Hikmah disebalik peristiwa Gaza

Oleh: Zaleha Mohamad Saidin (3SKK)

Usai peristiwa perang Gaza selama 22 hari yang mengorbankan lebih 1300 orang saudara-saudara kita di Palestin, keadaan nampaknya agak reda kini. Namun, genjatan senjata yang disangka masyarakat dunia mampu melenyapkan kerakusan Zionis Israel ternyata meleset sama sekali dengan kehadiran berita-berita pencabulan oleh rejim tersebut. Sungguh, ini mengingatkan kita kepada satu firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 120 yang berbunyi, “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan ridha kepada kalian hingga kalian mengikuti agama mereka”. subhanallah, benarlah kalam Allah ini!

Jika terkenang kembali peristiwa di Gaza, pastinya kita tertunduk sayu. Jika masyarakat dunia bukan Islam yang turut meratap sedih kejadian Gaza atas nama kemanusiaan, apatah lagi kita yang beragama Islam. Orang-orang Palestin adalah saudara-mara kita yang terikat atas dasar tauhid yang satu. Kesengsaraan mereka adalah kesengsaraan kita, kesedihan mereka adalah kesedihan kita dan kesakitan mereka adalah kesakitan kita. Rasulullah SAW pernah menyebutkan bahawa umat Islam ini ibarat sebuah jasad, jika sakit salah satu anggotanya, maka akan sakitlah seluruh jasad. Sinonimnya, cubit paha kanan paha kiri pun terasa.

Biarpun demikian, adakah peristiwa Gaza dilihat sebagai suatu lipatan sejarah dengan menegaskan peristiwa ini telah mengorbankan dan mencederakan beribu-ribu masyarakat Palestin semata-mata? Atau kita hanya melihat ia sekadar kisah peperangan yang mana satu pihak ingin merampas hak satu pihak yang lain? Berbalik kita kepada Allah bahawa sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Kita meyakini bahawa kejadian ini pasti ada hikmahnya, insyaAllah. Jika kita amati betul-betul, ternyata peristiwa Gaza merupakan salah satu ujian buat orang-orang beriman sebagaimana firman Allah dalam Al-Ankabut ayat 11, “Dan sungguh Allah benar-benar akan mengetahui orang-orang yang beriman: dan sungguh Allah akan mengetahui orang-orang yang munafik”. Allah telah menampakkan hakikat keimanan seseorang dan pengaruhnya di medan nyata. Dan hal ini semakin menambah mantap keyakinan orang-orang yang beriman serta semakin meneguhkan mereka dalam berjihad dan memegang agama ini. Syaikh ‘Alwi bin Abdul Qadir as-Saqaf menegaskan bahawa apa yang terjadi di Gaza bukanlah keburukan seratus peratus bahkan di dalamnya banyak terdapat kebaikan. Ini hanya diketahui oleh mereka yang bashirahnya telah disinari oleh Allah dengan cahaya keimanan.

Tidak perlu merenung jauh, lihatlah di sekeliling kita wahai sahabat-sahabat. Sejak bermulanya perang terangan di Gaza tanggal 27 Disember 2008, ternyata umat Islam ‘dipaksa’ untuk lebih mengenal Gaza baik dari segi sejarahnya sebagai bumi anbia dan Isra’, meyingkap kisah jihad pejuang-pejuang Hamas, seterusnya meletakkan bumi Palestin dekat di dalam hati setiap dari kita malah menjadikan kita semakin peka dan buka mata dengan pencerobohan rejim Zionis dan pencabulan-pencabulan mereka. Di sana-sini, kita dapat perhatikan demonstrasi-demonstrasi bantahan terhadap Israel. Di mana-mana, masih ada solat hajat khas buat Palestin diadakan bahkan sehingga ke hari ini. Selain itu, kita menyahut seruan boikot barangan Israel dan sekutunya Amerika Syarikat. Sesungguhnya kita mengharapkan ekonomi kedua-dua Negara laknat ini dapat dilumpuhkan agar dengan itu, tempanglah kuasa mereka, akan pincanglah pengaruh mereka. Kita berdoa, berdoa dan berdoa saban malam mengaharapkan Palestin akan kembali kepada yang punya hak, yakni umat Islam. Kita menyedari sesungguhnya usaha kita yang kecil ini hanyalah secebis usaha yang mampu kita lakukan di sini padahal pejuang-pejuang Palestinlah yang mengetuai jihad sebenar berada di saf paling hadapan. Biarpun demikian, yakinlah kita bahawa Islam akan menang akhirnya. Yakinlah kita usaha kita yang sedikit ini mampu memberikan impak positif dengan izin Allah SWT.

