Oleh: Noorfitri Adenan (3SHF)
Bismillahirrahmanirrahim,
Hari ini kita melihat isi dunia yang serba-serbinya dipenuhi dengan hiasan dunia yang penuh pancaroba. Hal ini demikian kerana banyak negara terutama negara yang mempunyai ramai penduduk Islam, mengikut telunjuk sistem yang diamalkan di negara barat yang mana ia sama sekali tidak berpaksi kepada al-Quran dan as-Sunnah. Di peringkat dunia mahupun di Malaysia, Islam ditekan sangat hebat sekali!. Ramai dalam kalangan umat Islam di Malaysia, bangun dan mempertahankan Islam di bumi bertuah ini. Kenapa Islam begitu dahsyat ditekan, diasak dan dihina? Hal ini tidak lain dan tidak bukan kerana, Islam itu sendiri membawa kebenaran dan kebaikan untuk semua makhluk, ia bermaksud Islam itu membawa satu sistem cara hidup yang sangat sempurna yang meliputi seluruh aspek kehidupan manusia baik daripada sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara seperti hal-hal kenegaraan dan pemerintahan. Allah telah menyempurnakan Islam dengan utusanNya yang terakhir iaitu RasululLah SAW. Kini jelas, Islam yang di amalkan sejak zaman Adam a.s. telah disempurnakan sewaktu zaman RasululLah SAW. Alangkah indahnya Islam, AlhamdulilLah.
Allah SWT berfirman, “….pada hari ini Aku telah sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu bagimu, dan Aku redha Islam sebagai agamamu….” (Al-Ma’idah:3)
Kita tertanya-tanya apakah yang dikatakan dengan kesyumulan islam atau sempurnanya Islam mencakupi seluruh kehidupan kita? Ramai di antara kita memahami kesyumulan Islam itu dalam konteks ruang lingkup yang kecil dan sempit . Ada juga yang memahaminya dari sudut maksudnya sahaja tetapi tidak mengetahui gambaran sebenar tentang kesyumulan Islam. Rata-rata daripada masyarakat kita memahami Islam itu dalam konteks RASMI atau ibadah dan akhlak semata-mata seperti Solat, membaca doa buka dan tutup untuk sesuatu majlis, pakaian dan sebagainya. Apabila dilaksanakan mereka berasa tenteram dan berasa tenang. Ada juga yang melihat bahawa Islam sebagai akidah yang diwarisi dan tidak berkembang mengikut zaman. Malah ada yang mengatakan bahawa Islam sebagai penghalang dunia. Buktinya, mereka menolak hukum-hukum yang telah ditetapkan dalam Islam. Jika diamal pun, hanya sebahagiannya sahaja. Kita tidak mahu perkara seperti ini berulang lagi dalam diri umat Islam khususnya mahasiswa intelek UTM. Banyak lontarkan persoalan kepada Iman kita, apa yang sebenarnya yang dikatakan Islam itu syumul yang kita amalkan sekarang ini. Renungkan sejenak! Ketahuilah yang Islam ini merupakan satu sistem cara hidup yang sangat lengkap, ia mencakupi seluruh kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Islam merupakan akidah dan ibadah. Islam juga merupakan tanahair dan bangsa, agama dan negara, rohani dan amali malah ia merupakan mashaf dan pedang.
Kalau difikirkan, bermula daripada kita bangun tidur dan bangun semula daripada tidur, ia merangkumi seluruh aspek ibadah dan Islam itu sendiri. Islam itu sangat indah sehinggakan sekecil-kecil perkara seperti cara tidur, cara melangkah masuk ke masjid juga diajar. Apatah lagi perkara yang melibatkan hal-hal kenegaraan dan agama. Alangkah indahnya hidup ini apabila seluruh kehidupan berpaksikan kepada cara hidup Islam yang sebenar.
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian,
Apa yang hendak disampaikan di sini adalah Islam itu cukup sempurna hingga meliputi seluruh aspek kehidupan kita. Namun, apakah yang dikatakan dengan “Islam sempurna dari seluruh aspek kehidupan”? Kita dapat melihat betapa syumulnya Islam dalam konteks: (1) zaman (masa), (2) makan (tempat), (3) insan (manusia) dan (4) manhaj (al-Quran dan as-Sunnah).
