Seruan Kelab Iqra' Terhadap Isu Palestin

--
BismiLlahirrahmanirahim,

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas khatimil ambiya', Muhammad SAW, dan mereka yang menempuh jalannya sehingga hari kiamat.

Firman Allah swt bermaksud, "Allah menetapkan, 'Sungguh Aku akan memenangkan (agama) Aku dan Rasul-rasulKu. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, Maha Perkasa" (Al-Mujadilah, 58:21). "Sesungguhnya Kami akan memenangkan Rasul-rasul Kami dalam kehidupan di dunia dan di hari dibangkitkan saksi-saksi" (Ghafir, 40:51). Sabda Rasulullah saw bermaksud, "Akan terus dari umatku mereka yang terang-terang atas kebenaran. Tidak akan memudharatkan mereka oleh orang-orang yang memusuhi mereka sehingga datang ketetapan Allah, sedang mereka dalam keadaan sedemikian". Sahabat bertanya, "Di manakah mereka?" Rasulullah saw menjawab, "Mereka di Jerusalem dan di sekeliling Jerusalem (Palestin)".

Wahai pembaca sekalian!

Semenjak 60 tahun yang lalu (1948H), bumi para ambiya' ini telah diambil secara kasar oleh zionis yang terlaknat. Lebih-lebih dalam keadaan yang dunia Islam tidak mempunyai sistem Khalifah tertegak di muka bumi. Dalam keadaan inilah musuh-musuh agama ini membuat kerosakan di bumi yang suci tersebut. Iaitu bumi yang terletaknya kiblat pertama umat Islam (Masjid al-Aqsa), dan bumi tempat RasuluLlah SAW bermi'raj (dinaikkan) ke langit ketika peristiwa Isra' dan Mi'raj. Dan semenjak 60 tahun itulah, bermacam-macam kezaliman ditimpa ke atas rakyat Palestin yang tinggal di dalam negara tersebut.

Baru-baru ini, kita digemparkan lagi dengan berita-berita terburuk yang sampai dari Gaza, Palestin. Kita telah mengetahui bahawa rejim Zionis telah melancarkan serangan secara besar-besaran terhadap penduduk Palestin, yang telah bermula sejak 27 Disember 2008. Dan sehingga saat ini (artikel ditulis), sudah lebih daripada 520 orang yang telah dibunuh oleh rejim ganas zionis, dan beribu-ribu lagi yang telah dicederakan. Bahkan angka tersebut kian meningkat dengan mendadak dari masa ke masa.

Hal ini, dan keadaan umat Islam di seluruh dunia yang ditindas, jelas bertepatan dengan apa yang disebutkan oleh RasuluLlah di dalam sebuah hadith daripada Thauban: "Akan datang suatu masa kamu akan dikerumuni oleh bangsa-bangsa seperti pelahap-pelahap mengerumuni makanannya". Sahabat bertanya: "Adakah disebabkan kami sedikit pada hari itu?" Baginda bersabda: "Bahkan kamu pada ketika itu banyak sekali! Akan tetapi kamu umpama buih seperti buih air bah. Dan Allah akan mencabut dari dada musuh kamu kegerunan terhadapmu. Dan Dia meletakkan di dalam hati kamu al-Wahnu" Sahabat bertanya: "Wahai RasuluLlah, apakah al-Wahnu?" Baginda bersabda: "Cintakan dunia dan bencikan kematian" (Abu Daud, Ibnu Majah).

Sesungguhnya hadith ini memberikan pengertian yang sungguh mendalam buat kita, ummah di akhir zaman. Kerana di dalam hadith ini RasuluLlah SAW telah menyebut beberapa faktor yang menyebabkan ummah ini lemah sehingga keadaan ini menimpa mereka:
  1. Kosongnya hati individu muslim dari iman yang mendalam. Ini dilihat dalam makna ketika Rasulullah mengumpamakan kita sebagai buih, yang wujud luaran sahaja. Dalamnya kosong sekosongnya. Andaikata luaran itu pecah, maka tiada lagilah individu muslim tersebut.
  2. Cintakan dunia. Betapa ramainya dari kalangan ummah ini yang dirinya disibukkan dengan urusan dunia sehinggakan hatinya berjaya dicengkam oleh urusan tersebut, dan sehingga hatinya merasa kecenderungan ke arah itu.
  3. Bencikan kematian merupakan petunjuk bahawa semangat jihad dan perjuangan telah hilang dari dada ummah. Ummah ini hilang kekuatannya dengan hilangnya semangat tersebut, dan kita umpama singa yang telah bertukar menjadi anak kijang.

