eXpidisi REmaja Kental

BismiLlah walhamduliLlah... Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana dengan rahmat dan nikmat yang dilimpahkan ke atas kita, kita berjaya merasai nikmat manisnya iman dan Islam.

Selesainya sudah program mukhayyam (perkhemahan) atau lebih dikenali sebagai X-REK '09, dalam keadaan yang penuh dengan semangat dan ruh perjuangan. Ciri ini sememangnya sinonim dengan dengan jiwa pemuda; mereka semangat, mereka tangkas, dan mereka juga berani melakukan perubahan yang cepat. Namun apa yang mereka kurang hanyalah pengalaman yang perlu diperoleh dari orang-orang yang lebih tua. Bak kata seorang syeikh dari al-Ikhwanul Muslimun, "Semangat orang muda yang dipandu dengan hikmah orang tua".

Program-program yang telah berlalu bermula daripada ta'aruf hinggalah ke muhasabah telah membawa kemanisan kepada peserta walaupun terdapat kelemahan sedikit di sana sini. Tapi apa yang penting ialah mereka dapat menghayati isi kandungan yang ingin dibawa di dalam mukhayyam pada kali ini.

Buat para peserta X-Rek yang telah melalui program ini dengan penuh semangat, marilah kita mengimbas kembali apa yang telah kita lalui. Semoga dengan mengimbas kembali perkara-perkara tersebut kita dapat memastikan ruh yang ditiup tersebut dapat berterusan sepanjang cuti dua bulan ini.

Ta'aruf

Kita telah berkumpul untuk berta'aruf (berkenal-kenalan) pada awalnya dengan beberapa permainan yang mudah tapi berkesan. Permainan motor dan peta dunia yang telah kita lalui telah memberi gambaran yang ringkas tentang apa yang ingin dibawa pada slot-slot yang mendatang di sepanjang mukhayyam. Bagi permainan peta dunia, setiap kumpulan telah dimasukkan ke dalam negara masing-masing dan kita telah diminta untuk memperkenalkan diri masing-masing dengan identiti yang ada pada negera tersebut.

Pada awalnya, ramai dari kita yang telah cuba menunjukkan identiti masing-masing mengikut negara yang telah ditetapkan. Tetapi tidak lupa, masih ada lagi yang masih sangat kuat semangat kemelayuannya sehingga dia tak peduli negara apa yang diberikan kepada kumpulannya, lalu mereka tetap mengatakan mereka adalah melayu walaupun negara mereka lain. Jika bagi ikhwah (peserta lelaki), jadilah kita satu kumpulan yang besar atas dasar kemelayuan. Namun, keadaan ini tidak berterusan... Akhirnya kita telah difahamkan bahawa sebenarnya kita adalah bangsa Muslim yang terikat dengan ikatan aqidah, yang membezakan kita hanyalah taqwa. Perbezaan warna kulit, budaya dan bahasa hanyalah sesuatu yang menjadikan sebab untuk kita saling berkenalan.
"Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling berta'aruf. Sesungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu adalah yang paling bertaqwa dari kalangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal"
(al-Hujurat, 49:13)

Sampainya di Base Camp

Pada saat-saat awal sampai di base camp, kita telah bersama menyanyikan lagu tema yang sangat bersemangat. Pihak penganjur telah memilih dua buah lagu bagi menjadi pemangkin semangat di dalam program ini; Mars Kepanduan dan Merah Saga. Kedua-dua nasyid ini telah dinasyidkan dengan penuh bersemangat, walaupun pada saat-saat awal tersebut ramai yang masih berjinak-jinak dengan nasyid yang baru sahaja mereka dengar ini. Kedua-dua nasyid yang penuh semangat ini telah berjaya meniupkan ruh perjuangan dan memperbaharuinya di sepanjang program.

