Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan rahmat-Nya, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Kelab Iqra sessi 2009 telah berjaya menganjurkan program Kembara Syumul Al-Quran ‘09 (KESUMA ‘09) pada 21 – 22 Februari 2009. Program yang disertai oleh ahli-ahli Kelab Iqra seramai 32 orang ini bertempat di Balai Cerap UTM.
Secara tidak rasminya, program ini telah bermula pada 20 Februari 2009 jam 9.00 malam di bilik kelab Iqra’ dengan slot pertama bertajuk “Islam:Suatu Manhaj Untuk Manusia”. Slot pertama disampaikan oleh Dr. Zaharudin bin Mohamad. Di dalam slot ini, Dr. Zaharudin telah menerangkan kepada peserta tentang tabiat agama, fitrah manusia,beberapa persoalan dan salah faham tentang Islam, dan bagaimana sesuatu manhaj itu akan terlaksana. Beliau juga menerangkan bahawa manhaj terlaksana dengan adanya segolongan manusia yang membawanya, yakin dan mengimani kebenarannya serta beramal dengannya menurut kemampuanmanusia, berusaha menerapkan kepada orang lain dan berjihad sepenuhnya dengan segala yang ada padanya.
Setelah itu, peserta kem ini dibahagikan kepada tiga kumpulan bagi melakukan aktiviti latihan dalam kumpulan 1 (LDK 1). Peserta dibekalkan dengan sebungkus chocolate snack dan dikehendaki membina sebuah bangunan yang kukuh daripada chocolate snack tersebut. Daripada aktiviti yang dilaksanakan ini, dapat dilihat kekreatifan peserta berfikir untuk membina sebuah bangunan. Selain itu, kesepakatan dan tolak ansur di antara ahli kumpulan teruji apabila pelbagai idea yang berbeza-beza dikeluarkan. Di sebalik aktiviti ini, kami dapat menyimpulkan bahawa asas sesuatu binaan itu perlulah diperkukuhkan terlebih dahulu sebelum membina sebuah bangunan. Sepertimana kita sebagai muslim, perlulah mengukuhkan asas tauhid dan kepercayaan kepada Allah sebelum melaksanakan islam dalam sistem kehidupan.
Keesokan paginya, slot kedua diteruskan dengan tajuk “Memahami Islam Menurut Al-Quran” yang disampaikan oleh Ustaz Idris bin Ismail. Beliau memulakan ceramah dengan memberikan definisi Islam menurut Rasulullah saw di mana ia meliputi islam, iman dan ihsan. Beliau juga membawa peserta berfikir mengenai situasi umat islam kini yang sedang berhadapan dengan serangan pemikiran. Dewasa ini, kita dapat melihat impak ketara yang menular dalam kalangan masyarakat adalah rosaknya akhlak umat, kehancuran dari sudut pemikiran, kecelaruan peribadi serta masalah murtad yang semakin meruncing. Umat islam kini seolah-olah telah kembali ke zaman jahiliyyah .
Selesai minum pagi, slot ketiga pula disampaikan oleh Professor Dr. Arshad Ahmad dengan tajuk “Tanggungjawab dan Peranan Pemuda Islam”. Menurut beliau, Islam itu syumul dan meliputi semua aspek kehidupan. Secara keseluruhannya, terdapat beberapa perkara penting yang dapat disimpulkan dalam ceramah beliau. Sebuah bangunan dapat dibina dengan kukuh sekiranya setiap individu berusaha membaiki diri dan berani memikul tanggungjawab dan tugas dakwah yang diwarisi oleh para anbia’, sahabat dan da’e sebelum ini. Penyampaian beliau tamat pada jam 1.00 petang. Setelah itu peserta bersiap-siap untuk solat zohor berjemaah dan menikmati makan tengah hari.
Slot keempat yang bertajuk “Nasihat Kepada Umat Islam Kini” telah disampaikan oleh ustaz Nasir bin Masrom. Beliau menegaskan hadith pertama daripada Himpunan Hadith 40 oleh Imam Nawawi, bahawa betapa pentingnya setiap amalan itu dimulakan dengan niat. Selain itu, beliau juga menerangkan jenis-jenis amal yang diterima oleh Allah swt serta faktor-faktor yang akan merosakkan amal. Slot seterusya disambung oleh En. Baharin bin Mesir yang bertajuk “Dasar-dasar Asasi Dalam Cara Hidup Islam”. Beliau membawa peserta memikirkan neraca pertimbangan yang sepatutnya diikuti oleh umat Islam, mengenali hakikat kejadian manusia, pengertian Islam, sifat- sifat yang terkandung dalam agama Islam itu sendiri serta prinsip asas dalam kehidupan manusia.
