Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar (dalam menegakkan kebenaran). Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami.
(As-Sajdah, 32:24)
Alhamdulillah, pada 13 hingga 15 November 2009 yang lalu, Kelab Iqra’ UTM telah menganjurkan Kem Kepimpinan Kelab Iqra’ (3KI ’09). Kem ini dianjurkan sebagai persediaan kepada barisan pimpinan Kelab Iqra’ sesi yang baru iaitu sesi 2010 serta rakan exco-rakan exco setiap jabatan dalam meneruskan usaha melaksanakan misi dan mencapai visi Kelab Iqra’ UTM.
Panorama dan pemandangan yang sangat cantik dapat dilihat dari Balai Cerap yang telah menjadi tempat utama berlangsungnya kem ini. Ini terbukti dengan keterujaan para peserta menikmati pemandangan kejadian alam di sepanjang kem sambil tidak lepas mengambil gambar sebagai foto kenangan.
Kem 3KI '09 dimulakan pada petang hari Jumaat 13 November dengan sesi taaruf di mana setiap peserta diminta memperkenalkan diri masing-masing. Bagi peserta akhawat,mereka dikehendaki menjawab 10 soalan yang berkaitan diri peserta dan fasilitator kem dalam masa yang singkat. Suasana gamat dan ceria yang berlaku adalah permulaan terbaik dalam pembinaan ukhuwah sesama peserta dan fasilitator di dalam kem ini..
Pada malamnya pula, para peserta telah disedarkan minda, dikejutkan dari lena dengan penerangan tentang konsep ar-Rijal yang harus diserapkan dalam setiap diri masing-masing. Semangat ar-Rijal mesti diperolehi setiap manusia yang juga bergelar pemimpin yang bakal menegakkan syariah di muka bumi ini serta bertanggungjawab dalam menyingkir karat-karat jahiliyah yang telah berkampung dalam jiwa masyarakat. Pemimpin yang dicari bukanlah hanya mengarah tetapi memimpin dalam menghembus kefahaman tauhid dan aqidah ke dalam jiwa pengikut-pengikutnya di samping mengetuai mereka dalam mencegah kemungkaran dan menyeru pada kebaikan.
Slot yang dinamakan Expect the Unexpected ini membawa para peserta akan kepentingan mereka sebagai ar-Rijal dan mementingkan aspek tarbiyah melalui sistem usrah yang teratur untuk membawa perubahan ke arah mencapai mencapai Ustazi'atul alam (berdasarkan 7 maratib amal).
Pada keesokan paginya, para peserta diberi penerangan tentang syura dalam slot yang disampaikan oleh bekas presiden Kelab Iqra' sesi 2009. Slot yang bersandarkan pengertian dari petikan surah As-Syura ayat 38 ini menekankan betapa pentingnya syura dalam sesuatu organisasi terutama dalam melaksanakan sesuatu berkaitan pembaikan ummah. Pendekatan syura ini penting untuk meningkatkan keupayaan ahli-ahli syura menyelesaikan masalah dan memecahkan permasalahan yang berlaku.
Selepas makan tengah hari dan solat Zohor, slot Halatuju yang dikendalikan oleh En. Baharin pula menyusul. Slot yang banyak melibatkan perbincangan ini menekankan 5 KRA (Key Result Area) yang penting dalam mengukuhkan perlaksanaan program dalam Kelab Iqra’ iaitu Tarbiyyah dan Pembangunan Sumber Manusia, Pemantapan Organisasi, Hubungan Luar, Dana dan Ekonomi, dan Kebajikan.
Slot seterusnya berlangsung di malam hari iaitu slot Amal Jami’ie yang telah disampaikan oleh PM Dr Zaharuddin Mohamed. Slot ini pada permulaannya menekankan kewajipan melaksanakan dakwah dan keperluan beramal untuk Islam yang bersandarkan dari petikan surah Al-Baqarah ayat 159. Amal jamai’ie yang ditakrifkan sebagai amal yang diputuskan oleh tanzim berdasarkan manhaj tertentu untuk mencapai matlamat tertentu, mengetengahkan bahawa ia menjadi satu keperluan bagi meningkatkan kefahaman para peserta tentang beramal secara individu dan berjemaah di mana dari sudut syari’e berdakwah adalah satu kewajipan individu, manakala dari sudut perlaksanaannya ia menjadi tanggungjawab secara kolektif (berjemaah). Slot ini diakhiri dengan aktiviti LDK di mana peserta dikehendaki memberi pendapat berkaitan dengan amal jamaie berdasarkan video-video yang ditayangkan.
Pada hari ketiga, slot Ikhtilat telah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Kilani. Slot pengisian yang terakhir ini menjelaskan batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan yang berpandukan pengertian dari petikan surah At-Taubah ayat 71 hingga 72 yang menunjukkan persamaan lelaki dan perempuan dalam melaksanakan tuntutan Allah SWT. Yang membezakan antara mereka adalah dari segi perbatasan, di mana kaum wanita lebih banyak yang perlu dijaga apabila bergaul dengan kaum lelaki. Slot ini penting dalam meningkatkan kefahaman peserta tentang batas pergaulan yang perlu dijaga terutama apabila melaksanakan sesuatu urusan aktivisme yang sememangnya banyak melibatkan pertemuan dan perbincangan antara ikhwah dan akhawat.
Slot terakhir sebelum peserta mengemas beg untuk pulang adalah slot aktiviti yang melibatkan aplikasi dari semua slot yang telah disampaikan kepada peserta-peserta 3KI '09. Slot yang mempunyai 5 checkpoint ini banyak menggunakan kekuatan minda daripada fizikal. Keupayaan peserta dalam mengaplikasi apa yang difahami dari setiap slot yang telah didengari menjadi objektif utama slot ini
Secara keseluruhannya, kem 3KI '09 ini sememangnya penting dianjurkan kepada penggerak-penggerak Kelab Iqra’ bagi meningkatkan kefahaman mereka mengenai kepimpinan dan keupayaan menyelesaikan masalah dalam jamaah apabila melaksanakan sesuatu program. Semoga kem kepimpinan ini dapat melahirkan lebih ramai saff ar-Rijal yang bakal menegakkan kembali syiar Islam yang menjadi misi dakwah para tabi’in semenjak kejatuhan Islam yang suatu ketika dahulu pernah gemilang. Wallahu a’lam.
Nukilan: Zati Amni @ Farhana binti Ismahadi
Timbalan Ketua Jabatan Penerangan dan Penerbitan (JPDP)
KI '09 sesi 2010
Kem Kepimpinan Kelab Iqra' UTM
by yAya juN
|
posted: 2:22 PM
|
2
comments
Related Posts
Advertisement
2 Comments
nice~
ReplyDeleteolahan ayat yg cantik..
berbakat besar menjadi penulis..hehe~
Yer...dia telah menunjukkan bakatnya yang tersembunyi...
ReplyDeleteHarap yang lain juga bersemangat seperti TKJ JPDP sorang ni ;)