Nilai Kemerdekaan Di Sisi Kita

Oleh: Abd Azim Abd Razak (4SZL)

Salam kemerdekaan dan ramadhan buat semua warga muslim UTM. Beruntung kita rakyat Malaysia kali ini kerana dapat menyambut kemerdekaan di samping diiringi Ramadhan al-mubarak, bulan kemenangan dan bulan tarbiyyah umat Islam. Di dalam bulan ini, sejarah merakamkan pelbagai detik perjuangan yang harus kita jadikan iktibar dan contoh, bahkan hari-hari yang kita lalui di dalam bulan ini, menuntut pengorbanan yang tidak sedikit banyaknya. Tidakkah semua ini mengingatkan kita kepada hakikat pengorbanan yang harus dinikmati dan disyukuri?

52 tahun kita merdeka, terlalu muda usia tanah air ini menikamati kemerdekaan jika dibandingkan dengan tempoh ngara kita dijajah, dikaut segala hasil mahsulnya, diperkudakan pemimpin dan rakyatnya, sehingga tatkala kita berfikir, di manakah Allah akan menyelamatkan maruah bangsa ini, maka Allah mengurniakan kita pejuang kemerdekaan yang berusaha sedaya upaya untuk membebeaskan negara ini dari penjajahan kolonial serta berusaha keras melakukan sesuatu ke arah mencapai kemerdekaan sekaligus menanamkan harga diri dan semangat kemerdekaan dalam jiwa anak bangsa pada generasi seterusnya. Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah semata untuk melihat generasi penyambung yakni kita, hidup tidak lagi bertuankan penjajah serta bebas diatas tanah air sendiri seperti bangsa lain. Katakanlah, kita turut merasakan bersama mereka diatas jalan perjuangan ini, perjuangan yang amat dituntut bagi memerdekan sesebuah tanah air, firman Allah:
"Mereka berkata: Sesungguhnya jika kita kembali ke Madinah (kembali dari perang Bani Mustalik), pastilah orang-orang kuat akan mengusir orang-orang lemah dari sana Padahal kekuatan itu hanya pada Allah,rasul-Nya dan bagi orang-orang munafiq itu tidak mengetahui"
(al-Munafiqun, 63:8)

Inilah hakikat kemerdekaan, yakni kebebasan di atas tanah air sendiri dari cengkaman penjajah. Justeru dengan Ramadhan yang mendatang ini, marilah kita sama-sama berfikir, apakah makna kebebebasan dan merdeka dalam konteks yang lebih luas dan besar maknanya di sisi Islam. Tarbiyyah Ramadhan mengajak kita memerdekakan belenggu diri dari nafsu yang sentiasa mengajak kepada kejahatan dan kemalasan beribadat. Tidak hairanlah mengapa walaupun di dalam bulan kemenangan umat Islam ini, walaupun di dalam bulan penuh kerahmatan ini, manusia masih melakukan maksiat tanpa rasa bersalah, tanpa segan silu, dan tanpa rasa berdosa. Hakikatnya kita masih lagi dijajah oleh komunis-komunis jahiliyyah, kita masih lagi dibelenggu dengan penipuan dunia sehinggakan semangat jihad yang sepatutnya membuak-buak dalam dada pemuda seperti kita terus lesu dan padam dek kerana disajikan dengan jahiliyyah yang pelbagai, dipadam dengan hiburan-hiburan yang berleluasa, dan dibentangkan dengan maksiat di mana-mana. Ya, negara kita telah merdeka, tetapi jiwa kita masih lagi dijajah. Di manakah letaknya sayang kita kepada Islam? Adakah kita menggelarkan diri kita sebagai muslim sedangkan apa yang diajar Islam, kita tidak ikut sepenuhnya, kita menerima sebahagian, kita menolak sebahagian lagi. Bahkan yang lebih teruk lagi, kita tidak mahu berusaha mencari kebenaran ajaran Islam itu walaupun peluang terbentang di depan mata. Kita tidak mahu meluangkan masa untuk majlis-majlis ilmu, kita tidak mahu menerima teguran dari sahabat-sahabat kita, dan kita tidak mahu melihat makna ayat-ayat Al Quran yang terkandung suatu keajaiban hakiki yang diturunkan oleh Tuhan yang Maha sempurna. Masa-masa kita dibazirkan dengan menonton movie, drama-drama, anime, dan banyak lagi perkara jahiliyyah yang kita isi dengan masa kita. Alangkah ruginya manusia. Masa berharga di dalam bulan Ramadhan berlalu begitu sahaja. Sedarlah, tanya diri kita, apa yang kita buat untuk Islam? Apakah kelayakan kita untuk masuk syurga Allah?