Treasure Hunt GF

Para peserta sekalian telah bertebaran di Kampung di Tanjung Resang tersebut, mencari klu-klu untuk menyelesaikan masalah yang diperolehi dan juga untuk bergerak ke klu yang seterusnya. Ada kumpulan yang tercari-cari di sana sini tapi tak jumpa-jumpa klu, ada kumpulan yang dari awal sampai 30 minit kemudian masih lagi mencari di tempat yang sama. Sememangnya tugas ni, memang benar-benar mencabar kesabaran. Baru sedikit sahaja ujian ingin mencari kebenaran, tetapi kesabaran sudah tercabar. Seolah-olah adanya perang saraf. Walaubagaimanapun, tak dinafikan juga bahawa ada kumpulan yang dengan senangnya mendapat klu-klu.

Sememangnya apa yang ingin disampaikan di dalam slot ini adalah tentang al-Ghazwatul Fikri (serangan pemikiran). Kita telah mengetahui tentang konsep Bangsa Muslim pada slot Ta'aruf, dan kini kita pula ingin mengetahui tentang peperangan pemikiran yang telah dilancarkan oleh musuh-musuh Islam. Suatu ketika dahulu mereka sentiasa cuba melawan kekuatan dengan kekuatan, tetapi apabila mereka menyedari bahawa semangat jihad yang tinggi bangsa Muslim, tidak mampu dikalahkan oleh kekuatan material sahaja, mereka telah membuat rencana untuk membuang semangat ini dari dada kita. Hasilnya, mereka telah berjaya. Dan sejak dari itu, mereka kembali memerangi kita dengan segala aspek yang ada; Politik, ekonomi, dan juga ketenteraan.

Gagalnya kita melihat perkara ini akan menyebabkan kita mudah jatuh ke dalam kancah perencanaan musuh-musuh Islam. Kita tak akan mampu untuk bangkit selagi kita masih bermain-main dengan perencanaan tersebut. Bukankah kita ingin menjadi satu bangsa yang kuat?

Bangkitlah mujahid bangkitlah
Rapatkan barisan rapatkan
Ayunkanlah langkah perjuangan
Hingga ajal kan menjelang

Qadaya Ummah (Masalah Ummah)

Sesi ini telah bermula setelah selesainya kita membina khemah-khemah penginapan, tempat melepaskan gelombang beta. Sebuah video yang dibuat oleh saudara-saudara dari MSM telah dipertontonkan; "The Story of Muslim Countries" (boleh dicari di youtube). Tujuannya tidak lain dan tidak bukan untuk kita refresh kembali perasaan terhadap ummah yang sedang berada di dalam satu masalah yang sangat besar.

Masalah yang berlaku di beberapa buah negara telah ditayangkan dengan tujuan kita menyedari kembali masalah-masalah ummah. Salah seorang di antara kami telah berkata: "Video yang sangat menginsafkan diri". Yang diperlihatkan hanyalah sebahagian kecil dari bencana yang berlaku terhadap ummah, tapi mudah-mudahan yang sedikit itulah yang dapat mencetuskan semangat yang meluap-luap di dalam diri untuk memperbaiki keadaan ummah.

Pada malam tersebut, lima kumpulan telah dibuat. Dan setiap kumpulan ditugaskan untuk mencari punca kepada masalah ummah tersebut, dan bagaimana caranya untuk mengeluarkan ummah ini dari keadaan yang binasa ini. Akhirnya, dapat disimpulkan bahawa; nak tak nak untuk mengembalikan kegemilangan ummah, setiap orang harus berjihad dan bersungguh-sungguh dalam mengembalikan keimanan yang mendalam di dalam diri. Huraian yang telah diberikan adalah berdasarkan hadith Nabi SAW yang telah diceritakan di dalam post ini.

Tazkirah Subuh

Tazkirah subuh pada kali ini lebih berbentuk seperti sebuah perincangan. Masing-masing dimasukkan dalam kumpulan, dan sebuah artikel diberikan untuk mereka membaca dan membincangkannya.

Pagi tersebut, jiwa kita telah disantap dengan ruh jihad yang mengalir di dalam seorang tokoh jihad yang terkenal, as-Syahid Abdullah 'Azzam (gambar). Beliau merupakan orang yang telah bertanggungjawab membangkitkan ruh jihad di dalam pemuda afghanistan.

