Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya kita masih mampu berdiri untuk merasai dan menghayati nikmat Iman dan Islam yang dikurniakan Allah SWT. Selawat serta salam atas jujungan besar Nabi Muhammad SAW, serta ahli keluarga baginda.
Keluaran Sinar Iqra’ sebelum ini telah menjelaskan kepada kita bahawa kesyumulan Islam merangkumi dan meliputi seluruh aspek kehidupan dari segi zaman (masa), makan (tempat), insan (manusia) dan manhaj (cara dan pendekatan). Hal ini tidak dapat dinafikan lagi kerana Islam itu untuk semua umat manusia dan bersifat sejagat seperti firman Allah yang bermaksud:
“Dan tiadalah kami mengutuskan engkau wahai Muhammad SAW melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam.”
Agama Islam itu cukup sempurna dan menyeluruh sifatnya. Ini adalah kerana Islam adalah agama Allah yang Maha Sempurna dan juga merupakan satu cara hidup manusia yang berpaksikan kebenaran. Kesempurnaan Islam merangkumi persoalan akidah, ibadat dan syariat yang mana dapat dirungkaikan jika kita dapat memahami maksud hadis kedua dalam kitab hadis 40 an-Nawawi. Dalam hadis ini menceritakan Jibril yang pada ketika itu menyerupai seorang pemuda telah datang menemui Rasulullah untuk bertanya tentang Islam, Iman dan Ihsan. Jibril bertanya, “ Apakah iman itu?” Rasulullah menjawab, “Iman adalah engkau beriman kepada Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, dan engkau beriman dengan hari kebangkitan.” Dia bertanya lagi, “ Apakah Islam itu?” Beliau menjawab, “ Islam adalah engkau menyembah Allah dan tidak berbuat syirik kepadaNya, engkau mendirikan solat, membayar zakat yang diwajibkan, puasa ramadhan dan berhaji ke Baitullah.”. Dia bertanya lagi, “Apakah ihsan itu?” Beliau menjawab, “ Engkau menyembah Allah seakan-akan engkau melihatNya. Jika engkau tidak dapat melihatNya maka sesungguhnya Ia melihatmu.”. Daripada hadis ini Islam yang sebenarnya merangkumi apakah itu Islam, Iman dan Ihsan.
Pembaca yang dirahmati Allah sekalian,
Ramai di antara kita yang mampu menghafal hadis ini dengan baik terutamanya bekenaan dengan rukun Islam dan rukun Iman yang terkandung di dalam hadis ini. Tetapi tidak ramai di antara kita yang mampu menghayati erti sebenar akan apa yang terkandung di dalamnya. Dalam hal ini, kita seharusnya melihat Islam adalah sebagai Deen yang lengkap dan sempurna yang membicarakan segala perkara dalam kehidupan manusia dan tidak ada sedikit pun kekurangan dan kecacatan dalam ajarannya. Sekaligus menyentuh persoalan akidah, ibadah dan syariat. Dalam hadith di atas, ia menceritakan apakah Deen yang sebenarnya. Deen yang terkuat kukuh adalah yang didokongi dengan tiga perkara iaitu Islam, Iman dan Ihsan. Tetapi apabila Islam itu dikatakan menjadi cara hidup, adakah kehidupan kita ini mengikut apa yang telah digariskan? Cuba kita renung sejenak, adakah kita solat, berpuasa, cara kita menguruskan diri dan sebagainya mengikut Islam yang sebenar? Adakah hubungan kemasyarakatan kita hari ini berpaksikan Islam? Atau adakah ia sekadar mengetahui hukum-hakam?
Pernahkah kita terfikir, adakah pengucapan Syahadah hanya lahir di lisan? Adakah solat yang kita lakukan hanya suatu perbuatan? Adakah puasa kita sekadar berlapar makan dan dahaga? Sesekali tidak! Syahadah tidak hanya lahir dari mulut malah mesti dari hati serta mempercayainya. Solat bukan hanya perbuatan, malah satu ibadah yang menunjukkan bahawa kita insan yang kerdil dan puasa tidak hanya menjaga diri dengan tidak makan dan minum sahaja tetapi puasa menjaga kita daripada segala nafsu dunia. Jangan kita lupa sebagai seorang muslim, segala apa yang lakukan pada setiap detik, seharusnya diniatkan sebagai ibadah.
Oleh yang demikian adakah kita yang dikatakan sebagai Muslim hanya faham hukum fiqh dan tidak meliputi hukum deen? Sebagai contoh, lihat sahaja di sekeliling kita, ramai yang tahu bahawa solat tidak boleh di lewat-lewatkan, namun seramai mana yang menjaga waktu solatnya? Apabila azan berkumandang, ramai yang masih di hadapan buku serta dengan urusan dunia mereka dan beralasan waktu solat masih panjang. Dunia dianggap penting dan ibadah solat itu hanya sekadar melaksanakan tuntutan sebagai seorang Islam. Seharusnya, ibadah solat atau dengan kata lainnya mendekatkan diri kepada Allah merupakan tunggak utama kita dan merangkumi segala-galanya dalam melakukan rutin seharian.
