Boikot Barangan Amerika dan Israel

Oleh: Mohamad Amir Imran Bin Mohd Hasli (2SET) & Noorfitri Bin Adenan (2SHF)

Kali ini, kami ingin membawa warga UTM untuk bersama-sama melaksanakan peranan dan kuasa yang ada pada kita iaitu boikot. Walaupun kita tidak dapat bersama-sama berjihad di medan Gaza, tetapi atas nama ukhwah Islamiyyah, kita meluahkan rasa benci dan marah kita atas apa yang Yahudi Zionis lakukan terhadap saudara-saudara kita di Palestin melalui cara ini. Istilah boikot ini bukanlah terhad kepada memulaukan barangan, perkhidmatan dan produk Amerika dan Israel semata-mata, tetapi juga termasuk memulaukan racun-racun saraf yang dibawa oleh yahudi laknatullah sejak sekian lama. Oleh itu, kami membahagikan artikel minggu ini kepada dua bahagian utama, yang pertama memboikot produk dan barangan Amerika dan Israel, yang kedua boikot sistem dan pemikiran sesat yang menjadi racun kepada umat Islam akhir zaman ini.

Bahagian 1 :
Dewasa ini, banyak pihak memperkatakan tentang isu boikot barangan dan perkhidmatan syarikat-syarikat yang menyalurkan keuntungannya kepada Israel Laknatullah sama ada pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), para cendekiawan mahupun masyarakat umum. Isu ini hangat diperkatakan berikutan serangan yang tidak berperikemanusiaan Israel ke atas Palestin yang mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa. Ulama terkemuka Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam fatwanya berkata:
“Setiap riyal, dirham… yang digunakan untuk membeli produk mereka akan akhirnya menjadi peluru-peluru yang digunakan untuk menembak saudara-saudara dan anak-anak di Palestin. Oleh itu, adalah menjadi kewajiban untuk tidak sekali-kali membantu (musuh Islam) dengan membeli produk mereka. Membeli produk mereka adalah menyokong tirani, penjajahan dan kekejaman”.

Oleh itu, kita semua berkewajipan memboikot barangan dan perkhidmatan Israel dan Amerika demi membantu saudara kita di Palestin selain membantu melalui sumbangan kewangan dan sebagainya. Namun begitu, sedarkah kita semua mengapa boikot ini sering diwar-warkan sehingga dikeluarkan fatwa bahawa pentingnya kita sebagai umat Islam memboikot Israel dan Amerika? Di antara tujuan utama mengapa kita wajib memboikot produk dan perkhidmatan daripada Yahudi ini kerana kita mahu menjatuhkan ekonomi, menyekat kemajuan, dan memaksa tentera Zionis menghentikan serangan terhadap Palestin.

Menurut Dr. Yusuf al Qaradawi, “Boikot merupakan usaha minimum yang dapat dilakukan setiap individu Islam jika dibandingkan dengan jihad yang dilakukan saudara Islam kita di Palestin dalam mempertahankan tanah air dan Masjidil Aqsa yang penuh keberkatan di sekelilingnya. Boikot merupakan satu demonstrasi persaudaraan Islam dan kesatuan ummah”. Syeikh Faisal Mawlawi dalam fatwanya juga berkata bahawa kita perlu memboikot Amerika kerana mereka terlibat dengan zionis dengan membantu dari segi kewangan dan senjata. Amerika setiap tahun memberi bantuan kewangan sebanyak empat juta dollar sebagai bantuan rasmi yang disifatkan beliau untuk digunakan dalam penghasilan senjata bagi menyerang Gaza. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kita yang beragama Islam untuk tidak mengkhianati saudara kita yang berkorban setiap hari di barisan hadapan. Maka dengan cara ini kita tidak akan bersekongkol dalam memberi keuntungan kepada musuh Islam.

Dari sudut ekonomi pula, kita dapat melihat bahawa boikot amat memberi kesan terhadap Israel dan syarikat-syarikat yang menyalurkan keuntungan kepadanya. Menurut Prof. Madya Abdul Aziz bin Buang, pensyarah ekonomi Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia UTM Skudai, boikot merujuk kepada pemulauan barangan dan perkhidmatan sebagai tindak balas terhadap tindak-tanduk sesebuah negara atau organisasi atas sebab-sebab tertentu. Melalui usaha ini ia dapat memberi kesan yang kuat sekiranya usaha boikot ini dilakukan secara berterusan dan dalam jangka masa yang panjang, dengan syarat usaha ini perlulah dilakukan melalui kesatuan ummah atau dalam bahasa mudah; kita bersatu hati dalam menjayakan usaha ini. Usaha ini mampu mengakibatkan kesan yang besar terhadap kestabilan ekonomi Israel kerana melalui boikot, tahap jualan akan merosot dan ia menyebabkan kerugian seterusnya penutupan premis-premis perniagaan yang menyalurkan dana pada Israel. Ini dibuktikan pada tahun 2002, dua daripada enam francais McDonald’s di Jordan terpaksa ditutup kerana tidak mendapat sambutan.