Perjalanan Ke Palestin (Trekking)

Setelah memutuskan pada malam sebelumnya bahawa jihad adalah sesuatu yang penting untuk dilaksanakan oleh setipa individu muslim, dan juga setelah mendapat contoh yang baik dari seorang tokoh jihad, Abdullah Azzam, kita telah melalui perjalanan yang panjang menuju ke Palestin.

Di markas Malaysia (CP pertama), seorang Mujahid telah membaca sebuah khutbah ringkas yang mengingatkan kemabli kata-kata syeikh Dr. Khalil Haya (gambar) ketika beliau datang ke Malaysia suatu ketika dahulu:
"AlhamduliLlah, Allah telah memilih kami yang berada di Palestin untuk berjihad. Kami telah dipilih untuk menjadi barisan hadapan kepada umat Islam. Kami telah dipilih oleh ALLAH SWT untuk mengorbankan jiwa, nyawa, harta, anak-anak kami untuk menentang musuh ALLAH dan mempertahankan Masjid al-Aqsa. Kami juga telah dipilih oleh ALLAH SWT untuk mewakili umat Islam di seluruh dunia untuk menjadi benteng pertahanan kepada al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam dan juga masjid ketiga suci mereka. Kami juga telah dipilih oleh ALLAH untuk menjadikan mati syahid sebagai impian utama kehidupan kami berbanding kehidupan dunia. Selama lebih daripada 60 tahun, kami hidup di medan pertempuran. Selama waktu itu jugalah kami dijajah, dizalimi, diseksa, dibunuh dan juga diperangi. Mengapa?, hanya kerana kami mengucapkan La Ilaha Ila Allah, dan kerana kami mempertahankan bumi serta masjid kami."
Selain dari itu, para mujahid dan mujahidah yang ingin berangkat ke Palestin turut dilengkapkan dengan bekalan-bekalan penting di sepanjang perjalanan; visa (telur), ayat-ayat bekalan (49:10, 61:14), doa dan lain-lain. Bekalan-bekalan ini adalah persiapan yang penting dari sudut ruhi, aqli dan jasadi.

Perjalanan yang panjang tersebut telah menyinggah di beberapa buah negara yang mempunyai wakil ikhwah atau akhawat tempatan di situ. Di antara markas negara-negara yang di singgah ialah; Malaysia, Burma, India, Afghanistan, Iran, Iraq, Mesir dan Palestin. Sebaik tiba di negara-negara tersebut, setiap kumpulan mujahidin mendapat berita tentang keadaan "terkini" di Palestin. Apa yang mereka perlu lakukan mestilah bertepatan dengan apa keadaan yang menimpa umat Islam pada ketika itu di Palestin.

Sebaik tiba sahaja di sempadan Mesir-Palestin, kumpulan-kumpulan telah siap membekalkan diri dengan senjata buatan mereka dari negara sebelum, siap menghafal ayat-ayat hafalan dan juga bagi mujahidin siap membuat latihan fizikal yang "mantop". Mereka telah diingatkan oleh al-akh yang menjaga sempadan, bahawa:
"Kita mempunyai barisan pejuang yang telah settle bekalan ruhnya, bekalan fizikalnya dan juga bekalan mentalnya. Tetapi macamana kumpulan antum ni? Ana tidak akan membenarkan satu kumpulan yang tidak bersedia untuk mencemari satu kumpulan yang bersih dengan membenarkan antum menyertai mereka di Palestin seberang sana..."
Mereka menjawab, "Dah... Kami dah sedia..." dan mereka dilepaskan dengan sebuah pesanan, "Di sana, sana dan sana ada zionis sedang menjaga sempadan ni. Antum kena rancang strategi supaya usaha merentas sempadan tak disedari oleh mereka. Takut-takut nanti mereka serang antum!"

Akhirnya mereka berjaya masuk ke Palestin. Tetapi perjalanan masih jauh lagi sebelum sampai di base camp, tempat berhimpunnya para mujahid dan mujahidah sebelum malam kemuncak. Lalu mereka perlu melalui jalan-jalan yang amat sukar yang dipenuhi dengan ranjau dan duri serta bau-bauan yang kurang enak. Mungkin ia datang dari darah-darah mayat yang telah dibunuh oleh zionis (real: tahi kerbau)? Hanya setelah bersusah-payah barulah setiap kumpulan sampai ke destinasinya, walaupun ada juga yang sesat (disebabkan kehilangan "petunjuk yang hijau").

