Pembunuhan kejam rejim Zionis ke atas umat Islam di Palestin amat memilukan. Ia bukan sahaja mencabar perasaan dan ukhwah islamiyyah sesama orang Islam, malah turut menyentuh nilai kemanusiaan masyarakat dunia sejagat. Sebagai seorang mahasiswa, memang tidak dapat dinafikan kita disibukkan dengan jadual harian yang padat, namun adakah ini menyebabkan kita buta terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita?
Ketika kita sedang disibukkan dengan demam pilihanraya kampus, bilangan angka kematian di Palestin meningkat kepada 905 orang dan 3950 tercedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza(ketika artikel ditulis). Hari demi hari, rejim Zionis ligat melancarkan serangan ke atas Palestin. Tidak cukup serangan senjata pemusnah, Israel Zionis turut menggunakan senjata kimia berupa semburan gas fosforus putih yang mampu membakar sel-sel dalam badan manusia dan turut memberi kesan jangka panjang terhadap tubuh badan manusia.
Persoalannya, adakah kita sedar dengan tanggungjawab kita dalam konteks seorang mahasiswa berhubung isu ini? Sebagai seorang muslim , adalah menjadi kewajipan kita untuk membantu saudara-saudara kita di Palestin. Tetapi bagaimana? Adakah dengan turut serta berjuang dengan mengangkat senjata bersama para mujahidin di sana? Sebenarnya, kita harus sedar yang kita turut mempunyai peranan kita sendiri walaupun hanya bergelar seorang mahasiswa. Kita sepatutnya menyedari bahawa kita sebagai mahasiswa sebenarnya mempunyai kuasa untuk bersuara. Kita tidak seharusnya melepaskan peluang yang terbuka luas ini untuk membantu saudara kita di sana.
Tidakkah kita sedar diri kita ini terdiri daripada golongan yang berilmu, golongan yang dihormati pandangannya. Oleh yang demikian, kita haruslah manfaatkan segala macam ilmu yang kita perolehi di bumi yang bertuah ini dengan mengaplikasikan sepenuhnya dengan menghasilkan idea-idea yang bernas untuk membuka mata dan minda manusia seluruh dunia. Dengan ilmu yang kita ada, jadikan ia satu wadah untuk kita menjana dan menggerakkan semangat untuk menentang yang batil dan menegakkan yang haq. Bukanlah ilmu yang kita perolehi itu hanya untuk digunakan untuk mencari pekerjaan semata-mata ataupun untuk kepentingan sendiri malah ia merupakan aset kita yang tidak ternilai harganya. Singkaplah kembali sejarah di mana ia telah membuktikan bahawa dengan ilmu ia mampu meledakkan suasana kegemilangan Islam seperti sejarah kegemilangan para sahabat, kerajaan Abbasiyah dan sebagainya sehingga mampu menakluki dua pertiga dunia kerana ilmu, iman dan roh keislaman yang jitu. Acuan kehebatan ini bermula daripada minda. Justeru ayat al-Quran yang pertama diturunkan adalah Iqra’ yang mana memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dan kemantapan minda. Apabila minda manusia disinari ilmu dan kefahaman yang betul, ia memberi kesan yang positif kepada cara berfikir, menilai dan bertindak. Sedarlah sahabat-sahabatku bahawa kita mampu menghasilkan muslim kelas pertama berkualiti global kerana kita manusia yang berilmu.
