am berlangsung program derma darah di café L50, program derma darah ini diuruskan oleh ajk dari Kelab Iqra’ dengan kerjasama Hospital Sultanah Aminah, Di awal pagi, program derma darah kurang mendapat sambutan. Namun ia tidak mematahkan semangat kami, kami usahakan seboleh mungkin dengan promote program derma darah ini di Karnival Kerjaya (sebelah MSI), center point dan Arked Meranti. Alhamdulillah sambutan mula bertambah,para penderma mula datang pada waktu tengah hari. Ramai yang hadir, tetapi tidak ramai yang dapat menderma kerana tidak mencapai syarat-syarat penderma. Seramai 20 orang yang berjaya menderma, walaupun tidak ramai tetapi ada juga wakil seorang ikhwah dan akhwat kita yang dapat menderma, juga di antara yang berjaya menderma adalah presiden MPP dan Timbalan Presiden PMI. Jam 3.00petang, apabila sudah tiada orang lagi yang inggin menderma, pihak HSA berkemas pulang. Di saat pihak HSA berkemas, semakin ramai pula yang hadir, namun hajat mereka untuk menderma terpaksa ditolak kerana pihak HSA terpaksa pulang kerana inggin menjaga kualiti darah. Sebelum pulang, pihak HSA diberi cenderahati dari KAWAN. Kami berterima kasih kepada pihak HSA atas kerjasama dan layanan yang baik, walaupun pada awal sebelum program berlangsung, mereka tidak dapat terima jemputan kami kerana mereka juga ada program di luar yang berlangsung pada hari yang sama. Kami seronok dapat berjumpa dan bekerjasama dengan pihak HSA, kemesraan dengan makcik-makcik nurse dan doctor, membuatkan kami bertambah semangat untuk bekerja, penat di dalam badan seperti hilang terasa.

Kenangan bersama kakitangan HSA

Pada hari kedua itu juga, di sebelah malam, karnival KA
WAN dimeriahkan dengan persembahan nasyid dari Ikhwanul Muslimin.

Pada keesokkan paginya, bersamaan hari ketiga Karnival wan
ita, slot yang berlangsung adalah slot Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ). Slot tersebut anjuran Kelab Iqra’ dengan kerjasama sketeriat ABJZ, JIM Johor. Slot ini bermula dari pukul 9.00am hingga 1.00pm, dan peserta dikenakan bayaran RM5 untuk cenderahati berupa badges dan buku, tetapi 100peserta yang terawal diberikan percuma. Alhamdulillah peserta yang hadir hampir melebihi daripada 100 orang.

Seperti yang dimaklumkan kepada peserta slot ABJZ sepatutnya slot tersebut dilakukan di DK1, L50. Namun tempat ditukar ke pusat ko-Q kerana ingin
menceriakan serta mewujudkan suasana di tapak kokurikulum dan menampakkan bahawa program KAWAN’09 sedang berjalan. Kami cuba berbincang dengan penceramah, kerana kami sudah buat perjanjian dengan pihak ABJZ dan takut ia akan mengganggu modul dan flow slot tersebut jika beralih tempat. Selepas berbincang, penceramah bersetuju untuk menukar tempat. Pada permulaan penukaran tempat, segala gerak kerja agak kelam-kabut, kerana penukaran tersebut dilakukan pada saat akhir dan peserta sudah mula datang. Namun alhamdulillah, masaalah dapat diselesaikan, masing-masing saling tolong- menolong termasuk peserta dan ajk KAWAN.

