Bismillahhirrahmanirrahim,
Alhamdulillah, betapa bertuahnya kita hidup sebagai seorang Muslim dan masih diberi taufiq dan hidayah Allah SWT untuk melalui hidup kita sebagai hambaNya. Pada keluaran Sinar Iqra’ yang lalu kita telah menyentuh beberapa perkara penting tentang kesyumulan Islam dalam aspek zaman (masa), makan (tempat) dan insan (manusia). Semoga kita semua diberi kefahaman oleh Allah SWT untuk memahami risalah yang dibawa oleh RasuluLlah SAW iaitu Islam yang merupakan satu sistem cara hidup yang terbaik yang melengkapi dan merangkumi seluruh aspek dalam kehidupan.
Pembaca yang dirahmati Allah,
Kesyumulan Islam juga jelas terpancar daripada aspek manhaj (cara dan pendekatan). Al-Qur’an dan as-Sunnah merupakan sumber rujukan utama kita sebagai seorang Muslim. Al-Qur’an yang diturunkan merupakan panduan lengkap bagi orang beriman yang mencari keredhaan Allah. Tidak dapat dinafikan lagi betapa sempurna dan lengkapnya al-Qur’an sehinggakan ia terpelihara sehingga kiamat. Allah berfirman yang bermaksud:
“…pada hari ini Aku telah sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu bagimu, dan Aku redha Islam sebagai agamamu...”
Sebagai contoh yang mudah difahami, ramai di antara kita dengan jelas mengetahui bahawa solat itu tiang agama. Tahukah kita, sesebuah rumah tidak dapat dibina hanya dengan satu tiang sahaja? Bagaimana pula dengan tiang-tiang lain dan asasnya (tapak)? Adakah dengan asas dan tiang yang sedia ada boleh dikatakan sebuah rumah walaupun tidak mempunyai dinding dan bumbung? Sudah tentu tidak! Apa yang dikatakan sebuah rumah yang sempurna adalah ia mempunyai asas dan tiang yang kukuh, dinding yang mampu melindungi kita dari ancaman luar dan mempunyai bumbung yang menaungi dan memayungi kita dari hujan dan mempunyai kunci yang mampu membuka pintu tersebut.
Dari Mu’az RA katanya, RasuluLlah SAW bersabda:
“Kepala atau asas agama (yang aku bawa) ini ialah Islam (melafazkan dua kalimah syahadah yang mengesahkan ) dan (dengan itu) sesiapa yang telah Islam: selamatlah dia (dunia dan akhirat); dan (selain itu) tiang agama ialah sembahyang”
Manakala hadis dari Jabir RA pula berkata RasuluLlah SAW bersabda: “Anak kunci syurga ialah sembahyang” (HR. Ahmad).
Apa kaitan contoh di atas dengan Islam yang syumul dari aspek manhaj? Begitulah indahnya Islam kerana lengkap daripada pelbagai aspek sehingga diibaratkan Islam ini seperti sebuah rumah yang sempurna yang mempunyai satu elemen asas dan empat elemen tiang yang kukuh, empat elemen dinding dan satu elemen bumbung. Kesemua elemen ini memainkan peranan yang penting dalam memastikan Islam terus memacu penduduk bumi ke arah keredhaan Allah SWT.
Sebuah hadith dari, Abdullah bin Umar al-Khattab RA, beliau telah berkata: Aku telah mendengar dari RasuluLlah SAW (bahawa) baginda bersabda:
"Islam dibina atas lima perkara: (1) Penyaksian bahawa tiada ilah (tuhan yang disembah) melainkan Allah, dan Muhammad adalah RasuluLlah, (2) mendirikan solat, (3) mengeluarkan zakat, (4) mengerjakan haji, dan (5) berpuasa (pada bulan) Ramadhan"
Jika kita melihat Islam sebagai sebuah rumah yang mempunyai asas dan tiangnya, dapatlah diumpamakan bahawa Lailahaillallah Muhammadur RasuluLlah merupakan asas atau tapak kepada rumah tersebut. Jika asas ini cukup kukuh dan kuat maka bolehlah terbinanya tiang-tiangnya. Dalam konteks ini, rumah Islam tersebut terdiri daripada empat tiang yang utama iaitu solat, zakat, puasa dan mengerjakan haji bagi yang mampu. Di dalam hadith yang ke-2 dari hadith 40 an-Nawawi, baginda SAW juga telah menerangkan tentang Iman dan Ihsan, yang mana keduanya memainkan peranan yang penting dalam menjadi penguat kepada asas dan tiang rumah Islam tersebut.
Walaubagaimanapun, adakah lengkap sebuah rumah yang hanya mempunyai tiang-tiang dan asas sahaja? Adakah cukup dengan kita hanya beramal dengan Islam dalam lima perkara tersebut sahaja? Betapa ramai umat Islam pada zaman ini, yang telah dirosakkan pemikiran mereka oleh orientalis barat melalui cara yang halus (peperangan pemikiran), sehingga mereka menganggap bahawa agama mereka telah sempurna dengan hanya melaksanakan lima perkara tersebut sahaja. Bahkan keyakinan ini menjadikan Islam seolah-olah yang ritual di tempat ibadat. Di manakah dinding-dinding yang akan memelihara perbendaharaan rumah? Di manakah bumbung yang akan memayungi dan menaungi ummah?