Disamping itu, peranan kita sebagai pelajar adalah memberi kesedaran kepada semua dengan menggerakkan dan melakukan pentarbiyyahan dengan lebih effektif di kalangan mahasiswa terutamanya mahasiswa muslim itu sendiri. Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat segelintir mahasiswa yang tidak peka dan menganggap isu palestin ini adalah tidak berkaitan dengan diri mereka sama sekali. Bagi mereka yang menyedari tentang tanggungjawab kita terhadap isu ini, perlu untuk kita mengejutkan sahabat-sahabat kita yang masih lena dengan dunia mereka sendiri untuk bangkit bersama-sama menentang kekejaman dan penindasan yang dilakukan oleh musuh-musuh Allah. Caranya dengan mengaplikasikan segala kemudahan teknologi yang telah sedia ada sama ada dalam bentuk media cetak atau media elektronik. Melalui kaedah ini, memang terbukti mampu mempengaruhi minda dan kefahaman kita semua tambahan pengaruhnya lebih cepat dan pantas. Selain itu, turut memberi impak yang besar melalui konsep pentarbiyyahan secara lisan seperti usrah, majlis ilmu, kuliah agama dan sebagainya kerana ia lebih dekat dengan jiwa yang dahagakan ilmu dengan pelbagai pendekatan yang lebih menarik mengikut arus kini. Melalui pentarbiyyahan ini, dapat memberi gambaran yang lebih jelas lagi tentang tanggungjawab kita sebagai manusia yang inginkan keamanan dan khususnya sebagai umat Islam yang cintakan persaudaraan sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim bahawa “Tidak sempurna iman seseorang itu selagi ia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri.”
Jadi bertitik tolak dengan peranan ini ia mampu meningkatkan tahap kesedaran di kalangan mahasiswa bahawa kita turut bertanggungjawab tentang apa yang berlaku terhadap saudara kita di Palestin. Justeru itu ingatlah wahai sahabat sekalian, kita mempunyai aset yang tidak ternilai harganya iaitu ilmu. Dengan ilmu itu, cubalah kita manfaatkannya di jalan dan cara yang betul untuk kepentingan Islam, kerana Allah. Bukalah minda dan hati kita bahawa isu Palestin ini bukan hanya sekadar sebuah kisah peperangan tetapi sebuah kisah yang mempunyai banyak maksud yaang tersirat di mana kita sebagai umat Islam perlu bangun dan bersatu hati untuk meneruskan pejuangan para nabi dan rasul. Masih banyak lagi peranan yang perlu kita fikirkan dan mainkan untuk bersama-sama berjuang membebaskan Palestin dari terus ditindas oleh Yahudi laknaktullah. Ingatlah semua, masalah di bumi Palestin bukanlah masalah penduduk Palestin sahaja, tetapi ia merupakan masalah umat Islam walau di mana kita berada. Kita mesti tahu dan akur bahawa lecehnya pengetahuan kita tentang Palestin, adalah petanda bahawa lecehnya kita di sisi perjuangan Islam. Palestin adalah tanggungjawab kita bersama.
quote balik:
ReplyDelete"Ingatlah semua, masalah di bumi Palestin bukanlah masalah penduduk Palestin sahaja, tetapi ia merupakan masalah umat Islam walau di mana kita berada. Kita mesti tahu dan akur bahawa lecehnya pengetahuan kita tentang Palestin, adalah petanda bahawa lecehnya kita di sisi perjuangan Islam. Palestin adalah tanggungjawab kita bersama."
...masih ada lagi mahasiswa yang memandang sepi akan isu Palestin. Risalah yang diberi hanya dipandang tanpa minat. Macam manakah mahu membantu jika para mahasiswa yang dikatakan rajin dan bijak tidak mahu peduli walaupun sekadar untuk baca, faham dan sebarkan kepada orang lain?..
Saya kagum dengan beberapa orang pelajar tahun 1 yang cakna akan isu umat Islam ini. Pembacaan yang meluas dan pelbagai. Dari internet hinggalah habis paling kurang sebiji buku berkenaan isu ini. Dan mereka mampu sampaikan dan membincangkan kembali dengan baik. Moga mereka dapat menyebarkan kepada rakan-rakan yg lain..
dan pastinya, di dunia luar sana, dunia yang kita berpijak pada bumi Allah SWT, dapat dirasa dan dilihat, semakin bertambahnya hati-hati yang semakin kuat getarannya untuk bertindak melakukan sesuatu untuk umat Islam, dalam jangka masa pendek mahupun panjang. dan bilangan ini akan berkembang-biak, merebak untuk meletakkan kebenaran (Islam) kembali pada tempat selayaknya. Siapa yang tidak mahu?
ReplyDelete