Slot bermula tepat pada jam 9.00 pagi, sepanjang slot berlangsung, slot dikawal oleh sketeriat sendiri. Di dalam slot tersebut banyak yang kami dap
at, suatu kupasan dan pendedahan yang menarik. Sketeriat ABJZ mendedahkan kepada peserta tentang media massa zaman sekarang (internet, telefon bimbit, youtube, facebook dan sebagainya) yang boleh menjerumus ke penzinaan, walaupun bermula dengan message(sms) yang tidak sengaja, lama kelamaan boleh terjadinya zina. Apabila zina terjadi, yang menjadi mangsa adalah wanita, Allah menjadikan wanita untuk menghiasi bumi dan menjadi taman kepada lelaki, bukan sebagai tempat untuk melepaskan hawa nafsu, martabat seorang wanita, terletak pada maruahnya. Slot ABJZ ini adalah satu program untuk generasi muda bagi membina jati diri seterusnya boleh dijadikan panduan bagi remaja untuk membentengi dir daripada terlibat dengan gejala sosial. Di samping memupuk sikap sayangkan diri sendiri melalui gaya hidup sihat.

Sepanjang slot berlangsung, alhamdulillah ia berjalan dengan lancar. Namun di waktu pertengahan slot, khemah yang diduduki peserta bocor, kerana hujan turun pada sebelah tengahari. Walaupun hujan turun dengan lebat, ia tidak mematahkan semangat dan mengganggu slot, kerana bahan serta cara penceramah itu sendiri membuatkan peserta tidak banggun dari tempat duduk, mana tidaknya, yang menyampaikan slot tersebut adalah orang yang sudah banyak pengalaman,paklong dan saudara Umair Saiful Rahman. Di akhir slot, penceramah dan seketeriat ABJZ menerima cenderahati serta makanan ringan.


Kenangan bersama Seketriat ABJZ dan AJK KAWAN '09

Selepas waktu zohor, pada pukul 2-4.30 petang, Karnival Wanita diteruskan dengan slot Keselamatan & Anda "Wanita & Jalan Raya". Di dalam slot tersebut, peserta dikenalkan dan di ajar bagaimana menguruskan kenderaan, di samping mengetahui kadar kemalangan masakini dan cara mengelak berlakunya kemalangan.

Pada sebelah malam pula, berlangsungnya Majlis Penutup Program KAWAN ini, Selepas ucapan daripada jemputan VIP dan pengarah, penonton disajikan dengan pesembahan nasyid dan pementasan dari keluarga Sakinah. Suatu pementasan yang amat menarik hati penonton, pementasan tersebut mengisahkan kehidupan seseorang bermula dari zaman perkhawinan, menimang cahaya mata, sehingga anak tersebut mencapai akal baligh. Pementasan tersebut bukanlah hanya suatu lakonan semata-mata, tetapi ia terisi dengan pelbagai pengajaran dan perkara yang seharunya kita lakukan dan elak untuk lakukan apabila melalui zaman tersebut mengikut panduan Al-Quran dan sunnah Nabi.

Alhamdulillah, program yang dirancang sejak dari semester lepas, telah berjalan dengan jayanya, walaupun banyak masalah yang dihadapi sepanjang menguruskan program KAWAN, namun masalah dapat diatasi kerana kita semua saling bantu membantu, apabila ada yang bermasalah, pasti ada yang dapat menopup kembali, tidak wujud di antara kami, masalah perbezaan Kelab atau Kolej yang berbeza-beza, masing-masing bekerja dan melaksanakan tugas atas nama seorang Muslim.

Dari ajk Kelab Iqra’ pula, kami berterima kasih yang tidak terhingga kepada HEWI PMI serta Biro kerohanian Kolej-kolej atas kerjasama ini. Walaupun bilangan ajk kami yang tidak ramai, tetapi mampu menguruskan slot dengan jayanya kerana komitmen yang diberikan oleh setiap ajk meniupkan semangat membuatkan ajk-ajk bersungguh-sungguh untuk melakukan kerja. InsyAllah semoga program seperti ini diteruskan lagi dan ukhuwah di antara kita semua semakin erat.
Read more ...