Pembaca yang dihormati!

Kita hendaklah mengeluarkan diri kita dari keadaan yang hina ini sesegera mungkin. Jika tidak, dosa pasti akan menimpa ummah ini lantaran kezaliman yang tertimpa ke atas ahlinya di kawasan-kawasan tertindas. Sesungguhnya, saudara kita dari HAMAS dan gerakan jihad yang lain di Palestin, telah mewakili kita bagi menghadapi pertempuran ini dengan jiwa dan raga mereka. Seperti mana yang pernah disebutkan oleh Dr. Khalil al-Hayya: "AlhamduliLlah, Allah memilih kami yang berada di Palestin supaya berjihad. Kami dipilih bagi menjadi barisan hadapan kepada umat Islam. Kami dipilih oleh ALLAH bagi mengorbankan jiwa, nyawa, harta, anak-anak kami supaya menentang musuh ALLAH dan mempertahankan Masjid Al-Aqsa". Mereka mengorbankan segala apa yang mereka miliki untuk mempertahankan harta kepunyaan ummah. Dan mereka telah melakukannya sejak puluhan tahun yang lalu. Apabila peristiwa di Gaza tercetus, maka mereka jugalah kumpulan yang pertama menfinfaqkan diri mereka untuk melawan dan menentang musuh-musuh Allah.

Kita juga harus melakukan sesuatu, wahai saudara yang budiman! Dengan segala kemampuan dan kapasiti yang ada pada kita, kita harus bertindak dengan cepat untuk mengeluarkan ummah yang tenat ini dari ditindas secara berterusan. Kerana ummah ini umpama satu badan, jika kepala sakit nescaya seluruh badan akan terasa kesakitannya. Dan juga kerana kita ingat kepada sebuah sabda Nabi SAW: "Mu'min dengan mu'min umpama satu bangunan, sebahagiannya memperkukuhkan sebahagian yang lain" (Bukhari). Tetapi persoalannya, apa yang anda boleh sumbangkan? Apa yang boleh anda lakukan sebagai seorang mahasiswa?

Wahai ummah Muslimin! Wahai ummah yang kasih akan saudaranya!

Sesugguhnya kita harus melihat dalam dua perspektif; (1) Tindakan untuk kesan jangka masa pendek atau tindakan segera, dan juga (2) tindakan untuk kesan jangka masa panjang.

Untuk yang segera, yang boleh dilakukan dengan serta merta dan dapat dilihat kesannya dengan cepat ialah:
  1. Mengambil tahu update-update terkini berkaitan dengan isu Palestin dan Gaza. Baca dari sumber-sumber berita yang boleh dipercayai maklumatnya, seperti; www.palestine-info.com, palestinkini.info, www.al-ikhwan.net dan lain-lain. Jangan dengan mudah mempercayai maklumat dari media barat.
  2. Menyebar dan menyampaikan maklumat-maklumat yang tepat tersebut kepada seramai mungkin kenalan anda, dalam apa jua bentuk yang mudah bagi anda. Sekiranya anda mempunyai kelebihan mendesign poster, maka designlah dan sebarkanlah sehingga semua orang sedar dengan isu yang sedang berlaku ini.
  3. Sumbanglah apa-apa yang anda mampu berupa kewangan kepada NGO-NGO yang boleh dipercayai dan mempunyai track record yang bagus, seperti AMAN Palestin dan Mercy Malaysia.
  4. Bersatu hati dengan semua golongan umat Tauhid ini, dan melupakan semua perselisihan hal furu' (cabang).
  5. Bekerjasama dengan semua pihak yang mempunyai cita-cita dan hasrat yang sama.
  6. emperbanyakkan doa kepada Allah khasnya buat saudara-saudara di Gaza, Palestin, dan buat ummah ini secara amnya. Selitkan di dalam doa-doa selepas solat anda; "Ya Allah, tolonglah saudara-saudara Muslimin kami di Gaza dan di juga di seluruh dunia".
  7. Memperbanyakkan taubat kepada Allah di atas dosa-dosa yang telah kita lakukan, mudah-mudahan iman mudah mekar di hati, lalu terkeluarnya penyakit al-Wahnu yang RasuluLlah SAW sebut.
  8. Memboikot barang-barangan yang menyumbang dengan jelas dan terang kepada Zionis.

