Amalan 10 hari pertama Zulhijjah

Assalamualaikum w.b.t. dan salam Zulhijjah :)

Daripada Ibn Abbas RA, Nabi SAW bersabda dengan maksudnya;
“Tidak ada hari-hari di mana amal soleh yang dilakukan oleh seseorang hamba lebih disukai Allah daripada amal soleh yang dilakukan pada hari-hari yang lain. Hari-hari itu adalah 10 hari daripada Zulhijjah..”
(Riwayat al-Bukhari)
Daripada Ibn Abbas RA juga, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
“Tidak ada hari yang lebih agung di sisi Allah, dan tidak ada amal yang lebih disukai Allah daripada hari-hari 10 Zulhijjah. Maka hendaklah kamu membanyak pada hari-hari itu tasbih, tahmid, tahlil dan takbir.”
(Dikeluarkan oleh at-Tabrani)
Namun, hakikat amal soleh yang dituntut oleh Allah dan Rasul turut merangkumi seluruh aspek kehidupan, sama ada di dalam masjid atau di luarnya, sama ada di rumah, di tempat kerja, di pasar raya, di taman permainan, di jalan raya, di tempat letak kereta dan di mana-mana saja.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):
“Setiap ruas sendi manusia wajib memberi sedekah pada setiap hari apabila terbit matahari. Mendamaikan antara dua orang (yang bertelagah) adalah satu sedekah, membantu seseorang menaiki kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya adalah satu sedekah, kata-kata yang baik adalah satu sedekah, setiap satu langkah ke tempat solat adalah satu sedekah, membuang kotoran di jalan adalah satu sedekah.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sehubungan dengan apa yang disebut oleh Nabi SAW dalam hadis di atas, Abu Dzar bertanya Baginda,
“Kalau saya tidak buat semua itu?”
Baginda menjawab;
“Engkau menolong orang yang sedang bekerja, atau membantu orang yang tidak mahir dalam pekerjaannya.”
Abu Dzar tidak berhenti di situ. Dia terfikir tentang golongan yang tidak punya apa-apa; baik harta, tenaga mahupun kepandaian, maka apa yang boleh dia lakukan? 
“Bagaimana ya Rasulullah, mereka yang tidak ada kebolehan untuk melakukan apa-apa amalan?”
Namun Nabi SAW berpandangan lebih luas daripada itu. Lalu Baginda menjawab;
“Engkau menahan dirimu daripada melakukan kejahatan terhadap manusia. Sesungguhnya itu adalah satu sedekah daripada dirimu untuk dirimu!”
Hadis di atas juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

Alangkah luasnya ruang amal soleh dan alangkah banyak pintu-pintunya. Tidak perlu berebut dan berasak-asak untuk memasukinya. Di mana-mana dan pada bila-bila masa amal soleh menanti kita.
  • Bermula di dalam rumah, suami memuliakan isteri, isteri menghormati suami. Ibu bapa mengasihi anak-anak, anak-anak menyayangi ibu bapa.
  • Di jalan raya bersopan dan patuhi undang-undang. Di tempat letak kereta, letak dengan baik dan tidak menghalangi laluan orang lain.
  • Di tempat kerja tunaikan hak pelanggan, majikan menjaga kebajikan perkerja, pekerja menjalankan tugas dengan amanah.
  • Di sekolah guru-guru dihormati, murid-murid disantuni.
  • Pengamal media tidak menyiarkan berita palsu, berita fitnah, berita yang mengaibkan.. Dan lain-lain lagi.

Sesungguhnya 10 hari daripada Zulhijjah akan datang dan pergi sebagaimana hari-hari yang lain juga. Inilah masanya untuk kita semua berebut dan berlumba-lumba mengislahkan amal agar menjadi amal soleh yang paling disukai Allah.

Selamat beramal soleh :)



Advertisement

0 comments:

Post a Comment