Selamat membaca..
SEJURUS Rejab berlalu, kini Sya’aban pula menjelma dan itu bermakna kita semakin hampir dengan bulan Ramadhan yang mulia dan penuh dengan seribu satu ganjaran berlipat ganda. Rejab dan Sya’aban merupakan 2 bulan yang disunatkan berpuasa kecuali hari terakhir dalm bulan Sya’aban kerana ia merupakan tarikh penentuan awal Ramadhan. Oleh itu, seharusnya 2 bulan ini menjadi platform terbaik untuk kita semua menyediakan diri berlatih puasa dan menjernihkan hati bagi menyambut bulan Ramadhan yang penuh barakah. Maka, sinonimlah kita dengan majlis-majlis berbuka puasa atau iftar yang diadakan sama ada di surau-surau kolej mahupun sesama sahabat-sahabat terdekat di kafe-kafe terpilih.
Berbuka puasa bersama-sama sememangnya digalakkan. Sama ada kita sedar atau tidak, majlis iftar merupakan salah satu aktiviti yang dapat mengeratkan jalinan ukhuwah sesama umat islam. Apa yang lebih penting di sini adalah apakah sebenarnya persoalan ukhuwah tersebut? Pernahkan kita merenung peristiwa saat Rasullullah SAW mempersaudarakan Abdul Rahman Bin Auf dengan Sa’ad Bin Ar-Rabi? Ketika itu Saad berkata kepada Abdul Rahman:
“Aku termasuk orang Ansar yang mempunyai banyak harta kekayaan dan kekayaanku itu akan kubagi dua, separuh untuk kau dan separuh untukku. Aku juga mempunyai 2 orang isteri, lihatlah mana yang kau berkenan. Sebutkan namanya, ia akan aku segera kucerai dan sehabis masa iddahnya kau kupersilakan nikah dengannya.”.
Lihatlah bagaimana ikatan ini terjalin, padahal sebelum itu Saad dan Abdul Rahman terpisah dek jarak yang jauh; seorang di Mekah dan seorang lagi di Madinah. Inilah antara peristiwa menarik berkaitan indahnya ukhuwah yang terpupuk sesama mukmin semasa peristiwa hijrah Nabi dari Mekah ke Madinah.
Pada penglihatan mata kasar dan logik akal, pasti ada yang menyangkal perhubungan yang unik ini mampu diadaptasi dalam kehidupan sebenar. Namun, inilah kecantikan Islam yang menganjurkan erti ukhuwah dalam perhubungan sesama penganutnya. Ya, benar. Inilah hubungan yang diberi nama UKHUWAH Islamiyah, bukan sebuah jalinan yang biasa kerana ia berlandaskan kecintaan kepada Pencipta agung iaitu Allah SWT. Ukhuwah ialah satu rahsia Allah yang suci dan tidak tunduk kepada neraca manusia. Ia tidak memerlukan pengenalan atau pendahuluan kerana jiwa dan hati, dalam beberapa saat sahaja boleh dipenuhi dengan perasaan ukhuwah. Jaringan rahsia ini seakan-akan menguasai hati dua orang mukmin yang tidak pernah berkenalan sebelumnya. Dengan ikatan rahsia ini, mereka tiba-tiba bersaudara sehinggakan satu sama lain tidak sanggup berpisah dan tidak sabar menanti bertemu jika berjauhan. Dalam erti kata yang mudah, ukhuwah menyebabkan seorang mukmin sentiasa mahukan yang terbaik buat mukmin yang lain di samping mengharapkan saudaranya itu mendapat keredhaan Allah dan kebaikan di akhirat kelak.
Maksud ukhuwah menurut imam Hasan al-Banna ialah keterikatan hati dan jiwa satu sama lain dengan ikatan akidah yakni Islam. Ukhuwah bukanlah sesuatu yang boleh diada-adakan mahupun sesuatu yang boleh diwarisi tanpa memenuhi syarat-syaratnya yang tertentu. Hal ini kerana ukhuwah merupakan roh yang dihidupkan Allah dalam hati orang-orang beriman apabila Dia mengkehendaki agar mereka dekat dan bersatu. Ibn Abbas ra berkata bahawa kerabat rahim dapat diputus, dan budi dapat diingkari, tetapi jika Allah mempersatukan hati maka tidak dapat digoncangkan oleh apapun, kemudian ia membacakan maksud firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 63 seperti berikut;
“…walaupun kamu membelanjakan semua kekayaan yang ada di bumi, nescaya kamu tidak akan dapat menyatukan hati mereka. Akan tetapi Allah telah menyatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha Perkasa, Mahabijaksana”
Menurut Hasan al-Banna lagi, terdapat 3 rukun ukhuwah iaitu ta’aruf, tafahum dan ta’awun. Ta’aruf bermaksud berkenal-kenalan bak kata orang kita, tak kenal maka tak cinta. Tafahum pula bermakna saling faham-memahami. Dalam erti kata lain, seorang mukmin mestilah memahami saudaranya yang lain. Abu Hurairah dari Nabi saw pernah bersabda yang berbunyi,
‘Barangsiapa menghilangkan kesusahan seorang Muslim, niscaya Allah akan menghilangkan satu kesusahannya di hari kiamat. Allah selalu menolong seorang hamba selama dia menolong saudaranya. ’.
