syria ; mula tercetus dulu, kini......

[free syria]


Isu kemanusiaan yang berlaku di Syria akibat kekejaman dan keganasan rejim Bashr Al-Assad terhadap seluruh rakyat Syria yang berlaku sejak beberapa bulan lalu telah menjadi isu antarabangsa utama pada waktu ini. Isu ini menjadi semakin tegang dan bertambah buruk akibat daripada kedegilan rejim tersebut untuk akur terhadap kebangkitan seluruh rakyat Syria yang ingin beliau turun daripada takhta pemerintahan sebagaimana yang telah berlaku kepada beberapa regim pemerintahan negara-negara Timur tengah yang turut mengalami revolusi kebangkitan rakyat seperti Tunisia, Mesir dan Libya.


Revolusi di Syria bersangkut-paut dengan tiga sebab utama iaitu penindasan rakyat lebih 40 tahun, kebangkitan rakyat di negara-negara Arab lain, dan kemuncaknya adalah insiden sekumpulan lebih 20 kanak-kanak yang menconteng dinding sekolah dengan menulis “rakyat mahu jatuhkan kerajaan”, iaitu slogan yang telah dilaungkan di negara-negara yang berlaku kebangkitan rakyat. Pasukan keselamatan Syria telah menangkap kanak-kanak ini. Kanak-kanak tersebut telah diseksa dengan kuku-kuku kaki dan tangan mereka dicabut hingga salah seorang daripada mereka telah meninggal dunia dan keluarganya meminta mayatnya itu, serta kanak-kanak lain dilepaskan. Kerajaan telah meletakkan syarat untuk melepaskan kanak-kanak itu, iaitu mereka perlu memberi wanita-wanita di kalangan mereka kepada puak-puak kerajaan Syria ini, yan merupakan satu penghinaan sebenarnya. Maka kemudian bermulalah kebangkitan di Syria.

Sehingga kini, setelah 11bulan berlanjutan, 
kezaliman rejim dalam revolusi ini telah merobek lebih 7000 nyawa, dengan beribu lagi ditahan dan dipenjara, berpuluh ribu cedera, sambil berjuta lagi sedang bermujahadah menentang kezaliman, menegakkan hak dan keadilan untuk memastikan berdiri kukuhnya syiar Islam.

Di pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara yang bersekutu dengannya, hingga kini resolusi-resolusi yang dikeluarkan masih tidak mampu memberi apa-apa kesan. Bahkan, negara Russia dan China yang menjadi salah satu kuasa veto PBB, tidak bersetuju dengan campur tangan kuasa asing dalam 'kemelut dalaman politik negara'. Mungkinkah mereka mahu menjaga kepentingan mereka dengan Syria seperti mana U.S bersungguh-sungguh mempertahankan Israel?

Namun, bagi kita, itu bukanlah perkara utama! Apa yang utama dan mesti di ambil perhatian terhadap apa yang berlaku di Syria adalah mengenai KITA. Ya! KITA wajib untuk buat sesuatu. KITA wajib untuk pastikan keselamatan saudara-saudara kita di Syria. Mereka bukan orang asing yang tidak perlu kita hiraukan kacau-bilau rumah tangganya tapi mereka adalah saudara kita. Mereka adalah sebahagian daripada anggota jasad kita seperti mana Rasul SAW pernah bersabda:

"Orang beriman itu dengan orang beriman yang lain seperti jasad yang satu. Kiranya salah satu anggota mengalami kesakitan, maka seluruh anggota akan akan turut berjaga malam, merasa panas dan gusar." [HR Bukhari & Muslim]

Sabda Nabi di hadith yang lain:

"Barangsiapa yang tidak mempedulikan urusan kaum yang lain, maka ia bukanlah termasuk dari kalangan mereka." [HR Abu Daud]

Allah juga berfirman, dalam surah Al-Hujurrat ayat 10:

"Sebenarnya orang-orang mukmin itu bersaudara..."



Maka apa alasan kita untuk

tidak mengambil tahu tentang apa yang 

berlaku terhadap saudara-saudara kita di

Syria?

Untuk pergi ke Syria dan membantu saudara-saudara kita di sana mungkin satu perkara yang mustahil untuk kita lakukan. Namun, kita mampu untuk lakukan sesuatu walau pun kita di sini, walaupun juga kita tidak berkonfrontasi secara terus dengan regime Syria. Mungkin perkara dibawah boleh menjadi panduan untuk kita supaya kita berusaha juga untuk membantu saudara-saudara kita di sana.

1. Baca dan update perkembangan terkini yang berlaku di Syria melalui akhbar-akhbar antarabangsa, akhbar-akhbar tempatan, facebook 'like for Syria', laman-laman web yang berkenaan dan mana-mana media massa yang ada untuk apa yang berlaku di sana.

2. Sebarkan artikel-artikel, lukisan-lukisan, video, isu-isu berkait dengan Syria dalam ruang-ruang yang ada supaya lebih ramai yang cakna tentang tragedi yang berlaku di Syria.

3. Sekiranya ada tabung-tabung yang dilancarkan oleh badan-badan yang dipercayai, maka sumbanglah untuk menampung kedhaifan keluarga mangsa-mangsa yang dibunuh rejim Bashr Al-Assad.

4. Kalau mampu, lancarkan kempen-kempen kesedaran, flash mob dan apa-apa yang mampu, berkait apa yang berlaku di Syria. Kalau mampu juga lakukan demonstrasi besar-besaran, teruskan.

5. Dan yang terakhir sekali, tindakan paling kerdil boleh kita lakukan adalah dengan doaSelitkan doa-doa memohon pertolongan daripada Allah di setiap akhir solat lima waktu kita.

Perbuatan-perbuatan ini dalam pandangan mata kasar, mungkin tidak memadai dan tidak mampu untuk memberi kesan terhadap rejim Bashr Al-Assad, tetapi percayalah, sokongan moral yang kita berikan secara batiniah serta permohonan doa yang tulus daripada seorang saudara kepada saudaranya yang tertindas pasti akan Allah dengar dan kabulkan, insya Allah.

Advertisement

0 comments:

Post a Comment