Generasi al-Qur’an Yang Unik

Oleh: Norbaizura binti Yaso (3SGS)

Alhamdulillah, Allah telah mengurniakan berbagai bentuk hikmah di sebalik tragedi yang berlaku di Gaza. Mereka di sana dan kita di sini, sama-sama diuji sebenarnya. Seteguh mereka di sana, dan teguhkah lagi kita di sini? Jika mereka diserang dengan serangan fizikal, adakah kita menyedari bahawa kita sebenarnya telah diserang pemikiran kita (ghazwul fikri)? Masuknya ia ke dalam pemikiran kita dengan cara yang sangat halus lagi teliti. Malah kerosakan ideologi tersebut bertapak kukuh di dalam persekitaran bahkan dalam diri sendiri.

Mari kita melihat kembali kepada zaman Rasulullah SAW, bagaimana generasi terdahulu itu berjaya membuang karat-karat jahiliyah yang telah lama bertapak dalam kehidupan mereka walaupun ianya telah diwarisi sejak turun-temurun. Apabila dua syahadah dilafazkan, maka seluruh sistem Islam itu bertapak kukuh dalam diri mereka. Keagungan tamadun dan budaya Romawi, Yunani , Parsi, China dan India pada zaman tersebut sedikitpun tidak mempengaruhi pegangan dan kepercayaan mereka. Malah bermatlamat agar tamadun-tamadun tersebut juga mengamalkan ajaran Islam. Dan akhirnya tapak yang kukuh itu, berjaya mencipta sebuah Tamadun Islam yang melakar keagungannya selama lebih 600 tahun.

Sungguh generasi sahabat Rasulullah SAW, ridhwanullahi alahihim ini adalah satu generasi yang unik. Paling istimewa dalam sejarah Islam dan sejarah kemanusiaan seluruhnya. Generasi ini tidak pernah muncul dan timbul lagi setelah itu dalam bentuk yang ramai, walaupun terdapat juga peribadi dan tokoh tertentu di sepanjang sejarah.

Tetapi persoalannya, bagaimanakah mereka ini boleh menjadi satu generasi yang unik? Apakah karakteristik umum generasi ini? Apakah rahsia mereka sehingga mereka begitu berbeza dengan kita? Al-Qur’an yang menjadi sumber dakwah mereka masih berada bersama-sama kita. Hadis-hadis Rasulullah dan petunjuk-petunjuk daripada perjalanan hidup dan sirah yang mulia itu juga masih ada di samping kita. Ia sedikitpun tidak terjejas oleh perubahan zaman. Jadi apakah rahsia di sebalik keunikan tersebut? Adakah kerana pada zaman tersebut adanya diri dan peribadi Rasulullah SAW hingga menjadikan mereka menjadi begitu unik? Bagaimana mungkin terjadinya hal yang sedemikian itu sedang Allah SWT telah memberi jaminan untuk memelihara al-Qur’an. Jaminannya juga menjanjikan bahawa dakwah ini akan berterusan walaupun selapas zaman Rasulullah SAW dan Allah akan tetap memelihara agamaNya ini sehingga hari kiamat. Maka hakikat ini membuktikan bahawa ketiadaan diri Rasulullah bukanlah alasan di atas kegagalan dakwah di zaman kini.

Saudara pembaca yang dirahmati,

Sumber pokok yang dicedok oleh generasi pertama ini adalah al-Qur’an. Hanya al-Qur’an sahaja. Hadis Rasulullah dan petunjuk-petunjuk baginda adalah penafsir kepada al-Qur’an. Pengambilan petunjuk dari al-Qur’an secara total ini telah membentuk satu generasi yang bersih hatinya, bersih pemikirannya, bersih pandangan hidupnya, bersih perasaannya, dan murni jalan hidupnya dari sebarang unsur yang lain daripada landasan Illahi yang terkandung dalam al-Qur’anul Karim. Ketika Assayyidah ‘Aisyah RA ditanya mengenai kelakuan dan perjalanan hidup Rasulullah SAW maka beliau menjawab dengan maksud: “Kelakuan dan perjalanan hidup beliau (Rasulullah saw) itu adalah al-Qur’an” (HR an-Nasa’i). Sungguh mereka ini adalah suatu Generasi al-Qur’an yang unik. Generasi ini hanya menerima panduannya dari al-Qur’an semata, maka dengan sebab inilah mereka berhasil membentuk sejarah gemilang di zamannya.

Namun demikian, setelah berlalunya beberapa dekad sumber panduan yang utama ini telah bercampur baur dengan sumber-sumber lain. Iaitu dengan falsafah Yunani (Greek) dengan cara berfikir dan logiknya, dongengan Parsi dan pandangan hidupnya, cerita-cerita israeliyat Yahudi, falsafah ketuhanan ala-Kristian yang telah bercampur baur dengan ilmu Kalam, dan turut dimasuki saki-baki peninggalan tamadun lampau yang sukar dikikis. Maka percampuran sumber panduan ini telah menjadi faktor utama generasi berikutnya berlainan sama sekali dengan genarasi al-Qur’an yang unik itu.

