Pengabaian al-Qur'an

"Dan ar-Rasul (Muhammad) telah berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan Qur'an ini mahjura (diabaikan)"
(al-Furqan, 25:30)

RasuluLlah SAW telah mengadukan kepada Rabbnya, dalam keadaan sedih, kerana suatu petunjuk dan keterangan yang jelas itu hanya menjadi bahan abaian oleh kaumnya yang leka dan lalai.

Bagaimana baginda SAW tidak berasa sedih? Sedangkan kitab inilah kitab yang diturunkan oleh Allah SWT, agar menjadi suatu keterangan yang jelas buat manusia, menjadi petunjuk buat orang-orang yang bertaqwa, menjadi sumber rujukan yang tidak ada lagi keraguan padanya dan menjadi peringatan buat mereka yang takut (kepada Allah dan hari pembalasan).

Adakah wujud orang yang dirinya tidak mahukan petunjuk yang jelas? Lalu dengan petunjuk tersebut dia memperoleh kejayaan yang hakiki? Bahkan manusia ini begitu lalai dan leka sekali, kerana ramai yang telah memperbuat sewenang-wenangnya terhadap al-Qur'an, iaitu dengan mengabaikannya; termasuk mereka yang mengaku dirinya seorang muslim.

Ramai dari kalangan manusia yang telah mengabaikan al-Qur'an, mereka mengabaikannya dalam empat cara:
  1. Mengabaikan tilawahnya. Kita teringat kisah seorang sahabat ketika RasuluLlah berkata kepadanya bahawa hendaklah al-Qur'an itu dikhatamkan selewat-lewatnya dalam sebulan. Ia seolah-olah nampak macam banyak, tetapi sebenarnya yang demikian adalah minima mentilawah al-Qur'an. Untuk khatam dalam tempoh satu bulan, seseorang itu hanya perlu membaca 4 muka surat dari al-Qur'an setiap kali selepas solat fardhu. Purata kadar membaca untuk 4 muka surat hanyalah sekitar 7 hingga 10 minit sahaja. Adakah 10 minit itu terlalu lama untuk membaca ayat-ayat Allah Yang Maha Agung?
  2. Mengabaikan taddaburnya. "Mengapakah mereka tidak mentadabbur al-Qur'an atau adakah hati mereka sudah terkunci?" (Muhammad, 47:24). Allah mempersoalkan kepada kita, agar hati kita sentiasa terbuka dengan kita mentadabbur kitab yang suci ini. Adakah ada ubat yang terbaik buat hati selain dari ayat-ayat dari al-Qur'an? "Dan Kami turunkan dari al-Qur'an (sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, sedangkan bagi orang yang zalim (al-Qur'an) itu hanya akan menambah kerugian" (al-Isra', 17:82).
  3. Mengabaikan pengamalannya. "Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak perbuat? Amat besar kemurkaan di sisi Allah jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat" (as-Saff, 61:2-3). Juga kerana kita sentiasa mengingati sebuah hadith Nabi SAW: "Bukanlah iman itu dengan berangan-angan, bukan juga dengan perhiasan tetapi ia adalah sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan 'amal" (ad-Daylami). Maka apa yang dibaca hendaklah diterjemahkan dalam bentuk amal, dan tidak hanya tinggal sebagai kalimah-kalimah yang tertinggal di atas mashaf atau yang disebut-sebut di bibir sahaja.
  4. Mengabaikan penghukuman dengannya. Sesungghunya, Allah telah mengingatkan kita dengan suatu ingatan yang tegas dan keras; "...barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang kafir" (al-Maidah, 5:44), kafir dengan erti kata; mereka ini menolak kesluruhan dari ayat-ayat Allah tanpa ada sedikit pun perasaan untuk mendengar, memahami dan memerhatikan kebenarannya. Maka golongan ini adalah golongan yang telah kufur dengan sebab sikap tersebut. Dan juga di dalam ayat yang lain, "...barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang zalim" (5:45). Zalim disebabkan mereka telah mengakui kebenaran apa yang terkandung di dalam al-Qur'an atau apa yang telah diturunkan oleh Allah, tetapi mereka tidak mahu mengamalkannya atau mengambil isi kandungannya sebagai suatu perlembagaan hidup. Maka mereka adalah orang-orang yang menzalimi diri mereka sendiri. Dan yang terakhir, "...barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang fasiq" (5:47). Fasiqnya mereka disebabkan hanya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain. Hanya beramal dengan apa yang "sesuai" dengan diri mereka, dan meninggalkan bakinya. Tetapi mereka ini tidak menolak, bahawa keseluruhan al-Qur'an itu adalah benar dari Allah. Mereka adalah golongan yang fasiq.
Marilah kita sama-sama memperbaiki diri, dan berusaha mendekati al-Qur'an kerana ia merupakan salah satu wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan agar kita dikurniakan kejayaan yang hakiki; "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepadaNya, dan berjihadlah kamu di jalanNya, agar kamu berjaya (beruntung)" (al-Ma'idah, 5:35).

Advertisement

0 comments:

Post a Comment