Kita, Kepimpinan dan Umat

Oleh: Siti Hajar Bt Arbain(2SSM) & Tasneem Bt Nasharudin(2SSM)

Firman Allah yang bermaksud, “Iaitu mereka (umat Islam) Yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara Yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan Segala urusan”. Al-Hajj, ayat 41.

Alhamdulillah, marilah bersama-sama kita melafazkan kesyukuran kita ke hadrat Allah SWT di atas kurniaan terbesar dariNya yakni nikmat iman dan Islam yang masih kita rasakan sehingga ke saat ini. Tidak dapat diperkatakan melalui lisan mahupun tulisan, betapa besarnya nikmat ini jika ingin dibandingkan dengan nikmat-nikmat yang lain, yang sememangnya tidak semua insan dapat merasai kemanisan dan keindahan dua nikmat ini. Setelah berlalunya sebulan Ramadhan, bulan untuk kita sebagai umat Islam “bermesra” serta berkasih-sayang dengan Allah SWT dengan ibadat-ibadat puasa, terawih dan amalan-amalan sunat yang lain, kita dipertemukan pula dengan bulan silaturrahim yang penuh tersirat dengan rahmat dan kebesaran Allah SWT yakni bulan Syawal.

Begitulah kehidupan kita ini berulang dengan setiap saat kerdipan mata kita meneruskan kehidupan ini adalah merupakan satu rahmat yang kadang-kala tidak kita sedari. Siapa sangka, di kalangan kita yang masih berpeluang meneruskan perjuangan meniti jambatan panjang kehidupan ini, masih ada segolongan manusia yang kadang-kadang menyinggah sebentar di tepian sekadar berehat-rehat melihat keindahan tasik. Lebih malang lagi apabila segolongan mereka ini tidak mahu meneruskan perjalanan, bahkan terus asyik menikmati keindahan tasik-tasik serta pemandangan sekeliling sehingga melupakan destinasi sebenar yang ingin dituju di penghujung jambatan tersebut. Begitulah realitinya, kita sendiri mungkin kadang-kadang termasuk dalam golongan yang menyinggah di tepian itu, sehingga kadang-kadang terlupa bahawa destinasi kita sebenar masih belum ditemui. Kerana lemahnya iman, diri kita kadang kala menjadi mangsa terhadap tipu daya keindahan tasik-tasik di tepian itu yang disama ertikan dengan keindahan dunia ini sedangkan hakikatnya, penghujung jambatan yakni kematian merupakan destinasi kita di dunia ini. Kemudian, selepas tamatnya jambatan itu yakni setelah menemui kematian, maka bermulalah perjalanan sebenar kita di alam yang lain pula.

Ustaz Pahrol Mohd Juoi, seorang penulis yang pernah mengendalikan sebuah ceramah di UTM suatu ketika dahulu, pernah mengingatkan dalam ceramahnya, “pentingnya hidup di dunia ini adalah kerana adanya kehidupan akhirat”. Di sinilah tergambar kepada kita, betapa pentingnya setiap saat kehidupan di dunia ini untuk kita tanam benih-benih ibadat yang akan kita tuai ketika di alam akhirat nanti. Namun, persoalan yang timbul di sini, apakah kita ingin melihat rakan-rakan kita terus dibuai mimpi termenung melihat dan menikmati keindahan dunia semata-mata? membiarkan hanya kita sahaja meneruskan perjuangan? Tidakkah kita menginginkan sahabat-sahabat yang kita kenali tatkala di dunia ini, untuk kita dipertemukan semula untuk kedua kalinya di syurga kelak, setelah kematian memisahkan kita?

Firman Allah SWT yang bermaksud, “dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". Al-Baqarah, ayat 30.

Di sinilah, konsep kita dan kepimpinan perlu hadir dalam setiap individu yang merasakan dirinya masih bernafas dan berkemampuan untuk saling mengajak serta mengingatkan sahabat-sahabat di sekeliling kita. Firman Allah SWT dalam surah Al 'Asr ayat tiga yang bermaksud, “Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”.

