KARNIVAL SUKAN IQRA' (KARS-i) di dalam Sinar Harian

[ ikhwah beriadah ]




SKUDAI - Karnival Sukan Iqra’ Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2011 (KARS-i 11) berusaha membawa masyarakat seluruh kampus kembali kepada penghayatan dan pemahaman konsep sebenar al-Quran dan As-Sunnah.

Pengarah Program, Shakirin Alias berkata, penganjuran program ini sebagai alternatif untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa yang dibuka kepada seluruh masyarakat kampus sama ada mahasiswa wanita mahupun mahasiswa lelaki.

Menurutnya, program yang setiap tahun diadakan adalah anjuran Kelab Iqra’ UTM yang mana mengandungi permainan sukaneka meliputi permainan buat rantaian, kertas ajaib, bawa belon guna pipi serta radio rosak.

“Semua permainan berkenaan dibentuk sebagai cara memupuk kreativiti setiap peserta selain dapat menguji kesabaran mereka selain membentuk kerjasama erat di antara satu sama lain.

“Sukan futsal turut diadakan yang terbuka kepada mahasiswa lelaki, manakala mahasiswa wanita pula bermain bola jaring. Karnival Sukan Iqra’ UTM diadakan di padang Kolej 9 UTM melibatkan kira-kira 130 mahasiswa lelaki dan perempuan,” katanya kepada Sinar Harian.

Shakirin berkata, semua aktiviti dijalankan sebagai program riadah yang mana adalah langkah bagi mengurangkan tekanan belajar masing-masing selain dapat membentuk sikap suka kepada sukan dan melatih menjaga kesihatan masing-masing.

Sementara itu, Presiden Kelab Iqra’ UTM sesi 2011, Asim Abdullah Ainullotfi berkata, pada Karnival Sukan Iqra’ ini, kami juga berusaha untuk menghidupkan suasana ukhuwah dalam kalangan ahli kelab dan juga mereka yang bukan ahli agar sama-sama boleh mengingati Allah sekali pun bentuk programnya adalah sukan.

Menurutnya, ketika KARS-i 11 berlangsung, kami dapat bersama dan mengenali ramai peserta baru daripada kalangan mahasiswa sendiri yang bukan ahli.

“Alhamdulillah, beberapa acara telah berjaya kami lakukan iaitu acara sukaneka, bola jaring (perempuan) dan juga futsal (lelaki). Semoga setiap usaha dan tindakan kami menjadi sebuah amal dan ibadah yang diredai Allah.

“Justeru, sebagai tanda beriman dengan Allah dan Ar-Rasul, kami berusaha untuk membina kriteria penting yang digariskan Ar-Rasul SAW dalam hadis di atas. Membina seorang Muslim Qowiy (Muslim Kuat) melalui sukan,” katanya.

Beliau percaya, untuk melihat Islam kembali gemilang suatu hari nanti, amatlah perlu dipersiapkan individu soleh dan solehah yang faham dan menghayati al-Quran dan As-Sunnah.

“Dan antara ciri-ciri seorang muslim yang soleh dan solehah adalah mereka punya tubuh badan yang kuat.

“Seperti dalam sebuah hadis Ar-Rasul SAW yang membawa maksud, mukmin yang kuat lebih dicintai Allah berbanding mukmin yang lemah, dan masing-masing punya kebaikan...[HR Muslim],” katanya.

 

Advertisement

Comments
1 Comments

1 comments

  1. best sgt,subhanallah ! :).smga tahun2 akan dtg dpt bwt lg insyaAllah :)

    ReplyDelete