Serangan Pemikiran Musuh Islam

Oleh: 'Ammar Taqiyuddin bin Ainullotfi (3SMM)

Bismillahir Rahmani Rahim…

Di dalam siri-siri yang lepas Sinar Iqra’, dan ketika timbulnya isu keganasan Israel di Gaza, saya telah menceritakan tentang masalah yang dihadapi oleh ummah. Iaitu tentang kelemahan (al-wahnu) yang ada pada individu-individu yang mengaku dirinya muslim. Kita mengingati kembali sebuah hadith yang disebutkan oleh RasuluLlah SAW: "…dan Dia mencampakkan ke dalam hati kamu al-Wahnu…" dan disambung lagi, "(al-Wahnu adalah) cintakan dunia dan bencikan kematian" (Abu Daud, Ibn Majah). Dari hadith ini, kita dapat melihat bahawa orang muslim kini; (1)tidak memiliki keimanan yang mendalam, (2)hatinya dicegkam oleh urusan dunia, dan (3)semangat jihad telah hilang sama sekali dari dada mereka kerana takutnya mereka kepada kematian. Tetapi persoalannya, bagaimanakah satu ummah yang pernah memegang tamadun dunia dan menjadi al-ustaziyatul alam (paksi utama dunia) boleh menjadi begitu teruk sekali keadaannya? Apakah sebab-sebab dan punca yang menyebabkan boleh terjadinya hal-hal yang disebutkan oleh RasuluLlah itu sehingga sebuah tamadun yang agung berjaya diruntuhkan?

Sememangnya apa menyebabkan bangsa muslimin ini lemah ialah diri mereka sendiri. Suatu ketika dahulu, ketika zaman-zaman perluasan dan penyebaran Islam ke seluruh dunia ummah ini adalah ummah yang kuat. Musuh-musuhnya terasa gerun terhadap mereka disebabkan kehebatan dan 'izzah yang ditunjukkan oleh para mujahid yang berjihad dan berda'wah di jalan Allah. Bahkan kegerunan tersebut umpama kegerunan yang dirasai saat berjumpa dengan seekor singa yang buas. Bangsa muslim pada ketika itu maju dengan lajunya membuat futuhat (pembukaan wilayah) dengan Islam yang mulia. Ruh jihad yang mengalir di dalam salur darah dan sendi-sendi para muslimin ketika itu begitu hidup sekali. Jika musuh-musuh Islam berhadapan dengan tentera Islam, nescaya kebiasaannya yang menang adalah tentera muslimin.

Tetapi setelah mengecapi manisnya berada di puncak dunia, ramai dari kalangan mereka yang mula terpesona dan terikat hatinya kepada kesenangan dan kemewahan dunia. Lagi-lagi golongan kepimpinan yang menaungi ummah pada ketika itu. Pada masa yang sama, musuh-musuh Islam sudah mula menyedari bahawa mereka tidak akan mampu menang dengan peperangan yang berlaku secara fizikal sahaja. Bagaimana suatu kaum yang takut mati, dan ingin mendapat tujuan dunia boleh menandingi sebuah ummah yang rakyatnya tidak takut mati, bahkan matlamatnya ialah Allah dan hari akhirat? Bagaimana mereka boleh menandingi sebuah bangsa yang cita-cita tertingginya adalah untuk menegakkan kalimah Allah atau syahid di atas jalan tersebut? Mereka mengatakan, "selagi mana adanya semangat jihad, selagi itulah kita tidak akan menang".

Lalu mereka merancang untuk berperang dengan cara-cara yang selain dari Ghazwatul ‘Askariyah (peperangan ketenteraan) untuk mengalahkan dan menguasai bangsa yang agung ini. Oleh itu, timbullah di benak fikiran mereka idea untuk melancarkan Ghazwatus Siyasiyah (peperangan politik), Ghazwatul Iqtisadiyah (peperangan ekonomi), dan juga Ghazwul Fikri (peperangan pemikiran). Tujuan mereka tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjauhkan ahli bangsa muslim ini dari al-Qur’an dan as-Sunnah sehinggakan kesetiaannya tidak lagi kepada Allah dan Rasul, tetapi kesetiaan itu diberikan kepada kaum kuffar. Mereka ingin menentang dan menjatuhkan sebuah ummah yang kuat dengan mencabut serta membuang sumber kekuatan itu dari dada umat Islam.