Memandangkan cuaca pada petang itu hujan, aktiviti riadah digantikan dengan LDK 2. Aktiviti LDK 2 dijalankan secara berasingan antara ikhwah dan akhawat. Peserta diberikan tiga situasi berbeza dan dikhendaki membincangkan situasi tersebut di dalam kumpulan. Tiga situasi yang diberikan adalah berkisar tentang tanggungjawab kita sebagai hamba Allah iaitu sebagai khalifah dan menurut segala perintahNya serta tangungjawab individu dalam melakukan amal dan dakwah. Dalam LDK ini, semua peserta bersemangat dalam melontarkan idea masing-masing serta berkongsi dengan peserta-peserta dan fasi yang ada. Kesimpulan yang diperoleh dalam LDK ini ialah tanggungjawab dakwah atau amal makruf wa nahi munkar adalah kewajipan setiap individu, tanpa melihat pada pangkat atau hartanya. Dalam berdakwah juga adalah penting untuk setiap individu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuannya dan mempertingkatkan amal ibadahnya. Sesungguhnya Allah menyukai hamba-hambaNya yang beramal walaupun sedikit tapi istiqamah.
Selepas solat mahrib dan isyak berjemaah, peserta menikmati makan malam. Pada jam 9.15 malam, ustazah Farahwahida Mohd Yusof membawa tajuk “Sistem Kehidupan Dalam Islam” untuk slot yang kelima, yang juga adalah slot terakhir dalam program KESUMA . Beliau memulakan ceramah dengan memberi penekanan terhadap aqidah serta tiga elemen penting dalam pembentukan aqidah yang perlu ada pada setiap mukmin. Elemen tersebut adalah keyakinan dalam hati, menerima dan membenarkan dengan hati seterusnya mengaku dengan lidah serta menzahirkan dengan amalan harian. Setelah itu, ustazah Farahwahida menunjukkan video-video yang berkaitan dengan sistem kehidupan dalam Islam. Antaranya ialah muamalat, pendidikan, jihad, jenayah, politik, ibadah dan aqidah. Dalam video yang dipaparkan, dapat disimpulkan bahawa islam itu syumul dalam semua system kehidupan kita.
Pada sebelah malamnya pula, peserta menjalankan aktiviti yang dinamakan Tafakur Malam. Aktiviti ini dijalankan secara berasingan antara ikhwah dan akhawat. Peserta dibahagikan kepada lima kumpulan. Setiap kumpulan perlu melantik seorang ketua. Dalam setiap kumpulan juga ada seorang pengkhianat. Akan tetapi ahli yang lain tidak mengetahui kewujudan pengkhianat ini. Pengkhianat ini bertindak dengan mengelirukan ahli kumpulannya dari menjejaki ketua mereka. Peserta dikehendaki untuk menutup mata kecuali ketua. Kemudian dibawa ke tapak Tafakur Malam iaitu di perkarangan tempat letak kereta di balai cerap. Di sini, pengkhianat dibenarkan untuk membuka penutup mata tetapi tidak diketahui oleh ahli yang lain. Kesabaran dan kesungguhan seorang ketua teruji apabila melihat ahli yang tidak tertutup matanya tidak mempedulikan signal yang dibuat. Aktiviti yang menyeronokkan ini telah membina kepercayaan dan kemesraan ukhuwah di kalangan para peserta dengan ahli kumpulannya yang lain.
Aktiviti kemuncak bagi program ini adalah Kembara Syumul, iaitu program outdoor yang dilakukan di sekitar balai cerap. Aktiviti ini mempunyai peraturan di mana peserta perlu menyelesaikan semua tugasan dalam setiap checkpoint yang ada. Peserta diuji dengan beberapa masalah ekonomi yang dihadapi oleh umat islam contohnya terlibat dalam riba, perjudian dan penipuan. Kem Kembara Syumul (KESUMA) tamat sekitar jam 12 tengahari. Selepas itu, peserta dikehendaki berkumpul dan sesi muhasabah program dijalankan di mana mereka dikehedaki memuhasabah kembali tentang segala input yang boleh diperolehi daripada keseluruhan program ini. Selepas menunaikan solat zohor dan makan tengahari, para peserta mengemas barang-barang dan bergerak pulang. Walaupun masing-masing kepenatan, namun segala pengalaman dan ilmu yang diperoleh serta ukhuwah yang terjalin tidak ternilai harganya.
Alhamdulillah, semoga KESUMA akan memberi input yang bermanfaat dan mencapai objektifnya iaitu dapat menghayati konsep kesyumulan islam dalam kehidupan mahasiswa melalui penghayatan al-Quran, meningkatkan kemahiran insaniah dikalangan peserta melalui penerapan konsep kesyumulan islam dalam kehidupan dan mengeratkan silaturahim sesama ahli termasuklah para peserta, fasilitator dan individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam program ini.
nota: Klik pada gambar pertama untuk ke album gambar KESUMA.
0 comments:
Post a Comment