Keikhlasan Yang Dicari


Oleh: Nurul Iman Binti Abdul Jalil (SHY)

Assalamu’alaikum…

Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT dengan rahmat serta kasih sayangNya dan selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Rasulullah SAW, keluarga Baginda dan juga para sahabat. Alhamdulillah sekali lagi kerana kita masih lagi diberi kesempatan untuk menjalani ibadah puasa di bulan yang penuh keberkatan ini. Masa pantas berlalu dan sedar tak sedar kita sudah melepasi fasa kedua Ramadhan iaitu maghfirah atau keampunan dan kita baru sahaja memasuki fasa terakhir iaitu dijauhkan dari api neraka. Di mana pada fasa ini, beruntunglah kepada sesiapa yang dapat mengejar Lailatul Qadar yang penuh dengan keberkatan dan kebaikan. Beramal pada malam tersebut adalah 1000 kali lebih baik daripada malam yang lain.

Dalam memburu Lailatul Qadar ini, marilah kita bersama-sama muhasabah kembali adakah segala amalan yang telah kita lakukan pada bulan Ramadhan dan pada bulan sebelumnya dilakukan ikhlas kerana Allah SWT atau tidak. Ikhlas ini akan terbit jika dimulakan dengan niat yang hanya kerana Allah SWT. Keikhlasan bererti memenuhi perintah Allah tanpa mempertimbangkan keuntungan peribadi atau balasan apa pun. Seseorang yang ikhlas akan berpaling kepada Allah dengan hatinya dan hanya ingin mendapatkan redhaNya atas setiap perbuatan, langkah, kata-kata dan doanya. Jadi, ia benar-benar yakin kepada Allah dan mencari kebajikan semata. Allah berfirman yang bermaksud,
"... Sesungguhnya, orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.
(Surah al-Hujurat:13)

Ikhlas ini merupakan sesuatu yang amat penting dalam kita melakukan segala aktiviti seharian kerana ia merupakan syarat diterimanya amalan kita yang berlandaskan sunnah Rasulullah SAW dan Allah juga sentiasa memerintahkan kita untuk selalu ikhlas dalam beramal. Ini kerana ikhlas kerana Allah adalah syarat diterimanya amalan kita. Selain itu,ikhlas adalah parameter keberhasilan setiap langkah amal, bukti kecintaan, bukti kualiti diri seorang hamba dihadapan Khaliqnya (penciptanya). Jika kita melakukan suatu amalan, walaupun berdarajat amalan soleh, apabila ia tidak dilakukan dengan penuh keikhlasan, maka kita tidak akan mendapat balasan pahala dari Allah SWT.

Saudara-saudara seislamku, sudah menjadi lumrah seroang mukmin sentiasa menjadi sasaran iblis untuk disesatkan. Namun jika segala amal yang dilakukan dengan penuh keikhlasan mampu menyelamatkan setiap mukmin dari tipu daya iblis laknatullah, seperti firman Allah yang bermaksud,
“(Iblis) menjawab, “Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka (manusia) semuanya. Kecuali hamba-hambaMu yang mukhlis (orang yang ikhlas) di antara mereka”.
(Surah Sod:82-83)

Namun, ternyata jalan menuju keikhlasan tidaklah semudah yang disangkakan, kerana terdapat sangat banyak onak dan duri yang bertebaran dijalannya. Sungguh amat banyak tipu muslihat yang boleh menggelincirkan setiap kita dari beramal ikhlas, dari mulai takjub pada kelebihan diri sendiri, riya’ dan segala penyakit hati sehingga sampai ke tahap menyombongkan diri di hadapan Allah. Na’uzubillahi min zalik.

Jika kita dapat melalui onak duri ini, kita mampu untuk membentuk peribadi muslim yang mulia, yang soleh dan mampu mensolehkan orang disekeliling seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW melalui peribadinya yang mulia mampu menarik perhatian orang disekeliling Baginda dan sehinggalah sekarang. Salah satu ciri yang paling penting yang ada pada diri mukmin yang sejati dan ikhlas adalah bahawa ia dengan tulus ingin dan berusaha untuk menyucikan dirinya dari segala jenis tingkah laku dan akhlak yang dilarang oleh al-Quran demi memperoleh keredhaan Allah. Sememangnya manusia sering melakukan kesilapan, namun ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang yang mana InsyaAllah, Allah akan mengampuni dosa hamba-hambaNya selagi tidak syirik kepadaNya. Sesungguhnya Allah berfirman yang bermaksud,
"Tuhanmu telah meletakkan sifat kasih sayang pada diriNya, (iaitu) barang siapa berbuat kejahatan di antara kamu kerana kebodohan, kemudian di bertaubat setalah itu dan memperbaiki diri, maka Dia Maha Pengampum, Maha Penyayang".
(Surah al-An'am:54)

Untuk mendapatkan keikhlasan sejati, pertamanya harus memahami mengapa keikhlasan itu penting. Ia harus memiliki keinginan untuk mendapatkan tingkat keikhlasan tersebut. Hal ini kerana siapa pun yang gagal memahami keikhlasan, ia seterusnya akan mencari kekuatan dan kekuasaan dengan hal-hal yang bersifat keduniawian. Seharusnya seseorang yang selalu melakukan sesuatu dengan keikhlasan, dia bukan hanya akan berjaya dan menikmati kedamaian di dunia ini sahaja, malah mendapatkan balasan yang besar di hari akhirat. Hal ini kerana orang yang demikian tidak bergantung pada harta duniawi, kekuasaan, pemilikan kekayaan, dan kehormatan sosial semata-mata. Antara cara lain untuk memilki serta mengekalkan keihkhlasan dalam diri kita ialah:
1) Menumbuhkan rasa takut kepada Allah
2)Tidak takut kepada siapa pun kecuali Allah
3)Berjuang sekuat-kuatnya demi keredhaan Allah
4)Mengharapkan balasan hanya dari Allah
5)Memahami bahwa kehidupan dunia ini adalah sementara
6)Memikirkan kematian dan hari pembalasan

Bagaimana pula ikhlas ini dapat dikaitkan dengan kehidupan kita sebagai seorang mahasiswa? Bagi kita yang sedang menuntut ilmu ini, kita hendaklah sentiasa memperbaharui niat kita setiap kali kita ingin atau sedang belajar. Ikhlaskan niat setiap hari dengan menanamkannya dalam jiwa bahawa kita menuntut ilmu adalah kerana Allah dan ingin meningkatkan lagi martabat agama kita yang tercinta. Selain itu, janganlah kita bersifat iri hati dan sombong terhadap sahabat-sahabat, pensayarah-pensyarah dan orang lain. Janganlah kita kikir atau kedekut dalam berkongsi ilmu dengan sahabat handai. Kita tidak akan rugi dari segi ilmu serta masa kerana apabila kita berkongsi, kita akan lebih memahami dan mengingati apa yang dipelajari.

Akhir bicara, sebelum Ramadhan, sang tamu agung pergi meninggalkan kita, sangatlah layak kalau kita berguru padanya tentang sebuah makna keikhlasan. Di mana dalamnya kita dapat melatih keikhlasan kita dalam berpuasa, berqiamullail (berjaga malam), bersedekah dan lain-lain yang mana ia dilakukan semata-mata kerana Allah tanpa peduli dengan pujian atau sanjungan orang lain. Tidak mustahil untuk kita menjadi insan yang sentiasa melakukan amalan dengan keikhlasan jika kita berusaha untuk mencapainya. Tepuk dada, tanya iman kita.

Wallahu’alam..


Advertisement

0 comments:

Post a Comment