Sesi Uji Senjata
Setelah hampir semua kumpulan sampai ke base camp, kumpulan-kumpulan diuji senjatanya. Senjata yang dibuat adalah hasil dari bahan-bahan yang diambil dari negara-negara yang disinggahi oleh mereka ketika dalam perjalanan ke Palestin. Ternyata para mujahidah bukan calang-calang orang di dalam hal mereka cipta senjata. Mereka telah mencipta senjata-senjata yang lebih hebat dari para mujahid. Mungkin para mujahid pemikirannya simple kot, "asalkan dapat lawan musuh", mungkin?

Operasi Hurriyatul Aqsa (OHA)

Sebelum bermulanya OHA, kem komendan telah meniupkan ruh perjuangan di dalam para mujahid dan mujahidah. Mereka telah dibangkitkan semangat melalui dua buah nasyid di bawah:
Nasyid: Mars Kepanduan
Bangkitlah mujahid bangkitlah
Rapatkan barisan rapatkan
Ayunkanlah langkah perjuangan
Mati syahid atau hidup mulia

Siapkan dirimu siapkan
Gentarkan musuhmu gentarkan
Takkan pernah usai pertarungan
Hingga ajal kan menjelang

Enyahkan rasa takut dan gentar
Walau raga kan meregang nyawa
Karna Allah tlah janjikan surga
Untukmu mujahid setia...

Nasyid: Merah Saga
Saat langit berwarna merah saga
Dan kerikil perkasa berlarian
Meluncur laksana puluhan peluru
Terbang bersama teriakan takbir

Semua menjadi saksi
Atas langkah keberanianmu
Kita juga menjadi saksi
Atas keteguhanmu...

Ketika yahudi-yahudi membantaimu
Merah berkesimbah di tanahairmu
Mewangi harum genangan darahmu
Membebaskan bumi jihad Palestina
Perjuangan telah kau bayar dengan jiwa
Syahid dalam cinta-Nya...

Perjuangan telah kau bayar dengan jiwa
Syahid dalam cinta-Nya...

Sebaik habis, mendendangkan lagu-lagu perjuangan tersebut dan menghayatinya, seorang wakil dari al-Qassam, Muhandis al-Qassam telah memberikan taklimat ringkas tentang flow operasi pada malam tersebut. Dengan gayanya yang tegas dan kadang-kadang terselit juga sedikit humor, setiap mujahidin dan mujahidah diberikan briefing tentang operasi pada malam tersebut.
Latar belakang: Ikhwah dari al-Qassam telah mendapat tahu dari sumber perisikan yang tepat dan jitu bahawa tentera zionis ingin merobohkan Masjidil Aqsa dan Qubbatus Sakhra' pada malam tersebut. Mereka akan merobohnya pada pukul 12 a.m. tepat.
Operasi: Para mujahidin hendaklah mencari tapak masjidil Aqsa (untuk Mujahid) & Qubbatus Sakhra' (untuk Mujahidah) dan membebaskannya dari tangan zionis.

Sebaik sahaja taklimat habis, para mujahid dan mujahidah diberikan bahan keperluan pada waktu perang; Surat arahan OHA, bahan-bahan mentah (belon), dan juga panji Palestin. Setelah itu mereka dibawa ke tempat permulaan masing-masing. Sebaik sahaja mendapat signal dari fasi yang berkaitan, OHA telah dimulakan.

Ketika peperangan barlangsung di antara pihak mujahidin dan zionis, bermacam-macam perkara telah berlaku. Walaupun pejuang Palestin lebih ramai dari tentera zionis pada malam tersebut, mereka pada awalnya tidak berani menghampiri tentera zionis. Tetapi lama-kelamaan mereka telah menyedari bilangan mereka yang ramai ditambah dengan kebijaksanaan beberapa orang dari kalangan Mujahidin yang memberi pengarahan yang baik di dalam melaksanakan misi; dan mereka akhirnya berjaya menawan kembali Masjidil Aqsa.

