Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum..
“Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: "Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu", mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan airmata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah).”
Ayat di atas diturunkan ketika seruan Jihad berkumandang di bumi Madinah tatkala menjelang peristiwa perang Tabuq yang melibatkan kaum muslimin dan tentera Rom. Kaum Muslimin berpusu-pusu mendaftarkan diri menyertai misi jihad fi sabilillah dengan meninggalkan keselesaan di belakang mereka. "Internal strength" meluap-luap menggerakkan fizikal mereka bagi memburu syahid sehingga ada dikalangan mereka yang terpaksa ditinggalkan di kota Madinah kerana tidak ada sesuatu yang dapat membawa mereka bersama-sama pergi berperang. Tinggallah mereka dengan linangan air mata kerana tidak dapat peluang bersama-sama dengan saf tentera kaum muslimin.
Melihat kepada suasana hari ini, terutamanya di Malaysia, umat Islam terlalu selesa dengan kehidupan mewah sehingga melunturkan semangat jihad menentang kemungkaran. Jiwa mereka dijamah dengan hiburan dan keseronokan yang pelbagai warna, sehinggakan mata hati mereka tuli daripada memandang kemanisan beriman kepada Allah. Tindak tanduk mereka menggambarkan betapa parahnya sakit jiwa mereka sehingga seolah-olah tidak terdapat perbezaan antara tindakan mereka dengan tindakan orang-orang kafir! Waiyyazubillah. Mari kita renungkan sejenak. Mengapa berlakunya perkara ini sedangkan panduan kepada kehidupan yang sejahtera telah terbentang depan mata? Bukankah pelik jika landasan keretapi itu telah ada, tetapi keretapi pula berjalan di atas jalan raya, tidak menuruti landasannya, sehingga akhirnya berlaku kecelakaan kepada keretapi tersebut? Pelik. Memang pelik dan sungguh pelik!
Secara umumnya, manusia tercipta dari dua elemen iaitu elemen fizikal yang diperbuat dari tanah dan elemen ruh yang bersifat ghaib, hanya Allah yang tahu. Keperluan kepada makanan adalah keperluan asas setiap manusia. Ini bermaksud, sekiranya seorang manusia itu tidak makan, maka manusia tersebut tidak akan dapat hidup. Keperluan makanan adalah bekalan utama kepada elemen yang pertama iaitu elemen fizikal. Gizi pemakanan yang seimbang akan membawa kepada kesihatan yang ideal kepada seseorang manusia itu. Bagi elemen kedua iaitu elemen ruh, ia bersifat ghaib. Datangnya dari Allah, maka sudah tentu sumber bekalannya juga dari Allah. Ini bermaksud, seseorang manusia itu mestilah mengikut syari'at Islam kerana ia akhirnya membawa kepada Allah. Gambaran kepada ruh yang sihat adalah ketenangan yang disuntikkan ke dalam hati orang-orang mukmin. Allah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati Allah". Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
Perlu diketahui bahawa setiap manusia itu, tidak terlepas dari melakukan dosa, tetapi sebaik-baik orang yang melakukan dosa adalah orang yang bertaubat. Hadis ini menunjukkan gambaran fitrah seseorang manusia itu. Manusia mudah lupa, manusia banyak kelemahan. Tetapi ini bukanlah alasan untuk kita terus menerus melakukan dosa kerana Allah telah mencipta satu sistem untuk memenuhi keperluan fitrah manusia ini iaitu sistem taubat. Manusia yang melakukan kesalahan akan diampunkan Allah dengan syarat taubat nya adalah taubat nasuha. Sistem ini jelas menunjukkan kesyumulan Islam itu baik dari segi syariat iaitu kaedah yang perlu dilakukannya, mahupun dari segi sunnatullah iaitu fitrah manusia itu sendiri.
