Meraih 'mega sale' Ramadhan



[Gambar hiasan - tiada kaitan antara yang hidup dan mati]

Alhamdulillah, separuh daripada Ramadhan telah berlalu. Bermaksud, fasa pertama iaitu fasa rahmat dah pergi. Kini, kita berada dalam pertengahan fasa kedua iaitu fasa maghfirah (keampunan). Jadi, macam mana dengan prestasi amal kita? Adakah masih lagi konsisten? Masih lagi bersemangat untuk mencari redha Allah?


Dalam bulan ini, Allah SWT memberikan peluang kepada kita untuk beramal sebanyak-banyaknya. Allah buka segala pintu syurga dan tutup segala pintu neraka, semuanya disediakan istimewa untuk hamba-hambaNya supaya berusaha menjadi lebih bertaqwa. Rasulullah SAW bersabda;


أتاكم شهر رمضان، شهر مبارك، فرض الله عليكم صيامه، تفتح فيه أبواب الجنة، وتغلق فيه أبواب الجحيم، وتغل فيه مردة الشياطين، وفيه ليلة هي خير من ألف شهر، من حُرِمَ خيرها فقد حرم 
“Telah datang kepada kalian bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkahan, diwajibkan atas kalian berpuasa, dibuka pintu-pintu surga, ditutup pintu-pintu neraka, diikat kuat syaitan-syaitan, di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, dan barangsiapa yang diharamkan kebaikannya maka tidak akan dapat meraihnya”. (Ahmad)


Promosi dahsyat yang Allah gambarkan di bulan mulia ini ibarat 'mega sale' yang dilakukan oleh gedung-gedung besar yang mahukan pelanggannya datang dan terus membeli segala apa yang ada dalam gedungnya sehingga habis.


Segala barangan-barangan berkualiti yang sebelum ini harganya tinggi, tiba-tiba sahaja akan turun mendadak, malah bilangannya juga mungkin bertambah, memberi peluang kepada pelanggan untuk meraih seberapa banyak barangan yang mereka inginkan. Tidak cukup dengan tawaran harga yang sangat murah, malah gedung tersebut menyediakan perkhidmatan yang terbaik daripada para pegawai yang bertugas. Segala keperluan para pelanggan sentiasa dipenuhi. 


Malahan, tidak lupa, akan datang pada saat-saat akhir 'mega sale' gedung ini, pihak pengurusan gedung telah membuat pengumuman-pengumuman penting tentang hari 'super-ultra mega sale' yang bakal menjelma tidak lama lagi dan mengharapkan para pelanggan menanti-nantikan saat tersebut untuk merebut peluang meraih segala barangan berkualiti yang ada dengan harga yang 'rock-bottom' murah.


Sudah pasti, pelanggan yang bijak pandai dah ketahui tentang maklumat-maklumat ini, pasti akan berkejar-kejaran untuk dapatan promosi yang teramat 'best-gile' ini. Dan kiranya mereka sempat untuk berjumpa dengan hari 'super-ultra mega sale' tersebut, pasti mereka lah orang yang paling beruntung kerana memiliki banyak barangan berkualiti dalam harga yang 'rock-bottom' murah.


Begitu juga dengan Ramadhan. Kita telah pun ketahui, begitu baaanyak tawaran yang Allah SWT janjikan kepada kita. Begitu banyak peluang yang Allah SWT sediakan untuk kita raih. Alangkah beruntungnya kita kiranya kita berusaha dan berkejar-kejaran untuk mendapatkan segala apa yang Allah SWT telah janjikan. Sudah pasti, dengan apa yang teraih di bulan ini, ia akan menjadi bekalan yang secukupnya untuk bulan-bulan yang mendatang.


Kita ketahui, yang kita mempunyai 3 elemen (Jasad, 'akal, roh) yang perlu dibekali dalam hidup ini. Kebiasaanya, di bulan-bulan lain, kita telah mengisi Jasad dan 'akal dengan begitu banyak hingga kadang-kadang, kita terlupa, roh kita juga perlukan makanan. Tanpa bekalan yang secukupnya untuk roh, sukar untuk kita imbangi hidup kita dan memastikan 'parameter' kita sentiasa dalam lingkungan Islam yang telah Allah SWT tetapkan.


Oleh itu, di bulan yang mulia ini, teramat sangatlah perlu untuk kita, re-fill, refresh dan re-charge roh kita yang mungkin sudah pudar. Kita perlu sinarkan ia kembali dengan cahaya-cahaya Allah SWT dan memastikan keseimbangan elemen-elemen yang lain juga supaya hidup kita, tindakan, fikiran kita sentiasa dalam 'parameter' Islam yang telah Allah SWT tetapkan.


Mungkin 14 hari Ramadhan yang lalu, kita kurang manfaatkan ia dengan baik, tapi Alhamdulillah, bersyukurlah banyak-banyak kerana Allah SWT masih lagi memberikan peluang untuk kita berada dalam Ramadhan yang ke-15. Masih lagi memberikan kita peluang untuk meraih seberapa banyak pahala dan barakah, keampunan, rahmat dan macam-macam lagi. Alangkah ruginya kita, kalau kita masih lagi duduk diam sambil lewa membiarkan segala promosi 'mega sale' yang telah Allah berikan kepada kita.


Oleh itu, mari lah kita berusaha menjadi seorang hamba yang bijak, tahu tentang kebaikan Ramadhan serta segala promosi yang Allah SWT telah berikan. Marilah juga kita bertindak untuk rebut peluang tersebut. Raih seberapa banyak yang mungkin dan jadikan ia sebagai bekalan-bekalan roh untuk masa-masa yang mendatang.


"مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِه
"Barangsiapa yang berpuasa kerana iman dan berharap ganjaran dari Allah SWT, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu." (Muttafaqun 'alaih)


Wallahu'alam

'Asim 'Abdullah bin Ainullotfi,
Presiden,
Kelab Iqra' UTM.

Advertisement

0 comments:

Post a Comment