Ada Yang Lebih Baik Dari Dunia..




Saya mahu tanyakan kepada anda..
Apa ya yang anda mahukan di dalam hidup anda ketika ini?

Mahu cepat-cepat tamat pengajian dan genggam segulung ijazah?
Kemudian cari kerja yang selayaknya dengan ijazah yang anda ada?
Selepas itu, kumpul duit untuk membeli kereta, rumah dan segala macam benda yang anda impikan sejak dahulu lagi?
Kemudian? Kemudian? Kemudian?




Saya yakin jawapan anda pasti akan panjang sehinggalah tiba kepada soalan,

“Bila anda sudah tua. Maka apa lagi yang anda mahukan?”

Saya agak jawapan anda pasti akan berbunyi begini..

“Saya mahu beramal ibadatlah. Persiapan menuju kematian. Harapnya saya boleh masuk syurga selepas itu”

Aduhai..malangnya! Syurga itu hanya dijadikan impian yang terkebelakang sekali.

Tetapi izinkan saya bertanya, daripada semua impian yang anda ada itu, berapa peratus anda yakin bahawa anda akan dapat mencapainya?

Kisah Cik Ah dan Cik Nin


Suatu hari mereka bertemu dan berbual seperti biasa.

“Cik Ah, aku risau sangat ni. Final exam dah nak dekat. Takutlah..kalau kita gagal exam ni, habislah hidup kita. Sia-sia je selama ni kita bersusah payah hidup kat universiti ni,” keluh Cik Nin.

“Laa..tak payah la risau-risau sangat. Lambat lagi nak exam tu, ada masa sebulan lagi.  Sempat lagi kalau kita nak pergi melancong tau!,” balas Cik Ah sambil menguis-nguis pasir di kakinya.

“ Aduhai..teruknya engkau ni Cik Ah. Ini soal masa depan kita tahu tak? Memang lah kita ada masa sebulan lagi tapi mestilah kita kena buat persediaan dari awal. Ini bukan soal main-main, takkan lah kita sanggup menghabiskan masa bertahun-tahun di universiti ni dan kemudian membiarkan diri untuk gagal pulak di akhirnya. Itu tak cerdik namanya, wahai Cik Ah,” luah Cik Nin. Geram benar dia mendengar jawapan yang keluar dari mulut Cik Ah tadi.

“Ala Cik Nin, aku bukan apa. Malas nak serabutkan fikiran. Nanti dekat-dekat nak exam, aku study lah. Sementara ada masa lagi ni, kita enjoy la dulu. Ok lah, aku pergi dulu,” pantas Cik Ah berlalu meninggalkan Cik Nin. Malas mahu mendengar leteran dari kawannya itu.

Cik Nin hanya mampu memandang Cik Ah yang semakin jauh dari pandangannya.
Kesal.
Inikan soal masa depan. Soal besar yang tidak boleh dipandang sebelah mata.

Lagipun, tujuan utama mereka sewaktu menjejakan kaki ke universiti ini pun memang untuk menggenggam ijazah dengan keputusan yang cemerlang. Kalau beginilah, bagaimana mahu memperolehi keputusan yang cemerlang. Kenapa cepat benar Cik Ah melupakan tujuan asal mereka itu?

Mahu Jadi Cik Ah atau Cik Nin?

Saya juga seorang pelajar universiti. Dan berdasarkan pemerhatian saya, ada ramai orang seperti Cik Nin di sekeliling saya. Ada juga segelintirnya yang seperti Cik Ah tapi saya tak mahu berbicara mengenai Cik Ah kerana saya yakin ramai yang akan setuju bahawa orang seperti Cik Ah adalah orang yang sengaja mencampakkan diri mereka ke arah kebinasaan.

Saya berminat dengan Cik Nin.

Kenapa? Kerana saya tahu ramai di antara kita yang sebegitu.

Ya,pastilah! Takkan masih mahu bermain-main di saat sudah mengetahui bahawa peperiksaan bakal menjelang tiba kan?

Tapi soalnya sekarang? Anda yakin bahawa anda akan sempat menghadapi peperiksaan itukah?

Pastinya tidak bukan? Anda sendiri tidak mampu menjamin adakah anda akan kekal bernafas sehingga ke petang hari ini. Setuju?

Hanya ada satu perkara sahaja yang saya dan anda sangat yakin akan terjadi kepada diri kita.
Itulah KEMATIAN.

Kita mahu atau tidak, jika sudah tiba saatnya, kita pasti akan mati. Pasti! Walaupun ketika itu kita sebenarnya masih tidak bersedia menghadapinya.
Boleh jadi esok lusa ataupun di saat anda habis membaca artikel ini. Siapa tahu?

Kadangkala saya pelik melihat ada di antara kita, di saat sibuk mengulangkaji pelajaran untuk berdepan dengan peperiksaan, soal solat mereka letakkan ke tepi.

Bagi saya, orang begini sudah mahu memandang dan memikirkan soal masa hadapan, tetapi sayangnya, pandangan mereka tidak mampu menembusi kehidupan akhirat yang kekal selamanya melainkan hanya tersekat pada pandangan dunia sahaja.

Alangkah ruginya golongan seperti ini.

“Padahal kehidupan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal”
[87:17]

Mari Kita Perbaiki Diri..


“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
[59:18]

Kehidupan di akhirat itu pasti.

Jadinya, mari kita semak kembali diri kita, Persiapan kita sudah cukupkah?

Kehidupan yang sedang kita jalani hari ini sudah mengikut skema yang Allah tetapkan atau kita mengikut hawa nafsu kita sendiri?

Lihat pakaian kita, tutur bicara kita, pergaulan kita dan seluruh aspek kehidupan kita. Adakah kita  melakarkan kehidupan kita berasaskan satu keyakinan yang kukuh bahawa setiap apa yang kita lakukan pada hari ini akan dipertanggungjawabkan?

Saya tidak menyuruh anda mengabaikan dunia yang sedang anda diami ini tetapi saya hanya mahu anda membetulkan kembali matlamat dan pemikiran anda tentang dunia dan kehidupan..

Pandanglah dunia ini..tetapi mengikut nilaian akhirat yang kekal abadi..

Oh ya, Mari kita jadi seperti Cik Nin. Yang beriman pastinya! ^^


Advertisement

0 comments:

Post a Comment