Islam: Deen yang Syumul

Oleh: Noorfitri Bin Adenan (2SHF)

Bismillahirrahmanirrahim,

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah SWT kerana kita masih diberi kesempatan dan peluang untuk menikmati nikmat Iman dan Islam, dua nikmat terbesar sebagai seorang Muslim. Selawat dan salam kepada RasuluLlah SAW, seorang manusia pilihan Allah SWT yang diberi amanah oleh Allah SWT untuk membawa suatu risalah penting iaitu Lailahaillallah MuhammadurRasuluLlah dan menjauhi taghut yang menjamin kesejahteraan dan keselamatan umat manusia di dunia dan akhirat. Allah berfirman yang bermaksud:
"Dan kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam"
(Al-Anbiya’:107)

Pada keluaran Sinar Iqra’ minggu lepas, telah diceritakan bagaimana RasuluLlah SAW mencapai kemenangan dengan menyebarkan Islam. Bermula dengan keluarganya, sahabat-sahabatnya, kaumnya, dan sehinggalah Islam berjaya ditegakkan sebagai sebuah sistem (negara Islam). Dari situ, kita telah mengetahui bahawa RasuluLlah SAW begitu bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang rasul, kerana Islam telah bermula sebagai satu entiti asing (gharib) dan ianya telah hilang ke”asing”annya ketika baginda wafat. Tetapi persoalannya, mengapa RasuluLlah SAW begitu bersungguh membawa risalah ini kepada seluruh warga arab pada ketika itu? Adakah kerana RasuluLlah ingin memegang tampuk kuasa dunia arab? Atau adakah baginda ingin menguasai pasaran dunia perdagangan? Atau adakah ada sebab-sebab yang lain?

Hal ini telah dijawab dengan nas-nas yang sangat baik daripada artikel minggu lepas dan kita telah melihat salah satu daripada sebab tersebut adalah RasuluLlah SAW meyakini dengan sebenar-benar keyakinan bahawa Islam yang diturunkan merupakan satu sistem yang terbaik untuk diamalkan di dalam kehidupan manusia. Kenapa? Kerana kesyumulan Islam itu sendiri. Apakah yang dimaksudkan dengan syumul? Ia adalah sifat Islam yang menyeluruh dan meliputi segala aspek kehidupan. Dengan datangnya Islam, maka lengkap dan sempurnalah petunjuk hidup kita sebagai manusia dan hamba Allah SWT sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
"...pada hari ini Aku telah sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu bagimu, dan Aku redha Islam sebagai agamamu..."
(al-Ma’idah, 5:3)

Pembaca yang dirahmati Allah,

Apakah yang dikatakan dengan kesyumulan Islam? Setelah mengkaji dan menganalisa sirah RasuluLlah dan salafussoleh, kita mendapati bahawa Islam adalah syumul dari empat aspek iaitu Islam adalah syumul dari aspek zaman (masa), makan (tempat), insan (manusia) dan manhaj (metodologi).

Apakah yang dikatakan Islam itu syumul dari aspek zaman (masa)? Seperti yang kita tahu, Islam telah bermula sejak zaman Nabi Adam AS. sehinggalah disempurnakan Islam melalui RasuluLlah SAW walaupun di situ terdapat perbezaan dari segi syariat pada zaman rasul-rasul sebelum Muhammad SAW Allah telah berjanji untuk menyelamat dan memelihara sumbernya iaitu Al-Qur’an sehingga hari kiamat sebagaimana dalam firmanNya yang bermaksud:
"sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya"
(al-Hijr, 15:9)

Di samping itu, Allah SWT memelihara Islam dengan memberi jaminan untuk memelihara RasuluLlah SAW daripada dosa (maksum). Ini adalah kerana segala keperibadian, akhlaq dan kata-katanya adalah berdasarkan wahyu Allah SWT yang bermaksud:
"Dan tidaklah yang diucapkannya itu (Al-Qur’an) menurut keinginannya. Tidak lain(Al-Qur’an itu) adalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)"
(an-Najm, 53:3-4)

Jelaslah di sini bahawa Islam adalah sesuai dengan setiap zaman dan ia tidak berubah walaupun zaman berubah semenjak Nabi Adam AS sehinggalah RasuluLlah SAW. Dalam erti kata lain, sejak Nabi Adam AS sehingga RasuluLlah, Islam tetap tertegak dan berdiri dengan asas aqidah yang sama iaitu LailahaillaLlah. Hanyasanya, syariat Islam telah disempurnakan pada zaman RasuluLlah SAW dan ianya bersumberkan al-Qur’an dan as-Sunnah.