Menghilangkan Kegelisahan

Menghilangkan Kegelisahan
  1. Iman itu menghilangkan kegelisahan dan menghapuskan dukacita dan iman itu adalah kekasih orang-orang yang beriman dan juga kesenangan orang-orang yang beribadah.
  2. Terimalah ketentuan Allah itu dengan senang hati dan lapang dada, terimalah rezeki yang telah ditentukan itu dengan lapang dada, kerana segala sesuatu itu sudah ada tentuan dan peruntukkannya, oleh kerana itu janganlah berkeluh kesah.
  3. Ingatlah bahawa mengingat Allah dapat menenangkan hati dan menghindarkan diri dari berbuat dosa. Allah Yang Maha Mulia dan Maha Mengetahui yang ghaib menyukai orang-orang yang berzikir dan sesungguhnya zikir itu melepaskan seseorang dari mara bahaya.
Sekadar renungan bersama...

Sumber: "Kebahagiaan Ada Ada Diri Anda" oleh Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni
Read more ...

Yusuf Estes Coming To UTM


Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), Gabungan Pertubuhan NGO Muslim Negeri Johor, bersama Masjid Sultan Ismail (MSI) UTM serta Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid, Taman Universiti telah berusaha membawa Dr Yusuf Estes ke Johor Bahru dalam siri lawatan beliau ke Malaysia. Dr Yusuf adalah seorang pendakwah terkenal di USA dan seluruh dunia semenjak memeluk agama Islam. Beliau sebelum ini ialah pendakwah Protestan yang aktif. Program Dr Yusuf Estes di Johor Bahru yang akan diadakan seperti berikut:


Program 1

“Why are Scientists and Doctors Turning to Islam for Answers?”

27 November 2008 (Khamis)

2.00 – 4.00 pm

Dewan CTL, Blok F54,

Universiti Teknologi Malaysia, Skudai


Program 2

“Do Dakwah Now!”

27 November 2008 (Khamis)

8.00 – 10.00 mlm

Masjid Jamek Tan Sri Ainuddin Wahid

Taman Universiti, Skudai

Semua dijemput hadir!!

Maklumat lanjut mengenai Syeikh Yusuf boleh diperolehi dari
www.al-nidaa.com.my atau www.yusufestes.com

Kisah beliau menganut Islam boleh dilihat melalui video di alamat berikut:
Video
Read more ...

Selamat Menghadapi Imtihan


"Perteguhkan imanmu dengan keyakinan bahawa tidak ada yang mustahil dalam hidup ini"

Read more ...

Yang Maha Penyayang

Lihat bulan dan bintang menerangi dunia

Betapa agung kerajaanNya

Lihat pula lautan sang suria diatasnya

Semua akur pada Yang Esa

Umpamakan sang unggas dirimba belantara

Begitulah bandingannya kita

Sungguhnya kerdilnya insan yang diciptakan tuhan

Ternyatalah Agung ar-Rahman

Bersar nian bahaya kita tempuhi jua

Segala perintahnya kita laksanakan

Jauhkan larangannya sembunyi atau nyata

Semua untuk faedah kita

Ikhlaskan pada hati amal kehendak illahi

Teguhkan dalam diri kalam Rabbani

Pesanan dari nabi jadi panduan diri

Hidup dan mati untuk illahi

Tiada perkataan layak buat bayangan

Terima kasih padaMu Tuhan

Tak terhitung kurniaan biar dakwat selautan

Sesungguhnya Kau Maha Penyayang

Read more ...

Ya Allah, beri aku masa untuk bertaubat

Saban waktu kehidupan berlalu. Dosa dan dosa dan dosa tetap aku lakukan. Bahkan seperti amal-amal ku pula jadinya. Aku mencari waktu sebelum berhenti, moga Allah memberi aku masa untuk bertaubat.....

(Seseorang individu tidak pernah maksum dari dosa. Biar siapa pun dia. Hanya Rasulullah SAW sahaja yang maksum.Begitulah juga ujian ilahi buat kita.

