::Ramadhan Kareem::






Bismillahirrahmanirrahim..Bersyukur kita ke hadrat Ilahi yang mempertemukan kita dengan bulan Ramadhan yang mulia. Tetamu Allah yang cuma datang setahun sekali. Semoga Ramadhan kali ini, kita dapat sama-sama menambahkan lagi amalan-amalan dan kebaikan berbanding dari Ramadhan sebelumnya.

Jom! kita ingat-ingat semula pengertian puasa. Puasa dalam bahasa Arab bermaksud meninggalkan. Manakala maksud di sisi ahli Feqah ialah meninggalkan diri melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa iaitu bermula dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari dan disertai dengan niat.

Fadhilat Puasa dan Bulan Ramadhan 
Puasa bulan Ramadhan merupakan salah satu rukun Islam. Setiap detik sepanjang bulan Ramadhan adalah sebaik-baik masa dan sebaik-baik hari di atas muka bumi ini. Allah telah memberikan kelebihan yang banyak kepada bulan Ramadhan berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan, diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu Neraka dan tidak dibuka walau satu pintu, dan dibuka pintu-pintu Syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu. Penyeru pun menyeru: “Wahai orang yang mengharapkan kebaikan, terimalah!, dan wahai orang yang mengharapkan kejahatan, berhentilah!, dan (yang ikhlas) kerana Allah, akan dibebaskan dari api neraka, dan (penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam (Ramadhan). (Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)

Hadith ini jelas menerangkan beberapa keistimewaan bulan Ramadhan, antaranya akan dibuka semua pintu syurga untuk menerima amalan-amalan soleh yang begitu banyak yang dilakukan oleh orang mukmin pada bulan ini. Begitu juga akan ditutup semua pintu neraka kerana sedikitnya bilangan maksiat yang dilakukan oleh orang mukmin pada bulan ini. Syaitan-syaitan pula akan diikat apabila tiba bulan Ramadhan. 

Kelebihan bulan Ramadhan juga ialah difardhukan puasa di dalamnya. Puasa merupakan setinggi-tinggi amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan puasa juga penghapus dosa-dosa atas maksiat yang dilakukan. Dalam sebuah hadith, dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: 

Maksudnya:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampun segala dosa-dosanya yang terdahulu.” 
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Wallahu'alam

Advertisement