Untuk jangka masa panjang pula, agar ummah ini keluar dari keadaan ini selamanya:
  1. Berusaha mencari dan memahamkan diri dengan Deen yang mulia ini. Carilah kefahaman kerana "Barangsiapa yang Allah menghendaki dia memperoleh kebaikan, maka Dia memahamkan dia tentang deen" (HR. Syaykhan).
  2. Carilah dan bergabung dengan persatuan-persatuan Islam yang dirasakan mampu mempercepatkan berlakunya hal (1) di atas.
  3. Bersama-sama dengan persatuan-persatuan Islam yang mampu dengannya terdidik al-imanul 'amiq (keimanan yang mendalam), terlaksananya takwin daqiq (pembentukan yang rapi dan kemas) dan amal mutawassil (usaha dan amal yang berterusan). Kerana kita ingin agar ummah ini tidak lagi dizalimi selama-lamanya.
  4. Dan buat persatuan-persatuan Islam di bumi UTM ini, marilah kita bersama-sama memperkasakan da'wah dan tarbiyah. Agar pada masa hadapan, zionis dan musuh Allah yang lain tidak mampu untuk sentuh ummah ini walau sedikitpun insya Allah.

Wahai para pemuda ummah!

Akhir sekali, Kelab Iqra' ingin menyeru kepada semua pihak dari kalangan warga kampus, tidak kira sama ada pelajar ataupun kakitangan, agar kita secara bersama dan kolektif berusaha ke arah memperbaikkan ummah dalam jangka masa pendek dan panjang. Kerana tanggungjawab tersebut adalah tanggungjawab bersama. Saudara-saudara di Palestin telah menyelesaikan janji mereka kepada Allah, kini kita pula yang menunggu-nunggu dan tetap thabat di atas jalanNya: "Dari kalangan orang-orang beriman terdapat mereka yang benar janji mereka kepada Allah. Dari kalangan mereka ada yang telah Syahid. Dan sebahagian lagi masih menunggu dan mereka tidak mengubah sedikitpun janji mereka itu" (al-Ahzab, 33:23).

"Dan katakanlah: Beramallah kamu! Nescaya kelak Allah akan melihat amalan kamu, dan rasulNya beserta orang-orang yang beriman. Dan kamu akan dikembalikan kepada yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan yang nyata dan kamu akan dikhabarkan dengan apa yang kamu perbuat" (at-Taubah, 9:105).

'Ammar Taqiyuddin bin Ainullotfi
Presiden
Kelab Iqra'
UTM Skudai

Advertisement

Comments
4 Comments

4 comments

  1. mantap la semangat press ni. Semoga anak2 buah yang lain turut mendapat biasnya-faham,semangat dan tindakan.
    InsyaAllah, Allah akan menolong umatNYA yang bersatu.

    Isu Palestine patut diambil iktibar oleh kita sume.
    Lets bersatu wahai semau saudaraku,
    Tiada masa untuk bermalasan,
    Saudaramu ditindas dan dicaci

    ReplyDelete
  2. Kita kena bertindak pantas, dan pantasnya kita bertindak bukan hanya dari sudut jangka masa dekat sahaja. Tetapi kita harus melihat jangka masa panjang juga. Kita semua harus bekerja dengan lebih keras dan kuat, untuk mendakwah & mentarbiyah orang agar masyarakat ini adalah masyarakat Islam yang tegar. Yang memahami Islam dengan erti kata yang sebenar. Yang tidak memisah-misahkan beberapa urusan dengan urusan yang lain. Kita harus membangun aset terpenting ummah ini, iaitu pemuda yang mempunyai jiwa yang suci, azam yang kuat, keinginan dan cita-cita yang tinggi, dan kekuatan fizikal yang mantap! Kita harus membangunkan aset terpenting ummah ini...

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum..anak2 buah press yang lain juga bersemangat sama sepertinya.kmi kgum dgan kpimpinan y ditonjolkan..as we should learn many things from him and the others to improve ourselves.for the sake of ISLAM..apa yang penting..we meant what we said,bukan sekadar kata2, tetapi jadikan pegangan kita juga. moga ALLAH selamatkan rakyat Palestin!

    ReplyDelete
  4. alhamdulillah hamas telah menang bersama-sama dengan gerakan jihad lain di Gaza. Kini tiba pula masa untuk kita meneruskan usaha jangka masa panjang untuk memperbaiki keadaan ummah.

    ReplyDelete