Pembaca yang dikasihi Allah sekalian,

Kita dapat melihat dan merasai bahawa Islam juga syumul dari segi makan (tempat). Allah berfirman di dalam surah yang bermaksud:
"Dan demikianlah kami wahyukan al-Qur’an kepadamu dalam bahasa Arab, agar engkau memberi peringatan kepada penduduk ibu kota (Makkah) dan penduduk (negeri-negeri) di sekelilingnya serta memberi peringatan tentang hari kumpul(kiamat) yang tidak diragukan adanya..."
(as-Syura,42:7)

Al-Qur’an yang diturunkan dalam bahasa Arab di bumi Makkah dan Madinah bukanlah semata-mata untuk orang Arab yang berada di Makkah sahaja, namun apa yang diterangkan pada ayat tersebut setelah itu; “penduduk di sekelilingnya” adalah merujuk kepada orang-orang yang berada di luar dari bumi Makkah, misalnya di benua Asia, Eropah dan lain-lain. Ia menunjukkan bahawa Islam ini tidak sempadan dan tidak dibatasi oleh faktor bentuk muka bumi dan sempadan sesebuah negara atau tempat. Islam boleh diamalkan di mana sahaja meskipun kita berada di bumi Arab, di padang pasir Sahara malah di angkasa lepas sekalipun, kita tetap perlu melaksanakan Islam.

Kesyumulan Islam juga jelas dari aspek insan (manusia) sendiri yang mana ia menekankan aspek hubungan sesama manusia. Islam tidak pernah membezakan manusia mengikut darjat seseorang, jantina, bangsa, etnik, warna kulit, harta, pengaruh dan sebagainya. Malah, Islam amat menggalakkan kita saling berta’ruf (kenal-mengenali), bermasyarakat dan bergaul antara satu sama lain dalam batasan syariat Islam yang ditetapkan. Tujuan kita saling kenal-mengenali antara satu sama lain tersebut tidak lain dan tidak bukan hanyalah kerana Allah SWT dan mendapatkan keredhaanNya;
"Wahai manusia! Sungguh, kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti"
(al-Hujurat, 49:13)

Apabila kita saling kenal-mengenal kita diperintahkan agar memelihara hubungan tersebut sesama kita dengan berpegang teguh pada Islam sebagai pegangan Iman dan cara hidup yang dapat menyelamatkan kita dari api neraka sebagaimana dalam firman Allah yang bermaksud:
"Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurniaNya kamu menjadi saudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk"
(Ali-Imran, 3:103)

Di samping itu, seluruh kehidupan kita sebagai seorang Muslim merupakan satu ibadah yang mana ia bermula daripada kita hidup sehingga kita kembali mengadap Allah SWT Bermula sejak kita baru lahir, disunatkan azan dan iqamat ditelinga, disusui sehingga bayi berumur dua tahun, diajar pula tentang Iman, Aqidah, soal masyarakat dan negara malah sekecil-kecil perkara seperti adab ke tandas dan adab memasuki rumah juga telah diajar oleh Islam. Seluruh aspek kehidupan kita jika dilihat dari sudut yang luas kita mengetahui bahawa Islam bukan sekadar meliputi kehidupan manusia bermula dari bangun tidur tidur semula malah ia merangkumi seluruh kehidupan kita bermulanya kita berada dalam kandungan perut ibu kita, menjadi bayi seterusnya sehingga kita mengadap Ilahi. Jelaslah di sini, Islam adalah satu sistem cara hidup yang mampu memberi kesejahteraan kepada semua dengan syarat bahawa segala hubungan sesama manusia dan perbuatan kita didasari oleh keimanan dan ketaqwaan dengan berlandaskan Al-Qur’an.

Saudara saudariku yang dirahmati Allah,

Dapat kita simpulkan bahawa, Islam merupakan satu sistem cara hidup yang terbaik yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia. Tidak mungkin apa yang dibawa oleh RasuluLlah SAW ini merupakan satu perkara yang sia-sia dan tidak mempunyai makna sedangkan baginda telah memerah keringat dan peluhnya untuk ummah yang dicintai. Baginda telah melakukannya hanya kerana Allah dan demi kesejahteraan seluruh alam kerana Islam adalah satu sistem cara hidup yang sempurna. Dapat kita ketahui di sini bahawa kesyumulan Islam terdiri dari pelbagai aspek seperti zaman (masa), makan (tempat), dan insan (manusia) yang membawa kepada kesejahteraan hidup.

Oleh itu menjadi kewajipan kita sebagai orang yang beriman untuk mengaplikasikan keseluruhan hidup di bawah naungan Islam dan bukan hanya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian lainnya. Allah dengan jelas telah menyeru kepada mereka yang mempunyai keimanan di dalam hati mereka:
"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagi kamu"
(al-Baqarah, 2:208)

Namun bagaimana pula yang dikatakan Islam itu syumul dari aspek manhaj (metodologi)? InsyaALLAH sama-samalah kita ikuti keluaran Sinar Iqra’ akan datang.

Advertisement

Comments
2 Comments

2 comments

  1. komen ni tiada kaitan dengan artikel ni..juz nak bagi cadangan utk Ki letakkan SI Online di laman ini agar yg xdpt nak amik hardcopy bleh la amik n simpan yg softcopy..dari publisher boleh save as JPEG, so boleh upload kat sini as image...Contoh dari Kelab Iqra UTHM...
    http://ki-uthm.blogspot.com/2009/03/risalah-mingguan.html

    ReplyDelete
  2. boleh emailkan secara personal melalui JPDP punya group ye?

    ReplyDelete