Sedar atau tidak, kita telahpun berada di penghujung bulan Sya'aban. Bagaimanakah persiapan kita menghadapi ramadhan? Rasulullah SAW mempersiapkan diri untuk menghadapi bulan Sya'aban sejak dari bulan Rejab lagi. Kita selalu dengar doa "Allahumma Bariklana fi Rajab Wa Sya'aban, Wa ballighna Ramadhan" yang membawa maksud, "Ya Allah, Ya Tuhan kami, anugerahkanlah keberkatan untuk kami pada Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami Ya Allah hingga Ramadhan". Doa ini diamalkan Rasulullah ketika masuknya Rejab. Walaupun masih terdapat 2 bulan sebelum bulan Ramadhan, tetapi Rasulullah telah pun memohon kepada Allah untuk dapat melalui Ramadhan. Hal ini menunjukkan betapa tingginya keinginan Rasulullah untuk melalui bulan Ramadhan. Signifikannya, persiapan yang rapi adalah perlu kerana bulan Ramadhan terkandung begitu banyak keistimewaannya dan sudah semestinya kita mahu 'membersihkan' diri kita sepanjang bulan Ramadhan berlangsung. Secara analoginya, seorang wakil negara dalam acara badminton perlu mempersiapkan dirinya dengan latihan intensif beberapa bulan sebelum berlangsungnya Piala Thomas. Ini bagi memastikan beliau berada pada tahap terbaik semasa berlangsungnya Piala Thomas bagi memburu Piala Thomas sekaligus mengharumkan nama baik negara. Secara logiknya, adakah pemain ini dapat memenangi Piala Thomas seiranya beliau tidak berlatih beberapa bulan sebelum pertandingan? Sudah tentu tidak. Latihan yang mencukupi adalah perlu bagi memastikan stamina, cara bermain, strategi, dan skil bermainnya berada pada tahap terbaik. Begitu juga diri kita dalam menghadapi bulan Ramadhan nanti. Persiapkan diri kita sebaiknya dan letakkan mindset dalam diri kita yang bulan Ramadhan kali ini adalah titik tolak kita dalam mencari redha Allah. InsyaAllah.
Seterusnya, dalam mempersiapkan diri, tidak semestinya kita hanya perlu mengurung diri kita di dalam masjid atau mewajibkan diri kita menghadiri majlis-majlis ilmu. Itu semua perlu, tetapi, ia bukan lah solusi utama kepada persiapan diri kita, tetapi ia adalah subset kepada perkara utama yang jauh lebih penting lagi. Sebagaimana yang kita ketahui, setiap masalah itu pasti ada penyelesaiannya. Allah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:
"Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan."
Jaminan Allah ini menunjukkan caranya ada, tetapi manusia yang perlu berusaha mencarinya. Di dalam konteks persiapan diri, apa yang penting ialah kita melibatkan diri di dalam suasana soleh dalam apa jua perkara yang kita lakukan. Ini termasuklah pergaulan dengan kawan atau 'geng' kita, masa lapang yang kita ada, tempat duduk di bilik kuliah, suasana di kafe dan arked, suasana di perpustakaan, aktiviti kolej atau persatuan yang kita sertai, dan pergaulan dengan kawan berlainan jantina sama ada di alam realiti atau di alam maya. Suasana soleh bukan sahaja dapat mewujudkan benteng terhadap kemungkaran, ia juga menjadi satu daya pemacu yang akan menggalakkan kita beramal saat iman kita lemah. Sebagai contoh, jika kita berada dalam kumpulan orang-orang yang membaca doa, takkan lah kita tidak turut sekali membaca doa? Nampak seperti ringkas, tetapi jika dilakukan pada setiap perkara dalam kehidupan kita, ia boleh menjadi satu 'tabiat' pada diri kita. Secara tidak sedar, kita sebenarnya telah pun membentuk dan mempersiapkan diri kita dalam menghadapi Ramadhan.
Sebagai satu bekalan tambahan, kita boleh berjinak-jinak dengan buku-buku, atau artikel-artikel yang menggalakkan kita berfikir. Otak manusia adalah organ yang membezakan manusia dengan haiwan. Sangatlah rugi jika ia tidak dimanfaat seoptimum mungkin. Kekuatan otak akan melahirkan budaya pemikiran yang memandang makruf sebagai indikator. Pemikiran ini dapat dibentuk melalui sistem pembentukan yang tersusun, yang mana jika ianya berjaya, ia akan melahirkan individu muslim yang berkualiti, seterusnya melahirkan amal dan akhlak yang islami. Tetapi jika budaya pemikiran ini tidak wujud, akan lahirlah pemikiran-pemikiran remeh yang memandang keseronokan dan kesenangan sebagai fokus utama. Nafsu yang mengajak kepada kemungkaran dituruti tanpa banyak berfikir. Keadaan ini seterusnya melahirkan individu-individu yang lesu yang mana hidup mereka seperti robot yang tidak tahu mengapa ia diciptakan. Sampai masa tamat kuasanya, maka dibuang begitu sahaja. Sungguh menyedihkan.
