Sekitar Dialog Cinta


Jabatan Pengajian Al-Quran, sebuah jabatan di bawah pengurusan Kelab Iqra’ UTM telah mengadakan wacana ilmu pada 11 Februari 2011 bersamaan pada hari jumaat bertempat di Dewan Sri Merbau, Kolej Tun Hussein Onn. Wacana ilmu 1 pada kali ini bertemakan ’Cinta Dalam Islam’ yang bertajuk ’Dialog Cinta’ telah disampaikan oleh dua pasangan ahli panel yang telah berkahwin dan seorang moderator.

Pasangan ahli panel yang pertama ialah, 'Umayr Sayfurrahman Ainullotfi merupakan mantan Presiden Kelab Iqra' sesi 2006/2007 dan isterinya Pn. Muhaini Mahusin, mantan Timbalan Ketua Jabatan, Jabatan Pembangunan Dan Sumber Manusia (JPSM Kelab Iqra'). Pasangan ahli panel yang kedua ialah Dr. Hishamuddin Alham iaitu pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan isterinya Pn Yasmin Khalil dan seorang moderator iaitu Mohammad Khalid Bin Saleh. Objektif program ini dijalankan adalah untuk mengetahui erti cinta sebenar yang disyariatkan dalam Islam. Program wacana ilmu 1 ini bermula pada pukul 9.00 malam dan berakhir pada pukul 11.30 malam.



Persiapan ahli jawatankuasa program telah bermula seawal jam 5.00 petang bagi memastikan program berjalan dengan lancar. Keseluruhannya, seramai 206 orang peserta yang hadir bersama-sama memeriahkan wacana ilmu 1 ini. Majlis dimulakan bacaan doa yang telah disempurnakan oleh Mohd Hisyam Bin Shaari. Seterusnya ucapan pembukaan oleh Presiden Kelab Iqra’ 2011/2012, ‘Asim ‘Abdullah Ainullotfi tentang status Valentine’s day. Kata alu-aluan oleh pengerusi majlis, Halim Bin Yacob. Kemudian pengerusi majlis menerangkan mengenai perjalanan program iaitu terdapat beberapa slot dalam wacana ilmu kali ini termasuklah slot bersama ahli panel serta slot soal jawab. Secara amnya, isi kandungan bagi tajuk dialog adalah berkaitan dengan cinta selepas Allah dan Rasulullah atau lebih tepat mengenai cinta selepas berkahwin.

Moderator program memulakan ucapan serta memperkenalkan latar-belakang ahli panel kepada hadirin yang datang. Slot pertama iaitu sesi dialog antara ahli panel telah dimulakan oleh pasangan Ahli panel yang pertama iaitu, 'Umayr Sayfurrahman Ainullotfi merupakan mantan Presiden Kelab Iqra' dan isterinya Pn. Muhaini Mahusin, mantan Timbalan Ketua Jabatan, Jabatan Pembangunan Dan Sumber Manusia (JPSM Kelab Iqra') mengenai pengalaman mereka berjumpa sebelum akad nikah. Diikuti oleh ahli panel yang kedua, iaitu Dr. Hishamuddin Alham, pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan isterinya Pn Yasmin Khalil pula menceritakan pengalaman mereka. Penyampai dapat memberikan gambaran yang jelas mengenai bagaimana cara orang muda berkenalan serta orang lama berkenalan dan kedua-dua pasangan memiliki pengalaman yang hampir sama iaitu menggunakan orang tengah sebagai perantara bagi mengelakkan fitnah berlaku. Seperti yang semua sedia maklum bahawa hukum berpasangan antara lelaki dan perempuan bukan muhrim yang belum berkahwin adalah haram dan berdosa jika dilakukan kerana ianya mendekati zina. Ahli-ahli panel begitu menjaga ikhtilat sebelum mereka berkahwin dan berurusan dengan pasangan masing-masing secara professional. Mereka tidak pernah berkenalan dalam tempoh yang lama. Kehadiran orang tengah telah memudahkan lagi prosess taaruf antara mereka walaupun ada antara kedua-duanya pernah mengenali antara satu sama lain ketika menuntut di universiti yang sama dan juga berada dibawah wadah dakwah yang sama suatu ketika dahulu.



Berbeza dengan cara hidup masa kini dimana sesetengah umat Islam telah jauh terpesong dari ajaran Islam sebenar kerana tidak tahu lagi batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan yang belum berkahwin. Menerusi dialog ini, ahli panel cuba merungkaikan masalah yang dihadapi oleh remaja sekarang serta menerangkan beberapa cara dan pendekatan yang sesuai bagi sesiapa yang ingin mendirikan rumahtangga terutamanya cabaran bagi pelajar atau golongan yang sedang menuntut di pusat pengajian. Perkongsian isu hati ini telah dibincangkan dalan slot sesi soal jawab antara peserta dengan ahli panel. Sesi soal jawab ini bermula pada pukul 10.20 malam. Peserta yang ingin bertanya diberikan beberapa pilihan sama ada ingin bertanya terus atau menulis soalan diatas sekeping kertas dan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Kebanyakkan peserta segan untuk bertanya terus kerana isu hati ini cukup sensitif dan mereka mengambil pendekatan untuk bertanya dengan menghantar mesej kepada nombor telefon yang telah diberikan di awal majlis.

Antara soalan yang dibincangkan ialah “apakah cara yang sesuai untuk meluahkan isi hati kepada seseorang dengan cara yang betul?”. Ahli panel lebih berpengalaman iaitu pasangan Dr. Hishamuddin Alham, pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan isterinya Pn Yasmin Khalil telah menjawab soalan ini dan berkongsi pendapat mereka iaitu ada beberapa cara. Pertama, seseorang itu perlu menggunakan orang ke-3 untuk menyampaikan hajat. Selain itu, boleh melalui ahli keluarga seperti kakak atau abang. Seorang bapa juga berhak jika dia mampunyai calon yang soleh untuk dipinangkan, serta melalui institusi Baitul Muslim. Seelok-eloknya seseorang itu tidak menyatakan hasratnya secara terus kerana ditakuti dirinya akan ditolak bulat-bulat oleh pihak kedua. Yakinlah bahawa jodoh ditentukan oleh tuhan, seperti Firman Allah dalam Surah An-Nuur ayat 26 yang bermaksud, “Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (Syurga).”



Majlis tamat pada jam 11.30 malam setelah selesai sesi soal jawab, moderator membuat kesimpulan mengenai apa itu cinta dan sedikit tayangan video “Kiamat Sudah Dekat” daripada Ahli panel kedua. Seterusnya, pengerusi majlis memberikan peluang kepada tetamu iaitu salah seorang pelajar dari luar negara untuk memberikan sedikit perkongsian. Selepas ucapan, terdapat tayangan mengenai aktiviti Kelab Iqra’ sepanjang tahun 2010 dan 2011. Selesai tayangan, acara penyampaian cenderahati kepada ahli-ahli panel dan moderator program. Cenderahati telah diisampaikan oleh Presiden Kelab Iqra` sendiri. Kemudian, hadirin di hidangkan sedikit makanan dan minuman sebelum majlis bersurai. Kesimpulannya, secara keseluruhan program ini telah mencapai objektif yang dikehendaki, dan sambutan yang diterima adalah menggalakkan terutama daripada pihak muslimat.

Advertisement

0 comments:

Post a Comment