Kembara Al-Quran & Majlis Taaruf Iqra' 2012

Merujuk kepada perkara di atas, Kelab Iqra' UTM telah berjaya menganjurkan program Kembara Al-Quran (KembAQ) dan Majlis Taaruf Iqra' (Mata-i) pada hari Sabtu, 22 September 2012 yang lalu.

Kembara Al-Quran (KembAQ)

Bermula jam 9.00 pagi, program Kembara Al-Quran (KembAQ) bermula dengan penyertaan seramai 31 orang lelaki dan 62 wanita. Mereka kemudiannya dibahagi kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada 5 atau 6 orang. KembAQ merupakan sebuah program berbentuk eksplorasi yang membawa para pesertanya ke pelbagai peringkat cabaran dengan menerapkan elemen serta penghayatan ayat-ayat suci Al-Quran. Program ini berakhir pada jam 2.00 petang.


Majlis Taaruf Iqra' (Mata-i)

Kemudian pada sebelah malam, Majlis Taaruf Iqra' (Mata-i) pula menyusul. Bertempat di Bilik Seminar B05, Fakulti Alam Bina, majlis bermula sekitar jam 9.00 malam.

Majlis Taaruf Iqra' (Mata-i) yang dianjurkan saban tahun merupakan suatu platform kelab untuk menyambut kehadiran mahasiswa-mahasiswi yang baru mendaftar di UTM, di samping memperkenalkan barisan Majlis Tertinggi kelab serta aktiviti-aktiviti yang ditawarkan. 



Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pegawai Hal Ehwal Islam HEMA, yang juga merangkap penasihat kelab iaitu Ustaz Ellyeen Amineen bin Mohd Salleh. Dalam ucapan alu-aluannya, Ustaz Ellyeen menyatakan sokongan terhadap program-program yang dianjurkan oleh Kelab Iqra' UTM terutamanya dalam menarik minat mahasiswa menghayati dan mengamalkan ayat-ayat suci Al-Quran. Beliau turut menasihati para pelajar agar bijak memilih sahabat serta kelab dan persatuan yang boleh membawa diri masing-masing mendekati Al-Quran dan Islam. Akhir sekali, beliau berharap agar Kelab Iqra' UTM terus sukses dan tidak jemu untuk terus menganjurkan program-program seumpama ini.

Majlis turut diselitkan dengan acara penyampaian hadiah kepada para peserta dan pemenang program KembAQ, serta cabutan bertuah sebagai selingan. Tidak ketinggalan, pengunjung turut disajikan dengan persembahan nasyid oleh sebuah kumpuan yang diberi nama kumpulan BBQ - Budak-budak Quran.

Majlis berakhir sekitar jam 11.00 dengan jayanya. Kelab Iqra' UTM ingin merakamkan ucapan jazakallahu khairan kathira kepada semua pihak yang bersama-sama terlibat menjayakan program-program ini sama ada secara langsung dan tidak langsung.












Advertisement

Comments
1 Comments

1 comments