Pembantaian umat Islam di Gaza amat memilukan kita. Sejenak, kita pasti terfikir apakah mesej Allah di sebalik peristiwa perit ini. Dari satu segi, jika direnung dari aspek akidah inilah merupakan suatu bentuk ujian dan cubaan buat orang-orang beriman. Di antara nilai-nilai aqidah yang nampak dengan jelas baik bagi rakyat Gaza maupun kaum beriman yang jujur lainnya adalah: keimanan kepada qadha dan qadar (takdir Allah), berlindung kepada Allah ‘azza wa jalla, ketawakalan kepada-Nya, nilai-nilai ukhuwah imaniyah, dan berbaik sangka kepada Allah serta keyakinan akan pertolongan-Nya dan janji-Nya yang haq. Sebagai contoh, para mujahidin Palestin telah memberikan keteladanan yang tinggi dalam hal beriman kepada qadha dan qadar, bersabar dan redha tanpa disertai keluh kesah. Begitulah juga kita yakni wajib meyakini bahwa apa yang menimpa rakyat Gaza berupa pembunuhan, penghancuran, luka dan lapar, semua itu adalah takdir Allah yang berjalan pada hamba-hamba-Nya yang beriman.

Apabila tercetusnya peperangan di Gaza, kita diseru melakukan pemboikotan barangan dan perkhidmatan yang membantu Israel dari sudut kewangan mereka. Rata-rata barang keperluan seharian kita meliputi barangan yang menyumbang kepada penghasilan peluru dan senjata yang membedil Gaza. Di sini kita dapat melihat dengan jelas bahawa ekonomi dunia sekarang sedang dikuasai oleh negara barat yang mana mereka memberi sokongan yang sepenuhnya ke atas perampasan tanah Palestin oleh Israel. Apabila kita telah menolak sesuatu penggunaan barangan atau perkhidmatan yang disediakan oleh pihak yang menyokong Israel, sudah tentulah kita perlu mencari alternatif lain untuk menampung keperluan seharian. Oleh itu, ada sesetengah pihak mengambil ia sebagai peluang keemasan untuk mereka mengembangkan ekonomi mereka. Mereka cuba menghasilkan dan mengembangkan produk atau perkhidmatan mereka yang hampir serupa fungsinya dengan barangan yang diboikot. Secara tidak langsung, kita sebagai pengguna tidak akan bergantung sepenuhnya kepada penggunaan barangan atau perkhidmatan yang disediakan oleh pihak yang menyokong Israel.

Seperti yang kita sedia maklum hasil kajian oleh penulis bebas, Dr. Farrukh Saleem telah membuktikan bahawa dengan jelas dunia ilmu sekarang telah dikuasai oleh kaum yahudi dalam pelbagai bidang. Hampir setiap kemudahan yang tersedia sekarang adalah terhasil daripada kebijaksanaan dan keilmuan yang dimiliki oleh Yahudi. Persoalannya, di manakah ilmuwan Islam yang mampu menandingi kehebatan ilmu yang dimiliki oleh Yahudi? Kita bangga dengan sejarah Islam yang menceritakan cendekiawan dan ilmuwan Islam merupakan perintis terhadap kemodenan dunia sekarang seperti Ibnu Sina yang pakar di dalam perubatan. Namun adakah kebanggaan itu mampu menandingi kehebatan ilmuwan Yahudi sekarang? Kita sebagai mahasiswa yang bakal mewarisi kepimpinan negara harus melihat perkara ini sebagai cabaran untuk kita berusaha menjadikan Islam gemilang semula dengan kelahiran pakar-pakar daripada pelbagai bidang. Tidak hanya belajar semata-mata untuk mencari sumber kewangan tetapi melaksanakan ia kerana satu ibadah dan merupakan jihad untuk kita di sini. Ilmu adalah sumber kekuatan. Tanpa ilmu kita akan ditindas dan diperlekehkan. Pengusaan ilmu adalah penting untuk mencapai kemenangan. Imam Ibn Kathir menafsirkan bahawa: Golongan ulul albab (golongan yang berakal) sebagai golongan yang mempunyai ilmu yang tinggi serta pemikiran yang bersih sehingga mampu meletakkan sesuatu perkara pada hakikatnya yang betul.

Masih terdapat banyak hikmah disebalik kisah peperangan Gaza. Kita harus menilainya daripada sudut positif bagi melahirkan golongan yang mampu menetang kekejaman yang dilakukan oleh Israel. Apa yang telah terjadi ke atas Gaza telah ditakdirkan Allah, segalanya telah terencana di sisi-Nya. Semoga peristiwa pahit ini menjadi suatu titik tolak penghijrahan umat Islam supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Sesungguhnya Sheikh Mohd Abduh pernah berkata, “Kecemerlangan Islam itu tertutup oleh kebodohan umatnya”. Oleh itu wahai sahabat sekalian, lihatlah peristiwa Gaza ini sebagai satu platfom yang mampu meledakkan semangat perjuangan kita menegakkan Islam. Ia merupakan peringatan daripada Allah tentang tanggungjawab kita sebagai khalifah di bumi ini untuk menegakkan yang haq dan menentang yang batil.

Advertisement

0 comments:

Post a Comment