Dalam erti kata yang mudah, islam yang syumul dari aspek zaman (masa) merujuk kepada bermulanya Islam pada zaman Nabi Allah iaitu Adam a.s. sehinggalah disempurnakan Islam melalui utusan terakhirNya iaitu Nabi Muhammad SAW. Walaupun terdapat perbezaan dari segi syariat mengikut zaman para rasul, syariat tersebut ditetapkan melalui Al-Quran. Hal ini menunjukkan bahawa aqidah yang difahami oleh oleh Nabi dan rasul terdahulu, adalah aqidah yang sama kita fahami sekarang tanpa ada cacat celanya. Islam juga akan dipelihara oleh Allah melalui pemeliharaan al-Quran hingga hari kiamat.
“sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya”. (Al-Hijr:9)
Terasa kenikmatan apabila al-Quran dan as-Sunnah yang kita amalkan ini merupakan al-Quran dan as-Sunnah yang sama yang diamalkan dan dilaksanakan oleh para sahabat sewaktu mereka sezaman dengan RasululLah SAW. Subhanallah!
Bagaimana pula yang dikatakan Islam syumul dari aspek makan (tempat)? Allah berfirman dalam surah Asy-Syura:7,
“Dan demikianlah kami wahyukan Al-Quran kepadamu dalam bahasa Arab, agar engkau memberi peringatan kepada penduduk ibu kota (Mekah) dan penduduk (negeri-negeri) di sekelilingnya serta memberi peringatan tentang hari kumpul (kiamat) yang tidak diragukan adanya. ….”
Dapat dilihat dengan jelas di sini bahawa Islam yang diturunkan dalam bahasa arab di bumi Mekah dan Madinah bukanlah semata-mata untuk orang arab sahaja, malah ia untuk seluruh kehidupan manusia di bumi Allah SWT ini. Mahasiswa dan mahasiswi sekalian, jelaslah di sini bahawa Islam meliputi seluruh ruang tempat di muka bumi ini, di mana kita berada di situ Islam tetap akan di amalkan dan disebarkan.
Kesempurnaan Islam juga jelas dari sudut insan (manusia). Manusia tidak dibezakan dengan pangkat dan darjat, warna kulit sama ada hitam dan putih, bangsa dan keturunan, kaya dan miskin mahupun berpengaruh atau tidak seperti yang diamalkan sesetengah ajaran lain. Sebagai contoh, sistem kasta di amalkan yang membezakan antara pemerintah dengan golongan bawahan. Allah berfirman,
“Wahai manusia! Sungguh, kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh,yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti”. (Al-hujurat:13)
Sebagai Muslim, kita dianjurkan untuk saling kenal-mengenali antara satu sama lain dan diperintahkan agar kita memegang teguh dengan ad-Deen ini sebagai pegangan yang akan menyelamatkan kita dari seksaan api neraka sebagaimana dalam firman Allah dalam surah Ali-Imran:103,
“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurniaNya kamu menjadi saudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk”.
Begitu indahnya Islam apabila dengan berpegang pada tali persaudaraan dan tali Allah SWT, kita akan terselamat daripada seksaanNya. Apakah kita hendak menjadi dan mengikut sistem yang mementingkan diri sendiri dan perkara keduniaan dan kebendaan sahaja seperti yang diamalkan oleh orang bukan Islam? Sudah tentu tidak. Oleh itu, amat jelaslah hanya dengan kesatuan Islam tanpa mengira darjat dan sebagainya, ia mampu membawa kita kepada redha Allah SWT. Sesungguhnya setiap daripada orang Muslim adalah bersaudara.