Tidak boleh tidak, bagi memberi impak yang maksima terhadap usaha ini, barang alternatif amat memainkan peranan yang penting. Sebagai contoh produk makanan segera keluaran McDonald dan KFC perlu diganti dengan produk makanan keluaran tempatan yang sedia ada seperti Radix Fried Chicken (RFC). Coca-cola digantikan dengan Zamzam Cola yang pengeluarnya terdiri di kalangan orang Islam (Iran). Justeru itu, kita tidak lagi bergantung kepada syarikat luar malah kita turut membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan berteraskan Islam sepenuhnya *(bukan berkempen).

Di samping memastikan usaha ini berjaya, ia turut membantu pengusaha Islam tempatan mengembangkan lagi perniagaannya, seterusnya memberi kesan yang positif kepada pengembangan ekonomi Islam itu sendiri. Tambah beliau lagi, usaha memboikot ini merupakan satu usaha murni yang perlu dilakukan secara berterusan selain menyumbang dana kepada Palestin. Ini bermaksud, usaha memboikot bukanlah setakat memboikot semasa isu Palestin sedang hangat diperkatakan, tetapi ia perlu berterusan dan harus dilaksanakan secara istiqamah. Usaha ini tidak akan berhasil sekiranya pengguna masih lagi menggunakan barangan dan perkhidmatan syarikat-syarikat yang bersekongkol dengan Israel dan Amerika.

Oleh itu, boikot perlu dilakukan pada semua peringkat organisasi dan lapisan masyarakat baik kerajaan, NGO dan masyarakat pada umumnya. Dari sudut pandangan global, usaha memboikot dapat dijayakan lagi dengan meningkatkan perdagangan ekonomi di antara negara-negara Islam (OIC). Dengan ini kita tidak lagi bergantung kepada kuasa Barat dalam aktiviti perdagangan seterusnya berkembang maju sebagai mana zaman kegemilangan Islam di khulafa Al- Rasyidin, zaman Umayyah dan zaman Abbasiyah di mana Tamadun Islam menjadi Ustaziyatul ‘Alam (pusat rujukan dunia) dalam setiap urusan baik sekecil-kecil biji saga hinggalah sebesar-besarnya.

Bahagian 2:
Sebagaimana yang kelihatan hari ini, umat Islam semakin lemah dari segi pemikiran dan spiritual. Kehidupan harian disimbahi kemewahan dan hiburan. Nilai-nilai Islam kurang diberi perhatian. Maksiat berleluasa. Umat Islam semakin jauh dari ajarannya. Negara-negara barat menjadi contoh dan teladan dalam mengecapi kemajuan dan permodenan. Budaya-budaya barat dibawa masuk secara halus oleh golongan Yahudi sejak dari dulu lagi. Firman Allah yang bermaksud:
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.”
(al-Baqarah, 2:120)

Daripada ayat ini, Allah telah menyatakan dengan jelas bahawa matlamat sebenar golongan yahudi ini ialah mereka hendak memesongkan akidah umat Islam. Sekarang mereka telah bertindak melalui ghuzwatul fiq (serangan pemikiran), menjadikan kita mengikut cara hidup mereka. Inilah apa yang dimaksudkan sebagai racun kepada umat Islam. Jadi, apa yang ingin disampaikan di sini ialah kita perlu memboikot sistem yang dicipta oleh mereka dan pemikiran sesat yang membunuh roh Islam kita. Sebagai contoh, kita memboikot mata wang Amerika tetapi dalam masa yang sama, kita mengamalkan riba dan segala macam muamalat yang bertentangan dengan ajaran Islam. Media massa dan media elektronik hari ini sebahagian besarnya dikuasai oleh barat. Dengan ini, mereka dengan mudah menyerap masuk budaya-budaya mereka sehinggakan generasi muda Islam hari ini semakin lumpuh daya pemikirannya dan semakin lesu semangat jihadnya.

Jelaslah di sini bahawa boikot amat memainkan peranan penting walaupun mengambil jangka masa yang panjang dalam memberi kesan terhadap Israel dan Amerika. Sebagai mahasiswa kita, perlu sedar bahawa boikot yang dilakukan bukanlah sekadar memboikot barangan dan perkhidmatan sahaja. Kita juga perlu memboikot gaya hidup, hiburan, pemikiran dan budaya yang dibawa oleh barat dan Israel yang mana ianya menjerumuskan diri kita ke arah perkara mungkar, syirik dan menjauhkan kita kepada yang makruf dan yang bercanggah dengan Islam. Ayuh! Teruskan usaha memboikot ini sebagai tanda kebersamaan dan kesatuan ummah kita dengan saudara kita di Palestin selain bantuan lain yang kita berikan.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah kamu dengan jual beli yang kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung.”
(at-Taubah, 9:111)

Advertisement

Comments
4 Comments

4 comments

  1. Seharunsya setiap orang yang ditarbiyah harus mempunyai semangat yang tinggi, yang disertakan dengan nafas yang panjang dan diiringi hikmah orang-orang terdahulu.

    ReplyDelete