Namun Allah SAWT juga menyediakan ruang bertaubat dengan seluas-luasnya:

“Katakanlah! Wahai hamba-hamba Ku yang melampaui batas terhadap dirinya sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnyanya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan Kembalilah kamu kepada Tuhanmu dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi)”. (az-Zumar: 53-54)

Kasih sayang dari Allah SWT tidak pernah menghampakan, malahan terlalu banyak hingga diluar ruang batasan pemikiran manusia. Hinggakan Dia sendiri bertanya kepada manusia:

“Maka mengapa mereka tidak mahu bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Al-Maidah, 74)

Bagi insan yang sedar - malulah kalian pada dirimu sendiri. Sedang seluruh apa yang engkau lihat, apa yang guna, apa yang engkau rasai engkau punya Dialah juga yang memberinya. Lalu mengapa sukar benar untuk bertaubat?

Sahabat, sekadar peringatan pendek buat diri dan sahabat.

"Ya Allah, beri aku masa untuk bertaubat").
Read more ...

Katanya beribu hikmah

Lukmanul Hakim dikenali sebagai manusia yang sering meninggalkan peringatan serta manfaat menerusi kata-katanya. Beliau merupakan seorang bapa yang sentiasa menasihati anaknya dengan kata-kata berhikmah. Dan kata-kata itu adalah wajar diambil iktibar oleh kita semua.

Pernah suatu ketika, beliau mengajak anaknya keluar ke pasar. Beliau mengenderai seekor keldai manakala anaknya pula mengekorinya dengan berjalan kaki.

“Teruknya orang tua ini, anaknya yang kecil dibiarkan berjalan kaki sedangkan dia bersenang-lenang menunggang keldai,” kedengaran suara dari sekumpulan manusia yang melihat mereka.

"Wahai anakku, dengarkah engkau apa yang mereka perkatakan itu?” tanya Lukmanul Hakim kepada anaknya.

“Dengar ayah,” jawab anaknya sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Sekarang engkau naiklah ke atas keldai ini, biar ayah menariknya,” katanya sambil mengangkat anaknya ke atas belakang keldai.

“Nampakkah kalian betapa anak yang tak pandai mengenang budi ayahnya yang sudah tua. Disuruhnya ayahnya menarik keldai sedangkan dia yang masih muda menunggangnya, sungguh tidak patut,” kata sekumpulan manusia lain yang mereka temui di tengah, perjalanan.

“Dengarkah engkau apa yang mereka perkatakan?” tanya Lukmanul Hakim kepada anaknya.

Anaknya mengiyakan pertanyaannya itu.

“Sekarang engkau turun dari keldai ini, dan kita sama-sama berjalan kaki,” kata Lukmanul Hakim. Anaknya segera turun dari keldai.

Tak berapa lama kemudian mereka bertemu pula dengan sekumpulan manusia yang lain. “Alangkah bodohnya orang yang menarik keldai itu. Keldai untuk dikenderai dan dibebani dengan barang-barang, bukan untuk diseret seperti lembu dan kambing,” kata mereka.

“Dengarkah engkau apa yang mereka kata?” tanya Lukmanul Hakim kepada anaknya lagi.

“Dengar ayah.”

“Kalau begitu marilah kita berdua naik ke atas belakang keldai ini,”

Tidak berapa lama selepas itu mereka terdengar perbualan sekumpulan orang yang lain pula. “Sungguh tidak bertimbang rasa mereka ini, keldai yang kecil ditunggangi berdua!” kata mereka.

Lukmanul Hakim lalu bertanya kepada anaknya, “Adakah engkau dengar apa yang mereka perkatakan?”

“Ya ayah, saya dengar.”

“Kalau begitu marilah kita dukung keldai ini,” kata Lukmanul Hakim

Dengan bersusah payah mengikat keempat-empat kaki, akhirnya mereka berjaya mendukung keldai itu. Dan dalam keadaan itu jugalah mereka mula berjalan, dengan bebanan menanggung seekor keldai. Apabila orang ramai melihat gelagat mereka berdua, mereka ketawa terbahak-bahak. “Ha! ha! ha! Hei! Lihatlah orang gila mendukung keldai!”

