Kenyataan Kelab Iqra' Mengenai Isu Kalimah Allah

Bismillahirrahmanirrahim.

Pertama sekali kami ingin mengucapkan Alhamdulillah,kami sangat bersyukur kepada Allah kerana memberikan kami kesempatan untuk berkongsikan barangkali pencerahan kami dalam isu yang tidak asing lagi bagi umat Islam baru-baru ini. Kami tidak berniat hendak menjelaskan dengan terperinci latar belakang isu ini memandangkan isu ini sudah menjadi isu yang sangat komprehensif di mata umat Islam. Kami juga berasa sangat senang dan kagum dengan usaha-usaha mengadakan banyak ceramah-ceramah, kuliah-kuliah, dan penerangan oleh orang-orang yang lebih arif dan fakih dalam hal ini. Sama-samalah memohon agar Allah memberikan Hidayahnya dalam memahami isu ini, Insya’Allah.

Rasulullah bersabda, mafhumnya;
"Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, dia akan diberikan kefahaman yang sebenar dalam Deen-Nya"
(Bukhari dan Muslim)

Barangkali setiap pihak atau individu ada mempunyai pendirian atau pendapat tersendiri dalam hal ini, dan kami yakin Insya’Allah semuanya dengan niat menjaga Deen yang sangat dicintai ini dan untuk mendapatkan Redha Allah semata-mata.

(1) Hukum asal pengunaan kalimah Allah oleh orang Yahudi dan Nasrani adalah harus

Baiklah, mari kita melihat dari kaca mata sirah Rasulullah. Kita akan dapati penggunaan nama Allah telah digunakan oleh kaum Yahudi dan Nasrani sejak dahulu lagi. Hal ini jelas dinyatakan dalam surah at-Taubah (9:31), surah az-Zumar (39:4), surah Luqman (31:26) dan banyak lagi ayat lain yang sama strukturnya seperti ayat-ayat ini. Jika kita melihat negara seIslam kita di dunia arab, fenomena ini sudahpun terjadi . ‘Uruf di dunia arab menunjukkan penggunaan kalimah Allah di sana tidak mendatangkan sebarang mudarat dan konflik antara orang Islam dan penganut kedua-dua agama tersebut. Kami yakin, pencerahan ini sudah banyak dikupaskan dengan baik dalam ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah agama.

(2) Perlunya memahami waqi’(keadaan) di Malaysia dalam memahami isu ini

Walaubagaimanapun, ‘uruf penganut agama Islam di Malaysia menggunakan kalimah Allah adalah untuk bermaksud Allah Yang Maha Esa, bukan tuhan-tuhan lain. Jadi, di sini permasalahan yang timbul adalah ia akan membawa kepada konflik aqidah yang boleh menjurus kepada pertelingkahan di antara kedua-dua pihak.

Kaedah fiqh menyatakan; sesuatu yang membawa kepada kemudaratan hendaklah dihapuskan.

Kaedah fiqh yang lain juga menyatakan; setiap perkara itu dinilai mengikut maksud yang tersirat di sebaliknya.

Hal ini bermaksud, tuntutan hak penggunaan nama Allah oleh orang-orang Nasrani khususnya majalah Herald boleh menggugat aqidah umat Islam memandangkan ramai umat Islam di Malaysia tidak mempunyai pasak aqidah yang mantap. Penguasaan dalam memahami Islam yang sebenar masih lagi lemah terutamanya dikalangan remaja.

Berapa banyak kes murtad yang sudah kita dengar sebelum isu ini ditimbulkan? Fikirkan.

Syeikh Muhd Tahir Ibn Asyur dalam kitab Maqasid as-Syari’ah al Islamiah mendefinisikan maqasid syara’ (memelihara agama) adalah sebagai memelihara agama setiap manusia, lelaki, wanita, tua muda, miskin kaya, daripada ancaman-ancaman yang boleh menyebabkan mereka meninggalkan ajaran Islam yang sebenar (aqidah, tauhid, ibadah) mencapai/memenuhi tuntutan maqasid syara’ dalam situasi ini adalah lebih penting daripada berkongsi penggunaan istilah nama Allah dengan tujuan mengajak/memperkenalkan.

(3) Pendirian kami

Justeru itu, Kelab Iqra' memandang serius perkara ini dan sangat meyakini jika kita berjaya menguatkan umat Islam dengan mengukuhkan aqidah dan mempasakkan budaya dakwah kepada tauhid di kalangan semua lapisan dengan kefahaman Islam yang sebenar, ancaman-ancaman ini pasti tidak akan memberi impak walaupun sedikit kepada umat Islam di Malaysia khususnya.

Jikalau kita menerima pendapat membenarkan sesiapa sahaja menggunakan nama Allah sekarang dengan pemahaman yang bermacam-macam, tapi kita semua sebagai umat Islam lemah untuk melawan situasi yang akan berlaku, beban dakwah akan berganda, yang dikendong berciciran, akhirnya kita pun tak tahu siapa yang akan bertanggungjawab.

Iman walau sekelumit adalah perkara yang mesti ada pada setiap muslim untuk hidup. Kita bertanggungjawab pertahankan bersama-sama, dan tingkatkan, dan bertanggungjawab jauhkan dari punca-punca ancaman dan bahaya yang boleh menyebabkan seseorang kufur.

Akhir kata, kami (Kelab Iqra’) tidak menerima penggunaan kalimah Allah di dalam majalah Herald kerana hujah-hujah yang telah kami kongsikan sebentar tadi.

Yang baik itu datang dari Allah, kekurangan itu datang dari kami menunjukkan kelemahan kami sebagai manusia biasa. Kami memohon keampunan daripada Allah.

Wallahu’alam.

Ahmad Bin Mustafa Din
Presiden
Kelab Iqra' UTM (KI UTM)

Advertisement

Comments
1 Comments

1 comments

  1. Satu pencerahan yg bagus, akh! Ringkas, padat, jelas dan kukuh dgn hujjah. Thumbs up!

    ReplyDelete