Kehadiran peserta telah diterima seawal 8.00 pagi. Bermula 8.30 pagi, kaunter pendaftaran peserta telah dibuka. Setiap peserta yang mendaftar diberikan sebuah fail mengandungi tentatif program dan modul bengkel. Selain itu peserta juga dijamukan dengan nasi goreng sebagai sarapan pagi sebelum program bermula. Kehadiran peserta terus diterima sehingga jam menunjukkan 9.15 pagi. Majlis perasmian yang sepatutnya dimulakan pada tepat jam 9.00 pagi telah ditunda ke 9.20 pagi. Pengacara bertugas iaitu saudara ‘Asim Abdullah bin Ainullotfi membuka majlis dengan bacaan Ummul Kitab. Bacaan doa telah diketuai oleh saudara Mohamad Amir Imran bin Mohd Hasli yang juga selaku Pengarah Program. Kemudian, program pula telah dirasmikan oleh saudara ‘Ammar Taqiyuddin bin Ainullotfi selaku Presiden Kelab Iqra’ dengan meyampaikan sedikit ucapan perasmian. Di dalam ucapannya, beliau menyeru kepada peserta yang hadir untuk menggunakan dan mengaplikasikan ilmu yang diperolehi di dalam bengkel ini sebaik-baiknya.
Selepas acara perasmian selesai, bermulalah sesi bengkel pertama iaitu bengkel Microsoft Office Publisher. Sesi ini telah dikendalikan oleh saudari Nurul Sa’adah binti Yusof, pelajar tahun tiga Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal) (3SMM). Slot ini berkisar kepada pemilihan template, fungsi dan penggunaan tool yang selalu digunakan dan kemahiran-kemahiran asas dalam perisian tersebut. Sesi ini berakhir sekitar jam 11.00 pagi. Peserta diberikan rehat sebentar sambil dihiburkan denga tayangan multimedia berkaitan program-program yang telah dianjurkan oleh Kelab Iqra’ sebelum ini.
Tepat jam 11.10 pagi, bengkel kedua dimulakan iaitu untuk Adobe Photoshop sesi pertama. Slot ini dikendalikan oleh saudari Siti Fatimah Binti Ahmad, pelajar Master Teknologi Pendidikan. Beliau telah mengajar peserta-peserta tentang fungsi setiap tool di dalam perisian dan membuat amali bersama peserta bagi menambah kefahaman mereka. Slot ini berakhir jam 1.00 petang bagi memberi laluan kepada santapan tengah hari dan solat Zohor.
Adobe Photoshop sesi kedua dimulakan pada jam 2.30 petang. Sesi ini lebih kepada aplikasi peserta terhadap ilmu yang diperolehi dalam sesi pertama sebelumnya. Para peserta telah diberi tugas oleh penceramah untuk mereka bentuk grafik sebuah poster untuk program Majlis Ilmu yang akan dianjurkan Kelab Iqra’ pada 21 Mac 2009 akan datang. Hal ini dapat menguji kefahaman peserta terhadap aplikasi perisian tersebut. Sebanyak lebih 25 poster telah berjaya dihasilkan oleh peserta-peserta program. Ini menunjukkan bahawa salah satu objektif program ini telah tercapai di mana peserta telah berjaya menguasai kemahiran dalam perisian Adobe Photoshop.
Sesi kedua ini diteruskan lagi dengan sesi kritik membina oleh penceramah terhadap poster-poster yang dihasilkan. Sedikit sebanyak para peserta didedahkan dengan tips-tips penghasilan poster yang menarik dan berkesan. Sesi ini telah tamat pada jam 5.15 petang. Kemudian diteruskan dengan penyampaian cenderahati dan penghargaan kepada dua orang penceramah untuk bengkel ini. Selain itu, pihak urusetia turut menyampaikan sijil-sijil penyertaan kepada peserta. Secara rasminya, program telah ditamatkan dengan bacaan doa penutup yang diketuai oleh pengarah program. Program selesai pada jam 5.30 petang.
Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya meningkatkan kemahiran penggunaan para peserta dalam perisian Microsoft Office Publisher dan Adobe Photoshop. Selain itu, program ini juga telah membentuk jalinan ukhuwah sesama peserta kerana mereka berkesempatan berkenal-kenalan antara satu sama lain dalam melahirkan mahasiswa UTM yang mampu menjanakan idea inovatif dan kreatif dalam usaha menyampaikan ilmu dan mesej berguna kepada masyarakat.
Best sangat sangat bengkel nie... Rugi saper yang tak pergi.
ReplyDelete