Pada minggu ini, Sinar Iqra' akan meneruskan perbincangan apa yang diperkatakan dalam hadith Rasulullah SAW yang terkenal berkaitan Islam, Iman dan Ihsan. Jika minggu lepas Sinar Iqra' telah menyentuh soal Islam dan apa yang dikatakan Islam? Apakah ruang lingkup dan skop di dalam Islam? Bagaimana Islam itu merupakan satu syari'at yang memberikan garis panduan yang bersifat menyeluruh dalam setiap aspek kehidupan kita? InsyaAllah pada keluaran ini, kita akan sama-sama berkongsi ilmu berkaitan iman dan ihsan.
Pengertian iman menurut Sheikh Ibnu 'Utsaimin dari segi bahasa ialah pengakuan yang melahirkan sikap menerima dan tunduk manakala dari segi istilahnya, ulama' bersepakat menyetujui yang iman secara istilahnya ialah berikrar dengan hati, diucapkan dengan lisan, dan dilakukan dengan perbuatan.
Persoalannya sekarang, kenapa definisi iman dimulakan dengan berikrar dengan hati? Kenapa tidak ucapan melalui lidah sebagai satu pengakuan itu terletak pada kedudukan yang pertama? Kenapa amal perbuatan yang bertunjangkan Islam itu tidak diutamakan berbanding keyakinan dan ikrar dalam hati? Melalui persoalan-persoalan ini, di sini ingin memberi gambaran ringkas terhadap apa yang ingin disampaikan berkaitan iman, InsyaAllah. Pertama, seorang pemuda, A, tidak memiliki lesen tetapi telah biasa memandu kereta. Walaubagaimanapun, A sering memandu dalam keadaan tidak mematuhi undang-undang jalan raya, dan mendatangkan bahaya kepada dirinya serta orang ramai. Kedua, seorang mahasiswi, S memakai tudung setiap hari ke kuliah atau ke mana-mana. Namun, kadang kala S memakai baju lengan pendek atau pakaian ketat yang menampakkan susuk tubuhnya. Seterusnya, seorang Ustaz, C yang mengajar di sebuah universiti tempatan sangat mengambil berat terhadap masalah sosial yang melibatkan pelajar universiti tersebut. Dalam masa yang sama, Ustaz C merupakan individu yang paling aktif dalam membanteras masalah sosial yang timbul dengan sering memberi ceramah-ceramah serta majlis ilmu, menegur pelajar dan sebagainya.
Apa yang ingin disampaikan ialah sejauh mana kita menghayati apa yang kita lakukan itu. Dimanakah status kita? Adakah kita tahu apa yang kita lakukan tetapi jelaskah kita kenapa lakukan perkara tersebut? Adakah kita tidak tahu apa yang kita buat apatah lagi memahami matlamat dan tujuan kita melakukan perkara tersebut? Atau adakah kita tahu apa yang kita lakukan dan jelas kenapa kita lakukan perkara tersebut? Berbalik kepada gambaran yang ditimbulkan tadi, dalam analogi yang pertama, A merupakan pemuda yang tidak mempunyai lesen memandu dan sering melanggar peraturan jalan raya. A dikategorikan sebagai tidak tahu dan tidak faham. Seterusnya, S memakai tudung, tetapi auratnya tidak terjaga sepenuhnya. Dilabelkan S sebagai tahu tetapi tidak faham. Yang terakhir, Ustaz C giat memberi penyampaian dalam majlis ilmu, mengambil berat terhadap masalah yang timbul dan sebagainya. Ustaz C dalam hal ini dilabelkan sebagai tahu dan faham. Sebenarnya, apakah perbezaan antara tahu dan faham? Apakah kaitannya dengan tajuk SI minggu ini yang berkisar tentang iman? Mari kita perhatikan firman Allah yang bermaksud:
"Dan sungguh, akan Kami isi neraka Jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidakdipergunakannya untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah."
