Ramadhan Bulan Tarbiah

Nurul Sa’adah BT Yusof (4SMM)

Assalamu`alaikum...

Alhamdulillah, dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT dapat kita bertemu semula dengan bulan yang penuh keberkatan dengan limpah kurnia dan nikmatNya yang tidak terhingga. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Rasulullah SAW, keluarga Baginda dan juga para sahabat. Alhamdulillah, dengan izinNya kita telah melalui seminggu berpuasa di dalam bulan Ramadhan. Beruntunglah bagi hamba-hambaNya yang memanfaatkan peluang yang ada.

Dengan berlalunya tempoh seminggu di dalam mulia ini, mari kita refleksi semula diri sama ada kita menghargai dan mengambil peluang yang ada untuk kita melakukan amal ibadat dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan kerana Allah SWT atau membiarkan masa itu berlalu tanpa mengejar janjiNya? Adakah selama tempoh itu juga, kita hanya merasa lapar dan dahaga tanpa merasai kemanisan bulan mulia ini?

Ramadhan adalah merupakan waktu untuk kita mencerminkan diri kita yang sebenar sebagai hambaNya. Di mana, sepanjang bulan ramadhan syaitan telah dibelenggu seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud,
“Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan”.
(Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi)

Jadi yang tinggal dalam diri ini hanya nafsu. Perlu diingatkan yang syaitan telah berusaha mendidik nafsu kita mengikuti jalannya yang membawa kepada kehancuran dan kebinasaan selama 11 bulan.

Kehadiran Ramadhan bukan bererti melemahkan umat Islam kerana terpaksa berpuasa sebaliknya ia menyemarakkan lagi semangat jihad dalam melawan musuh dalam diri iaitu nafsu dan musuh zahir. Kita yang hidup dalam keadaan aman sepatutnya bersyukur kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan ibadat bukannya bertambah liat apatah lagi terus bergelumang dengan dosa dan maksiat. Renungilah nasib yang sedang dihadapi oleh kebanyakan saudara kita yang lain terutama di Palestin, Iraq dan sebagainya di mana mereka bukan setakat melawan nafsu tetapi turut berhadapan dengan musuh kuffar. Bilakah penderitaan saudara seagama kita ini akan berakhir? Jawapannya terletak di atas bahu setiap diri umat Islam di mana adakah kita sudah mahu kembali kepada Islam yang menyeluruh atau terus mahu berpecah mengikut ideologi ciptaan kuffar.

Jadi di sini kita perlu melihat kembali niat yang kita lafazkan sebagai rukun berpuasa. Adakah kita faham dengan lafaz niat itu sekadar untuk sahkan puasa kita atau pun memang kerana keikhlasan di hati kerana Allah SWT? Jika kefahaman tentang niat tersebut ke arah untuk menjadi insan yang bertakwa, InsyaAllah ibadat puasa yang kita lakukan ini dapat melemahkan hawa nafsu sehingga lebih mudah untuk mengerjakan ibadat serta menjauhi maksiat. Dari sinilah kita cuba menanam kebiasaan mengawasi diri sendiri dan menumbuhkan akhlak kesabaran dalam jiwa dengan menjauhi larangan Allah SWT.

Makna berpuasa itu bukan hanya bertumpu kepada menahan lapar dan dahaga malah merujuk juga berpuasa dengan anggota badan seperti mata, telinga dan mulut, luaran seperti penampilan dan peribadi dan sebagainya. Berpuasa dengan anggota badan seperti mata adalah dengan menahan pandangan dari perkara yang terlarang. Manakala telinga pula dengan menjauhi mendengar perkara-perkara yang tidak bermanafaat dan mulut pula tidak bercakap kotor dan menyakitkan hati orang lain. Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud,
“Puasa adalah pelindung daripada neraka, Sekiranya seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, maka janganlah bercakap kotor dan janganlah menengking. Jika seseorang mencela atau ingin bergaduh dengannya, katakanlah: ‘Sesungguhnya aku berpuasa’.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berpuasa melalui penampilan dan peribadi dapat dilihat dengan memaparkan peribadi seorang muslim. Contohnya dari segi pemakaian dengan menutup aurat seperti yang telah disyariatkan. Namun dalam skop menutup aurat bukan sekadar menutup fizikal luaran sahaja tetapi merangkumi tingkah laku, budi pekerti, sikap dan niat seseorang. Di samping itu mendisiplinkan diri dengan masa dengan tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh menjejaskan amalan berpuasa. Janganlah dipenuhi ruang waktu yang ada dengan hanya tidur kononnya kerana keletihan sebab berpuasa, namun kita disunatkan untuk qailullah (tidur sekejap) sama ada sebelum waktu Zohor atau selepasnya supaya mendapat kekuatan untuk qiamulail pada malamnya. Hindari diri daripada membuang masa dengan menonton cerita, bermain vidoe game dan sebagainya yang membawa kita kepada kerugian masa waktu lapang. Pada bulan inilah kita digalakkan untuk memperbanyakkan amal ibadat dengan tilawah al-Quran, bertadarus, berzikir dan di samping melaksanakan serta menyelesaikan tugasan-tugasan sebagai seorang pelajar yang mana jika betul niatnya, InsyaAllah ia termasuk ibadat juga.

Ibnu al-Qayyim menyebut dalam Zad al-Ma’ad,
“Seseorang yang berpuasa tidak melakukan tetapi meninggalkan kerana memperhambakan diri. Ia meninggalkan kerana memperhambakan diri. Ia meninggalkan kesukaan nafsu dan kelazatannya kerana mengutamakan kasih Allah dan keredhaanNya! Puasa memelihara kesihatan hati dan anggota badan, serta mengembalikan kepadanya segala yang telah dirampas oleh nafsu syahwat.”


Imam al-Ghazali membahagikan orang yang berpuasa kepada tiga darjat:

1. Puasa orang awam, ialah sebagaimana yang difahami dari hukum fekah iaitu menahan perut dan kemaluan daripada nafsu dan syahwat.

2. Puasa khusus, iaitu menahan anggota badan daripada melakukan dosa.

3. Puasa khusus al-khusus, iaitu puasa hati daripada segala yang lain dari Allah, redha kepada Allah dengan sepenuhnya serta menjadikan cinta-Nya mengatasi cinta yang lain.

Jadi dimanakah darjat kedudukan puasa kita setakat seminggu ini? Tepuk dada, tanyalah iman.

Masih tidak terlambat lagi untuk kita membetulkan niat berpuasa yang sebenar dan cuba membaiki segala kekurangan dalam mengerjakan ibadat puasa dengan di tambah amalan-amalan sunat yang digalakkan seperti tilawah al-Quran, berzikir, bersedeqah, menunaikan solat-solat sunat dan sebagainya. Dengan wujudnya tarbiah Ramadhan dalam diri kita, InsyaAllah ia dapat memelihara kesihatan hati dan anggota badan lain serta mengembalikan hak yang telah dirampas oleh runtutan nafsu sekaligus melatih diri ke arah menjadi umat yang lebih baik. Ia sesungguhnya sebesar-besar pertolongan kepada menjana ketakwaan seperti firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud, “
Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”.
(Surah al-Baqarah, 2:183)

Jangan biarkan puasa kita sekadar merasa lapar dan dahaga dan akhirnya segala pahala amalan yang dilakukan ibarat debu-debu yang berterbangan. Ingatlah bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud,
“Barang siapa berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu.”
(Riwayat Bukhari)

Adakah kita mahu melepaskan peluang tersebut?

Wallahu’alam...

Advertisement

0 comments:

Post a Comment