Kita Dan Perubahan


Oleh: Ahmad Bin Mustafa Din (4SET)
(Presiden Kelab Iqra' 2010)

Bismillah wa Alhamdulillah, pertama sekali dan selama-lamanya mari kita menzahirkan rasa kesyukuran kita ke hadrat ILLAHI, kerana dengan limpah rahmat dan kasih-sayangnya, kita dapat merasai kenikmatan hidup di dunia yang serba indah ini dan yang paling penting, kita dapat merasai ni’matnya ukhuwwah yang berlandaskan iman dan Islam ini.


"The only thing constant in life is change"

Kehidupan adalah perubahan, sedar atau tidak, mahu atau tidak, manusia akan sentiasa berubah sama ada dari aspek fizikal mahu pun bukan. Dahulu kita digelar bayi, kemudian kita membesar menjadi kanak-kanak, kemudian remaja dan Alhamdulillah kini kita digelar sebagai seorang mahasiswa. Dalam masa yang sama, kita juga mengalami perubahan yang lain seperti perubahan sikap dan tingkah laku, perubahan cara berfikir, dan macam-macam lagi. Pernahkah kita terfikir? Ke arah manakah kita akan berubah?

Persoalannya adalah, adakah wujud guideline yang boleh membimbing kita ke arah perubahan yang baik, perubahan yang menjadikan kehidupan kita jauh lebih bermakna dan berkat.

“Bagi seorang muslim, hari ini adalah lebih baik dari semalam dan hari esok adalah lebih baik dari hari ini”

Inilah persoalan-persoalan yang timbul semasa saya awal-awal menjejaki bumi UTM ini, dan Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana ALLAH telah memilih saya untuk bersama-sama dalam kelompok yang duduk bersama atas dasar ukhuwwah Islamiyyah. Di dalam kelompok ini juga, sedikit sebanyak membimbing saya ke jalan yang sangat bermakna dan insya’ALLAH diredhai ALLAH. Amalan bantu-membantu dan nasihat-menasihati menjadi budaya untuk sama-sama dapat memperbaiki diri.
“ Aslih Nafsak, wad’u ghairak...”
(Maksudnya: Perbaiki diri kamu dan ajaklah kebaikan kepada orang lain…)

Menjadi asas kami berorganisasi di dalam Kelab kesayangan kami ini.

“ Al-mu’min lil mu’min kal bunyan, yashuddu ba’dhahu ba’dha...”

(Maksudnya: Mu’min dengan mu’min yang lain ibarat sebuah bangunan, mereka saling menguatkan antara satu sama lain...)

SubhanALLAh, cantiknya susunan ALLAH terhadap hamba-hambanya, di dalam kesempatan ini, saya ingin mengajak saudara-saudara untuk bersama-sama kami merasai nikmat ukhuwwah yang berlandaskan Iman dan Islam ini. Marilah kita bersama-sama menanamkan tekad untuk berubah ke arah perubahan yang bermakna, perubahan yang akan mengubah mahasiswa-mahasiswa yang bukan sahaja hebat dalam urusan ilmu sains dan kejuruteraan, malah mempunyai shakhsiah yang mantap, insya’ALLah.

Bagaimana caranya untuk bersama-sama dalam kelompok ini? Tidak perlukan wang ringgit yang banyak, mahupun kenderaan, anda juga tidak perlu mempunyai latarbelakang sekolah agama atau yang seangkatan dengannya.

Kami hanya mahu mengambil masa anda. YA. Hanya sekelumit masa anda dari 24 jam yang diberikan ALLAH untuk sama-sama memperbaiki diri dan mengenali ISLAM yang sangat indah dan hebat ini.

“Sesiapa yang ALLAH kehendaki kebaikan padanya, Allah akan memberikan kefahan dalam Ad-DEEN (Islam).”

(HR Bukhari dan Muslim)


Ayuh! Ambil seruan ini. Kami akan membimbing anda insya’ALLAH.

“BACALAH ! Dengan menyebut nama tuhanmu yang menciptakan..”

(Surah Al-‘Alaq, 96: 1)


Wallahu’alam



Advertisement

Comments
1 Comments

1 comments

  1. Wah~ nak sekelumit masa saya?

    Woho~ sori...dah berpunya masa ku...

    ReplyDelete