Tetapi di pihak Mujahidah, menjadi satu kepelikan yang sangat pelik, pada akhirnya mereka telah membuat genjatan senjata...?? Mungkin zionis yang menjaga Qubbatus Sakhra' takut dengan semangat yang ditunjukkan oleh para Mujahidah kita, mungkin? Atau mungkin juga mereka tidak menyangka yang para Mujahidah adalah sehebat itu, dan mereka mengharap penentangan yang lebih feminin? Apa-apapun, semangat juang di dalam para Mujahidah itu jangan dipandang rendah.

Setelah OHA tamat pada malam tersebut, mayat-mayat yang mati ketika peperangan diangkat ke satu tempat dan di situ sebuah muhasabah dilakukan. Para Mujahidin semua dimuhasabahkan tentang peranan yang telah mereka mainkan untuk Palestin, dan kembali merenung kematian yang melanda sahabat-sahabat di Palestin. Apakah perasaan yang wujud di dalam hati terhadap mereka? Ataupun sudah tidak wujud lagi sebarang perasaan terhadap saudara-saudara yang mati dibunuh oleh zionis?

Dan akhirnya muhasabah malam pun berakhir dan setiap mujahid dan mujahidah kembali ke base camp masing-masing.

Kerana Kami Peduli

Di dalam sesi yang kedua terakhir ini, setiap kumpulan diberikan satu persoalan dan mereka diminta untuk menghuraikannya dan dibentangkan kepada semua pihak. Di antara soalan-soalan yang ada seperti:
  • Mahasiswa sekarang dilihat tidak mampu bersuara dan berani ke hadapan dalam menyuarakan isu Palestin. Sedangkan mereka adalah golongan cendekiawan yang bijak pandai dan menjadi tumpuan masyarakat. Bincangkan perkara ini dan jelaskan apakah yang boleh dilakukan oleh mahasiswa untuk melontarkan suara mereka.
  • Demostrasi jalanan, kempen memboikot dan kempen yang seumapamanya langsung tidak membantu Palestin secara langsung atau tidak langsung, malah ianya memberi kesan yang lebih buruk kepada masyarakat setempat. Bincangkan dan nyatakan sebab-sebab mengapa anda bersetuju atau tidak dengan perkara ini.
  • Kita bersetuju bahawa rakyat-rakyat Palestin yang merana adalah saudara-saudara seaqidah dengan kita. Sejauh manakah anda melihat perasaan dan semangat "Persaudaraan Bangsa Muslim" antara kita dan mereka adalah antara perkara yang amat penting dan dapat menghasilkan kesan dalam membantu mereka.
Perbincangan yang berlaku di antara para mujahid dan mujahidah begitu semangat sekali, dan di akhir perbincangan masing-masing sudah jelas dengan apa peranan yang perlu mereka mainkan bagi menangani isu ummah.

Perpisahan

Akhirnya para peserta semua sampai ke penghujung program, dan semua orang saling bersalam-salaman. Masing-masing meminta maaf di atas kekurangan dan kesilapan yang berlaku sepanjang program berjalan.