Berdasarkan firman Allah ini, Allah meletakkan hati sebagai sesuatu yang utama. Perkaitannya, hati merupakan satu alat untuk memahami manakala otak pula adalah alat untuk mengetahui. S tahu bahawa memakai tudung itu adalah untuk menutup aurat, tetapi S tidak faham kenapa aurat itu meliputi sesuatu yang lebih daripada hanya memakai tudung dan kenapa perlunya untuk menjaga aurat itu. Hasilnya, S tidak menjaga auratnya dengan sempurna. A pula tidak tahu peraturan-peraturan jalan raya yang ditetapkan malah A juga tidak faham kenapa adanya peraturan jalan raya. Pada akhirnya, A memandu secara berbahaya sehingga membahayakan diri sendiri dan orang lain. C pula tahu betapa pentingnya penghayatan agama dalam kehidupan seorang muslim dan C juga faham kenapa perlunya dia untuk mencegah masalah sosial dari kalangan pelajar universitinya. Kesimpulannya, sebagai seorang muslim yang cemerlang dalam bidang jasmani dan rohani, perlunya kita untuk mengetahui, memahami, dan menghayati sesuatu yang kita lakukan khususnya dalam soal beribadah kepada Allah SWT. Di sinilah iman itu memainkan peranan. Sejauh mana kita memahami solat yang kita kerjakan, kuliah yang kita hadiri, makanan yang kita makan setiap hari, pakaian yang kita sarung setiap hari dan sebagainya. Sekarang, mari kita bermuhasabah diri. Adakah apa yang kita lakukan didasari iman, yakni penghayatan kepada ibadah tersebut? Atau sekadar melakukannya kerana orang lain melakukannya? Sekiranya tidak, apa yang harus kita lakukan?
Muslimin dan Muslimat pembaca yang dirahmati Allah sekalian,
Ibadah yang kita lakukan bukanlah sekadar teori dalam buku-buku agama semata-mata, Tetapi apa yang diterangkan dalam buku-buku itu perlu kepada praktikal yang dihiasi penghayatan. Perlu berpaksikan iman. Pada akhirnya, apa yang kita lakukan itu dikira sebagai ibadah serta amalan yang terbaik kerana kita lakukan kerana Allah, sesuai dengan syari'at dan tiada keraguan. Segala perbuatan yang kita lakukan itu lahir sendiri dari hati yang dipenuhi dengan cahaya keimanan. Suka untuk dibawakan satu analogi yang mudah berkaitan keyakinan yang lahir dari dalam hati. Keyakinan yang lahir dalam hati ini adalah sebagaimana kita yakin dalam satu litar elektrik berarus tinggi, mengalirnya arus yang mampu memberi kejutan elektrik kepada kita. Maksudnya, apabila diminta memegang wayar yang mengalirnya arus itu, kita tidak mahu memegangnya kerana kita yakin, arus elektrik yang mengalir melalui wayar itu boleh membahayakan diri. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang mukmin yang sebenarnya adalah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwanya di jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar."
Mengambil contoh peristiwa yang berlaku ketika Isra' Mikraj. Peristiwa perjalanan Rasulullah daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dalam satu malam menimbulkan reaksi lucu dan sesuatu yang tidak masuk akal oleh orang kafir Quraisy pada masa itu. Mereka mendakwa manakah boleh perjalanan yang jaraknya panjang dari Mekah ke Baitul Maqdis di tempuhi hanya satu malam sahaja. Di saat masyarakat masa itu tidak percaya dengan kata-kata yang di ucapkan oleh Rasulullah, hadir Abu Bakar membenarkannya. Abu Bakar tanpa ragu-ragu membenarkan dan terus mempercayai kata-kata Rasulullah. Keyakinan yang benar-benar memuncak dalam sanubari Abu Bakar ini datangnya daripada keimanan yang mantap sehingga dikatakan iman manusia didunia ini jika dikumpul tambahkan, jauh sama sekali tidak akan menyamai keimanan yang dimiliki Abu Bakar. Kerana sikap dan keimanannya, Rasulullah mengelarkan beliau sebagai As-Siddiq(Yang Membenarkan Risalah).