“Dengarkah engkau apa yang mereka katakan?” dia bertanya kepada anaknya lagi.

“Dengar ayah,” jawab anaknya.

Mereka meletakkan keldai itu ke tanah. Beliau pun menyatakan hikmah di sebalik peristiwa tadi, “Anakku, begitulah lumrah manusia. Walau apapun yang engkau lakukan, engkau tidak akan terlepas dan kata-kata mereka. Tak kira benar atau salah, mereka tetap akan mengata.”

“Ingatlah anakku bila engkau bertemu kebenaran janganlah engkau berubah hati hanya kerana mendengar kata-kata orang lain. Yakinlah dengan din sendiri dan gantung harapanmu kepada Allah.”

Lukmanul Hakim pernah berwasiat kepada anaknya sebelum beliau meninggalkan dunia yang fana ini. “Wahai anakku, janganlah engkau makan kecuali makanan yang sedap sahaja. Berkahwinlah selalu dan binalah rumahmu di seluruh pelosok bumi ini.”

Anaknya seolah-olah tidak percaya dengan wasiat ayahnya itu. Tetapi mungkin juga ada sesuatu di sebalik kata-kata itu, fikirnya. Setelah ayahnya selesai dikebumikan dia berjumpa dengan seorang teman rapat ayahnya, lalu meminta penjelasan berkenaan kata-kata wasiat ayahnya itu dengan penuh sangsi.

“Ayahmu memang benar,” kata teman ayahnya.

Dia semakin bingung dengan jawapan itu lalu bertanya, “Apakah maksud pak cik?”

“Wasiat ayahmu yang pertama bermaksud janganlah engkau makan kecuali apabila telah benar-benar lapar, kerana apabila engkau sudah terlalu lapar engkau akan merasa makanan yang engkau makan itu begitu lazat dan engkau akan bersyukur dengannya.”

“Berkenaan wasiat ayahmu yang kedua pula, hendaklah kamu selalu berkelana, kerana apabila engkau bertemu semula dengan isterimu setelah lama terpisah, engkau akan berasa seperti baru berkahwin. Dan wasiat ketiganya, yang menyuruh engkau membina sebanyak-banyaknya rumah ialah, carilah sahabat seramai mungkin. Apabila engkau telah bersahabat dengan seseorang maka rumahnya akan menjadi seperti rumahmu sendiri dan rumahmu juga sudah seperti rumahnya.”

Setelah mendengar penjelasan itu barulah dia faham maksud sebenar dan kata-kata ayahnya, yang pada mulanya dianggap aneh itu. Memang luar biasa insan yang bergelar Lukmanul Hakim ini, katanya satu hikmahnya beribu.

Read more ...

Ramadhan: Batalkah Puasa Anda Jika...

Oleh: Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Ulama terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.

Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai. Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang tidak memerlukan perhatian begitu mendalam.

Masalah ini dilihat semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah ini dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat cabang (furu') dan terlampau banyak. Ia menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa ini. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan (Taysir al-Fiqh - Fiqh As-Siyam, hlm 86-87).

Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah:

1) Raih Taqwa:
Firman Allah yang mengarahkan kita berusaha meraih taqwa di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.

2) Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran:
Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.

3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang 'Confirmed':
Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.

4) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang 'Confirmed':
Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.

Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja. Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah. Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.

Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.

Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan. Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai:

1) Darah keluar dari tubuh; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.

Hukumnya: Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah di pinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali (Bidayatul Mujtahid, 1/247).

2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.

Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Hukumnya: Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah@faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

3) Pil elak haid untuk puasa penuh:

Hukumnya: Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa.

4) Penyembur gas untuk pesakit lelah:

Hukumnya: Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Tidak dinafikan ia satu isu yang amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.

Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Juali 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang.

Bagaimanapun para ulama masih bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat kerana Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226).