Beberapa Pengajaran Penting
  1. Kita harus sentiasa sedar akan masalah yang menimpa ummah sekarang. Tanpa kita menyedari masalah-masalah tersebut, kita tidak lain umpama katak di bawah tempurung walaupun pengetahuan kita sentiasa update tentang perkembangan semasa hal lain (bola sepak sebagai contohnya).
  2. Seluruh jiwa dan perasaan haruslah merasai keadaan yang begitu meruncingkan di dalam ummah ini. Akhirnya dengan harapan perasaan inilah yang sentiasa menggerakkan kita untuk berusaha mengeluarkan ummah dari masalahnya. Perasaan ini lahir dengan sebab memahami bahawa seluruh ahli ummah adalah dari satu bangsa yang disatukan atas dasar aqidah yang benar. Inilah dia semangat bangsa muslim.
  3. Tidak lain dan tidak bukan, musuh-musuh Islam sentiasa berusaha melemahkan pemikiran Islam dari hal-hal yang besar dan dari wawasan jihad. Lalu mereka memerangi pemikiran manusia muslim dengan segala macam perkara yang dapat menyibukkan kita dari perjuangan mengeluarkan manusia dari kegelapan-kegelapan kejahilan kepada cahaya Islam.
  4. Usrah dan halaqah bukanlah semata-mata satu liqa' mingguan untuk mengisi ilmu pengetahuan. Kerana jika itulah tujuannya, adalah lebih baik pergi berjumpa dengan para ustaz di dalam majlis ilmu kerana mereka lebih arif tentang hal-hal agama. Tetapi usrah mestilah bertujuan untuk membina diri kita dalam keseluruhan aspek, dan bukan sekadar menambahkan ilmu tetapi tidak beramal dengannya. Akhirnya tujuan usrah dan halaqah adalah untuk memastikan bahawa punca kepada masalah ummah dapat diatasi selama-lamanya. Masa lah yang akan menjadi ubat kepada penyakit ummah.
  5. Semangat yang kuat yang tertiup di dalam orang-orang yang telah dibangkitkan semangat adalah tidak berguna jika ia hanya terhenti sekadar melaung-laungkan nasyid dan bertakbir sesudahnya. Pastikan segala semangat yang terkumpul di dalam program sentiasa diperbahurui semasa cuti. Cara yang terbaik adalah dengan memperbanyakkan perbincangan dengan qudama' da'wah (orang-orang terdahulu dalam da'wah). Gabungkanlah segala semangat yang ada dengan petunjuk (irsyad) atau hikmah dari orang-orang yang terdahulu agar ianya dapat disalurkan dengan baik.
  6. Terus-meneruslah di dalam melaksanakan amal, sesungguhnya hanya orang yang kuat jiwanya kepada Allah sahajalah yang layak memperoleh pertolongan Allah. "Sekiranya Allah menolong kamu, nescaya tidak ada yang mampu mengalahkan kamu" (Qur'an). Sentiasalah bermuraqabah kepadaNya. Mudah-mudahan da'wah kita akan menjadi da'wah yang hidup.

Advertisement

Comments
6 Comments

6 comments

  1. trima kasih kpd team iqra' yg menulis ttg perjalanan X-REK '09..
    terkenang kembali stiap apa yg berlaku spjg pgrm,,
    membangkitkan lg smgt dlm diri utk menegakkan agama Islam..smoga semangat ni sentiasa meniti dalam kehidupan kita smua,
    InsyaAllah,ia merupakan salah 1 kenangan yg tak dpt dilupakan.

    SYABAS!

    *Membangun Bersama Islam*

    ALLAHU AKBAR 3x!!!

    ReplyDelete
  2. insya Allah gambar-gambar akan diuploadkan... tapi ikhwah sahaja. kalau akhawat kena upload sendirik. tapi yang sopan2 punya ye?

    mudah2an kita terus menerus bersemangat atas landasan ini. insya Allah!

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah, X-REK '09 berakhir dengan jayanya. Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat menjayakan X-REK '09. Nampaknya X-REK '09 agak berbeza sedikit dari segi penyampaian pengisiannya berbanding mukhayyam sebelum ini. Apa-apa pun semoga segala input yang diperolehi daripada X-REK '09 dapat diaplikasikan dan digunakan menjadi output yang berguna kepada Islam.

    Nak komen lebih sket ni...harap kepada penulis entri ini sila gunakan bahasa melayu dengan betul. Harap tak menjadikan term english dan melayu menjadi satu perkataan...Hanya bahasa sahaja harta yang melayu ada sekarang....Wallahu'alam

    ReplyDelete
  4. ye... ye... kalau tulis artikel sepanjang ni susah tu stay dengan satu bahasa sahaja.

    ReplyDelete
  5. btw, ukhti sa'adah... kalau ada masa nak edit mana-mana bahasa rojak tu, silakan ye?

    ReplyDelete
  6. Baru berpeluang baca post yang pannnjaaannngggg ni hari ni..

    SYABAS dan TAHNIAH buat Team Iqra' yang telah berjaya merancang dan menjalankan Program X-REK dengan penuh semangat! MABRUK 'ALAIKUM!

    p/s: Len kali ikat la tali hijau kat kerbau, ok? (~_~')

    ReplyDelete