Ini semua perlu kita kaji balik untuk mendapat jawapan yang baik kerana jika berlaku kepincangan dalam pengurusan kita ini bermakna cara yang kita gunakan adalah salah dan lari daripada kehendak Islam.
Cuba kita renung sabda Rasulullah yang bermaksud,
"Sesiapa yang Allah mengkehendaki kebaikan kepadanya, Dia akan menjadikannya faham dalam agama."
Pelikkah kita bagaimana iman generasi para sahabat itu begitu melonjak gemilang di tengah-tengah karat jahiliyyah yang berabad lamanya menguasai hati dan peribadi? Inilah yang jelas dikatakan oleh Nabi SAW bahawa kefahaman itulah yang mewujudkan sahabat-sahabat serta umat-umatnya yang hebat ini. Dua kalimah syahadah telah meresap ke dalam hati-hati mereka lantas mereka memahami bahawa segala tuntutan Allah dan Rasul-Nya haruslah dipenuhi. Apa yang dilarang melakukannya, perkara itu terus dibuang dari peribadi mereka dan apa yang dituntut melakukannya terus dilaksanakan tanpa banyak soal. Segala-galanya hanya kerana menepati janji kepada Allah dan Rasul-Nya selari dengan keyakinan mantap di dalam hati. Pelaksanaan ke arah menepati makna kalimah syahadah inilah yang membawa kepada cabang bidang syari’ah di dalam Islam
Rasulullah banyak menamakan beberapa perkara dengan sebutan Islam, umpamanya: salama-tunnas minal lisan wal yad (tidak menyakiti orang lain dengan lisan dan tangan, memberi makan serta mengucapkan kata-kata yang baik). Semua perkara ini, yang disebut Rasulullah menunjukkan Islam mengandungi nilai penyerahan diri, ketundukkan dan kepatuhan yang hanya semata-mata kerana Allah SWT. Kita sebagai muslim seharusnya benar-benar yakin dan percaya serta beramal mengikut ertikata yang sebenar. Seharusnya kita mengetahui dengan baik agama kita. Ini kerana dengan Islamlah seseorang boleh meraih kebahagiaan yang hakiki dan sejati. Segala suruhan, larangan dan ibadat yang dilakukan mestilah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT seperti firmanNya yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang jika disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal, iaitu orang-orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian rezeki yang kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya.”
Secara lumrahnya, sekiranya kita menghormati seseorang, sudah tentunya kita akan melakukan sesuatu perkerjaan dengan bersungguh-sungguh supaya pekerjaan itu dianggap sempurna dan terbaik. Begitulah diri kita juga bila berhadapan dengan Allah yang Maha Besar, mestilah melakukan dalam keadaan yang lebih sempurna. Inilah yang dikatakan Ihsan, kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Kerana Allah hendak menguji kamu siapakah di antara kamu itu lebih baik amalannya.”
Pembaca yang dirahmati Allah sekalian,
Sebagai muslim, kita tidak boleh memisahkan antara Islam, Iman dan Ihsan. Ketiga-tiga ini saling berkait antara satu sama lain. Kita sebagai muslim wajib mentaati segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala perintahnya tanpa membantah atau mengeluh. Kalau kita perhatikan, setiap suruhan Allah SWT mendatangkan kebaikan pada diri kita. Tiada satu pun suruhan Allah yang boleh membawa kecelakaan pada diri kita. Kecelakaan akan berlaku bila mana kita melakukan apa yang telah dilarang Allah. Ya Allah, sesunguhnya Engkau Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tetapi ingat, segala perintah dan suruhan Allah SWT itu, mestilah dilakukan dengan kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya di dalam hati, tanpa syak dan ragu. Seperti yang telah dinyatakan tadi dalam surah Al-Anfal, 2:4, dapat difahami, muslim dikatakan beriman jika mereka tidak mengharapkan kepada selainNya, tidak menyerahkan hati mereka kecuali kepadaNya, dan tidak pula meminta hajat kecuali kepadaNya. Sekiranya hati kita benar-benar yakin adanya Allah yang Maha Esa, sudah tentunya kita akan melaksanakan segala suruhanNya dengan cermat, sempurna dan ikhlas agar segala pekerjaan itu tidak sia-sia dan mendapat keredhaan Allah SWT.
Allah berfirman yang bermaksud:
“...maka putuskanlah perkara menurut apa yang diturunkan Allah dan janganlah engkau mengikuti keinginan mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk setiap umat kamu, kami berikan aturan dan jalan yang terang. Kalau Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikanNya satu umat (sahaja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap kurniaan yang telah diberikanNya kepadamu, maka berlumba-lumbalah kamu berbuat kebajikan...”
Segala perintah Allah hanya dapat kita lakukan dengan mengetahui apa sebenarnya yang dikatakan dengan Islam, meyakini dan percaya (Iman) dengan teguh dan beramal seolah-olah Allah SWT melihat kita (Ihsan). Apa yang dikatakan dengan Iman dan Ihsan? InsyaAllah akan dihuraikan pada keluaran Sinar Iqra’ minggu hadapan. Selamat beramal..
0 comments:
Post a Comment