Dalam sedar atau pun tidak, bulan Rejab hampir sahaja melabuhkan tirainya. Namun, berlalunya bulan Rejab tidak bermakna kita akan melupakan peristiwa Isra’ Mikraj yang mempunyai banyak hikmah yang tersurat dan tersirat buat umat Islam yang berlaku pada 27 Rejab.
Apa yang dimaksudkan dengan Isra’ ialah perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis seperti yang telah difirmankan di dalam surah al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud,
“Mahasuci (Allah) yang telah memperjalankan hambaNya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat”.
Di dalam peristiwa agung inilah Rasulullah SAW telah melalui pelbagai perkara sepanjang perjalanan Isra’ Mikraj. Antaranya Rasulullah telah mengimami solat berjamaah bersama rasul dan nabi di Masjidil Aqsa. Selain itu Rasulullah diperlihatkan ganjaran bagi mereka yang beriman di syurga dan penyeksaan bagi mereka yang kufur.Seterusnya Rasulullah menerima kewajipan sembahyang lima waktu sehari semalam ke atas tiap-tiap Muslim lelaki dan perempuan. Bagi setiap perkara yg dilalui oleh Rasulullah, semuanya mengandungi ertinya yang tersendiri.Pernah atau tidak terlintas difikiran kita mengapa Rasulullah SAW perlu menempuh perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang terletak di Baitulmaqdis sebelum di bawa naik ke langit? Kemudian Rasulullah berkesempatan solat berjemaah bersama rasul dan nabi sebelum kelahiran Baginda di Masjidil Aqsa. Ini membuktikan bahawa Baitulmaqdis bukanlah suatu tempat biasa malahan ianya tempat qudus dan suci di sisi Allah. Ia juga mempertandakan bahawa di sana tersemat satu pertalian yang erat dan hubungan di antara para ambiya’ seluruhnya di dalam siri pengutusan mereka ke dunia ini.
Bumi Palestin di mana terletak dalamnya Baitulmaqdis merupakan bumi para anbiya’ di mana telah banyak diturunkan sebahagian besar rasul dan nabi di sini bagi menjalankan tugas untuk menyeru umat manusia kepada mengesakan Allah dan juga mempunyai tanah yang subur. Selain itu Masjidil Aqsa yang terletak di Baitulmaqdis merupakan qiblat pertama umat Islam sebelum berubah ke Masjidil Haram. Perkara ini tidak bermaksud untuk membiarkan atau mengabaikan Masjidil Aqsa tetapi ia sebagai satu ujian kepada umat Rasulullah SAW bahawa siapakah yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Selain itu sebagai lambang kebersamaan dan kesatuan umat Islam apabila qiblat umat Islam berpindah ke arah Kaabah di Masjidil Haram.
Dengan peristiwa Isra’ Mikraj ini juga memberi suatu suluhan isyarat bahawa setiap masa umat Islam harus berwaspada dan menjaga keselamatan dan kehormatan bumi Palestin dari sebarang pencerobohan dari luar dan dalam. Seperti yang kita ketahui sekarang, pihak Yahudi Zionis berusaha merampas tanah penduduk Palestin dengan menyatakan bahawa tanah tersebut milik mereka bagi memperluaskan jajahan mereka. Mereka bukan sahaja merampas hak milik penduduk Palestin malah hak kemanusian penduduk Palestin turut dicabuli. Pelbagai jalan mereka cuba lakukan demi mencapai segala impian mereka antaranya mengadakan pelbagai perjanjian dan rundingan damai yang mana kandungannya hanya menguntungkan pihak Yahudi Zionis sahaja. Mereka bukan sahaja bermain dengan politik malah menggunakan kekerasan dengan melakukan serangan dan pembunuhan secara terang-terangan tanpa sifat perikemanusiaan. Mereka juga bertindak mengawal media daripada memaklumkan kesengsraan yang terjadi di bumi Palestin sekarang dan ini dapat mengaburi mata kita bahawa bumi Palestin sekarang telah aman.