Jika kita melihat sirah Nabawi, Madinah menjadi sebuah contoh yang unggul dan terbaik di dalam penegakkan dinding-dinding di rumah Islam. Ia mampu menjadi panduan buat kita, seandainya kita benar-benar mengamati cara RasuluLlah melaksanakan Islam sebagai sebuah sistem. Di dalam konteks ini, dinding-dinding kepada rumah Islam tersebut adalah sistem-sistem di dalam Islam. Sistem-sistem ini bertujuan menjaga dan memelihara ummahnya dalam segala aspek yang perlu dijaga. Apakah sistem-sistem tersebut? Ia adalah sistem siyasi (politik), sistem iqtisadiyah (ekonomi), sistem ath-thaqafiyah (pengetahuan) dan sistem kemasyarakatan. Kesemua ini menjadi dinding yang memelihara ummah, dari kerosakan dan kehancuran, dan ia adalah syari’at yang diturunkan oleh Allah di kitabNya dan melalui RasulNya. Selain dari fungsi memelihara ummah, sistem-sistem ini juga memainkan peranan yang penting di dalam membawa Islam dan ummahnya ke arah kemajuan dan kemakmuran di dunia.
Pembaca yang dikasihi Allah,
Sungguh! Kita sudah mempunyai asas dan tiang, dan kita juga telah mengetahui dinding-dinding Islam. Namun, kita masih lagi terancam kepada hujan, panas dan pencerobohan jika rumah tersebut tidak mempunyai bumbung. Di sini, bumbung memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan agar binaan rumah yang lengkap tadi terpelihara dan tetap teguh binaannya walaupun hujan lebat, ribut petir, panas yang melampau, pencerobohan dan sebagainya yang dapat memusnahkan rumah tersebut dari dalam. Apakah yang dimaksudkan dengan bumbung tersebut sehinggakan dikata amat penting dan dapat melindungi rumah tersebut? Tidak lain dan tidak bukan ia adalah sistem Jihad.
Apakah yang dimaksudkan dengan jihad? Al-Ustaz Hassan al-Banna telah menggambarkan jihad dalam bentuk yang mudah: ’Jihad adalah satu kefardhuan yang akan terus diwajibkan sehingga hari kiamat. Selain itu jihad juga ialah apa yang dimaksudkan oleh sabda Rasulullah SAW:
"Orang yang mati tetapi tidak pernah berperang atau tidak pernah berniat untuk berperang dia mati dalam keadaan jahiliyah."
Tahap pertama jihad ialah mengingkari dengan hati dan tahap yang paling tinggi ialah berperang di jalan Allah. Di antara dua tahap tadi ialah jihad dengan lidah, pena, tangan dan menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang kejam. Dakwah ini tidak akan bererti tanpa jihad. Sehebat mana dan seluas mana dakwah ini sehebat itulah juga jihad yang diperlukan dan sebesar itu jugalah pengorbanan yang diperlukan untuk menyokong dakwah ini. Namun ganjarannya juga besar untuk mereka yang berusaha. “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya” (Al-Hajj, 22:78).
Walaubagaiamanapun, kini kita sendiri telah membuang atap yang memayungi ummah dan juga dinding-dinding yang memelihara isi ummah. Telah tiada lagi mana-mana tempat yang benar-benar mengamalkan Islam secara syumul sebagai satu sistem yang hidup. Jika ada sekalipun, ia hanya dengan mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain, tidak secara syumul. Dalam keadaan seperti ini, bagaimana mungkin kita akan berada di puncak dunia? Lagi-lagi dalam keadaan yang kita selalu mencedok nilai-nilai dari barat dan musuh-musuh Islam untuk menuju ke arah kemajuan? Kita tidak akan mencapai kemajuan, apatah lagi mempertahankan ahli bangsa muslim itu sendiri...
Lihat sahaja bumi Palestin pada masa kini yang diratah dengan rakusnya oleh zionis laknatullah, siapakah akan mempertahankan tanah air Palestin dan tanah air Islam iaitu bumi Allah jika tidak kita, yang mengaku beriman yang bersaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah! Siapakah yang akan membina rumah itu semula jika tidak kita? Siapakah yang akan mengembalikan Islam sepertimana zaman kegemilangan Islam sewaktu pemerintahan Umayyah dan Abbasiyah jika tidak kita? Ayuh saudara-saudariku, bangunlah dan binalah asas yang kukuh dalam diri dengan memperbaiki diri dengan berhijrah menjadi insan generasi Al-Qur’an yang beriman dan berjihad serta mengamalkan ajaranNya. Kukuhkanlah asas di dalam dirimu, dan tegakkanlah tiang-tiang agama. Jadilah orang yang yang akan membawa Islam ke puncak dunia. Allah berfirman yang bermaksud:
“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah, dengan harta dan jiwa mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah. Mereka itulah orang -orang yang memperoleh kemenangan"
Renung-renungkanlah wahai saudara dan saudariku...
0 comments:
Post a Comment