Anda sudah bersolat?




Firman ALLAH SWT dalam surah Az-Dzariyat, ayat 56 yang bermaksud “..tidak AKU jadikan jin dan manusia semata-mata untuk beribadat kepada KU..”  

Ia jelas menunjukkan bahawa tujuan utama manusia diciptakan oleh ALLAH SWT hanyalah untuk beribadat dan mengabdikan diri kepadaNYA semata. Jika umat manusia mengimbau kembali peristiwa Israk Mikraj yang berlaku ketika 27 Rejab, di mana berlakunya satu peristiwa besar Nabi Muhammad SAW telah diperintahkan untuk melaksanakan ibadat solat. Ibadat solat ini merupakan salah satu cara kita sebagai hamba untuk mengabdikan diri kepada ALLAH SWT. 




“Awal hisab seorang hamba pada hari Kiamat adalah solat. Apabila solatnya baik maka seluruh amalnya baik, dan apabila buruk maka seluruh amalnya buruk.”
 (HR at-Thabrani)

Berdasarkan hadis di atas, kita dapat fahami bahawa solat itu akan menggambarkan perilaku setiap manusia. Jika baik solatnya, maka segala perbuatannya sudah pasti menjurus kepada kebaikan tetapi jika buruk solatnya, pasti dia akan menjadi seorang yang bermasalah dalam kehidupan sehariannya.

Menjawab persolan mengapa kita perlu bersolat tidak memerlukan alasan yang banyak. Mengapa kita perlu bersolat?? Jawapannya kerana kita perlukan tuhan di dalam kehidupan kita! Sesungguhnya solat itu adalah tali penghubung di antara seorang hamba dengan tuhan nya. Meninggalkan solat seolah-olah kita telah memutuskan perhubungan dengan tuhan. Bagaimana rasanya hidup seorang diri? Hati akan sakit, jiwa akan gelisah dan tidak akan bahagia dalam hidupnya. Orang yang tidak mahu menunaikan solat adalah orang yang sombong dalam hidup, merasakan bahawa dia sudah cukup hebat untuk hidup tanpa tuhan, tidak sedar yang setiap apa yang ada pada dirinya adalah pinjaman dari tuhan.




Jikalau ditanya kenapa ada orang yang bersolat tetapi masih berbuat mungkar, itu kerana solatnya masih tidak sempurna. Hakikatnya, solat bukanlah perbuatan ritual semata-mata tetapi solat itu mestilah membawa sekali hati yang penuk kekusyukan dan pengharapan kepada tuhan. Dari situ, akan lahirnya kenikmatan bersolat sekaligus membawa kepada rasa cinta kepada tuhan.

 Sesungguhnya solat itu jika dikerjakan dengan sempurna dapat mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar sebaliknya orang yang mengerjakan ibadat sambil lewa tidak akan dapat merasai nikmat ketenangan dan ketakwaan yang sebenar kepada ALLAH SWT. Seseorang itu akan menganggap bahawa ibadat itu adalah suatu yang memberatkan. Lantaran itulah pada hari ini kita mendapati ramai orang yang tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat sekalipun dia mengerjakan solat. Kemuncak solat itu sendiri adalah kekhusyukan.  Jika umat hari ini sambil lewa mengerjakan solat, solat itu tidak dapat menjadi pendinding kepada mereka daripada melakukan maksiat dan kekufuran. 

Baginda Nabi Muhammad saw ada bersabda, bahawa orang yang solatnya itu tidak mencegahnya dari perbuatan keji dan mungkar bukannya menjadi semakin dekat dengan tuhan, bahkan mereka itu semakin jauh. 
(HR muslim)






Menurut kajian saintifik, ibadat solat ini bukan hanya menjurus kepada amalan kerohanian semata-mata, tetapi juga memberikan hikmah yang tersirat kepada mental dan fizikal terutamanya dapat meningkatkan tahap kesihatan manusia. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan 3 juta daripada rakyat Malaysia menghidap penyakit mental, dan apa yang paling mengejutkan penyakit mental bakal menjadi penyakit nombor 1 negara menjelang tahun 2020. Tidak menghairankan kerana terdapat  kajian menyatakan bahawa 80% umat Islam sudah tidak lagi mendirikan solat. Jadi apa kaitannya?


Jika dikaitkan kesihatan mental dengan ibadat solat, ketenangan dapat dihasilkan kepada otak manusia jika seseorang itu melaksanakan ibadat solat kerana gelombang otak yang dihasilkan ketika pergerakan solat meliputi gelombang alfa, beta dan gamma. Solat jelas secara umumnya melibatkan pembacaan serta penghayatan ayat suci al-Quran, doa-doa serta pergerakan terbukti memberi seribu satu kebaikan kepada diri jika ditinjau dari perspektif sains sekalipun.

Solat..Kunci Kebahagiaan Dunia Dan Akhirat


Dimana-mana sahaja..

Pentingnya solat itu adalah hanya dengan solatlah kita akan mencapai kebahagiaan yang hakiki. Kebahagiaan yang hakiki bukan dinilai pada banyaknya harta, indahnya rupa atau tinggi nya pangkat yang kita ada, hakikatnya, kebahagiaan itu ada pada hati yang sejahtera. Orang yang punya hati yang sejahtera, hidupnya pasti akan bahagia. Merasa cukup dengan apa yang ada dan tidak merungut dengan apa yang tiada. Dan kesan memiliki hati yang sejahtera itu akan mempengaruhi perbuatan individu tersebut dalam kehidupan sehariannya. Hati yang sejahtera itu tidak akan menyakiti orang lain dan tidak akan berbuat kemungkaran kerana hati yang sejahtera sudah pasti membenci perkara yang mungkar. 

Memetik pesan Imam Ghazali berkenaan soal hati.  Carilah hatimu di tiga tempat, pertama, cari hatimu ketika sedang membaca Al-Quran. Jika engkau tidak menemuinya, carilah hatimu ketika sedang mengerjakan solat. Jika engkau masih tidak menemuinya, carilah hatimu ketika sedang duduk sendirian mengingati kematian. jika engkau masih tidak menjumpainya? ketika itu, berdoalah kepada Allah dan pintalah untuk diberikan hati yang baru kerana hakikatnya saat itu engkau sebenarnya tidak mempunyai hati..


Advertisement

0 comments:

Post a Comment