Kalau dibiarkan lama kotornya


Apabila tibanya bulan Ramadhan ini, dikatakan syaitan itu akan dibelenggu, bukan? Tetapi apa pula kaitannya dengan pinggan di atas?

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi saw telah bersabda :

“Apabila datangnya Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu para syaitan”.

Tetapi kenapa kita masih 'berkeinginan untuk membuat dosa?'.

Kalau ada orang yang langsung tak terlintas tentang itu, memang dia bukan manusia! Kerana itulah fitrah manusia - punya nafsu. Tak kisahlah dosa amatur (kecil) atau profesional (besar). Contohnya, malas untuk pergi ke masjid sembahyang berjemaah ataupun dosa besar seperti langsung meninggalkan solat, zina, minum arak. Ada sahaja kan yang berbuat begitu?

Lalu cuba kita kaitkan dengan sebuah pinggan yang telah digunakan. Sekiranya segera dibasuh, memang mudah saja nak bersih. Tetapi kalau dibiarkan lama kotornya, seminggu, atau sebulan, atau lebih lama - agaknya kotoran tu boleh jadi sangat melekat!. Malah bertambah pula dengan kulat dan apa bagai lagi. Kalau nak basuh pun makin susah, mungkin juga tak bersih sepenuhnya.

Begitulah juga nafsu kita! Sepanjang tahun sekiranya 'diasuh' dengan dosa dan maksiat, tanpa 'dibasuh' dengan ibadah dan taubat - maka sangat melekatlah kotoran-kotoran nafsu tersebut.

Lalu setelah itu kita pun meniti pula ke bulan Ramadhan dengan harapan untuk hanya beribadat, lupakan maksiat. Tapi rupanya tak semudah itu, masih 'terngiang-ngiang' lagi untuk berbuat rutin maksiat. Itulah kesan kotoran nafsu yang sekian lama tidak dibersihkan.

Justeru, kita harus mengerti - walaupun betul niat kita untuk melipatgandakan ibadat pada bulan Ramadhan, harus juga dihadirkan dengan persediaan ruh yang baik dan bersih. Agar tidak akan dibelenggu dengan 'jeritan nafsu' yang jahat berbanding 'bisikan hati' yang baik.

Kesimpulannya, ruh harus sentiasa dibersihkan dengan taubat kerana seharian kita takkan terlepas dari melakukan maksiat. Wallahualam.  


[sumber; Tanyalah Ustaz, TV9]

Advertisement

0 comments:

Post a Comment