5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:

Hukumnya: Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.

Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan: Pandangan majoriti adalah: Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercangah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268; Yasalunaka, 5/53 dll).

Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.

6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.

Hukumnya: Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa dalah lebih baik.

Ia berdasarkan hadith: "Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa (Riwayat Abu Daud, no 142; At-Tirmidzi, 788; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi; Albani; Sohih).

7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat:

Hukumnya: Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramdhan. Pahala puasanya pula akan terhapus Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa dan jauh dari maksiat (Qaradawi, hlm 104). Nabi bersabda: "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)

8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa

Hukumnya: Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.

Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-

كان رسول اللَّهِ يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ

Ertinya: "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya" (Riwayat Abu Daud, 2/311; Syuaib arnaout: Sohih)

Dan satu lagi adalah,

فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام

Ertinya: Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya: Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi: Jangan; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama: Jawab nabi: Ya (tiada masalah); kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-

"Aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif).

Al-Qaradawi pula menambah "berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya" (Fiqh As-Siyam, hlm 106).

Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari ramadhan.

9) Wanita tamat haid

Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.

Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201).

Dalilnya adalah:

من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له

Ertinya: "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya" (Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih).

10) Keluar air mazi

Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak..?

Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.

Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.

11) Keluar air mani tanpa setubuh

Mencium dan menyentuh sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.

Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi (Al-Mughni, 4/159).

Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.

Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.

Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.

12) Menelan air liur

Hukum: Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159)

13 ) Mandi

Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh. Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa.

14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.

Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.

Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Quddamah menolak pandagan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya (Al-Mughni, 4/175).

Sekian,
UZAR
13 Sept 2007
01 Ramadhan 1428 H

Sumber asal: Zaharuddin.net
Read more ...

Jangan Merajuk Wahai Da'ie

Hidup ini menuntut mujahadah berterusan. Setiap hari pasti ada sahaja perkara yang perlu di usahakan. Seringkas bangun pagi memerlukan kekuatan menolak keseronokan tidur yang lena. Begitu juga dalam kesungguhan mengulangkaji pelajaran, kesabaran melayani kerenah sahabat handai, hinggalah keteguhan mendirikan Islam dalam diri setiap insan. Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai Dai'e, mengajak jiwa-jiwa kembali tunduk pada Allah yang Esa. Malah mereka lagi perlu menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah menimpa...

Yang pastinya, dalam kesungguhan pasti ada mehnah melanda. Dalam saat seronok mengajak manusia kembali ke jalan Allah, kita terlupa bahawa hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal tutup buka nya ia. Membuatkan kita kecewa dan putus asa apabila usaha tidak membuahkan hasil seperti yang dijangka. Membuatkan kita terlupa tugas kita hanya pemberi peringatan, sedangkan natijahnya di bawah takdir Allah yang Maha Kuasa. Bak kata pepatah `menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi'. Di saat hati rajuk, mencari hikmah atas apa yang menimpa, Al-Quran menjadi tempat kembali, isinya penuh istimewa, pasti sesuai di setiap keadaan dan masa. Namun, bergantung kepada kesediaan hati itu untuk mengaitkannya dalam kehidupan, mengambil manfaat dari tiap bait Kalamullah...

Siapa sangka, kisah Nabi Yunus a.s yang tidak selalu diceritakan mampu memberi seribu pengertian dalam kehidupan...

Nabi Yunus menyeru pada kaumnya
Sembahlah Allah Yang Maha Esa
Tinggallah berhala yang tidak bernyawa
Jauhi perbuatan yang sia-sia Seruan Nabi tidak diterima
Nabi diejek dan Nabi dihina
Baginda tidak berputus asa
Walau dicaci walau dihina
Akhirnya Nabi merasa hampa
Umatnya masih menderhaka
Lalu dia pergi membawa hati Ke tepi pantai seorang diri
Kapal pedagang Baginda menumpang
Membawa diri ke rantau orang
Malangnya laut bergelombang
Hampir karam ditengah lautan
Bila diundi Nabi merelakan
Terjun ke laut penuh bergelora
Baginda ditelan ke perut Ikan Nun
Gelap gelita tidak terkira
Sedarlah baginda akan silapnya
Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa
Menangislah Nabi penuh duka
Memohon Ampun dari Tuhannya

