Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan rahmat-Nya, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Kelab Iqra’ sesi 2009 telah berjaya menganjurkan program Kem Generasi Al-Quran ‘09 (GEN-Q ‘09) pada 7-9 Ogos 2009. Pelbagai ujian dan rintangan terpaksa dihadapi oleh penggerak Gen-Q ’09 dalam urusan teknikal namun alhamdulillah, dengan takdir Allah, dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh setiap penggerak, program ini berjaya juga dilaksanakan walaupun ditunda seminggu.
Gen-Q ’09 disertai oleh ahli-ahli Kelab Iqra’ seramai 65 orang peserta dan 28 fasilitator dan telah berjaya mencapai objektifnya untuk memberi kesedaran kepada peserta akan matlamat sebenar kejadian hidup manusia serta memberi pendedahan kepada peserta supaya bangkit mencari dan memulakan usaha mengembalikan kegemilangan islam yang telah lama menjadi sejarah.
Peserta mula bertolak ke tempat program iaitu di Suara’s Chalet, Kg. Tenglu Laut, Mersing pada hari jumaat, 7 Ogos. Sebuah bas bertolak pada jam 6 petang manakala dua buah lagi bertolak pada jam 11 malam. Dalam perjalanan ke tempat program, hati masing-masing melonjak untuk menyelami dan melalui Gen-Q dengan jayanya. Namun disebabkan suasana yang aman di dalam bus dan perjalanan panjang, lonjakan terhenti seketika dengan lena tidur para peserta.
Slot petang diteruskan dengan aktiviti riadah. Peserta akhawat telah bermain dua permainan. Permainan pertama ialah membawa cawan penuh berisi air di atas sehelai akhbar ke satu check point. Kemudian peserta perlu mengeluarkan bola pingpong daripada botol mineral kosong menggunakan cawan dan air dari kolam berhampiran. Permainan yang dibuat di kawasan pantai yang nyaman membuatkan peserta begitu bersungguh menjayakan tugas yang diberi. Kegembiraan dan keceriaan yang terpancar membibitkan rasa sayang dan ukhuwah di antara satu sama lain.
Rasional daripada dua permainan ini ialah memupuk semangat kerjasama antara ahli kumpulan, menjana kreativiti dan strategi, serta menjalin erat ukhuwah yang baru dibina. Peserta ikhwah pula bermain bola sepak pantai. Walaupun dalam keadaan pantai yang berselut, masing-masing ikhwah bermain dengan riang gembira. Biarpun pakaian kotor, namun mereka puas dapat menunjukkan skil dan gaya bermain masing-masing. Aktiviti riadah tamat sebelum maghrib dan sebelum khidmat diri, peserta dijamu dengan keropok lekor garing dan air teh yang sedap.
Slot yang ke-2 diteruskan selepas solat jama’ maghrib dan isyak berjemaah. Antara pengisian untuk slot kali ini ialah penyampai menerangkan secara kaedah graf tentang kegemilangan Islam pada zaman kerasulan dan pemerintahan khulafa’ar-rasyidin. Penyampai menerangkan secara terperinci sejarah awal kebangkitan umat Islam sehinggalah kejatuhan semula Islam. Islam mencapai zaman kegemilangan apabila berjaya menguasai 2 per 3 dunia serta menjadi rujukan oleh masyarakat manusia dari seluruh pelosok dunia dalam pelbagai bidang ilmu.
Keesokan paginya selepas sarapan pagi, program diteruskan dengan slot yang ke-3. Slot ini dikendalikan oleh saudara Muhammad Harmizzi bin Abdul Rahman. Pada slot kali ini, beliau menekankan tanggungjawab kita untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan Islam yang pernah dicapai satu ketika dahulu. Sepanjang slot ini peserta dipertontonkan dengan video-video berkaitan dengan zaman kegemilangan Islam. Selain itu peserta turut menonton video lakonan semula berkaitan dengan pengorbanan para sahabat mempertahankan akidah mereka dalam mempertahankan agama Allah. Video tersebut juga berjaya menyuntik semangat izzah para peserta terhadap islam yang syumul.
Slot terakhir disampaikan oleh saudara ‘Ammar Taqiyuddin bin Ainullotfi. Dalam slot ini beliau membuat konklusi keseluruhan tentang modul Kem Generasi al-Qur'an. Beliau telah menekankan tanggugjawab kita dalam usaha mengembalikan identiti Islam yang sebenar. Selain itu beliau meminta para peserta menilai diri masing-masing dan menyatakan di zaman manakah kita berada sebenarnya, adakah dizaman jahiliah atau zaman pemerintahan para sahabat. Pada akhirnya, peserta disedarkan akan kepentingan dan usaha mengembalikan kegemilangan islam sepertimana zaman dakwah Rasulullah SAW di Makkah. Sesungguhnya dalam membina ustaziatul alam , perlu bermula dengan bawah iaitu pembinaan individu muslim. Dan caranya? Ialah bermula dengan usrah.
Semoga kefahaman dan semangat yang dicetuskan dari modul Gen-Q ’09 menjadi bekalan kepada para peserta untuk komited memperbaiki diri menjadi muslim yang soleh dan solehah. Moga ukhuwah dan kasih sayang yang terjalin sepanjang program ini menjadi pengikat hati bersama dan pengalaman yang dikutip menjadi kenangan terindah kepada semua...
salam
ReplyDeletegambar ikhwah xde kew?
xda pula dalam simpanan. siapa2 y ada gmbar dgan pose tbaik bole la share di sini ya
ReplyDeleteinsya Allah dalam masa terdekat nanti ada...
ReplyDelete