MASAB 2010

Pada 28 Julai 2010 bersamaan 16 Syaaban 1431, Kelab Iqra’ UTM Skudai telah menganjurkan Majlis Sambutan Ahli Baru (MASAB) Kelab Iqra’ dengan membawa tema ‘Ke Arah Pembangunan Fikrah Mahasiswa Muslim’ di Dewan Kuliah 9 bangunan N24 . Majlis ini diadakan bagi meraikan kedatangan ahli-ahli baru Kelab Iqra’ UTM dan bagi mewujudkan ukhuwah antara mereka dengan ahli Kelab Iqra’ yang masih setia sehingga sekarang. Majlis yang telah di adakan pada hari Rabu malam Khamis ini, telah menerima tetamu seramai 21 orang siswa dan 33 orang siswi yang merupakan ahli baru Kelab Iqra’. Manakala lebih 25 orang tetamu pula terdiri daripada ahli lama Kelab Iqra’ UTM telah hadir bersama bagi memeriahkan majlis ini.

Tetamu yang terdiri daripada ahli-ahli baru dan ahli-ahli lama Kelab Iqra’ telah mula berkumpul di luar Dewan Kuliah 9, N24 pada jam 6.30 petang. Semua jemputan kemudiannya bersiap sedia untuk menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di dalam surau bangunan N24. Setelah selesai solat Maghrib berjemaah, tetamu yang hadir dijemput menikmati hidangan makan malam yang telah disediakan. Bagi membina ukhuwah sesama ahli baru dan ahli lama Kelab Iqra’, makanan di hidangkan di dalam dulang. Jesteru itu, ahli lama dan ahli baru Kelab Iqra’ dapat bertaaruf dan beramah mesra antara mereka. Setelah itu,semua tetamu masuk ke dalam dewan kuliah 9 di N24 untuk memulakan majlis. Pada jam 8.45 malam, majlis dimulakan dengan bacaan doa dan bacaan tilawah beserta terjemahannya. Seterusnya, majlis ini disusuli degan montaj pengenalan Kelab Iqra’ dan di susuli montaj pengenalan kepada saf kepimpinan Kelab Iqra’ sesi 2010.

Kemudian, pada jam 9.05 malam, majlis ini diserikan lagi dengan ucapan sepatah dua kata dari Presiden Kelab Iqra’ UTM sesi 2010 iaitu saudara Ahmad Bin Mustafa Din. Setelah sepuluh minit mendengar ucapan dari presiden, pihak majlis telah menjemput Ustaz Idris Bin Ismail dari Fakulti Tamadun Islam, yang juga merupakan mantan Kelab Iqra’ untuk menyampaikan ceramah bertajuk ‘Langkah Bermula…’. Dalam ceramah yang di sampaikan oleh ustaz, diceritakan tentang peranan kita sebagai seorang muslim yang telah diberi peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi. . Ustaz juga sempat memberikan satu pesanan sebelum mengakhiri ceramah beliau iaitu, ‘kalau bukan kita, siapa?, kalau bukan sekarang, bila?’.

Setelah berakhirnya ceramah pada jam 9.45 malam, pihak majlis menyampaikan sedikit cenderahati kepada ustaz atas kesudian beliau bersama-sama kami dalam majlis ini. Kemudian, majlis sekali lagi menayangkan montaj iaitu montaj bagi pengenalan jabatan-jabatan dalam Kelab iqra’ beserta program-program yang pernah di anjurkan sebelum ini. Kemudian, majlis dimeriahkan lagi dengan aktiviti berkumpulan ‘Tak Kenal Maka Ta’aruf’ yang dikendalikan oleh saudara ‘Asim Abdullah Bin Ainullotfi, yang juga merupakan Ketua Jabatan dalam JPSM. Dalam aktiviti berkumpulan ini, ahli-ahli baru dan ahli-ahli lama Kelab Iqra’ dibahagikan secara saksama kepada lapan kumpulan. Empat kumpulan terdiri daripada ikhwah dan selebihnya terdiri daripada kumpulan akhawat. Kumpulan-kumpulan ini dibahagi mengikut jabatan-jabatan dalam Kelab Iqra’ iaitu Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM), Jabatan Pengajian Al-Quran (JPAQ), Jabatan Kebajikan dan Tugas-Tugas Khas (JKTK) dan Jabatan Penerangan dan Penerbitan (JPDP). Ahli dalam majlis tertinggi Kelab Iqra’ juga terlibat dalam aktiviti berkumpulan ini. Mereka bersama-sama dengan kumpulan-kumpulan tadi untuk membantu menyelesaikan tugasan yang diberi. Suasana dalam dewan menjadi meriah dengan lontaran idea dan pendapat dari setiap ahli dalam kumpulan sewaktu menyelesaikan tugasan.

Setelah hampir setengah jam melalui aktiviti ‘Tak Kenal Maka Ta’aruf’, majlis sampai ke kemuncak iaitu majlis penyampaian hadiah. Sesi penyampaian hadiah ini dimulakan dengan penyampaian hadiah cabutan bertuah kepada sepuluh orang ahli baru Kelab Iqra’ yang terdiri daripada lima orang ikhwah dan lima orang akhawat. Kemudian saat mendebarkan telah berakhir apabila pengumuman dan penyampaian hamper kepada pemenang aktiviti berkumpulan ‘Tak Kenal Maka Taa’ruf’ telah diadakan. Dua Kumpulan yang telah dinobatkan sebagai juara iaitu kumpulan JPSM (ikhwah) dan kumpulan JPDP (akhawat). Hadiah telah di sampaikan oleh Presiden Kelab Iqra’ dengan diiringi oleh pengarah program iaitu saudara Muhammad Emran Bin Tamsi @ Amir. Tepat jam 11.00 malam, sebelum ahli majlis bersurai, majlis ditutup dengan bacaan tasbih kafarah dan surah al-Asr.

Secara keseluruhannya, Majlis Sambutan Ahli Baru Kelab Iqra’ 2010 ini telah berjaya membina ikatan ukhuwah antara ahli baru dan ahli lama Kelab Iqra’ UTM disamping membentuk kefahaman mengenai program dan organisasi Kelab Iqra’ UTM itu sendiri. Terima kasih yang tidak terhingga dari kami AJK MASAB’10 buat semua sahabat ikhwah dan akhawat yang telah banyak membantu secara langsung dan tidak langsung. Semoga ukhuwah yang telah terjalin sesama kita semua diberkati dan diredhai Allah. InsyaAllah.

Advertisement

Comments
2 Comments

2 comments