Benarkah Kita Muslim?






Oleh: Zati Amni @ Farhana Binti Ismahadi (2SSC)

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim, Assalamu’alaykum wbt,
Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam serta sekalian ahli dan ummatnya. Amma ba’du....!

Alhamdulillah, bersyukur kita pada Ilahi di atas limpah dan kurniaNya kepada kita yang masih lagi dapat menghirup udara bagi memenuhi tuntutan sebagai seorang Muslim. Dalam melaksanakan amalan seharian, kita mestilah sentiasa berpandukan kepada apa yang telah digariskan oleh Allah SWT selaku Pemberi rahmat dan kasih sayang kepada hamba-hambaNya terutama yang bergelar Muslim.

Namun, adakah kita benar-benar mengamalkan apa yang telah digariskan itu? Adakah kita sedar sama ada segala amalan yang dilakukan dalam seharian hidup kita sentiasa berpaksikan pada ikrar yang selalu diucapkan dalam solat lima waktu atau sebaliknya? Di sini kita akan dibawa untuk menembusi persoalan-persoalan tadi.

Terlebih dahulu, mari kita singkap sirah para sahabat terdahulu. Sebagai contoh, Bilal bin Rabbah selaku ‘hamba’ kepada Umaiyah bin Khalaf telah disiksa atas sebab menegakkan kalimah tauhid. Laungan “Ahad! Ahad!” telah memberi satu kekuatan kepada Bilal untuk meneruskan pengabdian dirinya kepada Pencipta Yang Maha Esa yang diyakininya. Bahkan semua para sahabat terawal yang meyakini ajaran Islam turut mendapat kekuatan itu walaupun ditindas dan disiksa. Malah semangat mereka untuk memperjuangkan kalimah tauhid itu sentiasa bangkit dan tidak sedikit pun berkurang. Hal ini menggambarkan keimanan mereka yang sangat tinggi hasil daripada melaksanakan setiap apa yang termaktub di dalam Al-Quran. Penghayatan dan kefahaman mereka terhadap Al-Quran seterusnya membawa akhlak terpuji yang disandang oleh para sahabat ini. Sesungguhnya Al-Quran itu adalah akhlak RasuluLlah SAW. Maka setiap apa yang terkandung di dalamnya harus diikuti untuk mencapai akhlak terpuji yang merupakan intipati seseorang Muslim.

Setiap peristiwa yang dinamakan sejarah bukanlah suatu perkara yang harus dilupakan. Ini adalah kerana sejarah itu tercipta untuk generasi mendatang menjadikannya sebagai iktibar dalam kehidupan seharian.

Sejarah ini membawa kita satu persoalan tentang status kita sebagai seorang Muslim. Jika dahulu mereka Muslim kerana menegakkan kalimah tauhid yang dihayati dan difahami dengan mempraktikkan Al-Quran, adakah kita yang hidup di zaman ini juga sebegitu? Adakah kita benar-benar menerima Islam yang seterusnya membawa kepada amal kita?

Satu lagi persoalan yang timbul, adakah kita yakin dengan mengucapkan “Saya seorang Muslim atau saya menerima Islam” secara tidak langsung kita telah menjadi Muslim? Sesungguhnya jika kita melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan laranganNya, dengan beramal berlandaskan apa yang telah digariskan dalam Al-Quran, maka bolehlah kita yakin bahawa kita adalah Muslim! Akan tetapi, sekiranya amalan kita masih lagi terapung-apung dari landasan Islam dan masih lagi bergelumang dengan perkara-perkara syubhah, maka hidup malulah seseorang yang mengatakan dia sebagai Muslim dengan sedemikian hal.

Sekiranya kalimah syahadatain dilafazkan oleh seseorang Muslim itu tanpa memahami konsep atau tasawwurnya, maka adalah menjadi satu kecacatan yang besar kepadanya. Ini adalah kerana kalimah syahadatain itu merupakan pengakuan tentang kesempurnaan dan ketinggian sifat-sifat Allah SWT yang membawa pada pengakuan seluruh undang-undang dan peraturan ciptaanNya. Selain itu, kalimah ini juga membawa pada pengakuan kita untuk sentiasa menjulang dan mengikut ajaran Nabi Muhammad SAW yang kita akui sebagai pesuruh Allah SWT.

Sekiranya seseorang muslim itu tiada kefahaman dan penghayatan terhadap ajaran Islam, maka sukar untuknya mengamalkan Islam dalam kehidupan sehariannya. Seseorang Muslim itu sama seperti orang bukan Muslim apabila amalan yang dilakukan tiada unsur Islam di dalamnya. Apabila amalan seseorang Muslim itu sama seperti yang bukan Muslim, maka semakin sukar kebahagiaan dan kejayaan dapat dikecapi. Islam itu adalah rahmat dan nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepada hamba-hambaNya. Bagaimana seseorang Muslim itu akan memperoleh rahmat dan nikmat itu jika mereka menyamakan amalan mereka dengan amalan orang yang bukan Islam?

Kita mestilah sedar bahawa menjadi seorang Muslim itu bukanlah dari faktor warisan mahupun keturunan. Akan tetapi, Islam itu menjadi harta yang akan kita perolehi dengan usaha. Usaha yang dimaksudkan adalah dengan pengetahuan yang sebenar tentang Islam dan tindakan mempraktikkan pengetahuan tersebut. Tidak semestinya dengan menjadi seorang ulama’ yang terkenal, mahupun mengambil jurusan agama dalam pengajian, tetapi dengan menyediakan waktu terluang untuk mempelajari pengetahuan tentang AD-DIN. Pengetahuan yang seterusnya membawa pemahaman akan ajaran Islam itu mampu menyelamatkan seseorang Muslim dari pengaruh luar yang sering menjadi krisis dalam menggoyah iman seseorang.