Satu lagi perkara utama yang boleh membantu membentuk diri kita ialah keluar dari zon selesa. Zon selesa dalam erti kata yang mudahnya ialah kebiasaan. Sebagai contoh, setiap hari kita menaiki motorsikal untuk ke kuliah. Itu adalah kebiasaan ita. Apa yang akan berlaku jika suatu hari, kita membuat keputusan untuk menaiki bas. Antaranya ialah, kita perlu bangun dan bersiap awal untuk menunggu bas. Jika bas penuh, kita perlu berdiri di dalam bas tersebut dengan menggalas beg yang berat. Seterusnya, untuk pulang semula ke kolej, sekali lagi kita perlu menunggu bas dan berhimpit dengan kesesakan sebelum sampai ke bilik. Contoh ringkas ini menunjukkan terdapat banyak pengalaman dan pengajaran yang dapat kita senaraikan jika kita keluar dari kebiasaan yang kita lakukan. Dari segi pembentukan diri, kita dapat melatih diri kita untuk berdisiplin, menjaga waktu, mengurus masa, mensyukuri nikmat dan kurniaan Allah, dan melatih jiwa kita supaya lebih kental. Perlu diingatkan bahawa semasa Rasulullah hendak menyampaikan risalah Islam, baginda sendiri melalui pelbagai jenis kepayahan. Kepayahan tersebut mengajar baginda menjadi insan yang paling bertaqwa dan bersyukur kepada Allah walaupun baginda sendiri adalah maksum, yakni terpelihara dari melakukan dosa. Jadi, dalam usaha untuk mempersiapkan diri, apa salahnya jika kita cuba untuk keluar dari zon selesa. Sudah tentu aspek 'pembentukan jiwa' adalah fokus utama kita.
Seperti yang pernah saya nyatakan, manusia ini fitrahnya adalah lupa. Jika hari ini jiwanya terkesan dengan satu penyampaian atau kursus yang dia ikuti, kemungkinan besar perasaan itu akan hilang seminggu kemudian. Ia bukanlah seperti file yang boleh di'save' dan di'open' bila-bila masa. Jadi, ia memerlukan peringatan yang berterusan di samping pemikiran yang terbentuk. Allah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:
"Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman."
Peringatan yang berterusan tidak akan tercapai dengan menghadiri kuliah harian sahaja. Mengubah manusia bukanlah semudah mengubah plastisin menjadi pelbagai bentuk. Ia perlukan perancangan yang rapi, sistem yang teratur, dan pemantauan yang berterusan. Ia juga tidak akan tercapai dengan hanya berusaha seorang diri. Jadi, tak lain tak bukan, kita perlukan kepada kelompok manusia yang bersama-sama ingin mengubah dan memperbaiki diri. Kelompok ini sudah semestinya mengikuti suatu sistem yang teratur, dan sudah semestinya dipantau secara berterusan. Sistem ini lah yang dinamakan sistem usrah. Ia bukanlah perkara baru. Ia telah lama diperkenalkan oleh orang-orang terdahulu dan terbukti berjaya melahirkan individu-individu hebat. Ia mempraktikkan Islam yang syumul di mana setiap sisi kehidupan manusia dibentuk dengan acuan syariat. Semasa peringkat awal dakwah Rasulullah SAW, baginda menyampaikan dakwah secara rahsia sehingga 3 tahun. Dakwah Rasulullah melahirkan generasi pertama yang memeluk Islam yang dikenali sebagai As Sabiqun Al Awwalun. Mengikut rujukan sirah Rahiq Makhtum, Rasulullah membuat pertemuan dengan mereka dengan memberi petunjuk mengenai hal agama secara bersembunyi. Bukankah pertemuan ini adalah peringatan-peringatan Rasululah yang berterusan kepada mereka? Bukankah keputusan untuk berdakwah secara sembunyi adalah perancangan rapi Rasulullah? Sudah semestinya. Jadi, jelaslah bahawa kaedah yang digunapakai Rasulullah memfokuskan kepada pembentukan manusia melalui pengajaran dan peringatan berterusan. Inilah asas kepada konsep usrah yang saya nyatakan tadi.
Sebagai penutupnya, saya ingin tegaskan sekali lagi, dalam usaha persiapkan, tidak ada jalan singkat yang boleh kita temui. Ianya perlu melalui proses yang mengkehendaki kita membulatkan tekad menanamkan azam untuk berubah. Perubahan pula tidak boleh berlaku dengan hanya usaha seorang diri. Jadi, carilah jalan terbaik yang dirasakan sesuai dengan kehendak kita. Jika perlu, dapatkan nasihat ustaz/ustazah sebagai satu suntikan motivasi untuk membantu kita memulakan langkah.Hakikatnya, Allah tidak akan mengubah diri kita jika kita berangan atau berharap itu dan ini dan bersegeralah menuju kepada kebaikan kerana jika kita tidak melibatkan diri dengan kebaikan, secara automatik kita akan melibatkan diri dengan kemungkaran.
Wallahu'alam.
0 comments:
Post a Comment