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah SWT,
Kesyumulan Islam daripada sudut manhaj (cara dan pendekatan) sangat jelas. Al-Quran dan as-Sunnah serta Ijma’ ulama’ merupakan sumber rujukan utama sebagai seorang Muslim. Ketahuilah saudara-saudariku bahawa segala aspek kehidupan kita terkandung dalam al-Quran dan dijelaskan melalui hadis Nabi SAW. Al-Quran yang kita amalkan ini, merupakan pegangan yang dibawa oleh RasululLah SAW dan dipegang teguh para sahabat. Al-Quran yang kita amalkan ini terpelihara di bawah jagaan Allah SWT. Allah SWT berfirman,
“sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya”.(Al-Hijr:9)
Sebagai contoh yang mudah difahami, ramai di antara kita dengan jelas mengetahui bahawa solat itu tiang agama. Tahukah kita, sesebuah rumah tidak dapat dibina hanya dengan satu tiang sahaja? Bagaimana pula dengan tiang-tiang lain dan asasnya (tapak)? Adakah dengan asas dan tiang yang sedia ada boleh dikatakan sebuah rumah walaupun tidak mempunyai dinding dan bumbung? Sudah tentu tidak. Apa yang dikatakan sebuah rumah yang sempurna adalah ia mempunyai asas dan tiang yang kukuh, dinding yang mampu melindungi kita dari ancaman luar dan mempunyai bumbung yang menaungi dan memayungi kita dari hujan dan mempunyai kunci yang mampu membuka pintu tersebut.
Dari Muaz r.a. katanya Rasulullah s.a.w bersabda : “Kepala atau asas agama (yang aku bawa) ini ialah Islam (melafazkan dua kalimah syahadah yang mengesahkan ) dan (dengan itu) sesiapa yang telah Islam: selamatlah dia (dunia dan akhirat); dan (selain itu) tiang agama ialah sembahyang” (Riwayat Tabrani) manakala hadis dari Jabir r.a pula berkata Rasulullah s.a.w bersabda: “Anak kunci syurga ialah sembahyang”.(HR Ahmad)
Apa kaitannya contoh di atas dengan Islam yang syumul dari aspek manhaj atau sebuah rumah? Begitulah indahnya Islam kerana lengkap daripada pelbagai aspek sehingga diibaratkan Islam ini seperti sebuah rumah yang sempurna yang mempunyai satu elemen asas (tapak) dan empat elemen tiang yang kukuh, empat elemen dinding dan satu elemen bumbung. Kesemua elemen ini memainkan peranan yang penting dalam memastikan Islam terus memacu penduduk bumi ke arah keredhaan Allah s.w.t.
Dari Umar r.a. katanya, “……khabarkan kepadaku perihal Islam, maka Rasulullah s.a.w menjawab: Islam itu ialah engkau mengakui tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau berpuasa dibulan Ramadhan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi padanya atau mampu……khabarkan kepadaku perihal Iman, Rasulullah s.a.w menjawab: Iman itu ialah engkau beriman kepada Allah dan malaikatNya, dan segala kitabNya dan para RasulNya dan hari kemudian (kiamat) dan engkau beriman kepada qada’ dan qadar’……khabarkan pula tentang Ihsan, Rasulullah s.a.w menjawab: Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, tetapi jika engkau tidak melihatNya maka sesungguhNya Ia melihat engkau...”(HR Muslim)
Begitulah dialog antara Rasulullah s.a.w dengan Jibril a.s dalam sebuah majlis ilmu yang mana Jibril datang kepada kamu (para sahabat dan lain-lain) untuk mengajar tentang agama kamu. Jika dilihat Islam sebagai sebuah rumah, Jelaslah bahawa Lailahaillallah Muhammadurrasulullah merupakan asas atau tapak kepada rumah tersebut. Jika asas ini cukup kukuh dan kuat maka bolehlah dibinanya tiang-tiang rumah yang terdiri daripada empat tiang yang utama iaitu solat, zakat, puasa dan mengerjakan haji bagi yang mampu. Selari dengan itu, Iman dan Ihsan serta ibadah yang betul menjadi pelengkap kepada asas dan tiang rumah Islam yang mana Al-Quran menjadi sumber rujukan utama.
