Ibarat berenang seribu batu





Masa terus berlalu, usia pun ikut begitu
Tapi amal masih seperti dulu, pun tiada rasa malu
Malu kepada Tuhan yang menciptakan mu
Malu kepada ibubapa yang mendewasakan mu.

Untuk beramal pastinya perlu menuntut ilmu
Menuntut ilmu pastinya pula mudah terbit rasa jemu
Apatah lagi beramal pastinya banyak liku-liku
Kerana itulah lumrahnya kerana syurga yang dituju.

Baki usia sampai bila kita sendiri tak tahu
Mungkin ketika muda, mungkin juga ketika sudah bercucu
Jika muda, biar sebagai pemuda pendamping masjid dan ke majlis ilmu
Jika tua, semoga telah persiapkan waris-waris untuk mendoakanmu selalu.

Ya, berkata-kata dan menulis memang semua orang mampu
Namun untuk melakukannya sangat sukar ibarat berenang seribu batu
Cuma buatlah yang termampu walau pastinya banyak liku-liku
Kerana itulah lumrahnya kerana syurga yang dituju.


Ibarat berenang seribu batu? 

Hmm.. Berenang tidak susah kan? Kecuali jika kita memang belum pandai berenang. Kalau belum pandai, memang rasa sangat susah - malah mustahil. Tetapi berenang bukanlah suatu bakat yang hanya dimiliki sesetengah orang sahaja. Sebaliknya semua orang boleh berenang jika belajar dengan betul! Oleh itu, kita perlu belajar bagaimana untuk berenang. Ada orang sudah diasuh sejak kecil lagi. Kebetulan pula kediamannya berdekatan dengan sungai atau laut.. Alhamdulillah. Ada pula mereka yang telah dewasa tetapi tidak pandai langsung berenang - kerana tiada pendedahan. Lalu, boleh jadi mereka akan merasa sedikit sukar untuk belajar berenang. Maklum sahaja, tulang semua sudah 'keras'.. :)

Jadi secara amnya, berenang sememangnya tidak mustahil. Malah tidak susah pun. Tetapi bagaimana pula jika jaraknya saaaaangat jauh? 10 meter atau 100 meter mungkin masih dekat. Tetapi bagaimana pula dengan jarak seribu batu (1609 kilometer)? 

Ya, seribu batu bukanlah suatu jarak mutlak untuk ke syurga. Lagipun, mahu kira bermula dari mana, kan? Cuma yang kita yakin adalah, impian untuk ke syurga itu bukanlah singkat jalannya. Panjang, jauh, malah pelbagai dugaan mungkin kita akan temui sepanjang jarak tersebut. Dan jika jarak seribu batu, pasti keadaannya bukan seperti kolam yang airnya tenang dan bersih, tiada ancaman - malah hujungnya jelas. Tetapi keadaannya pelbagai - iaitu lautan! Ada ketikanya air tenang, ada ketikanya bergelora. Ada ketikanya tiada gangguan, ada ketikanya mungkin terserempak ikan pemangsa. 

Malah berenang di lautan juga memerlukan kita sentiasa 'berperang' dengan arus, angin, suhu dan cuaca. Jika tersilap, haluan kita boleh terubah dan kita takkan sampai ke destinasi sepatutnya. Malah kita mungkin kehilangan nyawa di tengah-tengah lautan itu.

Hmmm.. Sayangnya jika kita tidak berjaya sampai ke tepian. Sayangnya jika kita terubah arah laluan. Lebih sayangnya jika kita terkubur di tengah-tengah perjalanan. Sayang.. Kan?



Renangan 32.8 km = Datuk

Masih ingatkah kita kepada tokoh perenang jarak jauh negara, Datuk Abdul Malik Maidin? Pada 3 Ogos 2003, beliau telah berjaya merentasi Selat Inggeris sejauh 32.8 km dalam masa kurang 18 jam. Dengan kejayaan tersebut, beliau telah mencipta sejarah baharu buat negara malah dianugerahi gelaran 'Datuk'. Tak mudah kan untuk mendapat gelaran tersebut? Bayangkan betapa 'bekunya' beliau kerana terpaksa berenang dalam keadaan yang tersangat sejuk dan tersangat lama itu. Namun akhirnya beliau berjaya! Bukan calang-calang orang kan? Bukan juga calang-calang persediaan dan latihan yang beliau telah lakukan. Malah beliau mendapat tunjuk ajar dari jurulatih yang berpengalaman luas dari Australia - bukan berlatih sendiri.

Andai tiada jurulatih, tiada latihan, tiada kemahuan yang jelas, tiada kesabaran; adakah beliau mampu berenang sejauh 32.8 km tersebut? Jawapannya pasti tidak! Tetapi, beliau berjaya membuktikan sebaliknya dan berjaya melakukannya. 

Oleh itu, dengan mempersiapkan diri kita sebaiknya dan juga selalu merujuk kepada orang yang lebih arif, tidak mustahil juga sebenarnya untuk diri kita sendiri berenang sejauh seribu batu! Kerana tempoh kita bukanlah hanya 18 jam, malah seumur hidup. Oleh itu, kita tidak perlu berenang sekuat hati dan selaju mungkin. Cukuplah sekadar dengan kelajuan sederhana tetapi istiqamah. Dan berhentilah seketika di tempat yang sesuai apabila kepenatan. Malah kita juga boleh berehat dan menikmati keindahan alam dan lautan sepaaaanjang perjalanan itu.



EH! BUKANKAH KEHIDUPAN KITA JUGA SEPERTI INI?

Yup, berenang adalah ibarat beramal di jalan Allah. Dan akhirnya destinasi impian kita adalah syurga. Beramal itupun memerlukan ilmu dan bimbingan juga, kan? 

Beramal juga tidak sukar. Contohnya membaca Al-Quran satu juzuk semalaman, apatah lagi sekadar beberapa muka - bagi orang yang fasih. Namun agar sukar bagi mereka yang masih belum fasih. Dan yang paling sukar adalah, untuk istiqamah (berterusan).

Bacalah walaupun sedikit mengikut kemampuan kita - asalkan istiqamah. Begitu juga dengan ibadah dan amal-amal yang lain. Tak perlu tergesa-gesa sehingga lupa untuk berehat, malah menikmati keindahan dan nikmat di sekeliling kita. Cuma, janganlah terlalu dibuai nikmat-nikmat tersebut sehingga terlupa pula tujuan asal kita. Dan persiapkanlah diri dengan ilmu dan bimbingan semampunya agar segala dugaan dan cabaran sepanjang perjalanan, tidak mampu melemahkan dan 'mematikan' kita.

Jadi, jom segarkan selalu niat kita - menuju destinasi impian! ^.^

Advertisement

0 comments:

Post a Comment