Seperti yang pernah ditegaskan tadi, perlakuan kita hendaklah sentiasa merujuk pada garis panduan yang telah ditetapkan dalam Islam. Bukan hanya melaksanakan tuntutan Islam pada waktu tertentu, sebaliknya dengan menonjolkan peribadi seorang Muslim sepanjang masa. Namun begitu, kita yang merasakan diri sebagai Muslim kadang-kadang tidak sedar bahawa perilaku kita terpesong dari ciri-ciri individu Muslim. Sebagai contoh, kita menjaga solat lima waktu tanpa meninggalkan satu waktu pun dalam sehari. Tetapi adakah di luar solat kita menjaga perbatasan ketika bergaul antara lelaki dan perempuan? Kemungkinan kita tidak bersentuhan, tetapi dapatkah kita kawal dengan hembusan halus dari bisikan syaitan yang sentiasa menarik kita ke jerumus nafsu tanpa zahir?

Dalam melaksanakan aktiviti harian, terkadang kita terlupa bahawa Islam itu harus syumul dalam setiap tingkah laku kita. Kita memikirkan bahawa kita telah melaksanakan solat lima waktu, bersedekah, dan menunaikan ibadah-ibadah wajib lain yang seterusnya menjadikan kita sebagai seorang Muslim. Akan tetapi, sekiranya terjadi suatu keadaan di mana kita membaca Al-Quran dan selepas itu meneruskan aktiviti yang melalaikan seperti melepak tanpa tujuan atau menonton wayang bersama bukan muhrim, maka perkataan Muslim untuk seseorang itu amatlah janggal dan pelik. Hal ini adalah berpunca dari kelemahan iman yang melanda seseorang Muslim itu apabila setiap amalan yang dilakukan tidak secara bersungguh-sungguh dan bukan kerana Penciptanya. Tetapi dia menjadikan perkara-perkara wajib itu sebagai adat untuk diteruskan. Ini sememangnya merupakan unsur jahiliyah yang harus ditepis kerana menyimpang dari akhlak yang terkandung di dalam Al-Quran.

Dunia yang kita ketahui semakin parah dengan kembalinya longgokan jahiliyah. Oleh yang demikian, marilah kita rujuk kembali penerimaan kita terhadap Islam dengan mempraktikkan ajarannya dalam kehidupan seharian. Dengan perlaksanaan itu, maka dapatlah diukur sejauh mana status kita sebagai seorang Muslim. Dengan adanya individu Muslim yang seterusnya menghasilkan longgokan golongan Muslim, kita mampu mengubati keparahan dunia ini. Ini adalah kerana kekuatan dapat dikumpul seperti mana yang telah dialami para sahabat yang terdahulu yang menghayati dan memahami ajaran Islam dan seterusnya membawa identiti Islam dalam setiap amalan mereka.

Asas yang kukuh berdasarkan kalimah tauhid yang mereka genggam telah membawa satu tamadun yang sangat agung suatu ketika dahulu. Semoga dengan mencontohi para sahabat Rasulullah SAW yang juga digelar generasi Al-Quran dengan mempraktikkan akhlak yang terkandung di dalamnya dapat memberi semangat kepada kita untuk menjadi seorang Muslim dalam erti kata yang sebenar supaya kehidupan masyarakat sedunia lebih aman dan makmur tanpa saki baki jahiliyah dengan kembalinya keagungan tamadun Islam. InsyaAllah...

Akhir kalam, marilah kita hayati Kalam Allah yang bermaksud:
“Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik- baik Penolong.”
(Al-Hajj, 22: 78)

Wallahu A’lam.

Advertisement

Comments
4 Comments

4 comments

  1. Kenapa susah2 berikan email sebagai:
    iqra[dot]utm[at]gmail[dot]com ?

    Senang kalau taip terus:
    iqra.utm@gmail.com

    Think wise.

    ReplyDelete
  2. Sudahkah ada PENDIRIAN Kelab Iqra' mengenai isu tuntutan penggunaan kalimah oleh penganut Kristian yg kini menjadi kerisauan masyarakat kita???

    ReplyDelete
  3. Sudah adakah STANDPOINT Kelab Iqra' mengenai tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian yg diperkatakan masyarakat kita kini?

    ReplyDelete
  4. Saya tolong jawabkan untuk Anon yang pertama:

    Kalau letak alamat email terus, nanti akan banyak spam mesej yang akan masuk ke email Kelab Iqra'. Automated spam yang mencari-cari alamat email. Tapi kalau letak seperti mana yang diletakkan, nanti benda2 tu detect alamat tersebut sebagai text biasa, bukan sebagai alamat email.

    Kalau nak tahu lebih lanjut sila tanya orang-orang yang pakar komputer. Benda ni memang benda basic kalau orang nak letak alamat email kat public. Seperti jgua di Facebook, alamat email seseorang pengguna (yang di info), adalah dalam bentuk picture. Manusia boleh baca alamat email tersebut, tapi robots tak boleh detect benda yang ada dalam gambar tersebut dan akan menganggap benda tu sebagai picture sahaja.

    ReplyDelete