Selain faktor tersebut, faktor asas kedua yang membezakan antara generasi al-Qur’an tersebut dengan generasi selepasnya adalah cara generasi tersebut berinteraksi dengan al-Qur’an. Generasi pertama itu tidak mendekatkan diri dengan al-Qur’an dengan tujuan mencari pelajaran dan bahan bacaan semata-mata, bahkan bukan juga untuk mencari hiburan dan penglipur lara. Mereka sekali-kali tidak belajar al-Qur’an dengan tujuan untuk menambah bahan ilmu buat pingisian di dada mereka. Bahkan mereka mendalami al-Qur’an untuk belajar bagaimanakah arahan dan perintah yang digariskan Allah dalam urusan hidup peribadi mereka dan dan juga urusan masyarakat. Mereka mendekati al-Qur’an dalam rangka melaksanakan ayat-ayat yang diturunkan buat diri mereka tanpa rasa ragu-ragu walau sedikitpun:
“Kitab (al-Qur’an) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. Iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib, melaksanakan solat, dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, dan mereka beriman kepada (al-Qur’an) yang diturunkan kepadamu (Muhammad) dan (kitab-kitab) yang telah diturunkan sebelum engkau, dan mereka yakin akan adanya akhirat. Merekalah yang mendapat petunjuk dari Tuhannya, dan merekalah orang-orang yang beruntung.”
(al-Baqarah, 2:2-5)

Perasaan “belajar untuk melaksanakan” inilah yang telah menambah luasnya lapangan hidup, ma’rifat dan pengalaman mereka dari ajaran al-Qur’an yang tidak mungkin dapat dicapai kalau sekadar bertujuan menyelidik dan mengkaji sahaja. Dan perasaan inilah yang memudahkan urusan hidup mereka, ia melahirkan pelajaran yang menggerakkan aktiviti yang tidak bersarang sebagai teori sahaja.

Faktor asas yang ketiga yang membentuk kepada generasi al-Qur’an yang unik ini adalah penolakan jahiliyah secara total iaitu dari sudut pemisahan perasaan dan suasana kehidupan. Setelah berada di dalam Islam, mereka merasakan amalan jahiliyah dulu adalah kotor dan tidak sesuai dengan ajaran Islam. Ini timbul dari percantuman diri mereka dengan Islam serta pimpinan Islam. Mereka memberikan perhatian, kepatuhan, kesetiaan kepada masyarakat, organisasi dan pimpinan Islam.

Sedarkah kita sekarang sedang berada di mana? Kita sebenarnya sedang berada di zaman kegelapan jahiliyah seperti pada zaman Rasulullah dahulu, malah lebih gelap lagi. Konsep hidup, akidah kepercayaan, adat istiadat dan kebiasaan, sumber pelajaran seni dan sastera, peraturan dan undang-undang, dan hinggakan banyak perkara yang kita anggap sebagai pelajaran Islam rupanya hasil ciptaan jahiliyah.

Oleh yang demikan sahabat pembaca sekalian, tidakkah kita ingin menjadi satu generasi al-Qur’an seperti yang ada di zaman Rasulullah SAW? Yang mana pegangan, kepercayaan dan kepatuhan kepada Allah sedikit pun tidak berbelah bahagi, sedang fahaman jahiliyah yang melata di sekitarnya sedikitpun tidak berjaya menembus keimanan mereka. Bagaimanakah caranya untuk kita menjadi generasi al-Qur’an yang unik seperti di zaman Rasulullah saw ini? Marilah kita mengambil teladan daripada generasi pertama ini.

Pertamanya, kita mesti rujuk semula ke pangkal jalan iaitu kepada sumber yang murni yang dirujuk oleh generasi pertama tersebut iaitu al-Qur’an. Dari situlah kita harus mengambil pandangan hidup, mengambil nilai diri dan akhlak, serta mengambil panduan dan program pemerintahan, politik, ekonomi dan segala aspek kehiduan kita. Kita cintakan Islam yang sempurna (kaafah/syumul) maka segalanya haruslah diambil dari Islam, bukan pilih-memilih.
"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan."
(al-Baqarah, 2:208)

Berkata Hassan al-Hudaibi: Tegakkan Islam di dalam dirimu, nescaya tertegaklah Islam di muka bumi.

Seterusnya, rujukan murni itu haruslah dirujuk berdasarkan kaeadah “belajar kerana untuk melaksanakan” bukan sekadar untuk mengetahui, mengkaji ilmu, atau mencari bahan cerita. Kita merujuk kepadanya untuk mengetahui apa sebenarnya yang diminta untuk kita lakukan, maka kita lakukan. Dalam menelusuri pengkajian dan perlaksanaan itulah kita akan berjumpa dengan keindahan seni al-Qur’an, kisah dan cerita, pandangan-pandangan dengan logik kesedaran hati serta segala apa yang dicari oleh para ilmuan dan pakar penyelidik. Ya, kita akan jumpai semua itu. Bukan dengan maksud untuk sekadar hendak belajar dan menyelidik ilmunya, tetapi tujuannya adalah untuk mengetahui apakah pekerjaan yang al-Qur’an kehendaki untuk kita kerjakan! Konsepnya yang perlu kita pegang, tuntutan al-Qur’an mengenai pandangan dan perasaan kita terhadap Allah SWT, serta tuntutan mengenai akhlak, realiti hidup dan corak sistem hidup yang perlu kita amalkan.

Kemudian, tidak dapat tidak kita mestilah membebaskan diri dari cengkaman jahiliyah ini dan mencabut akar umbi kepada jahiliyah yang ada dalam kehidupan kita dan masyarakat. Selain dari itu, kita juga harus membuat pembersihan dari segala karat-karat jahiliyah yang ada dalam pengamalan hidup kita. Sesungguhnya antara yang hak dan yang batil, tidak akan pernah bisa berjalan seiring.

Asasnya, kekuatan hubungan dengan Allah sahajalah yang menjadi tenaga penggerak hati, rasa, pemikiran dan sahsiah diri sejajar dengan syariat Islam. Inilah rahsia kekuatan sebenar yang akan mencorak seseorang dengan corakan Allah SWT (sibghatullah) walaupun di tempat sunyi ataupun di khalayak ramai, gelap dan terang, susah atau senang; setiap ketika dan di mana sahaja. Inilah proses didikan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat sehingga dikenali sebagai generasi al-Qur’an yang unik.

Advertisement

0 comments:

Post a Comment