Istimewanya Olimpik!

Sebentar tadi sebuah stesen television telah menyiarkan suatu dokumentari yang sangat menarik, iaitu tentang sukan Olimpik. Sukan terbesar di dunia yang diadakan selang 4 tahun sekali ini, baru sahaja melabuhkan tirainya di London pada Ogos yang lalu. Ketika ini, sukan Paralimpik London pula yang sedang rancak berlangsung. Maka tidak hairanlah sekiranya bahang dan semangat Olimpik masih terasa oleh dunia.

Daripada kontinjen Malaysia pula, kita berjaya memperbaiki pencapaian di temasya Olimpik Beijing 2008 (1 pingat Perak) dengan membawa pulang sebuah pingat Perak dan tambahan sebuah lagi pingat Gangsa pada temasya Olimpik London 2012 ini. Seluruh rakyat telah menyaksikan pertarungan antara jaguh negara Datuk Lee Chong Wei dan musuh tradisinya Lin Dan dari China dalam acara akhir badminton perseorangan.

Namun tuah kemenangan akhirnya berpihak kepada Lin Dan. Apa yang lebih penting, semangat Chong Wei telah berjaya  menyatukan seluruh rakyat Malaysia yang tetap menganggap beliau sebagai wira negara.

Dari situ kita dapat melihat akan hakikat, bahawa untuk menggapai sebuah pingat daripada temasya Olimpik bukanlah sesuatu yang mampu dicapai oleh kebanyakan negara.  


Kuala Lumpur Commonwealth Games 1998

Menurut laman web Majlis Sukan Negara, Malaysia berjaya meraih 36 pingat pada temasya Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur - suatu pencapaian terbaik negara dalam temasya sukan kedua terbesar selepas sukan Olimpik, berbanding pencapaian terbaik dalam sukan Olimpik sebanyak 2 pingat sahaja. 

Di samping itu, Malaysia merupakan negara Asia yang pertama berjaya menganjurkan temasya berpestij itu pada tahun 1998 walaupun dibayangi pelbagai cabaran langsung dan tidak langsung. Antaranya penyediaan Stadium Nasional Bukit Jalil yang perlu mengikut jadual dan spesifikasi Komanwel serta kemudahan sukan yang lain, ketiadaan pengalaman dalam mengurus kontinjen serta wartawan asing, krisis kewangan antarabangsa, serta isu reformasi pada ketika itu. 

Walaubagaimanapun, KLCG '98 yang berjaya menarik penyertaan 70 buah negara telah diiktiraf sebagai penganjuran terbaik temasya itu sejak mula diperkenalkan pada tahun 1930. 

Hakikatnya, sukan Komanwel hanya disertai oleh negara-negara anggota Komanwel sahaja. Manakala sukan Olimpik mampu disertai oleh lebih 200 buah negara. Oleh itu, hakikat sebagai sukan kedua terbesar sebenarnya tidak mampu meletakkan sukan Komanwel 'hampir sama' dengan sukan Olimpik. 

Kenyataan yang sama juga berlaku dalam sukan yang lain. Contohnya, liga utama BPL di England, langsung menenggelamkan liga kedua apatah lagi liga-liga bawahan, sama seperti di negara lain. Tumpuan, nilai komersial, skill dan sebagainya jauh berbeza. Begitu juga dalam sukan Formula 1, MotoGP dan lain-lain. Hanya perlumbaan kelas utama yang mendapat perhatian seluruh dunia.

The record is to be broken. Nobody will remember no. 2

Berbalik kepada sukan Olimpik, statusnya sebagai temasya sukan terbesar dunia telah menjadikannya sebagai medan tumpuan. Ia adalah pentas pertembungan kemuncak kemampuan manusia. Mereka merupakan gabungan genetik (bakat), latihan, teknik serta psikologi. Yang membawa seseorang ke pentas Olimpik adalah bakat dan peluang. Namun yang menentukan kemenangan emas, adalah kemampuan psikologinya. Maka tidak hairanlah seseorang atlet sanggup memperhambakan dirinya berlatih selama bertahun-tahun, demi acara sukannya yang mungkin hanya kurang seminit! 