Bukan setakat agenda perampasan tanah dan peperangan ke atas penduduk Palestin yang mereka lakukan, malah mereka juga berusaha meruntuhkan Masjidil Aqsa yang mulia bagi membangunkan apa yang mereka dakwa (kononnya) Haykal Sulaiman sebagai rumah ibadat mereka. Untuk menjayakan agenda ini, pihak yahudi zionis telah menimbulkan kekeliruan ke seluruh dunia dengan menyatakan The Dome of The Rock atau Kubbatus Sakhra’ (kubah bewarna emas) sebagai bangunan utama Masjidil Aqsa. Sedangkan bangunan utamanya adalah yang berkubah hijau kekelabuan yang terletak di bahagian hadapan kawasan tanah Masjidil Aqsa. Kedudukan antara Kubbatus Sakhra’ dengan bangunan utama Masjidil Aqsa tidak jauh. Apabila umat Islam sendiri sukar untuk membezakan bangunan utama Masjidil Aqsa yang sebenarnya, maka semakin mudah tugas yahudi zionis untuk melaksanakan perancangan meruntuhkannya. Sekiranya terdapat pihak yang membangkang pembinaan (kononnya) Haykal Sulaiman, maka pihak yahudi zionis akan menyatakan The Dome of The Rock yang dianggap Masjidil Aqsa masih utuh berdiri dan mereka tidak berbuat apa-apa terhadapnya.
Apakah kita di sini hanya mendiamkan diri terhadap kekeliruan yang dilakukan oleh yahudi zionis terhadap Masjidil Aqsa yang merupakan masjid ketiga yang dimuliakan Allah selepas Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah? Apakah kita sudah tidak mengambil berat perihal saudara kita di Palestin yang sering ditindas dan berjuang bermati-matian mempertahankan bumi yang Allah SWT telah muliakan apabila tidak lagi mendengar sebarang keganasan dan kezaliman yang berlaku?
Kewujudan sebuah 'Negara Yahudi' di tengah-tengah dunia Islam dan penaklukan Masjidil Aqsa adalah simbolik kelemahan umat Islam dan juga sikap orang-orang Islam yang menyimpang dari landasan Islam sambil mendabik dada dengan ideologi-ideologi asing lagi syirik yang ditanamkan oleh musuh-musuh Islam. Masjidil-Aqsa, Baitul-Maqdis dan bumi Palestin yang suci ini bukannya kepunyaan orang-orang Palestin atau Arab sahaja tetapi adalah hak setiap orang Islam. Hanya apabila umat Islam kembali kepada Islam dan melihat konflik ini dalam ertikatanya yang sebenar, bumi bertuah ini akan kembali dibebaskan sepertimana yang telah dilakukan pada kurun yang ke-12 oleh Salahuddin Al-Ayubi. Walaupun beliau bukan seorang Arab, akan tetapi beliau faham akan tanggungjawabnya dalam menangani persengketaan ketamadunan di antara Islam dan Barat, di antara Iman dan Kufur.
Jadi, adakah kita melihat peristiwa Isra’ Mikraj ini hanya sekadar perjalanan yang penuh keajaiban yang berlaku dalam kehidupan Rasulullah SAW tanpa mengambil kira kisah disebalik berlakunya peristiwa ini? Inilah antara hikmah Ilahi dalam peristiwa Isra’ Mikraj yang seolah-olah telah memberi amaran agar setiap Muslim tidak akan membelakangkan masalah bumi Palestin yang telah dinodai oleh tangan-tangan yahudi zionis. Ini meminta dari setiap Muslim supaya berusaha membersihkan bumi ini dari noda kecemaran yang telah melandanya. Sama ada dari usaha jangka masa pendek, seperti memberi bantuan kewangan, membuat kempen-kempen kesedaran dan lain-lain; mahupun usaha jangka masa panjang dengan mendidik ummah ini dengan didikan agama yang tulen. Bumi yang mulia lagi suci ini adalah sangat tinggi kepentingan dan keistimewaannya kepada seluruh ummah ini. Ingatlah kata-kata Salahuddin al-Ayubi menyatakan bahawa, “Siapa yang menguasai Palestin, dia menguasai dunia”. Wallahu’alam...
0 comments:
Post a Comment