Al-Quds Untuk Kita

Oleh: Izzah Atikah Norkhair (2SHR)
(Setiausaha Kelab Iqra’ UTM 2010)

BismiLlahirrahmaniRahim...

Segala kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi dengan limpah kurnia dan kasih sayangnya kita masih dipinjamkan dengan selautan nikmatnya yang tiada ternilai. Nikmat kehidupan yang aman dan makmur acap kali kita lupa tentangnya hinggalah meniti bulan Ogos. Dimana tika itu rakyat menginsafi akan pahit maung perjuangan membebaskan tanah air di tangan penjajah. Namun begitu, ramai yang masih rabun akan tarikh keramat 21 Ogos 1969. Tarikh apakah itu? Sama-sama kita selami ……

Pada tanggal 21 Ogos 1969, seorang berbangsa Australia yang berrnama Dennis Michael melakukan pembakaran terhadap Masjid Al-Aqsa. Api menyala besar dan membakar barang-barang di Masjid, tembok dan mimbarnya yang besar: mimbar Solahuddin. Mimbar ini dulu digunakan oleh Solahhuddin untuk Khutbah Jumaat setelah pembebasan al-Quds dari tentera Salib. Tindakan beliau untuk membakar masjid secara keseluruhan tidak menjadi. Kuasa Allah tiada bandingannya, dan akhirnya masjid diselamatkan dan dilindungi dari buas jilatan api.

Setelah itu orang-orang Yahudi membuat kenyataan palsu terhadap Dennis Michael. Beliau telah dibebaskan oleh kerajaan rejim zionis kerana didapati ’tidak siuman’, walaupun dari segi profesionnya beliau merupakan seorang doktor perubatan! Semenjak tanggal inilah, 21 Ogos dianggap sebagai hari memperingati Masjid al-Aqsa sedunia.

Bumi baitul Maqdis mempunyai kedudukan yang istimewa dalam hati setiap orang Islam. Andai sahaja seluruh umat Islam mengetahui dan memahaminya. Islam telah menempatkan dan menambah kemuliaan bagi Al-Quds dan Masjid Al-Aqsa melalui ungkapan ayat-ayat Al-Quran yang menyebutkannya sebagai negeri penuh berkah dan suci :
Pertama, jika dirujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah, bumi Baitul maqdis merupakan tanah para anbiya’ dibesarkan dan disemadikan. Masjid al-Aqsa adalah masjid kedua dicipta Allah dimuka bumi.Ini berdasarkan hadith Abu Dzar dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah pernah ditanya: “Masjid apakah yang pertama dibangunkan di atas muka bumi ini?” Baginda s.a.w menjawab: “Masjid al-Haram”. “Selepas itu, masjid apakah pula?” Baginda s.a.w menjawab : “Masjid al-Aqsa”.

Masjid al-Aqsa menjadi kiblat pertama untuk orang Islam sebelum mereka bersolat menghadap ke Masjidil Haram di Mekkah. Ia juga merupakan masjid ketiga paling suci bagi orang Islam. Di masjid ini jugalah kejadian isra’ (perjalanan malam) berlaku. Barangsiapa yang bersolat di masjid in akan mendapat 500 kali ganda pahala.

Andai sahaja keseluruh umat Islam menghayati dan menyelami betapa mulia Masjid al-Aqsa kepada Islam, maka di sana akan ada satu hari masjid menjadi genggaman kita semula. Tika ini al-Quds dan Palestin menjadi tawanan di tangan-tangan Yahudi laknatullah dan andai dibiarkan usaha penggalian terowong bawah kota Baitul Maqdis diteruskan dan umat masih sepi tidak peduli ia mampu memadamkan sejarah yang telah terbina semenjak 1400 tahun yang lalu.

Terlalu besar nilainya al-Aqsa kepada Islam dan tidak dinafikan, kota suci Baitul Maqdis yang menempatkan Masjidil Aqsa ini juga mempunyai makna amat mendalam dalam jiwa kaum Yahudi Zionis. Impian mereka bagi menguasai al-Quds dan al-Aqsa bukan hanya sekadar angan-angan malah mereka melangkah lebih jauh dari kita, umat Islam.

Sama-samalah kita selami dan menghayati sejarah Masjid al-Aqsa yang mulia itu. Atas kesedaran ini saya menyeru sahabat-sahabat yang tika saat ini membaca artikel ini merasakan tanggungjawab mempertahankan Masjid al-Aqsa dari dibakar buat kali kedua atau dirobohkan terus dari dan diganti dengan kuil yahudi. Tindakan segera harus dilakukan. Mulakan dengan diri ANDA dengan mengetahui sejarah Palestin dan Masjid al-Aqsa. Sampaikanlah kesedaran ini kepada sahabat handai, jiran tetangga, pendidik dan masyarakat umumnya. Marilah sama-sama kita mengorak langkah proaktif ini baik moral atau material demi al-Aqsa tercinta...

WaLlahua’lam.

Advertisement

0 comments:

Post a Comment