Kemenangan Muhammad Ibn Abdullah

Oleh Nur Hidayah Bt Junaidi (2SSB) & Faizah Bt Abdul Razak (2SPI)

Bulan purnama telah terbit kepada kami,
Dari jalan-jalan bukit al-Wada’.
Wajib ke atas kami untuk bersyukur,
Terhadap seruan penyeru kepada Allah.
Wahai utusan yang diutuskan kepada kami,
Kamu datang bersama perkara yang dipatuhi.


Bergema seluruh alam dengan nyanyian kegembiraan penduduk Madinah semasa kedatangan Rasulullah SAW, dalam hijrah Baginda ke Madinah. Tidak dapat dibayangkan betapa sinar kebahagiaan terpancar dalam diri setiap penduduk Madinah apabila Islam sampai di negeri tersebut.

Kini, setelah 1430 tahun penghijrahan Baginda SAW ke Madinah, Islam semakin tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Islam pernah digeruni dengan kehebatan barisan tenteranya yang tidak gentar untuk berjihad walaupun terpaksa bergadai nyawa. Islam pernah djulang kerana kehebatan ilmu umatnya semasa zaman pemerintahan Abbasiyah. Islam juga pernah melakar sejarah dengan memayungi dua pertiga dunia. Semua ini tidak akan tercapai tanpa pertolongan Allah serta kecekalan, kesungguhan dan ketabahan Rasulullah SAW dalam menyebarkan wahyu Allah.

Saudara saudari pembaca sekalian,

Sebelum kerasulan Baginda SAW, sehinggalah kini Baginda telah 1420 tahun meninggalkan kita, banyak fitnah telah menimpa Baginda SAW dan umat Islam, dalam rangka kaum kuffar untuk menjatuhkan Islam. Antaranya pernah dunia Islam dikejutkan dengan karikatur yang menghina Rasulullah SAW. Namun hakikatnya, Muhammad Ibn Abdullah telah menang. Dengan berkumandangnya jutaan suara manusia, di belahan bumi bahagian Timur dan Barat, yang selalu diulang-ulang, tidak pernah diam dan tidak pernah berhenti, baik di pertengahan malam dan di kala siang, dalam menyebut kalimah: “Tiada Tuhan Selain Allah, Nabi Muhammad Pesuruh Allah”. Penyaksian umat Islam terhadap peranan Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh Allah, menunjukkan ketinggian kedudukan Baginda SAW dalam Islam.

Kemenangan itu diperoleh bukan dari pertempuran mahupun peperangan, tetapi ia dicapai dengan kehendak Allah. Allah tidak ingin menjadikan kemenangan itu satu mukjizat di mana tidak termasuk usaha manusia dan alat. Tetapi Allah mengkehendaki bahawa kemenangan itu berupa hasil yang wajar dari usaha dan perjuangan Rasulullah SAW serta natijahnya yang selayak dengan pengorbanan Baginda.

Kemenangan Nabi Muhammad SAW terbukti sewaktu awal kerasulan Baginda SAW, apabila pemimpin Quraisy bertemu dengan bapa saudara Baginda SAW, iaitu Abu Talib dengan tujuan agar Baginda berhenti dalam menyebarkan dakwah Islam. Harta dan kuasa ditawarkan sebagai balasan sekiranya Nabi Muhammad SAW mematuhi permintaan mereka. Namun, terpancar keimanan dan terbukti kemenangan Baginda SAW apabila dengan yakinnya Baginda berkata: “Demi Allah, wahai bapa saudaraku! Jika mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku, dengan maksud agar saya meninggalkan perintah ini, saya tidak akan melakukannya, sampai Allah menjelaskannya atau saya hancur dalam melaksanakannya” (Al-Hadith). Kenyataan Baginda ini telah menggoncang perasaan Quraisy dan menunjukkan kebenaran Islam yang dibawa Baginda SAW.

Daripada perisriwa ini dapat kita perhatikan keaslian dan keteguhan dakwah Rasulullah yang tidak menjadikan jalan dakwah ini sebagai batu loncatan terhadap kekayaan, kekuasaan dan kesenangan hidup. Tawaran ini tidak sedikit pun menggadai dakwah Rasulullah, malah sanggup menerima seksaan daripada kaum Quraisy. Ia juga merupakan penangkis yang strategik terhadap penyerang-penyerang ideologi yang menyebabkan mereka lemah untuk mencari kekurangan yang ada dalam diri Rasulullah sepanjang kehidupan Baginda.

