Jangan Putus Harapan


Jangan bersedih.

Dan jangan pula berputus asa.

Apakah disebabkan dosa yang sudah lalu, ia menghalang kita dari bertaubat kepada Allah?
Apakah disebabkan keketagihan kepada maksiat menyebabkan kita berat untuk bertaubat?

Tidak...
Jangan sesekali begitu, bahkan engkau telah melakukan satu kesilapan.
Juga kesalahan.


Begitu luas rahmat Tuhanmu, apabila Dia menjanjikan buat hamba-hambanya...


Katakanlah: "Wahai hamba-hambaKu yang melampui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengampuni dosa-dosa kesemuanya. Sesungguhnya, Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"
(az-Zumar, 39:53)

Bukankah Dia telah menyebut bahawa Dia Maha Mengampuni dosa-dosa kesemuanya? Begitu Penyayang sekali Tuhanmu kepadamu... Mintalah darinya keampunan dan maghfirah...

RasulNya yang mulia juga telah menyampaikan, suatu Firman yang jelas dari Allah:


"Hai anak Adam! Sesungguhnya engkau, selagi mana engkau suka berdoa dan berharap kepadaKu, Aku ampunkan bagimu semua atas dosa apa sahaja yang ada pada dirimu, dan Aku tidak mempedulikan banyaknya..."
(Hadith)

Walau sebanyak mana sekalipun dosa samada yang menggunung tinggi, atau yang melaut luas atau yang memenuhi langit dan bumi. Kesemua dosa tersebut pasti diampunkanNya.


"...Wahai anak Adam! Sesungguhnya engkau, jika datang kepadaKu membawa berbagai kesalahan yang sepenuh bumi, kemudian engkau menemui Aku, asalkan engkau tidak menyekutui sesuatu dengan Aku, nescaya Aku akan datang pula kepadamu dengan pengampunan sepenuh isi bumi itu pula."
(Hadith)

Dia mengampunkan hamba-hambaNya, kerana Dialah jua al-Ghafur dan at-Tawwab, selagi mana para hambaNya meminta keampunan dariNya.

Hanya syirik sahaja yang tidak diampunkan, bagi mereka yang telah jelas ilmu kepada mereka.


"Sesungguhnya, Allah tidak mengampunkan dosa mempersekutukan Dia dengan sesuatu, akan tetapi Dia mengampunkan apa yang selain itu bagi siapa yang Dia kehendaki..."
(an-Nisa', 4:48)

Begitu luasnya rahmat Tuhan, Ilah manusia, dan Maalik manusia.

Tetapi, janganlah...
Janganlah mengambil peluang ini, untuk melakukan dosa terang-terangan. Kemudian merancang untuk bertaubat kepadaNya, kerana Nabi yang mulia telah menyebut:


"Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)"
(Bukhari & Muslim)

Dosa itu tidak dihebahkan kepada orang, bahkan dengan sedaya upaya dia menyebunyinya dari orang lain. Kerana itu adalah di antaramu dan Tuhanmu. Mintalah terus dariNya...

Itu jugalah tanda bahawa engkau mengakui kesalahanmu sebagai hamba, bahkan hatimu mengiktiraf bahawa dirimu memang telah berbuat salah kepada Tuhannya...

Apakah ada yang lebih zalim dari mereka yang berbuat salah lantas tidak mengakui kesalahannya? Bahkan disebarkan, dan dirasa bangga dengan melakukannya?

Sekali-kali tidak... Janganlah begitu, kerana Tuhanmu Maha Penerima Taubat buat mereka yang kembali kepadanya dengan hati yang mengharap.

Dialah yang Maha Pengampun...

Dia jualah yang Maha Penyayang...

Adakah ada yang mampu menandingi si Dia ini?


"...Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat Allah, hanyalah orang-orang yang kafir."


(Yusuf, 12:87)

--
Kedua-dua hadith "Wahai anak Adam..." diambil dari Riyadhus Salihin, Imam Nawawi, hadith ke-1875, Kitab Istighfar.

Sumber asal: Mashizaki Keikan

Advertisement

Comments
1 Comments

1 comments

  1. salam kelab iqra..terima kasih atas post ini..Masya Allah, dikala aku merintih memohon bantuan Allah serta keampunanNya atas kesilapanku, penyesalanku..tiba2 tergerak hati untuk mencari kata-kata yg boleh membantu..terasa Dia menyahutku..Allah maha penyayang & Dia membantuku dengan sehalus cara..Semoga kalian sentiasa mendapat berkah dari Nya & mendapat ganjaran pahala atas segala usaha kalian melalui blog ini..Amiin Yaa Rabbal A'lamiin..

    ReplyDelete