Ramai yang mengakui bahawa Ramadhan merupakan satu bulan yang sangat istimewa bagi mereka. Namun lebih ramai lagi yang hanya beranggapan bahawa Ramadhan hanyalah seperti bulan-bulan yang biasa. Yang berbeza hanyalah; perlu bersahur di awal pagi, di siangnya berpuasa, dan di malamnya ada tarawih. Selesai lapan rakaat tarawih sejurus selepas isya', maka selesailah ibadah pada malam tersebut. Tetapi saya tidak berminat melihat kepada perkara-perkara tersbeut, jadi marilah kita merenung dan memuhasabah diri kita sejauh mana kita telah menggunakan Ramadhan ini sebaiknya.
Tidak boleh tidak, apabila kita ingin memuhasabah diri untuk tujuan koreksi diri, kita harus melihat kepada matlamat kita melakukan sesuatu. Jika tidak, muhasabah tersebut adalah satu muhasabah yang tidak berpijak di atas apa-apa asas. Tidak ada apa yang dapat dijadikan kayu ukur.
"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana telah diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa" (al-Baqarah, 2:183)
Ramadhan, yang telah diwajibkan berpuasa padanya, tidak lari dari tujuan taqwa. Bahkan apa-apa amal sekalipun, tidak lari dari tujuan untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Cumanya, di dalam ayat ini menekankan secara khusus bahawa puasa bertujuan membawa ketaqwaan kepada orang-orang yang beriman.
Siapa yang tidak mahu menjadi hamba Allah yang bertaqwa? Siapa yang tidak mahu menjadi mulia dan dipandang di sisi Allah?
"Sessungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa dari kalangan kamu" (al-Hujurat, 49:13)
Ini ditambah lagi dengan galakan dari Allah, di dalam surah al-Baqarah;
"Dan berbekallah kamu, dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang mempunyai akal fikiran" (al-Baqarah, 2:197)
Oleh itu, apa yang dapat diringkaskan ialah, Ramadhan bertujuan membekalkan hamba-hamba Allah yang beriman dengan sebaik-baik bekalan, agar mereka dapat menjadi hamba-hamba Allah yang mulia di sisiNya.
Melihat kepada tujuan ini, perbincangan kita tidak lari dari melaksanakan sebanyak-banyak mungkin amal. Persoalannya ialah, sejauh manakah amal kita sepanjang dua puluh hari berlalunya Ramadhan? Berikut adalah beberapa amal yang perlu kita cerminkan pada diri kita:
(1) Puasa - Sejauh manakah kita jujur terhadap diri kita dan Allah? Adakah puasa ini, hanya main-main? Hari ini puasa, esok tidak? Atau di khalayak ramai berpuasa, bila berkeseorangan tidak? Inilah asas bulan Ramadhan, amal utamanya. Tanpa berpuasa seseorang mustahil dapat mencapai tahap ketaqwaan, melainkan yang uzur syar'ie, itupun tidak sama darjat dengan orang yang berpuasa.
(2) Tilawah - "Bulan Ramadhan yang telah diturunkan padanya al-Qur'an yang menjadi petunjuk kepada manusia..." (al-Baqarah, 2:185). Adakah kita telah memasang niat untuk mengkhatamkan al-Qur'an pada bulan ini? Atau kita hanya membaca al-Qur'an seperti bulan-bulan yang lainnya? Tidak mungkin seseorang yang tidak memasang niat untuk mengkhatamkan al-Qur'an akan mengkhatamkan al-Qur'an. Sepatutnya, pada saat ini, sekurang-kurangnya kita telah menyelesaikan 20 juz. Tidak kira kita bermula di mana, pada saat ini kita telah habis 20 juz tilawah, minima. Jika belum, muhasabah kekuatan masing-masing, lihat kepada pengurusan masa sendiri, adakah kita telah mengoptimakan masa untuk membaca qur'an? Rancanglah dengan baik pengurusan masa anda.
(3) Qiyamullayl - Dari Abu Hurairah RA bahawa RasuluLlah SAW telah bersabda"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keinsafan, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu" (HR. Bukhari & Muslim). Bahagian malam yang dihidupkan dengan solat-solat sunat, bukan sekadar lapan rakaat selepas isya'. Bahkan ditambahkan juga ketika waktu sahur. Melazimi solat taubat, solat tahajjud, dan solat witir. Adakah ada malam-malam yang lopong dari amal? Rancang supaya ia tidak lagi dalam saat-saat terakhir ini.
(4) Menderma - Umpama menanam satu biji, kemudian tumbuh sepohon pokok yang ada padanya tujuh tangkai. Pada tiap-tiap tangkai pula ada lagi seratus biji. Inilah yang disebutkan Allah dalam kitabNya; al-Baqarah, 2:261. Begitu banyak peluang dibuka; Dana Hidayah, Kempen Aqsa2Gaza2 oleh Aqsa Syarif, Rayuan Ramadhan,Islamic Relief untuk Somalia, dan bermacam-macam lagi. Menderma melalui persatuan, atau terus sahaja kepada mereka yang memerlukan. Sejauh mana kita telah menyahut seruan menderma tersebut? "Syaitan menjanjikan kefakiran dan dia menyuruh kamu dengan perbuatan keji, sedangkan Allah menjanjikan keampunan darinya dan kemuliaan..." (al-Baqarah, 2:268)
Terlalu banyak amal yang boleh dilaksanakan, banyak darinya tidak saya senaraikan. Yang tinggal hanyalah terletak pada diri kita sendiri, sama ada kita ingin menghidupkan Ramadhan atau membiarkannya terkubur dan berlalu begitu sahaja. Ramadhan masih berbaki sepuluh hari lagi, maka ambillah peluang ini untuk menjadi hamba-hamba yang mulia di sisi Allah.
Berhenti, muhasabah, rancang, dan pecuuuut dalam amal...!
Namun, siapa yang bertujuankan beraya, nasihat saya, Ramadhan bukan untuk anda!
Wallahu'alam~
'Ammar Taqiyuddin bin Ainullotfi,
Mantan Presiden Kelab Iqra' tahun 2008 & 2009.
IQRAteam - administrator
Jika ada sebarang pertanyaan, masalah, aduan, cadangan, dan apa-apa sahaja yang perlu mendapatkan maklumat, kefahaman, tindakan atau apa-apa yang lanjut berkaitan dengan kami, bolehlah menghubungi kami. Temui kami juga di
Facebook dan juga
Tumblr.
0 comments:
Post a Comment