Sahabat sekalian,
Amalan yang berteraskan keyakinan yang utuh merupakan amalan terbaik seseorang muslim itu. Disebabkan itulah Rasulullah menjawab persoalan Jibril "bahawa (Ihsan adalah) kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat Allah, maka sekiranya kamu tidak melihat Allah maka sesungguhnya Dia Maha melihat engkau." Dalam konteks kita sebagai mahasiswa yang berilmu, Allah telah mengurniakan akal sebagai tanda kemuliaan manusia berbanding hidupan lain, sebagai tanda kita antara orang yang terpilih dapat menjejakkan kaki ke bumi UTM ini. Tetapi, adakah kita melaksanakan tanggungjawab kita sebagai hambaNya dengan penuh sifat ihsan yakni penuh keyakinan dan kefahaman? Atau hanya sekadar melepaskan tanggungjawab kewajipan yang ditetapkan tanpa memahami kenapa ditetapkan sedemikian? Sesungguhnya, Allah melihat setiap apa yang kita kerjakan. Firman Allah yang bermaksud:
"Dan katakanlah, "bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga RasulNya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang kamu kerjakan."
Gunakan kelebihan yang Allah beri ini. Logiknya, apabila kita hendak meminta kerja, sudah tentu kita akan melakukan yang terbaik bermula dari merekod resume sehinggalah kepada sesi temuduga. Kita mengetahui bahawa pekerjaan yang ditawarkan majikan adalah untuk orang yang memenuhi kriteria yang ditetapkan syarikat tersebut. Sekiranya kita tidak melakukan yang terbaik, sudah tentu peluang pekerjaan itu tidak diberi kepada kita. Begitu juga dalam konteks beribadah kepada Allah. Kita tahu bahawa untuk mendapatkan syurga Allah, perlunya kepada bekalan amalan yang mencukupi. Amal tersebut didasari dengan penuh keimanan atau dalam erti kata lain, ada ruh dalam amal. Jadi, tidak logik sekiranya kita hendakkan syurga Allah, tetapi bila sampai kepada beribadah kepada Allah, kita hanya melakukan sekadar melepaskan batuk di tangga, lebih-lebih lagi kita sebagai mahasiswa yang sentiasa hidup dalam suasana yang berilmu. Allah berfirman yang bermaksud:
"…Bawalah bekal, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa. Dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang mempunyai akal yang sihat!"
Akhir sekali, marilah bermuhasabah. Tanya pada diri kita, adakah betul iman kita seperti yang dikatakan tahu dan faham? Sekiranya tidak, segeralah kita memperbaiki iman kita. Jika pada saat ini, terlintas di hati kita untuk melakukan sesuatu amal kebaikan, dinasihatkan supaya segera melakukan amal kebaikan itu kerana jika ditangguh, amal kebaikan itu tidak akan terlaksana kerana syaitan dan iblis sentiasa membisik secara halus dari depan, belakang, kiri dan kanan kita. Ingat dan yakinlah bahawa kasih sayang Allah sentiasa bersama orang-orang yang ingin mendekatiNya.
Abu Hurairah r. a memberitahu bahawa Rasulullah s. a. w pernah bersabda:
“Allah SWT berfirman: Sesungguhnya, Aku adalah sebagaimana yang disangkakan oleh hambaKu, adalah Aku bersamanya apabila dia mengingati Aku, jika dia mengingat Aku di dalam hatinya, maka Aku mengingati dia dalam hatiKu, dan jika dia mengingati Aku dalam jemaah maka Aku ingati dia dalam jemaah yang lebih baik ( iaitu dalam jemaah para malaikat yang maksum dan suci dari segala dosa).Apabila hambaKu mendekatiKu sejengkal, maka Aku dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta Aku dekati dia sedepa. Dan apabila dia datang mendekati Aku dengan berjalan, maka Aku dekati dia dengan berlari."Wallahu'alam.
0 comments:
Post a Comment