Saudara saudari pembaca sekalian,

Muhammad SAW telah menang ketika berhasil membentuk para sahabat ibarat sebuah Al-Quran hidup yang berjalan di atas permukaan bumi. Baginda telah berjaya membina keperibadian para sahabat yang belum pernah dialami umat manusia sebelumnya. Baginda berjaya dalam tarbiyyahnya sehingga keimanan mereka itu lahir dalam bentuk amalan praktik hidup, seolah-olah Baginda berjaya mencetak berpuluh-puluh, beratus-beratus bahkan beribu-ribu naskah al-Quran, tetapi bukanlah dicetak dengan dakwat atas lembaran-lembaran kertas, tetapi Baginda mencetak beribu-ribu naskah al-Quran itu dengan nur iman di atas lembaran-lembaran hati dan jiwa manusia. Keperibadian Baginda SAW yang mulia sendiri juga pernah dinyatakan oleh Saidatina Aisyah ketika ditanya oleh Sa’ad bin Hisyam, dalam riwayat an-Nasai`, bahawa kelakuan dan perjalanan hidup beliau adalah Al-Quran. Kenyataan Ummul Mukminin ini membenarkan Islam yang dibawa oleh Rasululah SAW.

Akhlak serta tasawwuf Baginda dan para sahabat dijelmakan dari keimanan mereka kepada Islam yang mana menghayati Islam sepenuhnya dalam kehidupan. Rasulullah tidak semata-mata berkhutbah untuk memberi peringatan tetapi telah berjaya mendidik jiwa para sahabat seterusnya membina ummah. Baginda berjaya menjadikan mereka sebagai model berjisim bagi Islam, jika manusia lain melihat mereka, bermakna melihat Islam itu sendiri.

Ibarat sepohon kayu yang terdiri dari akar, batang dan buah, begitulah juga pohon Islam yang terkandung di dalamnya akidah, hukum dan sistem Islam. Ini menunjukkan satu lagi bukti kemenangan Muhammad Ibn Abdullah, pada saat Baginda menjadikan hukum Islam itu satu sistem kehidupan yang syumul dari seluruh aspek kehidupan umat Islam. Kesyumulan Islam yang diajarkan oleh Baginda SAW mengatur hubungan-hubungan antara kaum muslimin. Ia berubah menjadi suatu sistem internasional di mana atas dasarnya orang Islam bergaul dengan orang-orang lain.

Pada akhirnya, Islam menang kerana aqidah kepercayaannnya telah diterjemahkan menjadi hukum. Hukum ini mengadakan suatu sistem yang menggoncangkan perasaan manusia dan memberikan ketenteraman kepada hati seluruh penduduk bumi. Bukti-bukti kemenangan ini telah terpatri di dalam al-Quran, yang bermaksud:
“Dan sungguh pasti Allah akan menolong orang yang menolong (agamanya)Nya. Sesungguhnya Allah kuat dan berkuasa. Mereka yang kalau kami beri kekuasaan di atas dunia, mereka mendirikan solat, membayar zakat, menyuruh melakukan kebaikan dan melarang mengerjakan kejahatan. Dan kepada Tuhanlah kembalinya akibat segala sesuatu”.
(al-Hajj, 22:40-41)

Kemenangan Rasululllah SAW dalam membina empayar Islam dan menjana peribadi muslim sejati seharusnya menjadi azimat dan kekuatan kepada kita semua untuk meneruskan perjuangan Baginda SAW dan para sahabat dalam menegakkan kebenaran dan membasmi kebatilan. Seterusnya menjulang kembali kegemilangan Islam yang pernah dicapai suatu ketika dahulu. Kemenangan Rasulullah adalah bersifat sejagat, menjiwai penyusunan hidup ini, merubah perjalanan sejarah dan memberi nilai-nilai murni serta tetap (thabat) sepanjang zaman. Muhammad Ibn Abdullah telah menang, dulu, kini dan selamanya.

Advertisement

0 comments:

Post a Comment