Dengan terlancarnya Ghazwul Fikri terhadap umat ini, kaum kuffar berjaya menghancurkan pemikiran bangsa muslim. Kita dapat melihat kesannya di depan mata kita, walaupun di dalam universiti ini sendiri. Dahulu bangsa muslimin banyak disibukkan pemikiran mereka terhadap urusan-urusan yang besar, dan jiwa mereka jarang dilalaikan dari hal-hal yang kecil. Mereka berjuang di atas jalan Allah dengan sebenar-benar juang, al-Qur’an dihafaz sejak dari umur yang kecil lagi, dan remaja-remaja hatinya cinta kepada berjihad di jalan Allah. Tercatat di dalam sejarah, seorang pengintip barat telah terjumpa dengan seorang remaja yang menangis di tepian jalan. Remaja tersebut ditanya, "Mengapa engkau menangis wahai anak?" lalu dia menjawab, "Ibuku tidak membenarkan aku keluar berjihad dengan mujahidin, selagi mana aku belum menghafaz al-Qur’an… Aku ingin berjihad sekarang…". Begitu murni dan mulia sekali pemikiran remaja muslim ketika itu. Mereka disibukkan dengan cita-cita menguasai al-Qur’an dan syahid di atas jalan Allah. Tetapi sekarang, jika terjumpa seseorang yang bernangis di tepian jalan mereka akan mengatakan "Aku telah ditinggalkan oleh pasanganku…". Neraca pemikiran para pemuda ummah telah berubah dari hal yang besar kepada hal yang remeh.

Usaha-usaha yang dilancarkan oleh barat dan kaum kuffar bertambah subur dengan pelancaran hari-hari peristiwa seperti Valentine's day. Disebabkan kejahilan yang menimpa umat Islam, mereka turut menyambut hari Valentine. Tetapi ramai yang tidak tahu bahawa peristiwa ini bertentangan dengan aqidah Islam. Maka hasilnya, ramai yang melihat hari tersebut sebagai hari kekasih dan ini membawa mereka untuk berpacaran bersama-sama dengan pasangan mereka, walaupun mereka belum lagi diikat dengan ikatan perkahwinan yang sah. Hal ini membawa kepada kehancuran akhlak di kalangan pemuda-pemuda khasnya pemuda Islam. Kerana deen (agama) ini mengajar supaya setiap muslim menjauhi zina.

Apabila perbuatan menyambut hari Valentine dan juga hari-hari yang lain menular dan menjadi kebiasaan, ia menjadi petunjuk bahawa pemikiran masyarakat kita telah dirosakkan oleh barat dan kaum kuffar. Secara tidak langsung, musuh-musuh Islam berjaya menjalankan salah satu dari agenda mereka untuk menjauhkan umat Islam dari al-Qur’an dan as-Sunnah, bahkan membuat perkara-perkara yang dengan terang bertentangan dengan apa yang terdapat di dalam kedua-dua sumber tersebut.

Selain dari itu, Ghazwul Fikri ini telah berjaya melarutkan keperibadian seseorang muslim. Ini bertepatan dengan apa yang Allah sebutkan: "Mereka ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, lalu kamu menjadi sama (dengan mereka). Maka janganlah kamu jadikan di antara mereka penolong-penolong(mu), hingga mereka berhijrah pada jalan Allah. Maka jika mereka berpaling, tawan dan bunuhlah mereka di mana saja kamu menemuinya, dan janganlah kamu ambil seorangpun di antara mereka menjadi pelindung, dan jangan (pula) menjadi penolong" (an-Nisa', 4:89). Terlarutnya keperibadian seorang muslim sehinggakan mereka menjadikan musuh-musuh Islam sebagai penolong dan pelindung.

Bahkan hasil dari serangan yang telah dilancarkan ke atas pemikiran umat Islam, ramai yang telah murtad dan meninggalkan agamanya. Dalam sesetengah keadaan, ada individu-individu yang tidak terhenti sekadar murtad berkeseorangan, mereka turut mengajak dengan bangganya kepada orang lain untuk turut murtad dari deen Islam, dengan alasan konon-kononnya mereka telah mendapat "hidayah" dari "Tuhan". Allah telah berfirman: "Hai orang-orang yang beriman, jika kamu mentaati orang-orang yang kafir itu, niscaya mereka mengembalikan kamu ke belakang (kepada kekafiran), lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi" (Aali 'Imran, 3:149).

Wahai saudara pembaca yang budiman, kita ingin agar kita kembali menjadi ummah yang gemilang. Kita ingin agar kita kembali menjadi al-Ustaziyatul ‘alam, tetapi bagaimanakah kita boleh kembali kepada keadaan tersebut sekiranya kita tidak membebaskan seluruh pemikiran kita, jiwa kita, dan jasad kita dari dicengkam oleh musuh-musuh Islam. Marilah kita mengembalikan masyarakat kita kepada Allah SWT tanpa sebarang syaratpun. Kita ingin agar iman yang mendalam kembali memenuhi hati ummah, tetapi persoalannya bagaimana?

Sebagai kesimpulan, ar-Rasul telah menyebut: "Aku meninggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang kepada dua perkara ini, iaitu Kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah nabiNya" (Malik, al-Muwatto').

Advertisement

Comments
2 Comments

2 comments