Valentine's Day



Assalamualaikum 


Dalam kesempatan cuti semester yang masih berbaki beberapa hari lagi ini, saya tertarik untuk menulis berkenaan sambutan Hari Kekasih atau Valentine’s Day. Musykil bercampur malu rasanya bagaimana kita boleh mengkaitkan tarikh 14 Februari dengan sambutan ini. Apa tidaknya, dari dari bangku sekolah lagi kita sudah terdedah dengan sambutan ini. Jika dikenang semula semasa di bangku persekolahan, seminggu sebelum tibanya tarikh sambutan ini, pasti akan ada wakil-wakil dari persatuan-persatuan mahupun kelab-kelab pelajar yang akan melakukan jualan sempena hari kekasih ini. Pakej yang ditawarkan lengkap dengan penghantaran percuma, hanya perlu membuat tempahan dan tuliskan kepada siapa kita mahu tujukan barang tersebut.


Yang pastinya pada masa itu saya akui bahawa saya adalah antara salah seorang yang jahil mengenai apa sebenarnya Valentine’s Day itu. Apa yang saya tahu ia hanyalah sekadar sambutan memperingati kekasih. Langsung tidak terlintas di fikiran untuk mengaitkannya dengan upacara ritual keagamaan. Namun masa berlalu dan kematangan bertambah dan pastinya dengan peredaran waktu itu dengan lambakan ilmu yang mudah didapati akhirnya barulah diketahui apa yang sebenarnya disebalik sambutan ini dan pengharaman sambutannya bagi umat Islam. 


Saya tidak berniat untuk menceritakan sejarah mengenai sambutan ini kerana suasana dunia tanpa sempadan, saya yakin dengan mudah kita mencari pautan-pautan di laman sesawang yang menceritakan perihal Valentine’s Day ini, dari seringkas-ringkas penulisan sehinggalah penceritaan sejarah secara mendalam mengenai Valentine’s Day ini. 


Saya yakin dan begitu optimis jika hal sebenar disebalik Valentine’s Day ini diketahui oleh seluruh umat Islam khususnya para remaja, pasti mereka tidak mahu menymbut sambutan ini. Hakikatnya kebanyakkan mereka menyambutnya sekadar secara ikut-ikutan tanpa ilmu. Saya yakin mereka tidak tahu langsung mengenai peristiwa pembunuhan St. Valentine, kisah ratu Issabela, dan apa-apa perkara yang berkisar tentang sejarah Valentine’s Day ini. 


Saya berani menyatakan ini kerana saya juga pernah berada ditempat mereka, kejahilan dan kekurangan ilmu menyebabkan kita mudah terikut-ikut. Jadi saya rasa tidak baik jika kita secara melulu bertindak sebagai penghukum, dengan mengutuk dan mengeji mereka yakni saudara-saudara Islam kita yang tak semena-mena menyambut Valentine’s Day ini tanpa kita memberikan kesedaran dan ilmu kepadanya. 


Ingatkah kita pada firman Allah ini? 

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka..” [Al-Hujurat:11]

Manfaatkan Teknologi Dengan Sebaiknya Dengan kemudahan teknologi pada masa kini, ilmu begitu mudah untuk dikongsikan, hal ini amat berbeza dengan zaman ketika kita masih kecil dahulu, jarang-jarang sekali dapat mengakses internet dan medium ilmu itu bagaikan terlalu sempit. Gunakanlah setiap ruang dan peluang yang ada untuk menyampaikan ilmu kepada sahabat-sahabat kita di luar sana. Sentuhlah hati mereka dengan ilmu. Bukankah ilmu itu ibarat cahaya? 


Mari kita sinari hati mereka ini. Moga-moga dengan izin dari Allah mereka akan sedar dan terus meninggalkan sambutan ini. Siapa tahu, satu hari nanti mereka juga akan membantu memberi kesedaran kepada orang lain. 

 “Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat kepada orang-orang mukmin.” [Az-zariyat:55] 

Wallahu'alam. 

Mohd Syafiq bin Abdul Razak, 
Timbalan Presiden 1, 
Kelab Iqra' UTM, 
2012.

Advertisement

0 comments:

Post a Comment