Bagaimana pula dengan dinding Islam? Negara Islam Madinah iaitu Negara Islam yang pertama di bumi Allah merupakan contoh terbaik sebagai panduan kepada kita untuk melihat apa yang dikatakan empat elemen penting tentang dinding. Dinding-dinding yang dimaksudkan adalah sistem-sistem yang diperlukan oleh sesebuah negara bagi memastikan negara berada dalam keadaan stabil yang mana mampu memelihara dan menjaga ummahnya. Sebagaimana yang kita tahu, negara Islam Madinah tertegak dengan adanya sistem ekonomi (iqtisadiyah), sistem politik (siyasi), sistem sosial atau kemasyarakatan dan sistem pengetahuan (ath-thaqafah). Kesemua sistem ini adalah berlandaskan syariat Allah yang membawa kepada kemakmuran alam ini di samping membawa ummahnya ke arah kemajuan.
Pembaca yang dikasihi Allah,
Sesungguhnya lengkap sudah asas, tiang dan dinding. Namun, kita masih lagi terancam kepada hujan, panas dan pencerobohan jika rumah tersebut tidak mempunyai bumbung. Di sini, bumbung memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan agar binaan rumah yang lengkap tadi terpelihara dan tetap teguh binaannya walaupun hujan lebat, rebut petir, panas yang melampau, pencerobohan dan sebagainya yang dapat memusnahkan rumah tersebut. Apakah yang dimaksudkan dengan bumbung tersebut sehinggakan dikatakan amat penting dan dapat melindungi rumah tersebut? Tidak lain dan tidak bukan ia adalah Jihad yang tersusun. Apa yang dimaksudkan dengan jihad itu ialah hamba-hamba Allah yang beriman dan mempunyai aqidah yang kukuh sehinggakan sanggup mempertahankan Islam hingga ketitisan darah yang terakhir dalam keadaan yang tersusun. Di sini wajib bagi kita untuk memelihara asas, tiang dan dinding kerana kitalah bumbungnya agar Islam tetap teguh dan berada dikemuncak kegemilangan sebagaimana zaman pemerintahan kerajaan Umayyah dan Abbasiyyah yang mana Islam menjadi pusat rujukan dunia (ustaziyatul alam). Sungguhpunbegitu, apa yang berlaku kini adalah, ke mana hilangnya bumbung (Jihad) tersebut sehinggakan dinding telah runtuh? Dan apa yang menjadi persoalannya adalah, adakah masih kukuh lagi tiang-tiang rumah Islam? Bagaimana pula dengan asas aqidah rumah tersebut iaitu Lailahaillallah Muhammadurrasulullah? Adakah kita boleh merasa bangga, berjasa dan cukup dengan apa yang kita ada sekarang sedangkan rumah Islam pada masa kini telah runtuh?
Allah berfirman,
“Mereka merasa berjasa kepadamu dengan keislaman mereka. katakanlah, “Janganlah kamu berasa berjasa kepadaKu dengan keislamanmu, sebenarnya Allah yang melimpahkan nikmatNya kepadamu dengan menunjukkan kamu kepada keimanan, jika kamu seorang yang benar”. (Al-Hujurat:17)
Lihat sahaja bumi Palestin pada masa kini yang diratah dengan rakusnya oleh zionis laknatullah, siapakah akan mempertahankan tanah air Palestin dan tanah air Islam iaitu bumi Allah jika tidak kita, yang mengaku beriman yang bersaksikan tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah! Siapakah yang akan membina rumah itu semula jika tidak kita!! Siapakah yang akan mengembalikan Islam sepertimana zaman kegemilangan Islam sewaktu pemerintahan Umayyah dan Abbasiyah jika tidak kita!! Ayuh saudara saudariku, bangunlah dan binalah asas yang kukuh dalam diri dengan memperbaiki diri dengan berhijrah menjadi insan generasi Al-Quran yang beriman dan berjihad serta mengamalkan ajaranNya seterusnya membawa Islam berada dipuncak kegemilangan. Allah berfirman dalam surah At-Taubah:20, “ orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah, dengan harta dan jiwa mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah. Mereka itulah orang-orang yang memperoleh kemenangan”. Bangunlah saudara saudariku. Sedarilah yang kini Islam sedang diasak hebat. Di mana pembela agama Allah SWT ? tepuk dada, tanyalah Iman...
0 comments:
Post a Comment