Kita menahan diri dari lapar dan dahaga di siang hari, mendirikan tarawikh di malam hari, memperbanyakkan bacaan al-Qur'an, menghidupkan malam untuk mengejar laylatul qadr. Semua itu tidak lain tidak bukan adalah peluang yang disediakan Allah untuk kita menjadi insan yang berjuang dari dikuasi nafsu semata-mata. Lihatlah betapa hina mereka yang hidupnya bertuankan nafsu semata. Merekalah yang dijanjikan Allah kemurkaan dan azab yang perit di akhirat sana.

Jika patriotisme yang dimaksudkan ialah cintakan tanah air, rasa kasih dan rindu, atau seumpamanya, perasaan ini sedia tertanam dalam fitrah manusia sejak azali lagi. Dilihat dari sirah nabi (buku Raheeq Makhtum), Aishah R.A menceritakan "tatkala Rasullah S.A.W sampai ke Madinah, Abu Bakar dan Bilal jatuh sakit, lalu aku datang mengunjungi mereka 'Duhai bapaku, bagaimana keadaanmu? Hai Bilal bagaimana keadaanmu?' " Jawab Abu Bakar yang sedang demam, "Semua orang berpagi-pagi disisi keluarganya, sedangkan kematian itu lebih dekat dari tali kasutnya". Bilal yang telah mengorbankan segala-galanya demi akidah dan agamanya, mengungkapkan sehingga bait rangkap syair yang amat indah ini disusunnya lantaran rasa rindunya terhadap Makkah:
"Alangkah indahnya jika aku dapat bermalam
Disebuah lembah dikelilngi oleh rumput rampai dan tumbuhan
Dapatkah suatu hari nanti aku akan merasai kembali air kolam Majannah
Dapatkah aku kembali menyaksikan gunung Shammah dan tufail"
Kemudian Aisyah menceritakan kepada baginda Rasullulah, aku mendengar ar-Rasul berdoa "Ya Allah, jadikanlah kami mencintai Madinah sebagaimana kami cinta kepada Makkah atau lebih lagi". Diriwayatkan juga tatkala nabi mendengar Usail mengungkapkan keindahan Makkah, air mata baginda mengalir lantaran rindu yang teramat mendalam pada tanah airnya. Baginda berkata: "Usail, biarkanlah hati-hati ini tenang".

Maka di atas pundak ini terpikul satu amanah yang besar dan jelas mengenai beberapa persoalan kualiti kemerdekaan yang harus ada pada diri kita. Antara persoalan yang akan timbul jika kecintaan pada negara ini selari dengan Islam yang kita anuti dan praktika ialah, pertama, terfikirkah kita dengan nikmat kemerdekaan ini ke mana hala tuju negara ini akan dipacu, adakah diatas nama kemajuaan kita menumpukan kepada aspek kebendaan semata, seperti yang terjadi di barat? Jika inilah yang menjadi agenda keutamaan kita pasca merdeka ini, maka tidak hairanlah kita akan melahirkan mereka yang kecut hatinya untuk berjuang dalam memastikan kemerdekaan ini kekal. Lantaran apa? Lantaran hati-hati mereka yang telah diikat dengan kecintaan dunia ditambah pula takut pada kematian! Justeru, menjadi tanggungjawab kita dalam membangkitkan hemah generasi masa kini agar mereka mencontohi kehebatan generasi silam di zaman kegemilangan ar-Rasul dan islam itu sendiri ini. Rasulullah S.A.W bersabda:
"Manusia itu umpama logam. Sebaik-baik mereka ketika Jahiliyyah adalah sebaik-baik mereka ketika Islam, jika mereka faham (tentang deen)"
(HR. Bukhari)
Kedua, adakah kita sebagai muslim meletakan kecintaan pada tanah air kita sahaja yakni negara yang dibatasi sempadan geografi? Tidak. Sepatutnya dan bahkan lagi ia melangkaui sehingga sempadan akidah! Jika atas dasar prinsip ini yang kita imani dan yakini, sedarkah kita bagaimana nasib saudara kita yang masih dijajah setiap inci tanah nenek moyang mereka, lihat sahaja saudara kita di Palestin, mereka berjuang menggunakan semua kudrat yang terdaya, semata-mata untuk mencapai nikmat kemerdekaan dari yahudi laknatullah. Kita selaku saudara, semestinya harus merasa perit penderitaan ini, bagaimana esak tangisan ibu-ibu yang kehilangan anak di medan jihad, teriakan anak kecil yang hanya mampu melihat ayah mereka ditahan zionis, bahkan hidup mereka penuh dengan elemen perjuangan yang didik seawal usia lagi!