Terakhir, ta’awun bermakna saling bantu membantu. Namun begitu, bantu membantu ini hanya terhad dalam hal kebaikan dan dalam usaha meninggalkan kemungkaran. Secara jelas, ukhuwah merupakan ikatan hati sesama orang mukmin yang diikat atas dasar akidah tauhid yang satu. Maka, ukhuwah Islamiyyah merupakan sifat yang mengiringi keimanan. Sebaliknya, ukhuwah yang dibina tanpa dasar keimanan hanya merupakan pertemuan dua pihak kerana kepentingan tertentu, saling bertukar budi serta hubungan yang dijalin tidak berkekalan.
Sahabat sekalian,
ukhuwah merupakan elemen penting dalam hal penyatuan umat Islam. Hanya dengan ukhuwahlah menjamin kebersamaan kita dalam menegakkan ad-deen dan menentang kemungkaran. Ketiadaan ukhuwah sesungguhnya merupakan kelemahan utama umat Islam pada hari ini. Masakan tidak kerana pepatah Melayu juga pernah menyebut, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Saat bumi Palestin dan saudara Muslim kita dibedil besar-besaran oleh rejim Zionis penghujung tahun 2008, apakah kita merasakan kesakitan tersebut bersama-sama mereka? Dan pabila orang Islam di selatan Thailand ditembak membabi-buta di dalam masjid mereka ketika melakukan solat berjemaah, mungkinkah kita merasa sama penganiayaan yang mereka alami itu? Cubalah tanyakan pada diri kita masing-masing, sebesar manakah parut luka yang berbekas dalam hati kita? Sesungguhnya Nabi saw pernah bersabda,
“Muslim itu ibarat sebuah jasad, jika satu anggota meras sakit maka sepanjang malam anggota yang lain akan turut berjaga malam menanngung kesakitan yang sama”.
Di sinilah sebenarnya kita menilai ukhuwah kita sesama mukmin. Biarpun umat Islam terpisah oleh ras bangsa, sempadan negara, bahasa pertuturan dan pertemuan semuka sekalipun, namun harus kita ingat Rasulullah telah menegaskan bahwasanya umat Islam ini bersaudara. Seharusnya andai sesuatu peristiwa perit menimpa saudara-saudara seakidah kita, patutlah kita merasa tempiasnya dan membantu sekadar yang mampu. Persaudaraan kita ini membawa kepada perjuangan yang satu yakni menegakkan Islam di atas muka bumi dan memastikan kemenangan Islam terhadap kaum kuffar terlaksana. Seandainya ukhuwah tidak terbina secara sempurna di antara kita, pastilah kita kalah dalam perjuangan ini.
Lantas, bagaimanakah kita sebagai mahasiswa dapat memupuk jalinan ukhuwah yang erat sekurang-kurangnya dalam lingkungan kampus UTM kita ini? Jawapannya tidak lain tidak bukan adalah melalui sistem tersusun yang dinamakan usrah dan halaqah. Peranan usrah dalam menyuburkan ukhuwah tidak dapat dipertikaikan lagi. Hal ini kerana sistem usrah mengumpulkan beberapa ahli, bertemu, menjalin silaturahim, saling nasihat-menasihati dan ingat-mengingati dalam perkara kebaikan yang semuanya berintikan kecintaan kepada Allah, bermatlamatkan Islam yang menyeru kepada kebaikan umat manusia di dunia dan akhirat. Bahkan, sistem usrah merupakan unit-unit asas dalam kita menyuburkan ukhuwah.
Sesungguhnya, sebagai salah seorang komuniti Muslim, kita semua mengharapkan agar bumi Palestin kembali kepangkuan umat Islam dan bersama juga kita berdoa agar ukhuwah kuat akan terjalin sesama Mukmin dan seterusnya menyatukan kita demi merampas semula Palestin dari Yahudi Zionis malahan bukan setakat itu umat Islam akan bersatu menegakkan perjuangan ad-deen bersama-sama.
Wallahu'alam
0 comments:
Post a Comment