Tentangan di Thaif~

Original post from 'Asim 'Abdullah

Tentangan yang hebat oleh penduduk makkah menyebabkan baginda SAW terpaksa bergerak ke Thaif untuk meneruskan penyebaran risalah yang dibawanya. Namun demikian, keadaan di Thaif mirip sekali dengan keadaan di Makkah. Malahan, baginda dikejar dan dilontarkan batu oleh kanak-kanak penduduk Thaif. Semuanya gara-gara hasutan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin mereka.

Badan rasulullah SAW penuh dengan luka-luka dek batu yang terkena badan. Sungguh pilu hatinya kerana apa yang ingin dibawa hanyalah peringatan yang menguntungkan ummat di sana sahaja. Namun, ianya ditolak mentah-mentah oleh mereka.

Memadangkan keadaan tidak mengizinkan, Rasulullah SAW terpaksa berundur hingga baginda menyinggah ke sebuah kebun milik Atabah bin Rabi'ah. Di sana, baginda berdoa dengan perasaan penuh hiba kerana kelemahan diri yang tidak mampu membuat sedikit pun perubahan pada penduduk Makkah mahu pun Thaif. Sungguh, di sana baginda mengadu sebanyak-banyaknya kepada Allah dengan rintihan agar diberi petunjuk.

Melihat keadaan baginda sedemikian, dua orang anak Rabi'ah telah menghantar seorang hamba yang bernama Edas kepada Rasulullah SAW untuk membantu baginda. Edas membawa sepinggan anggur untuk santapan Rasulullah SAW.

Ketika Rasulullah SAW ingin menyuapkan anggur tersebut kedalam mulutnya, baginda telah memulakan dengan bacaan "Bismillah".

Edas menjadi hairan dengan ucapan yang ditutur Rasulullah SAW.

"Sebutan yang tuan hamba ucapkan tadi belum pernah hamba dengarnya dari penduduk di sini."

lalu baginda SAW bertanya kepada edas,

"Siapa nama kamu?"

dijawab Edas, "Edas"

"Wahai Edas, kamu berasal daripada mana dan apa agama yang kamu anuti?" baginda bertanya lagi.

"Sebenarnya saya berugama Nasrani dan berasal daripada sebuah kampung di Al-Musil iaitu Ninawa." Jawab Edas.

Kemudian baginda SAW menjawab,

"Jadi kamu ini sekampunglah dengan seorang hamba Allah yang soleh itu iaitu Yunus bin Matta (Nabi Yunus)?"

"Bagaimana tuan hamba boleh kenal Yunus bin Matta itu?" Tanya Edas.

Kemudian baginda pun menjawab,

"Beliau adalah saudaraku kerana beliau adalah seorang nabi Allah dan aku pun juga seorang Nabi Allah..."

Mendengar ucapan baginda SAW, Edas terus mengucup kepala, kedua kaki dan tangan Baginda SAW sambil menyaksikan keislamannya dihadapan Rasulullah SAW.

Sesudah peristiwa itu, baginda SAW sangat bersyukur kepada Allah kerana memberikan kekuatan kepada baginda SAW untuk melaksanakan tugasnya walau pun hanya kepada seorang hamba. Setidak-tidaknya, seorang lagi manusia kembali mengesakan Allah SWT dalam keadaan mereka yang lain terus menyukutukan Allah.
---
Wallahu'alam

Advertisement

0 comments:

Post a Comment