Begitulah kisah seorang Nabi diuji Allah begitu sekali…

Wahai Dai'e Rabbani, cukuplah kisah Nabi Yunus a.s pemujuk diri, jangan diikut rajuk di hati, usah dilayan kecelaruan emosi, tergesa-gesa melarikan diri dari situasi. Melangkahlah dengan penuh hikmah dan kesabaran dalam meneruskan da'wah lillahi. Begitulah di kala Nabi Yunus lari dari kaumnya yang ingkar, rasa marah dan kecewa hingga terlupa tugas beliau menyampaikan ajaran yang hasilnya adalah dari Tuhan.

Menyoroti kehidupan Dai'e, tidak ubah seperti kisah ini, siapalah kita meletakkan hidayah dihati manusia kerana ia adalah urusan Ilahi, hanya usaha yang akan dipersoalkan nanti. Hadamlah kalam Allah apabila Dia berfirman:
"Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan hanya sebagai pembawa kabar gembira dan pemberi peringatan. Katakanlah: 'Aku tidak meminta upah sedikitpun kepada kamu dalam menyampaikan risalah itu, melainkan (mengharapkan kepatuhan) orang-orang yang mahu mengambil jalan kepada Tuhannya'."
(al-Furqan, 25:56-57)

Dalam kegelapan perut ikan Nun, hati Nabi Yunus a.s mulai bergerak bertasbih kepada Allah, memohon taubat kerana putus asa dengan rahmat Tuhannya sambil berkata:
"Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim."
(al-Anbiyaa', 21:87)

Dengan ketulusan hati berdoa, mengakui kesempurnaan ketuhanan dari sebarang kekurangan dan kelemahan, mengakui kezaliman diri, akhirnya taubat Nabi Yunus a.s di terima. Allah menyelamatkan beliau dari kecelakaan mati di dalam perut ikan Nun kepada kesejahteraan hidup bersama kaumnya yang kembali kepada jalan Ilahi. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, segalanya mungkin terjadi, asalkan hati jernih mengharap redhaNya. Apa lagi yang Dai'e mahukan selain ketenangan dalam kehidupan seharian. Walaupun penuh ujian, hati penuh taubat mengakui kesalahan...

Inilah Dai'e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah mengakui kelemahan insani. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana tiap langkah di atas jalan ini adalah kejayaan...

sumber: bahantarbiyyah.info
Read more ...

Kesilapan kerap muslim di Ramadhan

(artikel ini telah disiarkan tahun 2006 dan 2007 yang lalu, disiarkan semula bagi manfaat bersama, terdapat beberapa perkara yang telah ditambah)

Oleh Zaharuddin Abd Rahman

Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah:

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, ertinya: "Sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari).

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW (Fath al-Bari, 4/138).

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya: "dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat: 18).

يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة
Ertinya: Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat): "Wahai Rasulullah, waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah SWT)?" Jawab Nabi: "Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu." (Riwayat At-Tirmidzi, no 3494, Tirmidzi & Al-Qaradhawi: Hadis Hasan; Lihat Al-Muntaqa, 1/477).
4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih. Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam" (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat" (Riwayat al-Bukhari).

8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah (al-Jami' as-Soghir; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291).

10) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh) (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278).

11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

12) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan:

ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
Ertinya: Menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit: 'Wahai Tuhanku... Wahai Tuhanku...' sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya (Riwayat Muslim, no 1015, 2/703).
Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram? Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

13) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut:

ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم
Ertinya: "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" (Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir: Sohih).
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.

إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد
Ertinya: "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" (Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi: Sanadnya sohih)
Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net
Read more ...