Kepimpinan bukanlah hanya tertumpu kepada sebuah organisasi semata-mata, bukan juga hanya tertumpu kepada kepimpinan negara semata-mata, malah diri kita dan kepimpinan juga haruslah sentiasa digabungkan. Dari Abdullah bin Umar r.a. memberitakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “ setiap orang adalah pengembala (penjaga, pemimpin) dan setiap dari kamu akan ditanya (bertanggungjawab) terhadap pengembalannnya (urusan)”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis ini, Rasulullah SAW menegaskan bahawa setiap dari kita ini tidak kira sesiapa pun kita, adalah seorang pemimpin, baik dalam memimpin sebuah negara mahupun hanya memimpin diri sendiri. Walaupun dalam kelompok yang kecil, kepimpinan merupakan aspek terpenting, malah Rasulullah SAW juga pernah mengingatkan walaupun hanya tiga orang dari sahabat baginda sedang melalui suatu perjalanan bersama, maka lantiklah jua seorang ketua yakni pemimpin di kalangan mereka. Namun, dalam pembentukkan masyarakat Islam yang ingin benar-benar memahami Islam sepenuhnya, yang bangkit dari kejahilan ilmu dan iman, proses kepimpinan penting untuk diterajui dalam gabungan suatu kelompok individu. Di mana ia telah menerapkan kepimpinan dalam dirinya terlebih dahulu, untuk memacu suatu perjuangan yang lebih besar cabarannya. Kepimpinan merupakan suatu “seni” yang mengarah kepada suatu proses untuk menggerakkan sekumpulan manusia menuju ke suatu tujuan yang telah ditetapkan dengan mendorong mereka bertindak dengan cara yang tidak memaksa kerana mereka mahu melakukannya. Kepimpinan yang baik menggerakkan manusia ke arah jangka panjang yang merupakan kepentingan mereka yang terbaik. Fenomena umat Islam kini yang semakin hari semakin ditindas, semakin merosot jati diri Islamnya dan makin ditundukkan, amat memerlukan sebuah kepimpinan yang dapat membawa suatu perubahan jangka panjang seperti suatu ketika dahulu yang mana pernah bangkit malah pernah maju.

Kita sebagai seorang mahasiswa muslim, seharusnya menjadi tunggak utama sebuah perubahan ke arah zaman pemerintahan khalifah mashyur terdahulu seperti Umar al-khatab, Abdul Malik bin Marwan, Harun Ar-Rashid, Salahuddin Al-ayubi dan lain-lain. Lihatlah sekarang, Andalusia telah terhapus daripada lembaran Islam. Sedihnya melihat Aljazair, Tunisia, Bosnia Herzegovina, Kurdi dan Iraq. Di manakah penyambung warisan khilafah yang disebut dan dibanggakan itu? Pastinya, tiada yang mampu menjawab persoalan ini jika bukan kita, sebagai penyambung dalam menegakkan panji-panji kepimpinan Islam yang mahsyur untuk kembali menegakkan keadilan bagi umat seluruh dunia. Kerana itu, wahai roh-roh yang rindukan zaman kegemilangan itu, sematkanlah kepimpinan Islam yang sebenar, bermula dari dirimu untuk sama-sama bergerak dalam kelompok yang ikhlas untuk memimpin umat ke arah kepimpinan Islam. Fikirkanlah, pernahkah Rasulullah SAW menggunakan kekuasaannya demi mencari kesenangan dunia? Apakah orang-orang yang telah meninggalkan nama baik seperti Umar al-Khatab, tamak akan dunia yang fana? Kejayaan umat terdahulu adalah kerana keikhlasan pemimpin yang sentiasa rela berkorban demi menolong agama dan mengangkat darjat kaum muslim tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Seorang pemimpin yang baik bukanlah mereka yang hanya memimpin mengikut acuan sendiri tanpa melalui proses syura dan musyawarah. Pemimpin yang benar adalah mereka yang sedia menerima teguran mahupun kritikan dalam sebarang tindak tanduknya menjalankan proses kepimpinan. Lihatlah bagaimana sifat Saidina Umar al-Khatab yang suatu ketika pernah bertanya kepada umat Islam ketika itu, apakah yang akan dilakukan oleh mereka sekiranya beliau melanggar prinsip-prinsip Islam? Kemudian seorang lelaki muncul memberitahu akan meluruskannya dengan sebilah pedang. Lantas Saidina Umar mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana masih ada orang di lingkungan umat itu yang ingin memperbetulkan kesalahannya. Khalifah Malik bin Marwan juga pernah berpendapat, “semulia-mulia manusia adalah orang yang mempunyai adab yang merendah diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalasnya, dan bersikap adil ketika kuat”. Pemimpin sebeginilah yang kita harapkan untuk merintis kebangkitan Islam sebenar. Dalam Islam, kisah nabi dan rasul dibentangkan di dalam lembaran al-Quran untuk dijadikan contoh dan ikutan. Kejayaan mereka tidak diukur dari aspek ramainya pengikut, tercapainya matlamat atau banyaknya pembangunan yang dilaksanakan, bahkan ianya dinilai menerusi kegigihan dan keikhlasan serta ketegasan mereka menyampaikan risalah tauhid. Kejayaan mereka diukur daripada penunaian amanah sebagai pembawa risalah tauhid, untuk memenuhi tugas sebagai hamba Allah dan khalifahNya dimuka bumi. Wallahu’ alam..

Advertisement

Comments
2 Comments

2 comments