Di dalam apa jua pertandingan terutamanya di pentas Olimpik, yang paling diingati adalah pemegang rekod sehinggalah ia berjaya dipecahkan. Begitulah seterusnya, dan rekod itu tetap berterusan diperbaharui.

Bukan sekadar demi memecahkan rekod demi rekod, tetapi sukan Olimpik juga merupakan pentas mencipta trend dan teknik terbaru dalam acara-acara yang dipertandingkan. Tahukah anda, teknik yang digunakan dalam sukan lompat tinggi pada hari ini diberi nama sebagai The Fosbury Flop iaitu sempena nama penciptanya, atlet Dick Fosbury. Pada temasya Olimpik 1968, beliau berjaya menarik perhatian dunia dengan teknik baru tersebut apabila memenangi pingat emas. Sebelum itu, pelbagai teknik lain yang jauh berbeza telah digunakan.



Begitu juga teknik yang digunakan di dalam sukan lontar peluru, luncur ais dan lain-lain pada hari ini, semuanya diperkenalkan ketika temasya sukan Olimpik. Benarlah, pentas Olimpik adalah pentas kemuncak kemampuan dan tumpuan manusia.

Speed up twice, you need 8 times power!

Di samping itu, pengetahuan teknologi dan fizik juga sangat memainkan peranan di dalam sukan Olimpik. Contohnya, basikal lumba Lotus 108 telah membolehkan Chris Boardman memenangi acara 4000m trak berbasikal pada temasya Olimpik 1992 di Barcelona. Basikal ini yang sangat menarik perhatian pada temasya tersebut merupakan hasil kajian pereka Mike Burrows selama berpuh-puluh tahun. Malah beliau pernah memberitahu suatu fakta yang sangat menarik - untuk memecut basikal selaju 2 kali ganda, anda memerlukan 8 kali ganda kekuatan! 

To be successful, you have to know what awaits you and how to face them 

Oleh yang demikian, banyak perkara yang boleh kita hargai dan pelajari daripada sukan Olimpik, untuk diaplikasikan di dalam kehidupan seharian. Antaranya;

  • Untuk mencapai sesuatu yang besar, pengorbanan juga harus besar.
  • Kejayaan yang hebat tidak datang hanya melalui usaha semalaman.
  • Usaha hanya akan dihargai melalui kejayaan. Jadi, "genggam bara api biar sampai jadi debu".
  • Bakat itu penting. Namun USAHA adalah 9/10 lebih penting.
  • Berfikiran KREATIF dalam menghadapi sesuatu perkara.
  • BERANI untuk mencuba sesuatu yang baru.
  • BIJAK mengawal emosi dalam situasi tertekan. 
"Bekerjalah seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun dan beribatlah seolah-olah kamu akan mati keesokannya.."
Paling penting, sebagai umat Islam kita harus sentiasa mengingati Allah, berdoa dan bergantung kepadaNya di dalam apa jua yang dilakukan. Itulah kelebihan umat Islam yang tidak mampu dirasai oleh mereka yang belum menerima Islam. Oleh yang demikian, kita dituntut untuk berusaha bersungguh-sungguh serta meyakini bahawa kejayaan mahupun sebaliknya, adalah ketentuan dan hak mutlak Allah.

Justeru sekiranya kegagalan yang menemui kita di penghujung usaha sekalipun, tetap yakinlah bahawa Allah sedang merancang sesuatu yang lebih baik daripada perancangan kita sendiri. Malah, kita perlu sentiasa terapkan di dalam diri bahawa kejayaan dunia bukanlah matlamat mutlak kita hidup di dunia ini. Sebaliknya, ia perlu menjadi batu loncatan untuk kita lebih mendekati Allah dan mensyukuri akan nikmat-nikmatNya.



“Amat ajaib keadaan seorang mukmin, sesungguhnya semua keadaannya adalah baik belaka. Ini tidak berlaku kecuali kepada seorang mukmin. Sekiranya dia dikurniakan kesenangan dia akan bersyukur dan ini baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa kesusahan pula dia akan bersabar dan ini juga baik untuknya.” 


(Hadis riwayat al-Imam Muslim, No. 5318).

 Wallahu'alam.

Advertisement

0 comments:

Post a Comment