Jika persoalan di atas berkaitan dengan kualiti kemerdekaan ada pada setiap di kalangan kita, sekali lagi ramadhan tampil untuk mentarbiyah diri kita dalam konteks perjuangan kita dimedan amal harian, perjuangan menentang hawa nafsu yang dididik syaitan sebelum ini, serta perjuangan dalam memastikan kualiti puasa yang kita lakukan bertepatan dengan apa yang disebutkan di dalam Al Quran yakni supaya kita bertaqwa. Rasulullah SAW bersabda:
"Berapa ramai orang yang berpuasa, ia tidak memperoleh apa-apa ganjaran kecuali lapar dan dahaga"
(HR. an-Nasa’i)

Sahabat yang dikasihi,

Ramadhan juga mengajar kita erti keinsafan mengenai nasib mereka yang kurang dari kita. Inilah keadaan yang ditempuhi oleh saudara kita yang miskin diluar sana, lapar mereka, dahaga mereka, hanya akan kita rasai apabila kita sendiri melalui keadaan tersebut. Rasa inilah yang menibulkan keinsafan dan sikap kebersamaan di dalam masyarakat. Tidakkah sesutu masyarakat dilihat dalam rumpun yang harmoni apabila mereka yang kaya menolong golongan yang miskin, dan mereka yang miskin mendoakan golongan kaya?

Islam sebagai agama yang syumul juga tidak menolak perpaduan di antara pelbagai bangsa dan kaum di negara kita. Meletakkan Islam ditempat yang tertinggi menjamin keharmonian antara semua anggota masyarakat selagimana kita saling bekerjasama demi kebaikan bersama. Bahkan kita akan berpecah dengan pandangan jumud mengenai hakikat ketuanan bangsa semata diatas bumi Malaysia ini. Adalah merugikan jika semangat cintakan negara ini ialah berbangga dengan bangsa sendiri dan merendahkan bangsa lain demi memartabatkan bangsa sendiri. Tindakan ini merupakan sesuatu yang tidak hakiki bahkan langsung tidak mendatangkan kebaikan pada sesiapa pun.

Dengan kehadiran bulan ramadhan, semoga ia disambut dan diraikan penuh dengan rasa rendah diri dan hakikat ketakwaan.sesungguhnya tiada yang lebih mulia disisi Allah melainkan ukuran ketakwaan kita kepadaNya. Bahkan dengan menjadikan takwa sebagai KPI yang mesti dipenuhi untuk Ramadhan ini, pasti ia menghasilkan Ramadhan yang penuh bermakna pada kita. Apa lagi nikmat yang mahu dicari oleh seorang hamba,melainkan kemerdekaan yang hakiki yang diberi oleh Yang Maha Pencipta, yakni bebas dari api neraka dan nikmat syurga yang kekal abadi disana, inilah janji Allah kepada mereka yang menghidupkan bulan Ramadhan dengan penuh keimanan.

Wallahu’alam.

Advertisement

Comments
1 Comments

1 comments

  1. salam,
    perkongsian menarik tentang menuntut kemerdekaan dari segi setiap sudut kehidupan kita (terutamanya kita yang muslim).
    Langkah yang terus menerus kita perlu lakukan untuk mendapatkan pembebasan setiap penjajahan,

    "Mari memperbaiki diri, untuk menjadi yang lebih baik!".

    ReplyDelete